Perkataan mantiq berasal daripada Bahasa Arab, dengan kata perbuatan nathoqo (نطق) yang membawa maksud berkata-kata dan berfikir.
Ilmu mantiq seperti mana yang telah didefinisikan ilmuan Islam merupakan suatu ilmu merangkumi kanun dan kaedah yang mana dengan kaedah tersebut, akal kita mampu terpelihara daripada tersilap dalam berfikir. Mudahnya ilmu mantiq ini adalah ilmu Logik.
Inti pati ilmu ini mencakupi dua topik utama. Pertamanya Tasawwur, yang melibatkan bahasa, pendefinisian dan pengkategorian sesuatu. Mengapa pendefinisan penting?. Kerana andai saja sesuatu perkara itu tidak mempunyai definisi yang disepakati, pemahaman terhadap sesuatu kenyataan atau premis juga akan berbeza.
Contohnya, bila disebut “duit”, kita akan faham ia sebagai kertas yang bernilai dengan reka bentuk tertentu dicetak daripada material tertentu. Dan andaikan saja ada orang lain memahami duit dengan erti kepingan batu berwarna emas yang digali dari tanah. Maka ketika kita menyatakan “duit itu kertas”, kenyataan kita tidak akan disokong oleh orang yang memahami duit adalah kepingan emas. Inilah sebabnya pendifinisian penting bagi mengelakkan hujah yang sia-sia.
Setelah perbahasan tasawwur selesai, barulah kita boleh masuk ke dalam pintu topik yang kedua iaitu Tasdiq. Padanya dibahaskan tentang Qias atau hujah, yang dibina daripada premis-premis untuk mendapatkan keputusan yang diyakini penghujah.
Contoh paling mudah, saya ingin membuktikan bahawa kerusi itu ada yang menukangnya dan menafikan ia wujud dengan sendiri.
Saya berhujah dengan:
- Kerusi itu wujud
- Setiap yang wujud pasti ada yang menciptakannya
- Kerusi itu ada yang mencipta dan menukangnya
Begitulah serba sedikit konsep mantiq.
Bagaimana mantiq bermula?. Mantiq adalah suatu kaedah befikir dan tunjangnya adalah akal manusia. Jadi, ilmu ini pada hakikatnya telah bermula sejak manusia pertama yang mempunyai akal menggunakan akalnya untuk menghasilkan kewarasan.
Manusia berakal pasti mempunyai cara tersendiri dalam berfikir, walau bagaimana lemah sekali pun langkauan akalnya itu. Namun dengan mantiq, cara berfikir tersebut menjadi tersusun untuk menghasilkan natijah yang benar dan tepat.
Orang pertama yang memperkenalkan mantiq dan mengajarkannya ialah Aristotle, hidup kira-kira kurang 2500 tahun lalu (384-322 SM) dipercayai di Greece pada era ketamadunan Yunani Kuno.
Beliau mengarang buku mantiq pertama yang mengetengahkan tapak asas mantiq dikenali sebagai Organon. Buku ini diiktiraf sebagai antara rujukan utama dalam perbahasan mantiq.
Punca tercetusnya idea beliau menyusun mantiq bila mana wujud golongan yang membawa ideologi sofisme yang merosaskkan cara akal berfikir. Mereka menggunakan kefasihan berkata-kata dan berpidato untuk menipu dan berhelah.
Kerosakan inilah yang menyedarkan Aristotle untuk menyusun suatu sistem dalam berfikir yang kemudiannya kita kenal sebagai mantiq. Tetapi bagaimana pula setelah itu ilmu ini boleh meresap ke dalam Islam dan digunakan dalam perbahasan aqidah?. Sebelum kurun kelima hijrah, ilmu mantiq tidak mendapat tempat dalam perbahasan agama. Namun ketika mana Islam tersebar luas ke wilayah timur dan barat, berlakulah revolusi ilmu.
Penterjemahan ilmu dari bahasa asing ke dalam Bahasa Arab giat dijalankan. Berbagai bidang ilmu dari berbagai tamadun dibahas dan diterjemahkan termasuklah ilmu mantiq. Namun, mantiq mendapat tentangan hebat daripada ramai ulama. Hal ini kerana ia mengandung unsur falsafah ketuhanan Yunani Kuno yang dikatakan bercanggah dengan aqidah Islam yang benar.
Antara mereka yang mengharamkan mantiq berunsur falsafah ini termasuklah al-Imam al-Nawawi, Ibnu Solah, Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Sehingga ada yang menghukumkan harus beristinjak/bersuci menggunakan buku atau lembaran kertas mantiq. Ada juga yang menyamakan ilmu ini dengan ilmu sihir pada keharaman mempelajarinya.
Sungguh pun begitu, sebahagian ulama yang lain seperti Imam Ghazali menghukumkan sunat mempelajarinya. Bahkan beliau menganggap orang yang tidak menguasai mantiq atau mempunyai kaedah dalam berfikir sebagai orang yang tidak boleh dipercayai ilmunya.
Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Tirmidzi r.h daripada Sayyiduna Abu Hurairah r.a yang menuntut umat Islam agar mengambil apa saja yang bermanfaat buat mereka.
الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق الناس بها
Maksudnya : (Hikmah dan kebijaksanaan itu adalah barang yang hilang milik orang beriman, maka di mana saja dia menjumpainya, dialah yang paling berhak ke atasnya)
Sekalipun hadith ini dihukumkan dhaif sanadnya oleh Imam Tirmidzi (dhaif bukan bermaksud palsu), namun makna dan intipati hadith tersebut adalah sohih dan benar. Ini kerana orang beriman sememangnya dituntut mencari sebarang hikmah dan ilmu yang mampu meningkatkan ketaqwaan mereka.
Adapun hukum mempelajari mantiq yang tidak menerima pengaruh falsafah yang batil seperti Sullam al-Munawraq karangan al-Akhdhari, Isaghuji karangan Imam Athiruddin Abhari, al-Tahdzib karangan Imam Taftazani, maka para ulama tidak berselisih pendapat tentang keharusan hukum mempelajarinya.
Kata Syeikh Nuruddin Ali Jum’ah : “sesuatu ilmu itu tidak dicela kerana ia Ilmu, tetapi kerana ia digunakan untuk perkara yang tercela”.
Para ilmuan Islam menjadi antara yang paling terkehadapan dalam menyumbang terhadap perkembangan ilmu mantiq. Dan ini boleh dilihat daripada sumbangan-sumbangan mereka terhadap ilmu itu sendiri, tokoh-tokoh besar yang diiktiraf oleh dunia Islam dan Barat seperti al-Ghazali, al-Farabi, Ibnu Sina, al-Kindi, Ibnu Rusyd dan ramai lagi tidaklah dapat disangkal ketokohan mereka.
Mereka merapikan kaedah yang ada dan menambah baik ilmu ini berabad lamanya, menggunakannya secara meluas di dalam kitab-kitab sehingga seolah-olah membentuk suatu bidang ilmu mantiq baru yang diislamisasikan.
Walaupun sebahagian mereka tidak bersetuju dengan sebahagian yang lain sehingga tahap menuduh kafir dan terkeluar dari aqidah lurus, ia tak menafikan sumbangan mereka semua teramatlah besar.
RUJUKAN:
- Ali Jum’ah. (2016, September). Hukum Mempelajari Ilmu Mantiq dan Adakah ia Ilmu yang Dicela Salaf Al-Soleh
- Mohammad Razif. (2018, Oktober). Irsyad Al-Fatwa #252: Hukum Mempelajar Ilmu Mantiq. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2664-irsyad-al-fatwa-252-hukum-mempelajar-ilmu-mantiq
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih