Pernahkah anda terfikir, bilakah perkhidmatan waiter atau pramusaji ini bermula? Dan bagaimanakah penerimaan masyarakat terhadap golongan pramusaji ini? Berdasarkan sejarah, perkhidmatan pelayan meja atau kini dikenali sebagai pramusaji ini telah bermula sejak zaman kerajaan purba lagi.

Pada zaman Greek purba, orang suruhan (servants) ditugaskan untuk membawa pelbagai hidangan daripada dapur, khusus untuk para tetamu yang menghadiri majlis bankuet Greek. Orang suruhan juga bertugas untuk mengalihkan setiap meja yang digunakan, apabila acara makan-makan tersebut selesai. Malah, mereka turut mempunyai peranan dalam membantu para tetamu bagi membersihkan tangan mereka, dengan setiap orang suruhan akan mengelilingi ruang makan tersebut dengan tuala dan satu bekas berisi air suam yang mengandungi minyak berbau wangi.

Orang suruhan (servants) pada zaman Greek purba

Pada zaman pertengahan, terdapat satu tugas utama yang harus dijalankan oleh para pelayan ini di mana mereka dipanggil sebagai ‘officer-of-the-mouth’ pada waktu itu. Tugasan ini pada asalnya diberikan kepada tukang ukir yang bertanggungjawab untuk mengukir dan memotong makanan yang ada di atas meja para tetamu. Namun, setelah beberapa lama, peranan ini telah diambil alih oleh officer-of-the-mouth tersebut, di mana jawatan ini dipegang oleh orang suruhan yang berstatus paling tinggi. Tugas ini memerlukan orang suruhan tersebut untuk melakukan tugasannya dengan penuh adab dan wibawa, selain menjaga kebersihan makanan yang disediakan.

Pada abad ke-19, kebanyakan restoran dan ruang makan di hotel-hotel terdiri daripada para pramusaji lelaki. Para pelayan dan pramusaji wanita kebiasaannya hanya bekerja di tempat-tempat makan dan minum yang berstatus rendah. Pramusaji dan pelayan wanita ini dianggap sebagai wanita yang tidak bermoral, dengan pekerjaan mereka melayan  lelaki yang datang untuk makan dan minum di tempat berstatus rendah. Malah, ramai antara pelayan wanita ini menjadi mangsa dera dan serangan daripada para pelanggan mereka.

Jika dilihat kepada sejarah bagaimana pramusaji dan pelayan wanita ini bermula, terdapat satu kisah mitos yang menarik mengenai pramusaji wanita klasik yang pertama. Individu tersebut ialah Hebe, iaitu anak perempuan kepada Dewa Zeus dan Dewi Hera, yang bertugas untuk menghidangkan wain untuk para dewa dewi di Puncak Olympus.

Apa yang sering menjadi kontroversi mengenai para pramusaji wanita pada sekitar abad ke 18 dan 19 ialah mereka sering dijadikan subjek untuk perkara-perkara yang tidak baik dan sering menjadi sasaran masyarakat yang menuduh mereka dengan pelbagai gelaran yang jelek. Keadaan ini dikaitkan dengan corak dan gaya pemakaian para pramusaji wanita pada waktu yang dieksploitasi bagi menarik perhatian para pelanggan terutamanya lelaki dan keadaan ini dipanggil sebagai ‘sensual excesses’.  Pada awal abad 1900, para wanita mula mengisi jawatan sebagai pramusaji di restoran-restoran besar, akibat daripada kekurangan para pramusaji lelaki yang mengadakan mogok secara besar-besaran pada waktu itu.

Sekitar tahun 1920-an hingga 1930-an, para wanita yang berpendidikan tinggi dan daripada golongan terhormat juga turut menyertai industri restoran sebagai seorang pramusaji. Keadaan ini dilihat sebagai suatu perkembangan baru kerana para pramusaji wanita ini bukan sahaja mampu melayan para pelanggan lelaki dengan baik, malah ramai pelanggan wanita turut berasa selesa dengan kehadiran pramusaji wanita tersebut untuk melayan mereka sepanjang waktu makan di restoran.

 

 

Etika pemakaian untuk para pramusaji mula diperkenalkan dan gaya pemakaian yang lebih sopan, memberikan rasa hormat dan mampu menarik hati para pelanggan mula diperkenalkan. Fesyen untuk para pramusaji pada sekitar tahun 1930-an adalah lebih berwarna-warni berbanding tahun-tahun sebelumnya, dan fabrik yang banyak digunakan pada waktu itu adalah fabrik rayon, yang lebih murah dan lebih mudah untuk diwarnakan berbanding fabrik jenis lain. Bagi para pemilik restoran dan tempat makan pada waktu itu, pemilihan warna yang berbeza untuk pramusaji ini memberi kelebihan untuk menunjukkan identiti restoran mereka. Uniform pramusaji yang tipikal pada waktu dijual secara pukal, dan para pemilik restoran hanya perlu menyatakan model dan warna yang mereka mahukan daripada para pengeluar.

Uniform pramusaji ini direka dengan gaya yang praktikal, di mana uniform ini mempunyai poket khas yang memudahkan para pramusaji untuk meletakkan pensil yang digunakan untuk mengambil pesanan para pelanggan. Skirt untuk pramusaji wanita pula dibuat dengan gaya singkat yang tidak keterlaluan, di mana ia berfungsi untuk memudahkan pergerakan sewaktu menjalankan tugas di dalam restoran.

Pramusaji wanita di NYC’s Exchange Buffet pada tahun 1920.
Sumber: https://www.eater.com/2015/1/30/7934459/the-history-of-diner-waitress-uniforms

Pada sekitar tahun 1980-an, fesyen dan gaya pemakaian para pramusaji di restoran dan tempat makan ini mula mengalami gelombang perubahan yang lebih besar. Pada waktu itu, uniform yang selaras untuk semua pramusaji lelaki dan wanita mula diperkenalkan dan dikenali sebagai unisex uniform. Uniform ini secara asasnya terdiri daripada seluar panjang berwarna gelap, dengan kemeja yang dipakai bersama vest atau apron jenis long-bistro. Perubahan merupakan suatu titik tolak dalam kerjaya pramusaji di mana ia menggambarkan hak dan kesamarataan di antara pramusaji lelaki dan pramusaji wanita. Keadaan ini juga mengubah persepsi terhadap pramusaji wanita di mana ia menjadikan mereka lebih dihormati dan tidak hanya menjadi subjek untuk melayan para pelanggan lelaki.

Kesimpulan

Kerjaya sebagai seorang pramusaji menuntut seseorang untuk melengkapkan diri mereka dengan kesabaran, personaliti yang menarik serta mampu untuk berkomunikasi dengan baik. Selain itu, aspek kebersihan diri turut memainkan peranan penting dalam memastikan mereka menjadi seorang pramusaji yang dihormati. Tugasan dalam melayan para pelanggan memerlukan kesabaran yang tinggi, namun, pembawaan tingkahlaku dan sikap seseorang pramusaji haruslah positif serta sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi apa jua kemungkinan yang berlaku sewaktu proses melayan para pelanggan di restoran.

Rujukan

Owings, A. (2002). Hey, Waitress! The USA from the Other Side of the Tray. California, USA: University of California Press.

Pomeroy, S. B. (2004). A Brief History of Ancient Greece: Politics, Society, and Culture. New York, USA: Oxford University Press.

Wright, J. (2015). How Diner Waitress Uniforms Have Evolved From Scandalous Bloomers to Gingham Dresses. Retrieved August 14, 2018, from https://www.eater.com/2015/1/30/7934459/the-history-of-diner-waitress-uniforms

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.