Waqaf Saham Larkin Sentral Property Berhad (Larkin Sentral) merupakan satu lagi program berinovasi wakaf saham yang dilaksanakan oleh Johor Corporation (JCorp) melalui Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp) bagi kepentingan kebajikan dan ekonomi masyarakat ummah keseluruhannya.  Ianya memberikan peluang kepada pewakaf-pewakaf individu, syarikat dan institusi untuk melanggan saham-saham baru Larkin Sentral dengan nilai langganan minima RM 100 atau 1,000 saham dengan harga tawaran sebanyak RM 0.10 sesaham dan seterusnya mewakafkan saham-saham tersebut kepada WANCorp melalui Hujjah.

Jumlah keseluruhan tawaran saham baru adalah sebanyak RM 85 juta tersebut atau 850 juta unit saham.  Jumlah RM 85 juta akan digunakan untuk membiayai penambahbaikan Sistem Operasi Terminal dan pembangunan naik taraf Bangunan Terminal Pengangkutan Larkin Sentral dan Pasar Awam yang terletak di Larkin, Johor Bahru.  Pembangunan tersebut juga termasuk pembelian tanah, pembinaan ruang parkir bertingkat dan beberapa lot perniagaan yang akan dikhaskan kepada ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan untuk berniaga.

Terminal Larkin Sentral Kini

Pembangunan tersebut akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018 yang akan memberikan kemudahan kepada semua pihak termasuk penumpang, pengguna, pengunjung dan penyewa yang rata-rata berpendapatan sederhana.

Penambahbaikan Sistem Operasi Terminal dan naik taraf Bangunan Terminal Pengangkutan Larkin Sentral tersebut dijangka dapat meningkatkan pendapatan dan keuntungan Larkin Sentral.  Larkin Sentral seterusnya dapat meningkatkan pembayaran dividen atau manafaat kepada WANCorp yang memegang saham syarikat tersebut.

Ilustrasi Terminal Larkin Sentral apabila naik taraf

Dividen atau manfaat yang diperolehi oleh WANCorp tersebut akan digunakan untuk mengurangkan kadar sewa bagi sebahagian peniaga-peniaga kecil, penyediaan kemudahan awam dan sumbangan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi tujuan kebajikan dan maslahah ummah.

Pewakaf individu akan mendapat rebat cukai sehingga 7% manakala pewakaf institusi akan mendapat rebat cukai sehingga 10% daripada pendapatan agregat masing-masing.

Sejarah Inisiatif Pewakafan Oleh JCorp

Fasa Pertama – Pewakafan masjid

Institusi wakaf adalah salah satu institusi Islam yang telah berjaya memperkasa ummah sejak awal sejarah Islam lagi.

Selain dari wakaf bertujuan keagamaan, seperti wakaf masjid-masjid, tanah perkuburan, madrasah dan institusi pendidikan Islam, wakaf pada umumnya juga berciri amal kebajikan, termasuk membantu dan membela golongan-golongan miskin, daif dan terpinggir.

Telaga Wakaf oleh Uthman Bin Affan R.A

Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ali Imran ayat, ke-92 yang bermaksud:

“Kamu tidak akan sampai ke kemuncak kebaikan, sehingga kamu menginfakkan harta yang paling kamu cintai. Dan apa jua yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Maksud firman Allah itu memberi panduan bahawa melakukan kebaikan itu tiada penghujungnya. Bagaimanapun kemuncaknya boleh kita cita-citakan dengan memperbanyakkan infak daripada bahagian harta yang terbaik, bahkan yang kita cintai.

Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) merupakan elemen penting kepada JCorp sebagai sebuah entiti milik Kerajaan Negeri Johor.  Ia merupakan satu tanggungjawab dimana JCorp memegang prinsip bahawa bisnes bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan, bahkan perlu mengambil kira aspek memberi sumbangan dan manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.

Sejak penubuhannya pada tahun 1968,  JCorp telah banyak melaksanakan pelbagai aktiviti CSR melalui Divisyen Tanggungjawab Korporat.  Salah satu usaha JCorp ialah melalui pembinaan masjid- masjid yang kemudiannya diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).  Melalui kerjasama dengan MAIJ, JCorp telah dilantik sebagai Nazir Khas untuk mengurus sendiri masjid-masjid tersebut.  Pada tahun 2000, JCorp telah mewakafkan masjid pertamanya iaitu Masjid An-Nur Kotaraya yang terletak di kompleks beli belah di Johor Bahru.  Sehingga kini sebanyak 5 buah masjid telah diwakafkan di bawah pengurusan WANCorp.  Maka bermulalah fasa pertama pewakafan aset oleh JCorp.

Masjid pertama diwakafkan oleh JCorp iaitu Masjid An-Nur Kotaraya

Fasa Kedua – Pewakafan Klinik Waqaf An-Nur

Salah satu pencapaian cemerlang JCorp kepada masyarakat melalui pendekatan wakaf bagi memenuhi keperluan golongan miskin dan yang memerlukan telah dilaksanakan melalui pembinaan rangkaian Klinik Waqaf An-Nur dan Hospital Waqaf An-Nur. Klinik mula beroperasi pada Jun 2007 di bawah Syarikat Pengurusan Klinik Waqaf An-Nur Berhad. Syarikat Pengurusan Klinik Waqaf An-Nur Berhad kemudian ditukar kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) yang merupakan sebuah syarikat berhad dengan jaminan tanpa syer yang ditubuhkan untuk mengurus aset dan saham-saham syarikat dalam Kumpulan Johor Corporation.

Masjid An-Nur Bandar Pasir Gudang

Sehingga kini rangkaian Klinik Waqaf An-Nur mempunyai 22 buah rangkaian klinik iaitu 7 di Johor termasuk Hospital Waqaf klinik di Pasir Gudang, 2 di Seremban, 8 di Selangor, 2 di Sarawak dan selebihnya di Perak. Kelantan dan Pulau Pinang. Klinik tersebut dilaksanakan melalui sokongan kepakaran yang diberikan oleh KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) iaitu  sebuah anak syarikat JCorp yang menerajui pasaran bisnes kesihatan pakar di Malaysia. KPJ mempunyai 25 buah hospital pakar di seluruh negara termasuklah 2 di Indonesia dan 1 di Bangladesh.

Klinik Waqaf An-Nur yang terletak di Galleria @Kotaraya

Semenjak dibuka kepada orang ramai sehingga Mei 2016 rangkaian Klinik Waqaf An-Nur di seluruh negara telah merawat lebih dari 1,317,371 pesakit dari semua lapisan masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Di peringkat klinik pesakit hanya dikenakan bayaran minima sebanyak RM5.00 bagi setiap rawatan, termasuk ubatan.  Semua klinik-klinik Waqaf An-Nur dilengkapkan dengan Pusat Dialisis untuk memenuhi keperluan pesakit buah pinggang pada kadar bayaran RM90.00.

Fasa Ketiga – Pewakafan Saham

Fasa ketiga melibatkan pewakafan sebahagian kecil dari pegangan saham-saham syarikat milik JCorp.  Ianya merupakan suatu langkah besar berinovatif JCorp melalui konsep wakaf saham yang lebih mampan dan lestari.

Pada 11 Julai 2005, WANCorp sebagai Nazir Khas yang dilantik oleh MAIJ telah menerima sejumlah RM 250.27 juta nilai bersih aset saham yang telah diwakafkan oleh JCorp.  Ianya termasuklah saham-saham tersenarai seperti Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) dan KPJ Healthcare, Johor Land Berhad (JLand) serta saham-saham tidak tersenarai seperti Larkin Sentral Property Sdn Bhd (Larkin Sentral), Tiram Travel Sdn Bhd dan Capaian Aspirasi Sdn Bhd dengan nilai aset keseluruhannya sehingga 30 Jun 2015 adalah sebanyak RM 412.22 juta. Pada tahun 2009 saham JLand diistibdal kepada Al-Aqar REIT hasil dari penswastaan JLand.  Nilai pasaran syarikat-syarikat tersebut pada tarikh yang sama di dalam WANCorp adalah sebanyak RM 500.1 juta.  Prestasi cemerlang syarikat-syarikat tersebut secara berterusan telah dapat mempertingkatkan nilai aset bersihnya dan secara langsung memperkukuhkan prestasi harga-harga saham, khususnya Kulim dan KPJ Healthcare di Bursa Saham Malaysia (Bursa Malaysia).

Ladang kelapa sawit milik Kulim

Sejak tahun 2005 hingga tahun 2015, WANCorp telah menerima manfaat melalui pembayaran dividen bersih dari syarikat-syarikat tersebut sebanyak RM149.86 juta. Jumlah manfaat di tahun 2015 sahaja adalah sebanyak RM31.49 juta  seperti yang telah dipersetujui menerusi Hujjah Wakaf, 70% daripada manfaat tersebut diagihkan ke dalam dana khas terutamanya untuk pelaburan semula, 25% ke dalam dana kebajikan am dan 5% diagihkan ke MAIJ.

Antara sumbangan kebajikan am memberi peruntukan kepada program-program amal seperti membantu pesakit melalui Rangkaian Hospital dan Klinik Waqaf An-Nur, mengimarahkan masjid, menyumbang kepada persatuan kebajikan, anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, bantuan kemanusiaan dan lain-lain program serta pelaksanaan program tanggungjawab  korporat.  Selain itu, sumbangan juga turut diberikan kepada Program Pendidikan dan Keusahawanan melalui  Program Bistari (Siswa untuk pelajar Universiti, Tunas untuk pelajar sekolah menengah dan Didik untuk pelajar sekolah rendah). Program Bistari merupakan program pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar di peringkat sekolah dan universiti. Projek khas pula ialah program usahawan meliputi projek membudayakan bisnes melalui pembangunan usahawan.

Permainan Catur Bistari untuk mendidik pelajar dengan konsep  keusahawanan

JCorp melalui WANCorp akan berusaha untuk meningkatkan lagi aset dan manfaat ke tahap yang lebih kukuh.  Sasaran peningkatan nilai dan manfaat sangat penting kerana ianya dapat menyumbang kepada peningkatan pengagihan manfaat serta sumbangan kepada MAIJ, pelaburan semula dan perkembangan aktiviti kebajikan WANCorp pada masa akan datang. Ini termasuklah tambahan kepada pembinaan dan penyelenggaraan rangkaian Masjid An-Nur, penyediaan perkhidmatan Klinik dan Hospital Waqaf An-Nur, pemberian dana niaga kepada usahawan kecil, pembiayaan program Bistari, pemberian tuisyen percuma kepada pelajar miskin dan sumbangan amal kebajikan bagi kepentingan Islam dan ummah keseluruhannya.

Sumbangan kepada golongan ibu tunggal

Untuk mencapai hasrat tersebut, pelbagai usaha sedang dan akan dilaksanakan oleh JCorp dan WANCorp.  Ini termasuklah usaha yang dijalankan oleh WANCorp dalam melabur di sektor yang menguntungkan seperti hartanah dan sebagainya.

Banyak cabaran-cabaran yang dijangka dihadapi khususnya dalam melestari dan memangkin pertumbuhan nilai saham-saham WANCorp. Ketidaktentuan ekonomi negara dan dunia sekarang ini boleh menjejaskan prestasi bisnes dan saham-saham Kulim, KPJ Healthcare dan Al-Aqar REIT yang telah  diwakafkan. Ianya sudah tentu akan mempengaruhi keupayaan syarikat-syarikat tersebut untuk membayar dividen sebagai manfaat kepada WANCorp.

Oleh itu adalah sangat penting untuk mencari formula baru bagi memperkukuh nilai saham serta manfaat secara berpanjangan agar matlamat WANCorp sebagai institusi wakaf saham dapat direalisasikan sepenuhnya.

Sila layari laman web WANCorp – www.wancorp.com.my

Fasa Keempat – Waqaf Saham Larkin Sentral 

Dalam Fasa 1 sehinggalah Fasa 3, konsep wakaf yang diperkenal dan dilaksanakan oleh JCorp melalui WANCorp adalah bersifat esklusif dimana hanya JCorp yang mewakafkan saham-saham miliknya kepada WANCorp.

Cadangan melibatkan pihak institusi, syarikat dan orang awam  sebagai pewakaf merupakan salah satu cara inklusif bagi memperkukuh dan melestarikan WANCorp.  Di samping itu, ianya memberikan peluang kepada semua pihak untuk beramal dan menyumbang kepada pembangunan wakaf saham yang dipelopori oleh JCorp.

Sebagai perintis kepada konsep wakaf saham dan dalam usaha melestarikan sumber dan manfaat wakaf, kini JCorp bercadang untuk memberikan peluang kepada pihak institusi, syarikat dan orang awam untuk mewakafkan saham-saham syarikat di bawah WANCorp. Cadangannya adalah melalui penerbitan/ pewakafan saham baru Larkin Sentral bagi membiayai pembangunan naik taraf bangunan dan sistem Terminal pengangkutan basnya.

Cadangan JCorp dan WANCorp untuk melaksanakan wakaf saham melalui pewakafan saham-saham baru Larkin Sentral kepada pihak institusi, syarikat dan orang awam merupakan satu konsep berinovasi yang memperkukuhkan lagi institusi wakaf di negara ini.  Ianya juga secara langsung memberi peluang kepada pihak institusi, syarikat dan orang awam untuk turut serta menyumbang kepada pembangunan wakaf bagi kepentingan maslahat ummah secara keseluruhannya.

Semoga projek Waqaf Saham Larkin Sentral ini akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti syarikat, institusi dan orang awam bagi kepentingan masyarakat setempat dan  ummah keseluruhannya.

Salah satu cara mewakaf saham Larkin Sentral adalah melalui pautan maybank2u

Kejayaan pelaksanaan cadangan wakaf saham ini juga akan merintis jalan kepada cadangan wakaf saham seterusnya di dalam syarikat dan entiti milik WANCorp. Ini termasuklah Waqaf Saham Larkin Sentral, Klinik Waqaf An-Nur, Dana Niaga, Bistari dan sebagainya yang kesemuanya memerlukan pembiayaan dalam menjalankan aktivitinya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.