Bagi kebanyakan orang awam, peta hanyalah sekeping kertas yang mengandungi lukisan bergambar yang memberikan panduan kepada manusia untuk menuju ke sesuatu tempat. Dengan menggunakan peta, individu tersebut dapat sampai ke destinasi pilihannya dengan mudah dan tepat. Akan tetapi, dewasa ini peta semakin jarang atau tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa penggunaan peta sebagai medium penunjuk arah adalah sesuatu yang lapuk. Sekarang teknologi telah mengambil alih fungsi dan peranan yang dimainkan oleh peta sebelum ini. Perkara ini boleh dibuktikan dengan kewujudan aplikasi-aplikasi dan alat navigator yang lebih memudahkan manusia tuju ke tempat yang diingini. Antara contoh aplikasi yang sering kali digunapakai masa kini ialah Waze, Google Map dan sebagainya.
Berbeza dengan apa yang berlaku sekitar abad ke-16 dan 17 yang lalu (era kegemilangan VOC dan EIC), peranan dan fungsi peta amat penting sekali terutamanya kepada pedagang dan pelaut. Melalui peta, nakhoda dapat mengemudi kapal dan krunya mencari barang dagangan dan berdagang. Dan dengan menggunakan peta jualah akhirnya berlakunya penjelajahan dan penjajahan orang-orang Barat ke Timur bagi menguasai bumi yang kaya dengan hasil rempah ratus ini. Peta telah menjadi kunci utama yang membuka ruang kepada para penjajah untuk belayar ke Dunia Melayu serta memonopoli aktiviti yang terdapat di sini. Dengan menggunakan peta, Alfonso de Albuquerque selamat tiba ke Melaka pada Ogos 1511, serta dengan menggunakan peta, Stamford Raffles berjaya tiba ke Singapura pada 1818 untuk memanipulasi keadaan politik di sana.
Dari sisi yang lain, peta bukan sahaja digunakan sebagai penunjuk arah, sebaliknya peta juga berfungsi sebagai penentu sempadan wilayah sesebuah negara. Dengan merujuk kepada peta, sesebuah negara dapat menentukan wilayah kedaulatannya dan perlu memastikan kawasan yang berada dalam kawasan perlindungannya berada dalam keadaan aman dan terpelihara daripada sebarang ancaman. Tanpa wujudnya peta, sudah pasti sesebuah negara tidak dapat memastikan di manakah lingkungan sempadan yang dinaunginya bukan?. Oleh kerana itulah di Malaysia terdapat sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang diwujudkan khas sebagai penasihat kerajaan dalam bidang ukur dan pemetaan disamping menjalankan kerja-kerja pengukuran dan pemetaan sebagai asas pembangunan sosio ekonomi dan kedaulatan negara. Demikianlah serba sedikit gambaran berkenaan dengan sekeping kertas yang bernama peta. Sekarang kita mula mengetahui dan menyedari betapa pentingnya sekeping kertas yang dinamakan peta.
Seterusnya timbul pula persoalan tentang bagaimanakah sehelai kertas yang dikenali sebagai peta ini boleh menggugat?. Untuk menjawab persoalan tersebut, ayuh kita sama-sama undur beberapa tahun kebelakang. Perkara ini berlaku kira-kira 39 tahun yang lalu ketika Malaysia mengisytiharkan petanya yang baharu pada tahun 1979. Menerusi peta yang diterbitkan tersebut, Malaysia telah memasukkan beberapa kawasan yang terletak di sempadan perairan negara sebagai milik Malaysia. Antara kawasan yang dimasukkan ke dalam wilayah kedaulatan Malaysia ialah Pulau Batu Putih yang berkedudukan berhampiran Singapura, Kepulauan Spratly di Laut China Selatan dan perairan Ambalat (Blok XYZ) yang terletak di sempadan Sabah-Indonesia. Susulan daripada tindakan Malaysia ini, pada tahun yang sama, terdapat 8 negara yang telah membantah perisytiharan dan penerbitan “peta baharu” tersebut. Apa yang menusuk hati Malaysia selepas mengeluarkan edisi petanya yang baharu itu adalah kerana bantahan tersebut datang daripada kejiranannya yang terdekat seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina serta beberapa negara lain seperti China, Taiwan dan Vietnam.
Tidak cukup dengan bantahan, negara-negara tersebut turut mengancam keselamatan Malaysia. Ancaman yang menggugat ini dizahirkan oleh pihak stesen-stesen berita Indonesia menerusi kenyataan yang dikeluarkan di dada akhbar mahupun televisyen. Belbagai gelaran yang diberikan oleh mereka terhadap Malaysia. Antara tajuk berita yang menjadi pilihan pemberita di sana ketika itu ialah “Menhan: Kalau Malaysia Masih Terobos Ambalat, Kami Serang!”, “Seberapa Sering Malaysia Melanggar Wilayah Indonesia?”, “TNI Kerahkan F-16 dan Sukhoi Awasi Militer Malaysia di Blok Ambalat”, “Malaysia Ngotot Rebut Ambalat, Hayono: Lebih Baik Kita Perang”, “Kalau Malaysia Macam-Macam, Serang Saja” dan bermacam-macam lagi. Selain daripada itu, media Indonesia turut menggelarkan Malaysia dengan gelaran yang tidak senonoh seperti “Malingsia”. Sehingga kini kes pertindihan wilayah antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Ambalat masih lagi belum selesai serta berada dalam proses rundingan walaupun sudah hampir 39 tahun perkara ini berlangsung akibat daripada isu penerbitan “peta baru” oleh kerajaan Malaysia pada 1979.
Di pihak Singapura pula lain halnya, negara yang dianggap sebagai “adik” oleh Malaysia memulakan reaksi terhadap perisytiharan “peta baru” dengan menghantar “Nota Bantahan” kepada kerajaan Malaysia pada 14 Febuari 1980. Bagi Singapura, Pulau Batu Putih yang didakwa oleh Malaysia sebagai wilayah kedaulatannya di dalam peta baharu tersebut merupakan sebuah kawasan milik Singapura yang telah dikuasai oleh mereka sejak 1840.
Sejak daripada tahun 1980 sehingga 2003, kedua-dua negara telah menjalankan beberapa siri rundingan sehingga akhirnya pada 9 Febuari 2003 kedua-dua belah pihak bersetuju untuk membawa kes tersebut untuk dibicarakan oleh orang ketiga yang dikenali sebagai Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice). Kemudian pada 23 Mei 2008, ICJ telah memberikan keputusan penghakiman yang telah memihak Singapura. Melalui keputusan yang dikeluarkan oleh ICJ, Malaysia terpaksa “memadamkan” lakaran Pulau Batu Putih yang sebelum ini telah diisytiharkan olehnya di dalam peta 1979 sebagai wilayah kedaulatan.
Selama hampir 4 dekad, perbalahan yang berpunca daripada sehelai peta ini telah menyebabkan Malaysia menerima ancaman yang hampir menggugat keamanan dan keselamatan negara. Malah, akibat sehelai peta ini juga, ia telah mengganggu gugat hubungan yang terbina antara Malaysia dengan negara-negara lain. Mulai daripada saat ini yakinlah kita bahawa peta bukan sahaja berguna sebagai penunjuk arah, malah kepentingannya semenjak wujudnya konsep “negara-bangsa” (nation-state) dalam era moden ini menjangkaui daripada itu. Dengan petalah kita dapat memperolehi kedaulatan, dan dengan peta jua lah kita akan kehilangan kedaulatan!
Rujukan:
Wan Siti Adibah Bt Wan Dahalan, “Pulau Batu Puteh: Isu Pertikaian Hak Kedaulatan Antara Malaysia dan Singapura”, Jurnal Undang-Undang dan Masyarakat.
Ali Maksum, 2016, Dasar Luar Indonesia Terhadap Malaysia: Kajian Kes Ambalat dan Tenaga Kerja Indonesia (TNI), Universiti Sains Malaysia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih