Secara umumnya, seseorang itu menerima gelaran Tan Sri apabila dikurniakan darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (P.M.N.) atau Panglima Setia Mahkota (P.S.M.). Tetapi tahukah anda bahawa sebelum 12 April 1966, penerima PMN bergelar Dato’/Datin dan bukannya Tan Sri?

Segalanya bermula pada 30 April 1958, apabila Kerajaan Persekutuan telah mewartakan suatu bentuk kehormatan baharu iaitu Darjah-Darjah, Bintang-Bintang Dan Pingat Persekutuan. Secara umumnya, Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan akan dilangsungkan pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, kecuali pada tahun 1958, yang mana Istiadat itu diadakan pada 31 Ogos, iaitu bersempena dengan ulang tahun setahun kemerdekaan negara.

Pada waktu itu, dua darjah telah diwartakan iaitu Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) dan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara yang terbahagi kepada empat pangkat iaitu:

1. Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) – membawa gelaran Tun kepada penerima dan isteri penerima lelaki bergelar Toh Puan. Tiada gelaran untuk suami penerima wanita.
2. Panglima Mangku Negara (P.M.N.) – membawa gelaran Dato’ kepada penerima lelaki dan Datin kepada penerima wanita dan isteri penerima. Tiada gelaran untuk suami penerima wanita.
3. Johan Mangku Negara (J.M.N.)
4. Ahli Mangku Negara (A.M.N.)

Nota: Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) mula dikurniakan pada tahun 1962.

Untuk pengetahuan, gelaran Tan Sri pada masa itu masih belum wujud kerana gelaran tersebut hanya mula diwartakan 8 tahun kemudian iaitu pada 12 April 1966. Gelaran Dato’ dan Datin untuk penerima PMN telah diganti kepada Tan Sri, manakala isteri penerima bergelar Puan Sri. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pada ketika itu, berkata gelaran Tan Sri diperkenalkan bertujuan untuk membezakan Darjah Kebesaran Persekutuan dan Darjah Kebesaran Negeri.

Pada mulanya, gelaran yang dicadangkan oleh Tunku adalah “Tan” sahaja tanpa “Sri”. Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, perkataan Sri telah ditambah dan apabila keduanya digabungkan, maka wujudlah gelaran “Tan Sri”.

Dalam hal yang lain, terdapat juga perbezaan pendapat dalam kalangan Pakar Bahasa akan ejaan tersebut, sama ada “Seri” atau “Sri”. Menurut Za’aba, ejaan sebenarnya adalah “Seri” yang membawa maksud Cerdik, dan pendapatnya telah disokong oleh Kassim Ahmad, yang pada ketika itu merupakan Ketua Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Setelah itu, Tan Sri Abdul Jamil Abdul Rais, Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa ejaan yang telah diwartakan oleh Kerajaan adalah “Tan Sri” dan bukannya “Tan Seri”. Justeru, penerima PMN dan PSM akan bergelar “Tan Sri”, serta isteri mereka bergelar “Puan Sri” berkuat kuasa mulai 12 April 1966.

Dalam pada itu, Darjah Kebesaran Persekutuan yang baharu iaitu Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, telah diwartakan dan terbahagi kepada tiga pangkat iaitu:

1. Seri Setia Mahkota (S.S.M.) – membawa gelaran Tun. Timbalan Perdana Menteri Kedua, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman merupakan penerima pertama darjah kebesaran ini.
2. Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) – membawa gelaran Tan Sri.
3. Johan Setia Mahkota (J.S.M.)

Info tambahan:

Penerima Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang telah meninggal dunia sebelum gelaran Tan Sri diwartakan pada 12 April 1966, bergelar Dato’ dan bukannya Tan Sri. Antaranya Dato’ Suleiman Abdul Rahman (PMN, 1959; meninggal dunia pada 6 November 1963), bekas Menteri Dalam Negeri dan Kehakiman dan Dato’ Mohd Seth Mohd Said (PMN, 1958; meninggal dunia pada 30 Januari 1962), mantan Timbalan Menteri Besar Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor (1953–1956).

RUJUKAN:

1. “Ejaan Tan Sri: Tokoh2 bahasa beri pendapat”, Berita Harian, 16 April 1966, hlm. 10.
2. “Gelaran2 baru akan di-ganti mulai 12 April”, Berita Harian, 4 April 1966, hlm. 5.
3. “Gelaran Dato yang di-kurnia oleh Seri Paduka di-ganti dengan gelaran ‘Tan’”, Berita Harian, 31 Mac 1966, hlm. 5.
4. “Malaya na’ kurniakan bintang dan pingat sendiri”, Berita Harian, 1 Mei 1958, hlm. 1.
5. “Tan Sri it will be: Less awkward says the Tengku”, The Straits Times, 3 April 1966, hlm. 1.

Artikel dikirimkan oleh Ahmad Faiq Aiman untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Leave A Reply