‘Nuklear’ adalah sebuah perkataan yang cukup ‘taboo’ dalam kalangan masyarakat dunia, khususnya Malaysia.
Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka bertanggapan bahawa nuklear adalah sesuatu yang amat bahaya dan dikaitkan dengan ‘bom nuklear’ persis bom atom yang menimpa wilayah Hiroshima dan Nagasaki semasa zaman P3rang Dunia Kedua (1945).
Walaubagaimanapun, fenomena ‘Nuclear Taboo’ yang berlaku sejak tahun 1945 ini telah memberikan impak positif, yang membawa kepada usaha-usaha pengurangan perolehan senjata nuklear (nuclear arsenal).
Perkara ini selari dengan dapatan kajian Dr Nina Tannenwald, dari Brown University (US) melalui jurnalnya yang berjudul ‘Stagminizing the Bomb: Origin of the Nuclear Taboo’ terbitan tahun 2005.
Antara petikan yang dipetik daripada jurnalnya adalah seperti berikut: ‘evidence suggests that the taboo has helped to constrain resort to the use of nuclear weapons since1945 both by reinforcing deterrence and by inducing restraint even in cases where deterrence did not operate’.
Kesannya, negara-negara komuniti dunia dapat duduk semeja dan berbincang perihal teknologi senjata nuklear.
Walaupun bukan mudah pada awalnya, akan tetapi satu konsensus dapat dicapai melalui permeteraian beberapa buah perjanjian antarabangsa berkaitan teknologi senjata nuklear.
Penubuhan International Atomic Energy Agency (IAEA) melalui perjanjian ‘The Statute of the IAEA’ yang dibuat pada tahun 1956 adalah salah satu bentuk manifestasi persefahaman antara negara-negara anggota PBB.
Yang mana agensi ini kemudiannya menjadi tulang belakang kepada perangkaan draf untuk beberapa perjanjian penting berkaitan teknologi nuklear khususnya perjanjian ‘Non-Proliferation Treaty’ (NPT) yang ditandatangani oleh 46 buah negara pada tahun 1970.
Seiring dengan kemajuan dunia dan teknologi persenjataan, perjanjian baharu seperti ‘Intermediate Range Nuclear Forces Treaty’ (1987), ‘Strategic Arms Reduction Treaty’ (1991) atau START 1, dan ‘Comprehensive Test Ban Treaty’ (1996) atau CTBT menjadi keperluan yang mendesak.
Keruntuhan kerajaan Kesatuan Soviet (SU) pada tahun 1991 telah meredakan era ‘ketegangan nuklear’ yang berlaku di sepanjang zaman P3rang Dingin di antara US dan SU (1947 hingga 1991).
Menjelang abad ke-21, negara kuasa nuklear memulakan beberapa perjanjian baharu, seperti perjanjian yang diusahakan secara bersama oleh US dan Russia selaku negara kuasa besar nuklear.
Kedua-dua negara tersebut bersetuju untuk mengurangkan unit ‘nuclear warhead’ masing-masing melalui ‘New Strategic Arms Reduction Treaty’ (2010) yang turut dikenali sebagai ‘New START’, mula berkuatkuasa pada 5 Februari 2011.
Setelah itu, beberapa perjanjian lain seperti ‘Asian Nuclear-Weapons-Free-Zone’ (2014), ‘Joint Comprehensive Plan of Action’ (2015) dan yang paling terkini, ‘The Treaty on the Prohibition of Nuclear Weapons’ (2017) dimeterai menurut armscontrol.com.
Sejak tahun 1945, lebih kurang 125 000 unit ‘nuclear warhead’ telah dihasilkan di seluruh dunia, yang mana kira-kira 97% daripadanya datang dari negara US dan Russia seperti yang dilaporkan oleh Hans M. Kristensen & Robert S. Norris (2013).
Menurut Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), setakat tahun 2020, jumlah ‘nuclear warhead’ yang berada di dalam pegangan 9 buah negara kuasa nuklear adalah sebanyak 13500 unit.
Daripada jumlah itu, 90% atau 12715 unit ‘nuclear warhead’ adalah milik US dan Russia, masing-masing dengan 5800 unit dan 6375 unit. Diikuti, China (320), Perancis (290), United Kingdom (215), Pakistan (160), India (150), Israel (90) dan Korea Utara (30 – 40).
Angka ini jauh menurun berbanding 20370 unit pada tahun 1960, diikuti tahun 1970 (38238 unit),1980 (55755 unit), 1990 (55512 unit), 2000 (24 024 unit), dan tahun 2010 (11280 unit) menurut ourworldindata.org.
Sebagai info, tahun 1986 mencatatkan jumlah ‘nuclear warhead’ tertinggi dalam sejarah dunia dengan rekod sebanyak 64449 unit.
Dari segi kekuatan dan keupayaan, semestinya negara US dan Russia mengungguli carta sebagai negara terkuat, memandangkan mereka memiliki bilangan unit ‘nuclear warhead’ tertinggi.
Namun begitu, keupayaan negara-negara kuasa nuklear lain seperti Perancis, UK, China, India, Pakistan, Iran dan Korea Utara tidak boleh dipandang sepi. Jika dilihat pada senario semasa, teknologi persenjataan moden sudah pun digunapakai secara meluas.
Sebagai contoh, antara senjata terkuat di dunia adalah senjata yang berasaskan Peluru Berpandu Balistik (Ballistic Missile) atau BM.
BM terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu ‘Intercontinental Ballistic Missile’ (ICBM), Intermediate-range Ballistic Missiles, ‘Theater Ballistic Missiles’, ‘Submarine Launched Ballistic Missile’ (SLBM), ‘Cruise Missile’, dan sebagainya.
Segmen ICBM dan SLBM adalah senjata yang paling ‘common’ dan ‘favorite’ ramai pada hari ini, atas faktor kemampuannya bergerak secara pantas dengan merentasi benua sehingga mencapai jarak melebihi 5500 kilometer.
Pada tahun 2016, US Department of Defense (DoD) membelanjakan kira-kira $110.6 Bilion USD bagi memulakan program ICBM generasi baharu untuk menggantikan segmen ICBM lama, yang dikenali sebagai ‘the Minuteman’.
Dalam pada itu, DoD turut menjangkakan kos keseluruhan program baharu ini bakal mencecah sehingga $1.2 Trilion USD menjelang tahun 2046 menurut Bloomberg.com.
Berdasarkan laporan dari National Nuclear Security Administration (NNSA), US membelanjakan sebanyak $392 Bilion bagi mengawalselia (sustaining) serta menaiktaraf (moderning) senjata nuklear milik mereka untuk sepanjang 25 tahun mendatang.
Secara keseluruhannya, kesemua negara kuasa nuklear telah membelanjakan duit rakyat masing-masing sebanyak $72.9 Bilion USD pada tahun 2019 sahaja menurut kajian International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN).
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih