Hangul atau nama asalnya, Hunmin Jeong-eum adalah tulisan unik yang digunakan oleh masyarakat Korea sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Ia adalah abjad Korea yang tersendiri, tidak seperti sistem tulisan lain yang wujud di seluruh dunia. Sempena Hari Hangul yang disambut pada 9 Oktober pada setiap tahun, artikel ini akan membawa kita semua menelusuri sejarah sistem tulisan Korea sehinggalah terciptanya Hangul.
Sejarah sistem tulisan Korea
Berabad-abad lamanya sebelum Hangul dicipta, huruf-huruf Cina (Hanja) serta istilah-istilah Cina telah dipinjamkan dan digunakan sebagai sistem tulisan rasmi dalam masyarakat Korea. Tulisan Hanja ini telah diperkenalkan ke Korea melalui hubungannya dengan kerajaan China yang telah berlangsung sejak tahun 108 sebelum Masehi lagi. Salah satu pengaruh terbesar Hanja di Korea adalah melalui penyebaran teks Thousand Character Classic, iaitu teks utama yang mengandungi 1000 huruf unik Cina.
Hubungan yang berlanjutan dengan China ini mempengaruhi bahasa Korea, yang mana banyak perkataan serta istilah Cina telah dipinjamkan ke dalam sistem tulisan Korea. Pada tahun 958 Masehi, sewaktu era pemerintahan Goryeo, kerajaan telah mempromosikan penggunaan Hanja dengan memasukkan aspek pengetahuan kesusasteraan klasik Confucian serta tulisan Cina ke dalam peperiksaan awam kerajaan.
Walaupun usaha promosi untuk Hanja dan kesusasteraan Cina ini telah memberikan suatu sistem tulisan buat Korea, namun masih ramai rakyat yang tidak mampu untuk menulis perkataan Cina kerana ia tidak berupaya untuk menunjukkan dan menuliskan istilah-istilah tempatan dalam masyarakat Korea. Sebelum penciptaan tulisan Hangul, ada beberapa jenis sistem tulisan terawal yang dibangunkan bagi membolehkan masyarakat Korea menulis dalam Hanja. Sistem-sistem tulisan ini yang juga dikenali sebagai pra-Hangul merangkumi tulisan Idu, Hyangchal dan Kugyol.
Tulisan Idu
Idu adalah sistem tulisan kuno yang mewakili bahasa Korea dengan menggunakan Hanja. Pada asalnya, teks tulisan ini telah dicipta oleh para sami Buddha pada zaman Goryeo, yang membolehkannya untuk merekod perkataan asli Korea melalui makna atau bunyi yang sama dalam bahasa Cina. Dalam tulisan Idu ini, ekspresi atau perkataan asli Korea direkodkan menggunakan karakter Cina dengan meminjam maksudnya di dalam Bahasa Cina, tetapi dibaca sepertimana bunyi perkataan asli Korea.
Dalam tulisan Idu ini, adakalanya satu perkataan Hanja boleh menunjukkan banyak bunyi dan beberapa perkataan Hanja boleh juga digunakan untuk menunjukkan bunyi yang sama. Perkataan-perkataan ini digunakan bersama dengan simbol tertentu (yang menunjukkan ciri perkataan asli Korea), kata kerja serta penanda tatabahasa lain yang berbeza dalam bahasa Korea. Huruf-huruf yang dipilih dalam tulisan Idu ini adalah berdasarkan kepada bunyi Korea, bunyi Korea yang diadaptasi atau maksud dalam Korea serta ada juga yang diberi bunyi dan maksud yang baru. Sebanyak 150 huruf Korea yang baru telah dicipta, yang kebanyakannya adalah digunakan sebagai nama individu dan tempat.
Sistem tulisan Idu ini kebanyakannya digunakan oleh mereka daripada kasta Jungin, iaitu golongan pertengahan yang terdiri daripada pakar seperti penterjemah, akauntan, ahli perubatan dan ahli undang-undang. Ia telah digunakan untuk menulis dokumen-dokumen rasmi kerajaan, perjanjian undang-undang serta surat peribadi sewaktu era Dinasti Goryeo dan Joseon, dan masih digunakan sehinggalah tahun 1894, walaupun ia tidak mampu untuk menunjukkan tatabahasa Korea secara sempurna. Salah satu tujuan utama penggunaan tulisan Idu ini adalah untuk menjelaskan dokumen-dokumen daripada kerajaan China yang ditulis dalam bahasa Cina, supaya ia difahami oleh kerajaan Korea. Sebagai contohnya, kod undang-undang Ming telah diterjemahkan sepenuhnya ke dalam bahasa Korea menggunakan tulisan Idu pada tahun 1395. Ia juga banyak digunakan untuk mengajar masyarakat Korea untuk memahami bahasa Cina.
Tulisan Hyangchal
Tulisan ini yang membawa maksud ‘huruf-huruf tempatan’ (local letters) adalah sistem tulisan kuno Korea dan telah mula digunakan sejak tahun 967 Masehi. Melalui sistem ini, huruf-huruf Cina telah dibaca dalam bahasa Korea berdasarkan kepada suku kata yang berkait dengan huruf tersebut. Tulisan Hyangchal seringkali dikelaskan sebagai salah satu kumpulan dan sistem tulisan Idu.
Sistem tulisan ini telah muncul pertama kalinya di dalam biografi sami Kyun Ye pada era Dinasti Goryeo. Hyangchal banyak digunakan untuk menulis lagu puisi hyangga yang mana sebanyak 25 hyangga telah ditulis menggunakan huruf asli Korea dan mengikut turutan perkataan dalam bahasa Korea antara tahun 600 hingga 967 Masehi. Sistem tulisan Hyangchal ini meliputi kata nama, kata kerja, adjektif, kata sifat serta tatabahasa lain. Sistem tulisan ini banyak dibandingkan dengan sistem yang digunakan oleh orang Jepun bagi menulis Manyoshu, iaitu antologi puisi kuno Jepun, yang mana ia juga berlaku pada sekitar tahun yang sama.
Tulisan Kugyol/Gugyeol
Tulisan Kugyol pula merujuk kepada teks terjemahan daripada bahasa Cina klasik kepada bahasa Korea yang mudah difahami. Ia telah digunakan dengan meluas pada era Dinasti Joseon, apabila pembacaan dalam teks klasik China menjadi suatu keutamaan sosial pada waktu itu. Melalui tulisan Kugyol ini, teks asli dalam bahasa klasik Cina tidak diubah, dan penanda tambahan (tambahan tatabahasa asal Korea) dimasukkan di antara ayat-ayatnya. Pembaca rakyat Korea akan membaca bahagian ayat dalam bahasa Cina tersebut tanpa mengikut urutannya, iaitu lebih menghampiri susunan kata bahasa Korea berbanding bahasa Cina. Ia boleh juga disebut sebagai suatu sistem tulisan yang membahagikan frasa ayat dan merujuk kepada pemisahan satu ayat dalam bahasa Cina dengan ayat yang lain.
Bukti sejarah menunjukkan bahawa sistem tulisan Kugyol ini telah wujud sejak abad ke-9 atau lebih awal lagi, tetapi mula digunakan pada era Dinasti Goryeo, yang kemudiannya diperluaskan lagi sewaktu Dinasti Joseon. Pada awal kemunculan Dinasti Joseon (sekitar tahun 1400), sistem Kugyol ini telah dijadikan sebagai rasmi oleh Jeong Mong Ju dan Gwon Geun, atas perintah yang dikeluarkan oleh Raja Taejong. Ketika itu, banyak teks klasik Confucian, termasuklah Classic of Poetry, diterjemahkan semula ke dalam tulisan Kugyol.
Sistem tulisan Kugyol adalah berbeza daripada Idu dan Hyangchal yang mana Kugyol banyak menggunakan penanda tertentu, bersama dengan satu set kecil tulisan hanja, bagi menunjukkan ciri morfologi yang membantu masyarakat Korea untuk memahami tatabahasa dalam teks Cina. Kugyol ini boleh dianggap sebagai satu usaha awal dalam menterjemahkan teks bertulisan Cina ke dalam bahasa Korea dengan sedikit penambahan. Sehingga ke hari ini, sistem tulisan Kugyol ini kadangkala masih digunakan di Korea Selatan, yang mana teknik ini diaplikasikan untuk membaca teks klasik Confucian.
Penciptaan Hangul
Selama berabad-abad lamanya masyarakat Korea telah menggunakan huruf-huruf Cina (Hanja) sebagai tulisan rasmi mereka. Ironinya, apabila mereka bercakap, bahasa yang dituturkan adalah bahasa Korea, sedangkan apabila mereka menulis, sistem tulisan yang digunakan adalah Cina klasik. Keadaan ini telah menimbulkan banyak kesukaran dalam kehidupan masyarakat Korea, tambahan pula tulisan Cina banyak digunakan dalam aspek pentadbiran negara bagi merekodkan dokumen rasmi dan pelbagai dokumen yang lain.
Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan pihak kerajaan, malah rakyat biasa juga tidak mampu untuk berkomunikasi dengan apa yang mereka fikir serta rasa secara bertulis walaupun mereka bertutur dalam bahasa Korea. Melihatkan situasi ini, Raja Sejong telah berusaha untuk mencari penyelesaian buat seluruh rakyatnya. Apa yang diinginkan oleh baginda adalah suatu sistem huruf yang eksklusif untuk rakyat Korea, mampu untuk difahami, mudah untuk dipelajari serta boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Catatan sejarah merekodkan titah Raja Sejong tentang tujuan utama baginda mencipta sistem tulisan ini, iaitu:
“Disebabkan bahasa kebangsaan negara adalah berbeza dengan bahasa di China, ia (bahasa pertuturan) tidak sepadan dengan huruf-huruf Cina. Kerana itu, apabila orang-orang biasa ingin berkomunikasi, kebanyakan mereka tidak dapat memenuhi apa yang mereka inginkan. Atas dasar simpati di atas kesukaran mereka, beta telah mencipta satu set tulisan baru dengan 28 huruf. Menjadi harapan beta agar semua rakyat dapat mempelajari huruf-huruf ini dengan senang, agar mereka dapat menggunakannya setiap hari.”
Raja Sejong memang mempunyai impian agar semua rakyat Korea dapat menulis dalam bahasa mereka sendiri tanpa menggunakan sebarang huruf Cina. Titah baginda tersebut telah menggambarkan dedikasi baginda yang tinggi terhadap identiti kebangsaan negara. Terdapat beberapa sebab utama yang membawa kepada usaha Raja Sejong yang terlalu ingin melihat wujudnya sistem tulisan tersendiri dalam negaranya.
Sebab yang paling penting adalah kerana keadaan rakyatnya yang jelas terbahagi kepada dua golongan utama. Golongan pertama adalah orang terpelajar (intelektual) manakala golongan kedua adalah rakyat biasa yang buta huruf. Bagi golongan intelektual, mereka secara asasnya mempunyai pengetahuan dan mampu menulis Hanja dengan baik. Raja Sejong berpendapat bahawa penciptaan sistem tulisan baru ini tidak akan memberi kesan yang signifikan kepada golongan intelektual kerana tahap pengetahuan mereka yang sudah terbiasa dengan tulisan Hanja dan mampu untuk belajar apa sahaja. Fokus Raja Sejong yang sebenar adalah untuk memandaikan golongan rakyat biasa yang buta huruf, agar mereka dapat menggunakan tulisan Hangul ini dalam kehidupan harian mereka.
Dalam hal ini, Raja Sejong ingin menjadikan sistem tulisan Hangul sebagai sistem tulisan kedua, selain daripada Hanja, iaitu sebagai suatu keperluan khusus untuk golongan rakyat bawahan yang tidak mengenal huruf. Pada waktu yang sama, penggunaan sistem tulisan Hanja masih diteruskan dalam penulisan dokumen-dokumen rasmi kerajaan, catatan sejarah serta pelbagai dokumen penting yang lain. Pusat-pusat pendidikan juga masih menggunakan tulisan Hanja, namun buku-buku telah mula ditulis dalam Hangul, bertujuan untuk memberi pendidikan buat golongan rakyat.
Tulisan Hangul akhirnya telah berjaya dicipta pada tahun 1443, dan pada 9 Oktober 1446, tulisan ini telah diterbitkan dalam dokumen dan dipanggil sebagai Hunmin Jeong-eum (The Proper Sounds for the Instruction of the People). Ia adalah sistem tulisan baru sepenuhnya, khusus untuk rakyat Korea, juga dikenali sebagai Eonmun (tulisan kasar) dan Gukmun (tulisan kebangsaan). Pada hari ini, manuskrip asal Hunmin Jeong-eum telah disimpan di Muzium Seni Kansong, dan merupakan Khazanah Kebangsaan Korea Selatan Nombor 70, serta telah tersenarai dalam UNESCO Memory of the World Register sejak Oktober 1997. Tarikh penerbitannya, iaitu pada 9 Oktober telah dijadikan sebagai Hari Hangul di seluruh Korea Selatan.
Selain daripada membantu golongan buta huruf untuk membaca dan menulis, tulisan Hangul juga berperanan penting dalam membantu membetulkan sistem tulisan Hanja. Ini berkaitan dengan pembetulan dalam hal sebutan huruf-huruf Cina ke dalam bahasa Korea pada waktu itu. Pada tahun yang sama dengan penerbitan tulisan Hangul, sebuah buku (kamus) yang dipanggil Dong-guk-Jung-Un (‘Kamus bagi Sebutan Standard Korea untuk Huruf Cina’) telah diterbitkan. Raja Sejong berasa bimbang kerana pada waktu itu sebutan bagi huruf-huruf Korea dan Cina adalah berbeza, kerana baginda berpendapat kedua-duanya harus selari, atau sekurang-kurangnya mempunyai sebutan yang hampir serupa. Disebabkan inilah kamus tersebut turut diterbitkan sebagai satu panduan standard untuk sebutan huruf Korea yang menghampiri sebutan huruf Cina.
Manuskrip Hunmin Jeong-eum (훈민정음)
Kewujudan teks asal bagi tulisan dan huruf Korea ini telah menjadi perdebatan dalam kalangan ramai sarjana sehinggalah manuskrip Hunmin Jeong-eum ini ditemui semula pada awal abad ke-20 (tahun 1940) setelah hilang selama lebih lima abad. Bersama-sama Raja Sejong dalam penciptaan Hunmin Jeong-eum adalah para sarjana Jiphyeonjeon (Hall of Worthies), dan sebaik sahaja ia diterbitkan, Jeong In-Ji bersama para sarjana lain telah mencatatkan prakata/komen untuk manuskrip ini dalam tulisan Cina bagi pihak Raja. Manuskrip ini mempunyai 33 bab kesemuanya.
Penerbitan asal manuskrip ini mempunyai dua versi utama, iaitu yang pertama, tujuh halaman yang ditulis dalam tulisan Cina klasik, kecuali pada bahagian di mana tulisan Hangul disebut. Keduanya, Eonhaebon, sebanyak 36 halaman, hampir keseluruhannya dijelaskan dalam Hangul, dengan semua tulisan Hanja ditranskripsikan melalui tulisan Hangul kecil di bahagian kanan bawah. Tulisan Hangul ditulis dengan gaya berus dakwat dan geometri.
Penentangan terhadap tulisan Hangul
Selepas penciptaan sistem tulisan ini, ia telah memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian bagi rakyat biasa. Dalam situasi ini, kelas atasan seperti para pegawai kerajaan masih mengekalkan penggunaan Hanja bagi berkomunikasi dan merekod dokumen. Majoriti daripada mereka dalam kelas atasan ini jarang menggunakan tulisan Hangul (dikenali sebagai Hunmin Jeong-eum) , dan menganggap tulisan Cina serta huruf-huruf Cina lebih penting berbanding tulisan tersebut. Namun, sistem tulisan baru ini telah berkembang dengan begitu cepat dalam kalangan rakyat.
Hasil penyebaran luas tulisan ini, banyak manuskrip sastera Hanja telah diterjemahkan ke dalam Hangul oleh para sarjana dan cendekiawan Joseon. Eonhae adalah istilah tradisional yang digunakan bagi menterjemahkan huruf-huruf Cina ke dalam perkataan Hangul. Sebagai contohnya, buku puisi pertama Cina telah diterjemahkan ke dalam Hangul, iaitu Doosi Eonhae. Buku puisi ini memuatkan puisi-puisi karangan pemuisi terkenal Cina, iaitu Doobo, yang dibahagikan kepada 52 bahagian dan telah diterjemahkan ke dalam Hangul oleh Yu Yun-Gyeom pada tahun 1482. Dalam masa 50 tahun selepas penciptaan Hangul, karya sastera yang telah diterjemahkan adalah sebanyak 40 karya dengan 200 buah buku dalam bahasa Hangul telah diterbitkan.
Walaupun begitu, tulisan dan huruf-huruf Cina masih menjadi pilihan utama bagi kelas atasan, dan sebahagian daripada mereka hanya berminat dalam Hangul semata-mata untuk menterjemahkan lagu-lagu yang mereka gemari. Bagi golongan elit, Hangul dilihat sebagai suatu sistem tulisan yang kasar, dan lebih menyukai sistem tulisan Hanja. Mereka turut memberi pelbagai gelaran terhadap Hangul ini dengan nama-nama yang tidak disenangi seperti Eonmun atau Eongul (skrip/tulisan kesat dan kasar), Amkeul (skrip wanita) dan Ahaekkeul (skrip kanak-kanak). Sebaliknya, bagi mereka yang mengambil manfaat daripada tulisan ini, mereka memanggilnya sebagai Gukseo atau Gukmun (skrip kebangsaan), Joseongul (skrip Joseon) dan Achimgeul (tulisan yang mampu dipelajari dalam satu waktu pagi).
Walau bagaimanapun, tulisan Hangul telah mendapat tentangan hebat daripada ahli sastera elit, terutamanya daripada Cho Man-Ri dan sarjana Confucian yang lain pada sekitar tahun 1440-an. Mereka berpegang kepada kepercayaan bahawa hanya tulisan Hanja sahaja yang mampu menjadi sistem tulisan sah bagi Joseon. Lama-kelamaan, terdapat juga raja-raja yang turut menentang penggunaan tulisan Hangul ini. Tetapi, bagi rakyat biasa, hanya Hangul sahaja tulisan yang mampu mereka pelajari dengan mudah.
Walaupun terdapat penentangan daripada golongan aristokrat, tetapi ada juga sebilangan daripada golongan atasan ini yang turut sama mempelajari dan menguasai tulisan Hangul. Salah satu buktinya adalah dokumen pada tahun 1504 yang mengkritik pemerintahan zalim Raja Yeonsangun telah ditulis dalam Hangul. Ada pengkaji yang berpendapat bahawa dokumen kritik ini ditulis dalam Hangul agar ia tidak dapat dibaca oleh golongan pembesar serta mengelakkan identiti penulis tersebut daripada diketahui. Pada tahun 1504 jugalah Yeonsangun telah mengharamkan pembelajaran serta penggunaan Hangul, menghapuskan kesemua dokumen Hangul dan mengeluarkan perintah untuk menghukum sesiapa sahaja yang menggunakan Hangul. Seterusnya, pada tahun 1506, Raja Jeongjong turut menghapuskan Kementerian Penterjemahan bagi mengelakkan penyebaran Hangul.
Meskipun menghadapi penentangan dari banyak pihak, tulisan Hangul tetap berkembang popular. Sewaktu pemerintahan Raja Sejo (1567-1608), Hangul telah tersebar kepada seluruh rakyat, terutamanya dalam kalangan mereka yang berstatus bawahan, seperti golongan buta huruf, wanita dan kanak-kanak. Malah, wanita telah memainkan peranan penting dalam meluaskan lagi penggunaan Hangul ini. Kebanyakan wanita ini menggunakan Hangul dalam surat-surat yang dihantar untuk sahabat wanita atau lelaki.
Hangul dalam dunia moden
Hangul ini telah digunakan secara meluas oleh rakyat biasa di Korea sejak zaman Raja Sejong, namun hanya pada pertengahan abad ke-20, Hangul akhirnya berubah daripada sistem tulisan kedua kepada tulisan utama dalam masyarakat Korea. Sewaktu dicipta, ia belum lagi diberikan nama Hangul, dan nama moden bagi tulisan ini, iaitu Hangul telah diilhamkan oleh seorang pakar bahasa Korea bernama Ju Si Gyeong (1876-1914) pada tahun 1912. Perkataan Han itu membawa maksud ‘Orang Korea’, dan keseluruhannya ia bererti ‘Skrip Orang Korea’ atau ‘Skrip Agung’.
Kedudukan Hangul sebagai tulisan rasmi telah dikuatkuasakan pada akhir abad ke-19. Peristiwa Reformasi Gap-O pada tahun 1894, yang mana ramai ahli reformasi seperti Kim Hong Jip telah mengusir keluar Puteri Min yang korup bersama anggotanya, telah banyak membantu dalam memodenkan arus politik di Korea. Perletakan Hangul sebagai tulisan utama di Korea berbanding tulisan Cina telah mendorong ke arah era yang lebih moden. Masyarakat waktu itu berpendapat bahawa Korea mampu menjadi sebuah negara moden yang berkuasa sekiranya semua rakyatnya memilih menggunakan Hangul berbanding tulisan Cina. Semangat nasionalisme masyarakat Korea akhirnya telah membawa kepada tulisan Hangul digunakan dalam dokumen rasmi buat pertama kalinya pada tahun 1894. Teks-teks di sekolah rendah mula menggunakan Hangul pada tahun 1895, dan Dongnip Sinmun, yang diterbitkan pada tahun 1896 adalah satu daripada akhbar pertama yang dicetak secara eksklusif dalam tulisan Hangul.
Di Korea Utara pula, dasar reformasi bahasa mereka adalah berdasarkan kepada ideologi komunis. Dalam reformasi bahasa mereka, Korea Utara meletakkan asas standard bahasa sebagai Munhwao atau Budaya Bahasa dan telah menggantikan banyak perkataan pinjaman Jepun dan istilah Cina ke dalam perkataan asli Korea yang diciptakan. Pada tahun 1949, pihak pemerintah secara rasminyaa telah menghapuskan penggunaan Hanja yang melebihi penggunaan Hangul, namun kemudiannya memberi keizinan agar Hanja diajarkan pada tahun 1960 kerana Kim Il-Sung ingin menjaga hubungan budaya dengan masyarakat Korea di luar negara. Tambahan pula, rakyatnya harus menguasai ‘Bahasa Peradaban’ tersebut yang masih mengandungi banyak istilah China-Korea. Akhirnya, 3000 perkataan Hanja telah diajarkan di Korea Utara dengan 1500 daripadanya dalam enam tahun di sekolah menengah, 500 perkataan dalam dua tahun di sekolah teknik dan 1000 perkataan di universiti selama empat tahun. Walau bagaimanapun, tidak banyak sekolah di Korea Utara mempunyai perintah yang kukuh terhadap penggunaan Hanja kerana ia hanya terpakai kepada mereka berada di sekolah yang biasa dengan penggunaannya sahaja.
Kerajaan Korea Selatan juga cuba untuk mereformasikan bahasa dan tulisan Korea dengan membuang kesemua perkataan pinjaman Jepun dan mempromosikan penggunaan istilah tempatan. Walau bagaimanapun, polisi Korea Selatan terhadap Hanja adalah tidak konsisten. Bermula dari tahun 1948 hingga 1970, Korea Selatan telah berusaha untuk menghapuskan sepenuhnya Hanja, namun gagal akibat daripada pengaruh istilah Sino-Korea dalam bahasa dan tekanan yang diterima daripada pihak institusi akademik. Rentetan kegagalan ini, pada tahun 1972, Kementerian Pendidikan membenarkan 1800 perkataan Hanja untuk diajarkan, yang mana kini ia adalah suatu pilihan, dengan 900 perkataan diajar sewaktu sekolah rendah dan 900 perkataan diajar sewaktu sekolah menengah. Tambahan pula, pada tahun 1991, Mahkamah Agung hanya membenarkan sebanyak 2854 perkataan Hanja digunakan sebagai nama peribadi masyarakatnya. Pelbagai polisi yang dikenakan terhadap penggunaan Hanja ini menunjukkan bagaimana reformasi bahasa boleh disalahgunakan jika terdapat agenda politik.
Kesimpulan
Tulisan Hangul kekal sebagai salah satu tulisan unik di dunia yang dicipta oleh Raja Sejong yang agung. Malah, hari ini, masyarakat di seluruh dunia juga semakin mengenali tulisan ini serta mempelajarinya. Meskipun dengan segala kecanggihan dan pembangunan yang berlaku dalam negaranya, Korea masih tetap mempertahankan Hangul sebagai salah satu ciri akar budaya mereka yang asli serta mencorakkan pemikiran masyarakat mereka.
RUJUKAN:
Handel, Z. (2016). Learn to read Korean: An introduction to the Hangul alphabet. IPAC 2016 – Proceedings of the 7th International Particle Accelerator Conference, 3207–3212.
Lee, K.-M., & Ramsey, S. R. (2011). A History of Korean Language (Vol. 11). New York, USA: CambridgeUuniversity Press. Retrieved from https://www.m-culture.go.th/mculture_th/download/king9/Glossary_about_HM_King_Bhumibol_Adulyadej’s_Funeral.pdf
Tutunis, B. (2017). The Aesthetic Features of Korean Alphabetic System – Hangul, (June). https://doi.org/10.1501/Dilder
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih