Di sebalik pelbagai kontroversi dan cabaran yang membelenggu Sukan Olimpik Tokyo 2020, akhirnya pada 23 Julai, upacara perasmian temasya diadakan. Dengan penganjuran upacara pembukaan temasya sukan berprestij itu, ia turut menandakan permulaan kempen merebut pingat oleh atlet-atlet sukan yang bertanding. Tetapi jika dibandingkan dengan Sukan Olimpik zaman antikuiti, ia ibarat langit dengan bumi.
Tidak seperti Sukan Olimpik hari ini, Sukan Olimpik era Yunani merupakan acara berteraskan keagamaan. Bagi para peserta yang bertanding, penyertaan mereka merupakan manifestasi pengabdian mereka terhadap dewa-dewi Yunani. Ini termasuklah mengadakan upacara ko.rb.an sebanyak 100 ekor lembu di atas altar yang didedikasikan kepada Zeus selepas tamat sesebuah acara sukan.
Temasya Sukan Olimpik era antikuiti diadakan buat kali pertama pada 776 SM pada hari pertama bulan purnama selepas solstis musim panas. Disebabkan statusnya sebagai acara keagamaan, negara-negara kota Yunani sanggup menghentikan semua kempen pepe.ra.ngan sesama mereka selama tiga bulan bagi membolehkan atlet dan penonton dari segenap pelosok negara-negara berkenaan untuk menyertai temasya itu.
Mengikut statistik, lebih 40,000 orang atlet dan penonton menghadiri temasya yang diadakan di Olympia. Kemudian, ia dianjurkan di beberapa lokasi yang dianggap suci mengikut mitologi Yunani seperti Delphi, Isthmia dan Nemea. Di sebalik lokasi-lokasi ini, ia masih tidak dapat mengatasi prestij penganjuran Sukan Olimpik di Olimpia.
Seperti upacara perasmian Sukan Olimpik yang berlangsung pada malam 23 Julai, upacara pembukaan dimulakan dengan perarakan atlet dan Hellanodikai (hakim). Perarakan bermula di bandar Elis dan berakhir di gelanggang pertandingan di Olympia. Setelah tiba, kesemua atlet dan pegawai pertandingan berikrar akan mengikut semua undang-undang pertandingan dan bertanding secara terhormat. Dan pada akhir setiap pertandingan, ko.rb.an dibuat di atas altar Zeus.
Bagi menarik kehadiran penonton, utusan atau spondophoron akan diutus ke seluruh kawasan yang mempunyai pengaruh Yunani termasuk kawasan pulau-pulau untuk memberitahu tentang penganjuran temasya. Apabila penonton-penonton ini tiba, mereka akan berkhemah di tapak khemah sementara dan menikmati pelbagai monumen dan patung indah sekitar Olimpia.
Setiap kali acara diadakan, sekurang-kurangnya 45,000 penonton terdiri daripada lelaki, hamba dan warga asing bersorak menyokong atlet bertanding. Pada akhir pertandingan, mereka akan membaling bunga dan daun laurel kepada pemenang acara sukan.
Tidak seperti hari ini, wanita tidak boleh menyertai atau menonton Sukan Olimpik versi antikuiti. Pengecualian hanya diberi kepada pendeta dari Demeter Chamyne. Dan terdapat satu kes di mana larangan ini dilanggar oleh seorang wanita bernama Kallipateira. Dalam satu temasya Sukan Olimpik, beliau bertanggungjawab melatih puteranya, Peisirodos sebagai seorang atlet yang hebat.
Apabila anaknya berjaya meraih kemenangan, kerana terlalu seronok, dia secara tidak sengaja melonggarkan pakaian ibunya dan mendedahkan jantina sebenarnya kepada khalayak. Satu-satunya sebab Kallipateira terlepas dikenakan hukuman ma.ti kerana beliau merupakan ahli keluarga pemenang acara Sukan Olimpik. Tetapi sejak itu, semua atlet diarahkan bertanding dalam keadaan tanpa seurat benang bagi mengelak perkara sama berulang.
Bagi para atlet, mereka dilatih di bawah pemerhatian seorang gymanstes/pelatih profesional atau paidotribes/jurulatih fizikal. Mereka bertanggungjawab memantau diet atlet, bentuk dan rejim latihan yang perlu dilalui. Peranan mereka dilihat tidak banyak berubah dengan peranan jurulatih moden hari ini.
Dan bagi setiap pemenang, mereka memberi penghormatan kepada patung-patung jurulatih di Olympia sebagai tanda penghargaan. Bagi membantu proses pemulihan, setiap atlet turut mempunyai aleiptes/ahli fisio era antikuiti yang bertanggungjawab memantau pemulihan mereka. Ini termasuk mengurut atlet sebelum dan selepas latihan selesai diadakan.
Penyertaan Sukan Olimpik terbuka kepada semua lelaki Yunani yang merdeka. Selepas seluruh wilayah Yunani jatuh ke tangan pihak Rom, larangan warga asing menyertai Sukan Olimpik dilonggarkan sekaligus membenarkan penyertaan mereka dalam temasya berkenaan. Tidak seperti hari ini di mana rekod dunia atau kejohanan diiktiraf oleh badan-badan sukan bertauliah, yang penting pada ketika itu ialah kemenangan untuk atlet dan wilayah yang diwakilinya.
Untuk 12 temasya terawal Sukan Olimpik, satu-satunya acara yang dipertandingkan ialah lumba lari stadion. Jarak perlumbaan ialah sepanjang trek stadium yang berukuran 600 kaki (ukuran antikuiti) atau 192 meter hari ini. Bagi memilih peserta yang layak ke peringkat akhir, perlumbaan-perlumbaan saringan diadakan dengan pemenang terpilih ke peringkat akhir.
Bagi menjamin kesaksamaan dalam setiap perlumbaan, atlet-atlet berlumba mengikut lot dan pemilihan ini diteruskan mengikut acara-acara lain. Pemenang perlumbaan stadion kemudian memberi namanya kepada temasya Olimpik dan namanya akan dikenang sampai bila-bila.
Untuk edisi-edisi kejohanan seterusnya, bilangan acara ditambah dengan tempoh pertandingan dilanjutkan. Antara acara-acara yang dipertandingkan ialah tinju (ditambah pada 688 SM), gusti dan pentatlon (kedua-duanya ditambah pada 708 SM) dan synoris/lumba kereta dua kuda (ditambah pada 496 SM sebelum digugurkan pada 444 SM).
Syarat pertandingan sememangnya ketat. Bagi mana-mana individu yang pernah melakukan je.na.yah seperti pembu.nu.han dan merosakkan kesucian kuil, hamba, warga asing bukan Yunani dan individu yang melanggar perjanjian damai Olimpik dianggap terkeluar daripada pertandingan. Larangan sama turut dikenakan kepada negara kota seperti Sparta pada 420 SM.
Hellanodikai kebiasaannya merupakan jawatan yang diwarisi dan bersifat seumur hidup. Tetapi selepas beberapa ratus tahun, hakim-hakim dipilih oleh warga Elis menerusi undian lot. Untuk 49 temasya awal, hanya seorang hakim saja yang terlibat tetapi bilangan hellanodikai kemudiannya ditambah kepada 12 orang susulan pertambahan acara pertandingan. Mereka turut dibantu oleh pembantu-pembantu seperti alytai atau pegawai polis untuk memantau acara pertandingan.
Hellanodikai berkuasa menggugurkan penyertaan atlet atau mengenakan denda terhadap mereka sekiranya melanggar peraturan. Walaupun keputusan mereka adalah muktamad, mereka diletakkan di bawah pemantauan majlis pemimpin senior Elis. Sekiranya atlet memfailkan rayuan dan rayuan mereka diterima, maka hakim bakal dikenakan denda oleh majlis berkenaan.
Kebiasaannya, denda yang dikenakan terhadap atlet berbeza mengikut kesalahan dari pengguguran penyertaan dan denda berbentuk kewangan hinggalah hukuman se.b.at. Denda akan dibayar kepada penganjur dan atlet yang mengalami ketidakadilan akibat tindakan atlet yang bersalah.
Sekiranya denda itu gagal dijelaskan oleh atlet berkenaan, maka negara kota wajib membayar bagi pihaknya. Jika tidak, atlet yang dihantar tidak dapat mewakili mereka untuk temasya seterusnya. Wang denda ini diperuntukkan untuk membina patung-patung Zeus atau zane.
Apabila mereka memenangi acara termasuk acara stadion yang dianggap berprestij, atlet dianugerahkan hadiah mahkota yang diperbuat daripada daun zaitun liar (kotinos) dan dahan pokok zaitun suci yang dipo.to.ng (Kallistepahnos). Pokok zaitun dianggap istimewa kerana mengikut mitologi Yunani, orang yang menanam pokok itu di situ ialah putera Zeus bertaraf separuh dewa, Hercules.
Berbeza pula bagi atlet yang terlibat dalam acara lumba kereta kuda. Kebiasaannya, pemilik kuda yang mendapat kotinos selepas memenangi acara. Bagi para penunggang, hadiah mereka ialah ikatan reben berwarna merah pada bahagian atas lengan atau kepala mereka.
Dan seperti para pemenang moden hari ini baik dari pemenang Liga Perdana Inggeris hinggalah pemenang kejohanan antarabangsa, mereka akan diarak bila kembali ke wilayah asal mereka. Para pemenang bukan saja akan diraikan dengan jamuan-jamuan. Malah, mereka juga akan mendapat pelbagai kelebihan lain seperti jemputan menyertai golongan elit dan diberi pengecualian cukai.
Bagi negara-negara kota pula, kejayaan atlet mereka akan menaikkan prestij di mata negara-negara kota lain. Malah, mereka turut menjanjikan insentif kewangan kepada pemenang seperti Solon yang dianugerahkan hadiah kewangan berjumlah 500 drachma. 500 drachma dianggap satu nilai besar kerana satu ekor kibas boleh dibeli dengan satu drachma.
Tetapi ganjaran sebenar sudah tentu nama mereka dikenali untuk sepanjang hayat termasuk selepas ma.ti. Pencapaian mereka diabadikan menerusi senarai pemenang acara, patung peribadi atau ucapan dedikasi kemenangan yang dibuat bagi pihaknya.
Disebabkan prestij yang datang bersama dengan taraf sebagai pemenang, ada pemerintah yang sanggup turun sebagai atlet. Contoh paling mudah, Maharaja Nero yang turun sebagai atlet pada 65 Masihi. Disebabkan statusnya sebagai pemerintah, baginda berjaya memenangi semua acara yang dipertandingkan.
Selepas Yunani jatuh ke tangan Rom, itu bukan bermakna Sukan Olimpik sudah berakhir. Sebaliknya, ia tetap diteruskan di mana ia dipindahkan ke Rome dan mendapat sokongan maharaja yang mendapat pengaruh Yunani seperti Hadrian. Ia hanya tamat semasa era Theodosius dengan kali terakhir ia dianjurkan pada 393 Masihi. Sejak itu, Sukan Olimpik tidak lagi dianjurkan sebelum ia kembali menjadi sebutan pada 1896 di tempat semuanya bermula: Athens, Greece.
RUJUKAN:
Cartwright, Mark. (2018). Ancient Olympic Games. World History Encyclopedia. Diambil dari https://www.worldhistory.org/Olympic_Games/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih