Kes pemain warisan Malaysia hari ini membuatkan kita tertanya-tanya sejauh mana telusnya FIFA yang kononnya bertanggungjawab menjaga semangat kesukanan dan keadilan dalam bola sepak.

Dulu, dunia digemparkan dengan skandal besar FIFA pada tahun 2015. Pagi 27 Mei, beberapa pegawai tertinggi FIFA ditangkap di sebuah hotel mewah di Zurich oleh pihak berkuasa Switzerland hasil kerjasama FBI dan IRS dari Amerika Syarikat.

Kesemua mereka dikaitkan dengan sogokan lebih USD150 juta berkait hak siaran, pemasaran dan pemilihan tuan rumah Piala Dunia.

Ramai yang menyangka tangkapan besar-besaran ini akan jadi titik perubahan. Sepp Blatter, presiden FIFA ketika itu, dipaksa meletak jawatan.

Amerika Syarikat menyiasat lebih 40 individu, kebanyakannya tokoh besar dalam dunia bola sepak dari Amerika Latin, Caribbean dan Eropah.

Malah, antara mereka yang terlibat termasuk Jeffrey Webb, Alfredo Hawit, Jack Warner dan ramai lagi. Ada yang mengaku bersalah, ada yang didakwa, ada yang lari.

Di media seluruh dunia, ini dilabel sebagai “FIFA’s World Cup of Fraud”. Tapi di sebalik semua itu, ada satu hakikat yang menyakitkan bahawa FIFA sendiri tidak pernah dihukum secara langsung.

Malah, dalam dokumen rasmi DOJ Amerika, FIFA diklasifikasikan sebagai “mangsa” yang ditipu oleh pegawai-pegawainya sendiri. Ironi, kan?

Apabila Gianni Infantino dilantik sebagai presiden baharu FIFA pada tahun 2016, dia berjanji akan lakukan reformasi besar-besaran. Katanya ini era baru. Maka dibentuklah jawatankuasa khas, peraturan pengawasan kewangan ditambah dan kuasa presiden kononnya dihadkan.

FIFA juga melobi agar dilihat sebagai pihak yang “sudah berubah”, malah berjaya mendapatkan semula ratusan juta dolar yang dirampas oleh kerajaan AS melalui dana khas pembangunan bola sepak.

Tapi bila kita tengok semula selepas 10 tahun, ramai pakar dan bekas pegawai FIFA sendiri kata semua itu cuma kosmetik. Jawatankuasa etika yang bebas telah digugurkan. Beberapa pengerusi audit dan integriti letak jawatan kerana tak tahan dengan tekanan politik dalaman.

Struktur kuasa dalam FIFA juga makin tertumpu kepada Infantino dan sekutu rapatnya. Segala keputusan besar kini boleh dibuat oleh kumpulan kecil dalam “Bureau of Council”, jauh dari pandangan umum.

Yang lebih membimbangkan, budaya patronage di mana sokongan politik dibeli melalui peruntukan wang dan kuasa masih kekal dalam sistem FIFA.

Negara-negara anggota menerima jutaan dolar dana pembangunan, tetapi banyak yang tidak jelas ke mana wang itu pergi.

Beberapa laporan bebas menyatakan bahawa peruntukan itu lebih kepada membeli kesetiaan, bukan membina bola sepak akar umbi.

Reaksi masyarakat antarabangsa juga mengecewakan. Ramai menyangka selepas skandal 2015, akan wujud gelombang pembaharuan di peringkat global.

Tetapi selain AS, sangat sedikit negara yang serius melakukan siasatan mereka sendiri. Banyak yang memilih untuk diam, mungkin sebab bola sepak itu sendiri dah terlalu berkait dengan kepentingan politik, ekonomi dan nasionalisme.

Kini FIFA dengan bangganya menyatakan bahawa mereka sudah berubah. Mereka berjabat tangan dengan FBI dan Peguam Negara AS. Mereka terima anugerah ketelusan dari organisasi sukan antarabangsa.

Mereka umumkan pelaburan berbilion ringgit dalam pembangunan bola sepak. Tapi bagi pemerhati yang pernah lihat betapa dalamnya korupsi dalam FIFA, semua ini cuma lakonan yang kemas.

Kesan reformasi yang sebenar hampir tidak dirasai. Beberapa individu besar mungkin sudah tersingkir, tetapi struktur yang menghasilkan mereka masih kukuh berdiri.

Dan budaya yang sama masih menjadi nadi kepada sistem itu iaitu kuasa, wang dan pengaruh.

Persoalannya sekarang, patutkah kita harapkan FIFA untuk ubah dirinya sendiri atau perlu ada kuasa luar yang lebih besar, lebih berani, untuk betul-betul rombak sistem ini dari akar umbi?

Atau mungkinkah realitinya, selagi bola sepak kekal sebagai industri berbilion dolar yang disayangi seluruh dunia, kita semua sebenarnya cuma menutup mata terhadap kebusukan yang berlaku di belakang tabir?

Sepuluh tahun sudah berlalu sejak FIFAgate meletup. Tapi jika ditanya hari ini, sejauh mana teruknya korupsi dalam FIFA? Jawapannya, ia mungkin lebih teruk daripada yang pernah kita bayangkan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.