Seperti yang kita tahu, kitab suci yang mempunyai autoriti tertinggi dalam Islam adalah Al-Quran. Tapi tahukah kita, Al-Quran dahulunya bukanlah terus dimushafkan di zaman Rasulullah S.A.W , melainkan telah melalui beberapa fasa utama.
Jadi, suka untuk hamba kongsi seringkas mungkin sejarah pengumpulan Al-Quran dari awalnya sehinggalah menjadi sebuah mushaf seperti yang kita lihat dan baca pada hari ini.
Sebagai gambaran awal, proses pemushafan Al-Quran melalui tiga fasa utama,
1. Zaman Baginda Nabi S.A.W
2. Zaman Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A
3. Zaman Sayyidina Uthman Affan R.A
Zaman Rasulullah S.A.W
Pada zaman Rasulullah s.a.w , Al-Quran ditulis oleh para Sahabat di atas batu-batan, pelepah pokok kurma dan kulit binatang. Namun, lebih ramai yang cenderung untuk menghafalnya berbanding menulis kerana kurangnya orang yang tahu membaca dan menulis pada zaman tersebut. Lagipun menghafal dah menjadi suatu kelebihan buat Bangsa Arab.
Hatta zaman sekarang pun kita boleh lihat, kanak-kanak mereka mampu hafal keseluruhan Al-Quran pada rata-rata umur bawah belasan tahun. Nak kata “memanglah dah diorang tu Bangsa Arab senanglah hafal Quran dalam bahasa diorang” , sebenarnya bahasa bukan sebabnya, memang mereka ini bangsa menghafal, bagi Bahasa Melayu pun boleh tapau. Kalau ada yang tak percaya pergilah test kawan Arab dia sana. Hehehe.
Jadi, pada zaman tersebut jumlah sahabat yang menghafal Al-Quran sangatlah ramai, diantaranya empat Khalifah umat Islam r.a yang maklum, Tamim Ad-Dari, Ubadah bin Somit, Abdullah bin Amru bin Al-Aash dan ramai lagi R.A .
“kenapa tak terus dibukukan pada zaman Nabi je kalau ramai yang hafal Quran? ”
Sebenarnya ada beberapa sebab yang menyukarkan pembukuan Al-Quran dalam satu mushaf pada zaman tersebut. Antaranya:
1. Sebahagian ayat diturunkan untuk menjawab pertanyaan umat berkaitan syariat agama, jadi ayat diturunkan secara random mengikut situasi yang berlaku, bukan mengikut tertib dalam surah.
2. Berjaga-jaga kemungkinan ada ayat yang akan dinasakh (dimansuhkan/diganti ayatnya atau hukumnya).
3. Kesukaran mendapatkan lembaran untuk ditulis diatasnya.
Zaman Sayyidina Abu Bakr As-Siddiq R.A
Pada awalnya, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A tidak mahu mengumpulkan Al-Quran dalam satu mushaf kerana ianya hal yang tidak dilakukan Rasulullah S.A.W . Namun setelah kewafatan Rasulullah S.A.W , berlaku fitnah besar apabila ramai yang kembali murtad.
Banyak peperangan terjadi untuk menundukkan kaum yang murtad ini, antara yang paling dahsyat adalah perang Yamamah, didapati ramai yang gugur syahid terdiri dari kalangan sahabat penghafal Al-Quran. Maka Sayyidina Umar R.A pun mencadangkan berkali-kali agar dikumpulkan Al-Quran dalam satu mushaf demi memeliharanya dari hilang agar dapat disampaikan wahyu yang maha suci ini kepada mereka yang terkemudian. Sayyidina Abu Bakar R.A akhirnya bersetuju.
Langkah yang diambil Sayyidina Abu Bakar R.A adalah dengan memerintahkan Zaid bin Tsabit R.A , salah seorang sahabat agung penulis wahyu, untuk mengumpulkan semua ayat yang tertulis di pelepah kurma, batuan dan apa yang dihafal oleh para sahabat. Apa yang dikumpul telah disimpan Sayyidina Abu Bakar R.A sehingga wafatnya, lalu diwarisi Sayyidina Umar R.A sehingga wafat dan diwarisi anak perempuannya yang juga merupakan Ummul Mu’minin , Sayyidatina Hafshah R.A .
Zaman Sayyidina Uthman R.A
Sekitar akhir tahun 24 – awal 25 hijriah, pembukaan wilayah Islam telah meluas, maka ramailah yang memeluk Islam dari kalangan Arab dan ‘Ajam (bukan Arab) . Maka timbul kepelbagaian dialek dalam pembacaan Al-Quran.
Sayyidina Huzaifah Al-Yamani R.A menasihati Sayyidina Uthman R.A : ” wahai Amirul Mukminin, sedarkan umat ini sebelum mereka berselisih pada Al-Kitab ( Al-Quran) seperti mana berselisihnya orang-orang Yahudi dan Nasrani ” . Perkara ini sangat merisaukan Sayyidina Uthman R.A , maka baginda pun mengirim utusan kepada Sayyidatina Hafshah R.A untuk menggunakan mushaf yang disimpannya lalu disalin dan diperbanyak oleh beberapa orang sahabat yang mempunyai kelayakan dan diyakini.
Antara metode yang digunakan adalah menjadikan lahjah (dialek) Quraisy sebagai rujukan dan keutamaan sekiranya berlaku pertembungan. Hal ini kerana Al-Quran diturunkan dalam lahjah tersebut.
Salinan-salinan tersebut kemudiannya dihantar ke setiap wilayah pemerintahan Islam, dan diarahkan semua salinan yang selain daripada itu agar dibakar. Keputusan ini juga dipersetujui majoriti sahabat.
Maka sampailah kepada kita suatu mushaf lengkap yang tiada kekhilafan padanya, dinamai Rasm Uthmani dinisbahkan kepada Sayyidina Uthman R.A yang menyempurnakan pemushafannya, yang kita baca saban hari dan kita pelihara seperti mereka yang terdahulu memeliharanya, semua ini berkat kesungguhan para sahabat mulia yang diredai Allah S.W.T , semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang memuliakan Al-Quran, membawa cahayanya dan menyebarkannya ke serata alam.
(Sesungguhnya kami yang telah menurunkan Al-Quran sebagai peringatan dan sesungguhnya kami jualah yang memeliharanya), 15:9
Fateh Abdul Shukor
Kaherah, Mesir
12/1/2020
RUJUKAN:
Dr. Ibrahim Taufiq Abu Bakr, Dr. Saad Abd Majid, Dr. Muhammad Hamid Hasan ‘atiyyah, Dr. Hussein Abd Hamid Ahmad, Dr. Hussein Syirbini Muhammad, Dr. Abd Rahman Sayyid Abdullah. 2019 . Ulum Al-Quran Al-Karim: pengumpulan Al-Quran Al-Karim
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih