Sejarah suku asli Cherokee cukup menyedihkan. Namun di penghujungnya, mereka berupaya meneruskan hidup walau setelah kalah p3rang, dis3rang wabak, dan diusir dari kampung halaman. Dipercayai suku asli Chrerokee di Amerika Utara jauh lebih ramai berbanding suku-suku asli yang lain.

Suku asli Cherokee pada asalnya menghuni kawasan yang berkeluasan kira-kira 140 000 batu persegi (363 000 km persegi) meliputi Georgia, Alabama, Tennessee, Carolina Utara dan Selatan, Virginia, Virginia Barat dan Kentucky.

Sejak peristiwa Jejak Bertangisan (Trail of Tears),  di mana Lima Suku Bertamadun diusir ke Oklahoma, wilayah yang didiami oleh suku asli Cherokee hanya di Carolina Utara dan Oklahoma sahaja. Dalam erti kata lain, kebanyakan mereka hidup di luar tanah air sendiri.

Salinan peta Catawba berkenaan suku-suku di Charleston (kiri) dan Virginia (kanan) selepas kurun wabak dan perhambaan, oleh Inggeris sekitar tahun 1724

POPULASI MASYARAKAT CHEROKEE

Ramai masyarakat asli Amerika mendakwa bahawa mereka berketurunan Cherokee, berbanding suku-suku asli lain. Di Wilayah Oklahoma sahaja, terdapat seramai 320 000 orang suku asli Cherokee.

Secara keseluruhan, terdapat anggaran yang menyatakan bahawa populasi mereka mencecah 350 000 orang. Cherokee merupakan tiga suku yang diperakui oleh pentadbiran persekutuan, di mana dua daripadanya tinggal di Oklahoma dan satu lagi di Carolina Utara.

BUDAYA CHEROKEE YANG MAJU

Cherokee dikenali sebagai salah satu masyarakat asli yang paling maju menjelang zaman ketibaan orang Eropah di Dunia Baru. Laman sesawang Cherokee.org menulis:

“Semenjak berlakunya interaksi pertama antara suku asli Cherokee dan peneroka Eropah pada kurn ke-16, suku asli Cherokee secara konsisten dikenali sebagai salah satu masyarakat asli Amerika Utara yang paling maju dari segi sosial dan budaya.

Kebudayaan Cherokee mengalami kepesatan ratusan tahun sebelum Eropah tiba di tenggara Amerika Syarikat moden. Pembangunan sosial dan budaya Cherokee terus berlangsung sebelum menerima pengaruh kebudayaan dari para peneroka Eropah. Cherokee membentuk sebuah pentadbiran dan kelompok masyarakat yang setanding dengan kebudayaan yang paling bertamadun di zaman itu.”

Ilustrasi pembesar perang Cherokee. Suku asli Cherokee mempunyai pembesar perang dan sivil

Cherokee mengamalkan gaya hidup berburu, mengumpul hasil hutan dan juga bertani. Kehidupan mereka terjejas teruk akibat kedatangan Sepanyol dan British, masing-masing pada kurun ke-16 dan kurun ke-17 Masihi.

SEJARAH CHEROKEE SEJAK 1000 TAHUN LALU

Sejarah Cherokee yang bermula dari tahun 1000M telah pun dijejaki oleh ahli-ahli arkeologi di wilayah barat Carolina Utara. Kebudayaan ini dikenali sebagai budaya prasejarah Cherokee fasa Pisgah. Laman sesawang rasmi Amonsoquath Band of the Cherokee people mempunyai satu seksyen yang memerihalkan tentang fasa prasejarah itu.

Laman ini menyatakan bahawa kampung-kampung Pisgah berkeluasan kira-kira 1 hingga 5 ekar (0.4 hingga 2 hektar), dengan rumah bersaiz petak atau segi empat tepat dibina daripada kayu yang disusun-kemas di sekitar plazar terbuka. Kampung ini dilindungi oleh benteng kayu. Ahli-ahli arkeologi berjaya menemukan lubang-lubang pos yang dipercayai dari benteng kayu runcing. Hal ini mengisyaratkan bahawa saiz kampung itu membesar seiring peredaran masa.

KEHIDUPAN BERTANI, BERBURU DAN MENGUMPULKAN HASIL HUTAN SUKU ASLI CHEROKEE

Pemakanan masyarakat asli Cherokee meliputi jagung, kacang dan labu yang ditanam di lembah-lembah sungai, di mana tanahnya subur untuk bercucuk tanam. Jagung, kacang dan labu dikenali sebagai ‘Tiga Beradik’ oleh sebilangan masyarakat asli Amerika. Jalar dari kacang lazim tumbuh di tangkai jagung, dan daun labu yang rendah pula melitupi tanah di sekitar jagung sekaligus menghindari semak dari tumbuh di situ.

Suku asli Cherokee bersiap-sedia untuk Tarian Jagung Hijau

Ahli-ahli arkeologi turut menjalankan penyelidikan ke atas sisa tumbuhan di situ dan berjaya menemukan bahawa masyarakat asli Cherokee dari fasa Pisgah juga memakan kacang tanah, bijirin, sayuran hijau dan buah-buahan.

Selain itu, ahli-ahli arkeologi juga menyelidiki tulang-tulang haiwan daripada timbunan sampah dan mendapati bahawa mereka mengamalkan corak kelangsungan hidup yang umum. Walaupun tanaman belaan dianggap penting, makanan daripada tumbuhan liar dan haiwan buruan juga dijadikan diet mereka dalam skala yang tidak begitu ketara.

TINGGALAN YANG MENGISYARATKAN TAPAK RITUAL

Di sebuah tapak yang dikenali sebagai ‘Taman Anak Sungai’, saintis menemui bukti tambahan berkenaan ciri sosial, politik dan budaya Pisgah. Terdapat dua buah kampung saling berhampiran di sana dan kedua-duanya mempunyai gundukan tanah yang berkemungkinan merupakan platform di mana bangunan upacara atau pentadbiran didirikan.

Daripada tiga buah gundukan, dua daripadanya dibina oleh suatu masyarakat yang usianya jauh lebih purba berbanding Pisgah. Ahli-ahli arkeologi meyakini bahawa pembinaan gundukan ketiga dimulakan pada fasa Pisgah, namun pada asalnya ia sedikit rendah. Gundukan ini merupakan sebuah struktur tanah yang dipanggil sebagai rumah tanah. Laman sesawang Amonsoquath menyatakan:

“Pada masa-masa terkemudian, rumah tanah kedua dibina bersebelahan dengan rumah tanah pertama. Kemudian, keduanya dilitupi tanah dan diatapi tanah liat.Tidak semua tapak Pisgah mengandungi gundukan. Justeru, kewujudan gundukan tanah di Taman Anak Sungai mengisyaratkan bahawa ia merupakan sebuah bandar utama di mana aktiviti kebudayaan, sosial dan politik diadakan.”

Pemandangan sebuah Gundukan Creek di Montgomery County, Carolina Utara

ALATAN DAN PERSENJATAAN SUKU ASLI CHEROKEE

Alatan dan artifak lain dari Pisgak diperbuat daripada kayu, cengkerang, tulang, tanah liat dan batu. Hasil-hasil seramik mereka meliputi jar dan mangkuk, paip, alatan perkebunan kecl, dan manik. Mereka turut menghasilkan mata panah berbentuk segi tiga, gerudi, dan pengikis batu kuarza dan cherza. Antara lain yang dihasilkan adalah kapak dan pahat daripada batu granit dan batu gneis.

Suku asli Cherokee fasa Pisgah turut menghasilkan paip, gorget (seperti kalung), tukul batu, dan alatan batu lain. Mereka melombong dan memotong batu mica untuk dibuat perhiasan. Mereka juga menghasilkan manik dan gorget daripada tulang haiwan dan cengkerang. Cengkerang-cengkerang ini lazimnya disusun kemas sehingga membentuk gorget bulat, dan kebanyakannya digores atau diukir bentuk ular.

Mereka turut mengeluarkan anting-anting, manik dan mangkuk upacara yang diperbuat daripada cengkerang. Selain itu, cenkerang juga digunakan dalam persemadian. Pada zaman prasejarah, pakaian masyarakat asli Cherokee diperbuat daripada kulit haiwan.

Gorget bersalib oleh Dan Townsend

INTERAKSI DENGAN ORANG-ORANG EROPAH – SEBUAH ERA BARU

Pada awal kurun ke-16, Cherokee berinteraksi dengan para peneroka Sepanyol sekaligus memulakan era baru. Amonsoquath Band menulis:

“Menyusuli fasa Pisgah adalah fasa Qualla (1500-1850 Masihi). Fasa Qualla dikenal pasti sebagai suatu tempoh sejarah Cherokee yang memiliki kesamaan dari segi ciri artifak, seni bina rumah, struktur kampung serta corak penyemadian dengan fasa Pisgah. Justeru, Pisgah dianggap sebagai leluhur langsung suku asli Cherokee. Namun, terdapat juga beberapa masyarakat lain (dari timur Tennesse dan utara Georgia) yang menyumbangkan pengaruh terhadap sejarah dan kebudayaan Cherokee.”

Cherokee kemudiannya mula menyerap seni bina dan ciri pakaian Eropah. Bahkan, mereka turut memiliki hamba sahaya pada suatu tempoh masa. Mereka mengamalkan kahwin kacuk dengan para pedagang British dan menggunakan senjata api. Suku asli Cherokee meraih banyak manfaat dari segi perdagangan kulit rusa kerana menerima permintaan yang tinggi daripada British, yang mahu menggunakannya untuk menghasilkan pakaian dan kasut.

Senarai barang dagangan yang dihasilkan oleh suku Cherokee disiarkan di laman sesawang Cherokee Nation.

Selepas P3rang Inggeris-Cherokee, hubungan renggang berlanjutan. Pada tahun 1765, Henry Timberlake membawa tiga orang Cherokee ke London untuk membaiki dan memperkukuh hubungan

Untuk menyebutkan beberapa contoh, masyarakat asli Cherokee boleh membeli selaras senapang dengan bayaran 30 kulit rusa, dan 50 butir peluru dengan pertukaran satu kulit rusa. Sebatang kapak kecil atau cangkul boleh didapatkan dengan harga dua kulit rusa, dan cangkul lebar pula bernilai empat kulit rusa. Selaras pistol dibeli dengan nilai 20 kulit rusa, manakala sebilah pedang cutlass berharga lapan kulit rusa.

PEMBABITAN DALAM KONFLIK SECARA BERTERUSAN

Menjelang awal 1700an, Kerajaan British di Carolina Selatan mengelaskan lima kumpulan suku asli Cherokee. Satu kumpulan di Tennessee timur, satu kumpulan di Georgia utara, dan tiga kumpulan lagi di Carolina Utara. Amonqoquath Band menulis:

“Kurun ke-18 Masihi menyaksikan suku asli Cherokee secara berterusan terbabit dalam konflik dengan masyarakat asli di sekeliling dan barisan hadapan kerajaan, pertama dengan Kolonial British dan seterusnya Perancis, dan akhirnya dengan Amerika Syarikat. Era ini dianggap sebagai tempoh peralihan persekutuan yang dibentuk secara bersilih ganti demi melindungi tanah dan hubungan perdagangan mereka.”

Suku asli Cherokee sering menjalinkan hubungan dengan Perancis, yang tampak kurang berminat terhadap tanah berbanding perdagangan mereka. Namun, Cherokee sering berpakat dengan Inggeris dalam menentang seteru-seteru tradisi mereka seperti Tuscarora dan Creek pada awal 1700an.

Col-lee, Pembesar Kumpulan, 1834

Menjelang tahun 1730, wakil British menemui masyarakat asli Cherokee untuk mengajak mereka membentuk pakatan. Sir Alexander Curning dan beberapa orang pembesar Cherokee saling bertemu di bandar Nequassee. Beliau berjaya memujuk mereka supaya tunduk kepada pemerintahan Inggeris.

Selepas 20 tahun berlalu, Cherokee mengadakan hubungan perdagangan yang giat dengan British. Namun, pihak British sering menceroboh kawasan Cherokee dan seterusnya membawa kepada pertempuran. Hal ini memuncak dengan berlakunya P3rang Perancis-Asli Amerika, yang dianggap sebagai malapetaka buat suku asli Cherokee. Tambah malang, pada tahun 1769, British menghapuskan kesemua 15 buah petempatan yang dikenali sebagai Bandar Pertengahan Cherokee.

Gambaran s3rangan Cherokee ke atas Kubu Loudon di Monroe County, Tennessee, Amerika Syarikat, Ogos 1760

Selepas p3rang tamat, semakin ramai penjajah yang mencerobih kawasan Cherokee. British berjaya menghasut Cherokee supaya menyerang Amerika. Lantas, Amerika menghantar pasukan tentera bagi memerangi Cherokee sebagai tindakan susulan. Amonsoquath menyatakan:

“Pada tahun 1776, Jeneral Griffith Rutherford mengetuai sebuah pasukan militia Carolina Utara dalam s3rangan ke atas Bandar Pertengahan, Bandar Lembah dan Bandar Luar, manakala pasukan daripada Carolina Selatan pula menggempur Bandar-Bandar Rendah. Ikut bertempur, pasukan Virginia menyasarkan Bandar-Bandar Atas Bukit.

S3rangan secara serentak ini berlangsung sepanjang pep3rangan dan menyaksikan Cherokee kehilangan semakin banyak tanah, sekaligus melemahkan sempadan politik dan sosial mereka. Dalam tempoh kurang 60 tahun, kebanyakan suku asli Cherokee dipaksa berpindah dari tanah air mereka dalam sebuah peristiwa migrasi besar-besaran yang dikenali sebagai Jejak Bertangisan (Trail of Tears).”

Muzium Cherokee – mural jejak bertangisan

KEPERCAYAAN SUKU ASLI CHEROKEE

Suku asli Cherokee meyakini Semangat Agung, atau Pencipta, yang mentadbir seluruh ciptaan. Memiliki ciri yang dianggap sama seperti tuhan yang disembah oleh penganut Kristian, Yahudi dan Muslim, Semangat Agung ini didakwa mengetahui segala sesuatu dan berkuasa ke atas seluruh alam.

Suku asli Cherokee pernah hidup di kawasan bandar, namun wabak yang dibawa oleh peneroka Sepanyol, seterusnya kemelut pep3rangan dan pencerobohan yang dilakukan oleh para penjajah, mengakibatkan populasi mereka berkurangan.

Kemudian, ramai dari kalangan mereka dipaksa berpindah ke barat, ke Wilayah Asli India-Amerika yang dipanggil sebagai Oklahoma, Amerika Syarikat. Suku asli Cherokee kini mendiami beberapa buah daerah Oklahoma. Pada hari ini, mereka mempunyai pentadbiran, perundangan sivil dan jenayah, sistem percukaian, polis dan mahkamah yang tersendiri.

Persatuan Keetowah Cherokee Asli (United Keetoowah Band of Cherokee Indians) mempunyai wilayah yang terletak bersebelahan dengan Wilayah Cherokee di Tahlequah Oklahoma. Kumpulan Cherokee Timur (The Eastern Band of Cherokee) terletak di Carolina Utara. Dianggarkan terdapat seramai 12 000 orang penutur bahasa Iroquois Selatan, satu-satunya bahawa yang berbeza secara signifikan dengan Iroquois Utara.

Kasino moden di Carolina Utara ini adalah sumber pendapatan dan kemegahan Kumpukan Cherokee Timur

TERJEMAHAN:

Mark Miller. (15 September 2018). Strength, Unity, and Pride: Cherokee Indians Triumphed Over Adversity. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-important-events/cherokee-indians-0010704


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.