Kebelakangan ini, rancak perbualan mengenai tulisan Jawi melalui akaun Twitter aku. Ahli The Patriots juga tidak kurang dalam melontarkan pendapat masing-masing. Sebagai seorang peminat sistem tulisan, setiap tulisan ada kecirian masing-masing yang membuatkan tulisan itu indah. Namun, pendapat aku tentang Bahasa Melayu, aku lebih gemar jika ia ditulis dalam sistem tulisan Kawi atau keturunannya.

Bahasawan membahagikan Bahasa Melayu kepada empat zaman yang ketara: Bahasa Melayu Purba, Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden; serta beberapa zaman peralihan seperti Bahasa Melayu Pra-Klasik dan Bahasa Melayu Pra-Moden. Setiap zaman ini dicirikan dengan sistem tulisan serta pengaruh yang diterima dalam bahasa itu.

Bahasa Melayu Purba boleh dikatakan sebagai “Bahasa Melayu Asli”. Tiada rekod tulisan yang dijumpai maka berkemungkinan tinggi, Bahasa Melayu Purba digunakan secara lisan sahaja. Pada abad ke-7, Bahasa Melayu mendapat pengaruh daripada Sanskrit lalu menerima sistem tulisan Pallawa (Kawi adalah keturunan Pallawa) dan dikenali sebagai Bahasa Melayu Kuno. Melalui rekod Bahasa Melayu Kuno, terdapat lebih kurang 157 perkataan yang dikatakan berasal daripada Bahasa Melayu Purba. Abad ke-14 datang menyapa, Bahasa Melayu menerima pengaruh Arab-Parsi lalu menulis dalam Jawi. Bahasa Melayu Moden ialah Bahasa Melayu yang kita gunakan kini dalam tulisan Rumi setelah menerima pengaruh Barat pada abad ke-20.

Maka kenapa Kawi? Kenapa aku lebih suka Bahasa Melayu ditulis dalam Kawi serta keturunannya (seperti Rencong dan Lontara)? Untuk menjawab persoalan itu, kita seharusnya faham tentang sistem tulisan.

Ulasan Tulisan Jawi

Tulisan Jawi ialah sejenis sistem Abjad. Hal ini bermakna, tulisan ini tidak mengambil berat tentang sebutan vokal (seperti a, i, u). Bahasa Arab sangat sesuai menggunakan sistem ini kerana kata-kata akar Bahasa Arab bergantung kepada konsonan. Perkataan “Ulama” boleh dikenal pasti kata akarnya berkaitan dengan konsonan L/M (Ilmu) sepertimana “Akhbar” mempunyai kata akar Kh/B/R (Khabar). Namun, hal ini tidak sesuai dalam Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sangat berbeza dengan Bahasa Arab. Perkataan-perkataan Bahasa Melayu tidak bersandarkan konsonan, tetapi suku kata. Jika dieja K/R/T, adakah ia disebut “karat”, “kereta”, atau “kerat”? Malah, telah berlaku kekaburan dalam perkataan-perkataan seperti “pegar/pagar makan padi” dan agama/ugama. Untuk mengurangkan kekaburan ini, orang-orang terdahulu sudah menetapkan peraturan ejaan Jawi sepertimana yang telah ditulis oleh saudara Harith dalam Evolusi Tulisan Jawi di Malaysia.

Namun, masalahnya tidak terhenti di situ. Masalah utama Abjad Jawi ialah sistem trivokalnya (ا،ي،و = a, i, u) sedangkan Bahasa Melayu ada enam vokal (a, i, u, o, e, ə). Kaedah yang masih digunakan kini adalah untuk memuatkan dua vokal Bahasa Melayu (kecuali ə) ke dalam satu vokal Abjad Jawi (kecuali ا). Vokal ə dibiarkan kosong kecuali di awal perkataan seperti emak. Maknanya, setiap tulisan vokal ada dua kemungkinan sebutan!

Maknanya, semua perkataan dalam tulisan Jawi akan dieja dengan hanya a, i, dan u. “Roda” akan menjadi “Ruda”. “Rentetan” akan dieja “Rintitan”. Hal ini akan menimbulkan kekeliruan terutamanya apabila perkataan itu tidak pernah disebut oleh orang. Adakah “Kiluma” (katalah perkataan ini wujud) disebut “Keloma”, “Kiloma”, “Keluma”, atau “Kiluma”? Malah, dalam sistem pancavokal (a, i, u, e, o) yang digunakan dalam tulisan Rumi kini pun sudah menimbulkan kekaburan (ambiguity) dalam perkataan-perkataan seperti semak, sepak, dan geledah kerana tidak membezakan sebutan “e” dan  “ə”.

[Nota: Sebutan ə adalah seperti tulisan e dalam “emak”, “seperti”, dan “kemas”]

Ulasan Tulisan Kawi

Berbeza dengan Abjad Jawi, tulisan Kawi ialah sejenis Abugida. Sistem-sistem Abugida seperti Kawi, Pallawa, dan Rencong mementingkan suku kata bukan huruf. Tiada tulisan untuk konsonan ataupun vokal, yang ada hanyalah suku-suku kata “a”, “ka”, “me”, “ti”, “so” dan lain-lain. Sepertimana yang aku sebutkan, Bahasa Melayu ialah bahasa yang mementingkan suku kata bukan konsonan!

Suku-suku kata yang wujud dalam Abugida Kawi lebih dari cukup untuk memerihalkan enam vokal yang ada dalam Bahasa Melayu. Aku sendiri tak tahu bagaimana untuk menyebut kesemuanya. Maka tidak timbul kekaburan.

Suku-suku kata yang wujud berdasarkan sebutan “ka” yang ada dalam Kawi. Kredit: Omniglot

Dalam Bahasa Melayu Moden. Harus diingatkan, Bahasa Melayu Moden menerima pengaruh Barat dan Arab-Parsi akibat daripada zaman-zaman Bahasa Melayu yang terdahulu. Daftar bunyi Bahasa Melayu Kuno berbeza dengan daftar bunyi dalam Bahasa Melayu. Bunyi-bunyi yang dipinjamkan daripada Arab-Parsi seperti /f/, /kh/, /sy/ dan /z/ tidak terdapat dalam Bahasa Melayu Kuno. Bunyi yang paling hampir pun ialah /p/, /k/, /s/ dan /j/.

Walau bagaimanapun, boleh sahaja beberapa tulisan digubah agar mampu menampung bunyi-bunyi yang tidak mampu ditulis sebelumnya. Malah, nenek moyang kita pernah lakukan perkara ini dalam Jawi untuk bunyi-bunyi seperti /p/ ڤ, /c/ چ, /ng/  ڠ dan /ny/ ڽ. Maka, kita boleh membuat perkara yang sama untuk Abugida Kawi seketurunan, ataupun boleh sahaja kita menambah beberapa vokal baru untuk Jawi. Dua-dua boleh menyelesaikan masalah kekaburan yang aku sebutkan tadi.

Tulisan Rumi Lebih Baik

Meskipun begitu, jika dimasukkan Alphabet Rumi dalam perbandingan ini, sudah semestinya sistem Alphabet lebih baik berbanding sistem Abugida dan Abjad. Setiap bunyi boleh diwakili oleh gabungan konsonan dan vokal yang wujud dalam sistem Alphabet. Malah, Alphabet Bunyi Antarabangsa (International Phonetic Alphabet, IPA) juga menggunakan sistem Alphabet! Semua jenis bunyi yang boleh disebut oleh manusia telahpun wujud dalam IPA.

Hal ini bukan kebetulan. Sistem Alphabet adalah yang paling muda di antara tiga sistem ini. Yang paling tua di antara tiga ini ialah sistem Abjad. Malah, tulisan yang tertulis dalam Al-Quran kelihatan seperti Abugida dengan kewujudan baris atas, baris bawah dan baris depan untuk memudahkan pembacaan orang yang tidak fasih berbahasa Arab.

Meskipun begitu, sebagai peminat sistem tulisan, aku hanya berbicara dari segi sistem tulisan secara sendirinya dan mengabaikan aspek sosiobudaya dan sosiobahasa. Sudah tentu, sejarah sosiobahasa yang termaktub selama 700 tahun sejak pengenalannya di abad ke-14 sukar dipadam dari kebudayaan Melayu kini. Maka, memperkenalkan beberapa vokal baru dalam Abjad Jawi lebih sesuai untuk jiwa Melayu yang tidak terpadam.

Rujukan:

1) Noriah, Mohamed (1999) Sejarah Sosiolinguistik Bahasa Melayu Lama. Penerbit Universiti Sains Malaysia. ISBN 983-861-184-0

2) Harith Al-Bakkaniy (2018) Evolusi Tulisan Jawi di Malaysia. The Patriots, dipetik dari https://thepatriots.asia/evolusi-tulisan-jawi-di-malaysia/ (2 Julai 2018)

3) NativLang (2015) Thoth’s Pill – an Animated History of Writing [YouTube] dipetik dari https://www.youtube.com/watch?v=PdO3IP0Pro8 (2 Julai 2018)

4) Ager, S. (1998-2018) Kawi Alphabet. Omniglot. Dipetik dari https://www.omniglot.com/writing/kawi.htm (2 Julai 2018)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Menyambung pengajian sarjana muda Fizik di UKM (2017-2021). Minat menulis sejak tahun 2011 dan mula berkecimpung dalam penulisan akademik sejak tahun 2014. Berazam untuk menjadi pensyarah dan untuk terus menulis ilmu dalam Bahasa Melayu. Gagasan aku mudah sahaja: jika ingin diajarkan ilmu kepada sesuatu bangsa maka ajarkanlah dalam lidah bangsa tersebut.

Comments are closed.