Dengan vaksinasi Covid-19 berjalan di seluruh dunia, banyak negara sudah mengusahakan skim sijil vaksin untuk warga mereka. Bagi mana-mana individu yang sudah divaksin, pasport ini membolehkan mereka dapat melakukan perkara-perkara pra-pandemik seperti makan di restoran, dandanan/guntingan rambut atau menonton acara berskala besar. Tetapi tidak ramai tahu, pelopor terawal sijil vaksin ialah Empayar Turki Uthmaniyyah.
Sebelum negara-negara Eropah mengetahui tentang vaksinasi, ia sudah dilaksanakan oleh empayar berkenaan sejak abad ke-18 lagi. Dua individu bertanggungjawab mempelopori vaksinasi untuk kerajaan itu ialah dua doktor berdarah Yunani, Emmanuel Timonis (1669–1720) dan Jacob Pylarinos (1659–1718).
Timonis bukan saja seorang pakar perubatan dari Universiti Padua, Itali. Malah, beliau juga merupakan doktor peribadi kepada pemerintah Uthmaniyyah ketika itu Sultan Ahmet III. Sementara Pylarinos pula pada satu ketika berkhidmat sebagai ketua pasukan perubatan yang memantau kesihatan Tsar Peter the Great dari Rusia.
Pylarinos selalu berulang-alik dari Greece yang ketika itu dikawal oleh Venice ke Turki. Dan satu perkara yang menarik perhatiannya ialah tindakan golongan Hawa di Thessaly yang menyapu tangan kanak-kanak pada luka kambing biri-biri yang tercemar dengan tujuan mengukuhkan sistem imuniti mereka. Ini merupakan bentuk vaksinasi terawal yang dilihatnya sekaligus menjadi inspirasi kepada variolasi bagi mencegah jangkitan cacar.
Tetapi amalan ini bukan perkara baru seperti diperhatikan oleh Timonis. Beliau percaya amalan variolasi sudah lama dilakukan oleh populasi di kawasan pedalaman Asia Tengah dan telah berlangsung sekurang-kurangnya 40 tahun sebelum penerbitan kajiannya pada awal abad ke-18.
Bagi pihak Uthmaniyyah, walaupun variolasi dilihat kaedah terbaik untuk mencegah penularan cacar, masih ramai yang skeptik dengan keberkesanannya. Ini mengakibatkan ramai warganya terbu.n.uh akibat cacar menerusi epidemik yang berlaku pada 1701, 1706, 1825, 1845, 1871, 1877 dan 1878.
Sedar situasi ini tidak boleh dibiarkan, Sultan Mahmud II mengasaskan Sekolah Perubatan Diraja (SPD) pada tahun 1827 sekaligus membawa nafas baru kepada aspek kesihatan awam dan pendidikan perubatan moden. Sekolah ini melatih ramai pakar perubatan dalam pelbagai disiplin termasuk penyakit berjangkit.
Seperti era pandemik Covid-19 hari ini, ramai yang skeptik dengan keberkesanan vaksin di sebalik seruan kerajaan untuk berbuat demikian. Perkara sama berlaku pada abad ke-19 walaupun selepas Sultan Abdulmecid I mengeluarkan firman (dekri) bahawa vaksinasi dilaksanakan tanpa dikenakan sebarang kos. Fatwa tentang keharusan vaksinasi turut dikeluarkan oleh Sheikhul Islam/mufti besar Uthmaniyyah, Mekkizade Mustafa Asim Efendi pada 1845.
Bagi memastikan semua warganya divaksin tanpa mengira agama, doktor-doktor yang dilatih di SPD dihantar ke segenap empayar selama 20 hari. Semasa tempoh tersebut, mereka akan mengajar doktor-doktor tempatan cara memberi vaksin dan membuat demonstrasi vaksinasi dalam kalangan komuniti. Setelah itu, tabib-tabib tempatan diberi kepercayaan untuk meneruskan program vaksinasi selepas mereka pulang.
Kebanyakan maklumat vaksinasi disebarkan menerusi penerbitan risalah Menafiü’l-Etfal (Faedah Kepada Kanak-Kanak). Risalah ini ditulis oleh seorang pakar perubatan SPD atas titah Sultan Abdulmecid I dan diterbitkan pada tahun 1846. Risalah ini bukan saja ditulis dalam Bahasa Turki tetapi dalam pelbagai bahasa komuniti lain seperti Yunani dan Armenia. Ini bagi memastikan maklumat vaksinasi dapat sampai kepada segenap masyarakat tanpa mengira perbezaan.
Jadi, bila sijil vaksin Turki Uthmaniyyah diperkenalkan? Ini mula dikesan seawal tahun 1885 menerusi sembilan undang-undang vaksinasi yang disemak Majlis Menteri-Menteri Uthmaniyyah dan perkenan Sultan Abdul Hamid II. Pertama, kanak-kanak lelaki dan perempuan wajib divaksin bila hadir ke sekolah. Sekiranya mereka tidak mempunyai sijil vaksin atau bukti dijangkiti sebelumnya, mereka akan dihalang masuk ke sekolah.
Kedua, sijil vaksin yang diiktiraf ialah sijil yang dikeluarkan oleh SPD di mana ia mempunyai maklumat si kecil yang divaksin dan tandatangan/cop pakar yang memberi vaksin. Hanya pakar-pakar perubatan yang diiktiraf saja dibenarkan mengisi maklumat pada sijil berkenaan. Ketiga, kakitangan kerajaan, pelajar-pelajar madrasah (institut pengajian tinggi agama) dan ten.te.ra diwajibkan mengambil vaksin. Bagi pihak ten.te.ra, kerja-kerja vaksinasi dilakukan oleh doktor-doktor ten.te.ra.
Keempat, mana-mana institusi pendidikan yang menerima pelajar yang tidak divaksin akan dikenakan denda mengikut kod undang-undang Uthmaniyyah. Kelima, vaksinasi di Istanbul dilakukan di SPD atau mana-mana lokasi yang dirasakan sesuai untuk pemberian vaksin oleh pakar-pakar perubatan. Selebihnya menceritakan keperluan sijil vaksin dan penguatkuasaannya bukan saja oleh pihak berkuasa kesihatan tetapi Kementerian Dalam Negeri.
Undang-undang ini kemudiannya ditambahbaik pada 1894 menerusi penggubalan 25 undang-undang vaksinasi. Bezanya ialah tanggungjawab perlaksanaan vaksinasi kini diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri Turki Uthmaniyyah. Ia turut menetapkan satu keluarga divaksin sekiranya salah seorang ahli keluarga mereka dijangkiti apabila epidemik berlaku di sesebuah wilayah, daerah, bandar atau kampung.
Undang-undang ini turut menetapkan jumlah gaji yang diterima pemberi vaksin termasuk gaji mengikut jam dan kos perjalanan mereka. Undang-undang sama turut menetapkan denda kepada ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka divaksin dan individu tidak bertauliah dalam hal vaksinasi. Denda yang dikenakan sekitar 200 hingga 1,000 kurus (mata wang Turki Uthmaniyyah). Jumlah denda dikenakan mengikut tahap kecederaan individu yang divaksin.
Menjelang 1903, undang-undang vaksinasi baru digubal dan kini meliputi semua pekerja tanpa mengira industri, jantina atau tempoh gaji yang diterima. Menerusi undang-undang ini, semua pekerja wajib divaksin kecuali yang ada sejarah jangkitan cacar. Vaksinasi turut diperluaskan kepada golongan imigran tanpa mengira migrasi mereka bersifat domestik atau antarabangsa.
Bagi para pekerja, pengesahan daripada pemimpin tempatan berkenaan status vaksin mereka amat diperlukan sekiranya mereka hendak mendapatkan pekerjaan baru. Sekiranya mereka didapati berbohong, pemimpin-pemimpin ini akan dikenakan denda.
Menjelang tahun-tahun terakhir Turki Uthmaniyyah, satu undang-undang digubal yang menetapkan semua warganya divaksin sebanyak tiga kali sehingga berusia 19 tahun. Vaksinasi akan dibuat kepada mereka semasa berusia enam bulan, tujuh tahun dan 19 tahun. Ini merupakan contoh di mana mereka berusaha memastikan hampir semua warga empayar itu menerima vaksin.
Bagaimanapun, semua ini berakhir selepas kebangkitan golongan Turki Muda (1908-1918) dan kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1922. Golongan Turki Muda melancarkan beberapa kempen terhadap komuniti minoriti yang menyaksikan ramai pakar perubatan dari komuniti berkenaan ma.ti atau hilang. Isu bebanan hutang, tinggalan projek yang terabai dan terlepas peluang vaksinasi besar-besaran seperti Eropah turut membawa kepada penamatan pengenalan sijil vaksin.
Tetapi pada hari ini, ia kembali menjadi sebutan gara-gara keperluan hidup dalam norma baru pasca-Covid. Suka atau tidak, inilah tiket untuk kehidupan normal seperti dialami pra-pandemik.
RUJUKAN:
Evered, Emine O. dan Evered, Kyle T. Mandating immunity in the Ottoman Empire: A history of public health education and compulsory vaccination. Heliyon 6 (2020) e05488. 1-5.
Kyrkoudis T, Tsoucalas G, Thomaidis V, Bakirtzis I, Nalbandi E, Polychronidis A, et al. Vaccination of the Ethnic Greeks (Rums) Against Smallpox in the Ottoman Empire: Emmanuel Timonis and Jacobus Pylarinos as Precursors of Edward Jenner. Jurnal Perubatan Erciyes 2021; 43(1): 100–6.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih