Kini, sebarang perkongsian tentang Islam di New Zealand bagaikan tidak lengkap seandainya ia luput daripada menceritakan tentang tr4gedi yang menimpa komuniti Muslim di Christchurch, atau lebih tepat, jemaah yang sedang bersiap-sedia untuk menunaikan kewajpan solat Jumaat pada tanggal 15 Mac 2019 lalu. Carian kata ‘Islam in New Zealand’ juga memperlihatkan bagaimana paparan carian Google dipenuhi dengan senarai panjang artikel dan laporan media yang ditulis sesudah tarikh berd4rah tersebut.
Walau bagaimanapun, siapa yang dapat menjangka bahawa bandar di mana gugurnya nyawa Haji-Daoud Nabi si penutur kata damai “Hello Brother” kepada si penemb4k, Husna Ahmed yang terkorb4n semasa mahu menyelamatkan suaminya yang berkerusi roda, Mucaad Ibrahim si kecil yang pergi meninggalkan dunia tanpa sempat mengenalinya, serta keseluruhan 48 lagi insan lain, merupakan bandar yang menyimpan sejarah terawal keharmonian antara agama Islam dan Kristian. Keharmonian yang sampaikan ketika meninggal dunianya seorang Muslim yang banyak berjasa terhadap komuniti Christchurch, berita duka tersebut menerima liputan akhbar tempatan sebagai tanda ucapan takziah dan penghargaan daripada seluruh masyarakat terhadap jasanya, jasa seorang Muslim minoriti di sana.
Seawal manakah keharmonian antara agama yang dimaksudkan ini berputik dan berakar di bumi New Zealand? Seawal tahun 1902, kira-kira 117 tahun lalu. Sekitar 50 tahun sesudah Islam buat pertama kalinya bertapak dan membentuk komuniti di negara penghujung dunia itu.
Islam merupakan agama yang paling pantas berkembang di New Zealand dengan jumlah penganutnya meningkat enam kali ganda lebih pantas pada tempoh antara 1991 hingga 2006 berbanding tempoh sebelumnya, di mana pada hari ini, komuniti Muslim membentuk lebih 1% daripada populasi keseluruhan negara berkenaan.
Dalam kalangan masyarakat Maori, agama Islam juga diperakui sebagai agama yang cepat berkembang dengan hasil bancian menunjukkan bahawa bilangan Muslim-Maori meningkat daripada 99 kepada 708 orang pada tempoh antara 1991 hingga 2001. Angka tersebut kemudiannya mencapai 1083 orang pada tahun 2013. Malahan, pada tahun 2010, pemimpin Aotearoa Maori Muslim Association (AMMA), iaitu Sheikh Eshaq Te Amorangi Morgan Kireka-Whaanga diperakui sebagai salah seorang daripada 500 Muslim paling berpengaruh di dunia (namun dipalit kontroversi kerana mendokong Islamic State).
Walau bagaimanapun, kajian empirikal berkenaan pengalaman atau kehidupan Muslim di New Zealand masih lagi relatif kurang. Justeru, tidak hairanlah walau bagaimana sekalipun keharmonian dan toleransi agama berjaya dicapai di negara tersebut, suara-suara sumbang atau bahkan penolakan terhadap komuniti Muslim masih wujud terutama daripada kelas pemerintah, sebagaimana yang boleh kita lihat menerusi ucapan Don Brash pada tahun 2006 yang secara kontroversinya merujuk kepada pendatang-pendatang Muslim.
“We can ask and expect people to fit in, but the reality is that many migrants to New Zealand in recent times, and indeed to the West more generally, have come from cultures that don’t share the bedrock values that New Zealanders take for granted….We cannot be indifferent to whether migrants are likely to share our bedrock values. We can’t just hope it’ll work out fine….Put another way, we should not welcome those who want to live in New Zealand but reject core aspects of New Zealand culture.”
Antara individu yang banyak menyumbang dalam meningkatkan pengetahuan dan pengenalan tentang komuniti Muslim di New Zealand dan sejarahnya adalah William Shepard (lahir 1933), seorang bekas pensyarah dalam jurusan Pengajian Agama di University of Canterbury. Beliau banyak mengeluarkan jurnal dan buku berkenaan topik tersebut, yang ianya menjadi rujukan penting dalam membincangkan tentang perkembangan Islam di New Zealand.
PERTAPAKAN DAN PERKEMBANGAN ISLAM PRA-PENUBUHAN ORGANISASI MUSLIM NEW ZEALAND
Pertubuhan Islam kebangsaan New Zealand, iaitu Federation of Islamic Association of New Zealand (FIANZ) menyatakan tahun 1850an sebagai tahun di mana imigran Muslim mula duduk secara menetap di negara tersebut terutama sekali di Christchurch, walaupun laman Victoria University of Wellington menyebutkan bahawa Islam sampai buat pertama kalinya di New Zealand pada tahun 1769. Kebanyakan sumber juga memulakan penceritaan tentang sejarah perkembangan Islam di New Zealand dengan menyatakan perihal kehadiran 17 orang Cina-Mahometan yang bekerja di lombong emas yang terletak di Dunstan, Otago pada April 1874 sebagaimana yang direkodkan oleh bancian bagi tahun tersebut.
Sebagai kepilan nota, istilah Mahometan, dan juga Mahommedan, Mohammedan, Mohemmadonisme atau Muhammadanisme adalah istilah-istilah lazim yang digunakan pada waktu itu untuk merujuk kepada agama Islam dan penganutnya.
Terdapat juga rekod yang lebih awal berbanding tahun 1874, sebagaimana yang tercantum pada akhbar Lyttleton Times yang bertarikh Mac 1858. Dalam akhbar tersebut, direkodkan tentang sebuah kes di Mahkamah Tinggi Lyttleton yang memperlihatkan kehadiran dua orang saksi, Wuzeera dan isterinya, Mindia yang keduanya itu berasal dari India, mengangkat sumpah ke atas kesaksian yang mereka berikan dengan nama al-Qur’an.
Akhbar ini juga memerincikan bahawa Wuzeera merupakan seorang pekerja Mr. Wilson dari Cashmere (pinggir bandar Christchurch) dan beliau tiba di negara itu pada tahun 1854 dengan menaiki kapal yang bernama Akbar. Wuzeera dan Mindia mempunyai 4 orang anak di mana dua yang bongsu itu dilahirkan di Christchurch, masing-masing pada tahun 1859 dan 1861.
Wuzeera ini jugalah individu yang disebutkan di dalam akhbar harian The Star yang bertarikh 1 Mei 1902, di mana kali ini, akhbar tersebut memberikan liputan tentang berita kematian Wuzeera (Bezire, nama yang digunakan olehnya di sana) yang turut disertakan bersama riwayat ringkas hidupnya. Liputan ini disiarkan sebagai ucapan takziah dan tanda penghargaan daripada seluruh komuniti Christchurch terhadap sumbangan yang diberikan oleh beliau semasa hidup, khususnya semasa keterlibatan beliau dalam kerja-kerja pembinaan Gereja Christchurch di mana beliau membantu mengangkut batu-batu dari kuari Port Hills.
Abdullah Drury di dalam bukunya, Islam in New Zealand menganggap episod pembinaan Gereja Christchurch itu sebagai sumbangan atau kerjasama terawal antara Muslim dengan komuniti Kristian di New Zealand. Episod yang menjadi bukti keharmonian antara agama di bumi tersebut, keharmonian yang begitu indah sampaikan liputan tentang berita kematian Wuzeera itu tidak hanya disiarkan di akhbar Christchurch, tetapi juga di Auckland, Otago dan Whanganui.
Selepas menyaksikan kehadiran Wuzeera sekeluarga dan 17 orang pelombong Muslim-Cina, bancian tahun 1901 merekodkan terdapat seramai 41 orang Muslim di negara itu, di mana episod perkembangan Islam di sana dilanjutkan oleh sekumpulan lelaki Gujerat dan Punjabi yang tiba di New Zealand pada lewat kurun ke-19 atau awal kurun ke-20 dan kemudian membuka kedai sebagai mata pencarian hidup. Beberapa tahun kemudian, mereka menjemput masuk pula ahli-ahli keluarga sekaligus menyumbang kepada peningkatan populasi Muslim di New Zealand.
Namun, angka tersebut kekal di bawah 100 sehinggalah selepas berlakunya Perang Dunia Kedua. Hal ini kerana kerajaan menggubal polisi yang menerima kemasukan pelarian, namun dalam bilangan yang terhad. Antara pelarian tersebut termasuklah mereka yang datang dari Turki dan Balkan, yang sebahagian daripadanya itu menetap di Auckland. Bancian tahun 1950an merekodkan bahawa bilangan Muslim di New Zealand mencapai 200 orang. Angka ini termasuklah mereka yang datang dari India, Pakistan, Bangladesh dan Mesir.
Pada tahun 1950, komuniti Muslim yang sudah cukup besar ini bertindak membentuk pertubuhan Muslim buat kali pertama, menerusi pertubuhan New Zealand Muslim Association yang berpusat di Auckland.
PERKEMBANGAN ISLAM PASCA-PENUBUHAN ORGANISASI MUSLIM NEW ZEALAND
Sembilan tahun sesudan pertubuhan tersebut dibentuk, mereka berupaya mengutip dana yang cukup untuk membeli sebidang tanah di Ponsonby pada tahun 1959 untuk dijadikan sebagai Pusat Islam. Kira-kira setahun kemudian, pertubuhan ini membawa masuk imam pertama mereka, iaitu Maulana Ahmed Said Musa Patel (1937-2009) yang datang dari Gujerat. Selain bertugas mengimamkan solat fardhu lima waktu pada setiap hari, Maulana Ahmed Said Patel juga bertanggungjawab memimpin kelas pembelajaran al-Qur’an, di mana beliau bermula dengan mengajar hanya seramai 23 orang sahaja dalam kumpulan kelas pertamanya. Merentas tahun, bilangan muridnya semakin meningkat.
Walau bagaimanapun, berikutan kekangan kewangan dalam pertubuhan New Zealand Muslim Association, Imam Patel sama sekali tidak memperoleh gaji. Lantaran itu, beliau menceburi pelbagai lapangan kerja demi menyara diri dan keluarganya. Antaranya seperti pembuatan tali, kimpalan dan malah, kerja di kilang. Kekangan ini langsung tidak menghalangnya untuk mencurahkan bakti yang memberi impak besar lagi berpanjangan kepada komuniti Muslim di sana. Antara jasanya yang paling diingati adalah ketikamana beliau menganggotai delegasi rasmi dalam pertemuan dengan majlis perbandaran dalam rangka mengusulkan permohonan kelulusan tanah perkuburan Islam di Auckland.
Perkembangan-perkembangan sebegini disusuli dengan penubuhan dua lagi pertubuhan Muslim, iaitu International Muslim Association of New Zealand (IMANZ) pada tahun 1962 yang berpusat di Wellington dan Muslim Association of Canterbury (CAR) yang ditubuhkan pada 1977. Komuniti Muslim juga mengalami pertumbuhan yang relatif pantas pada pertengahan 1960-an dengan kemasukan imigran-imigran yang lebih ramai dari Asia Selatan, termasuklah warga Fiji-India. Pelajar-pelajar Muslim dari Asia turut datang untuk melanjutkan pengajian di New Zealand. Menurut rekod bancian, populasi Muslim meningkat daripada 260 kepada 779 orang pada tempoh antara 1961 dan 1971. Angka tersebut mencecah sehingga 2500 orang menjelan tahun 1986.
Pada penghujung dekad ketujuh abad tersebut, iaitu bulan Mei 1979, ketiga-tiga wakil pertubuhan Muslim yang disebutkan di atas saling bertemu untuk bergabung dan membentuk Federation of Islamic Association of New Zealand (FIANZ) dengan Mazhar Krasniqi yang lahir di Kosovo dilantik sebagai presiden sebelum digantikan oleh Hajji Abdul Rahim Rasheed yang berasal dari Fiji.
FIANZ memfokuskan hala tujunya untuk “membimbing umat Islam di New Zealand dalam menyebar dan menggalakkan pertumbuhan aktiviti keagamaan, sosial, pendidikan, budaya dan ekonomi yang bertepatan dengan prinsip Islam sebagaimana yang digarispandukan oleh Al-Qur’an dan Sunnah. Di samping itu, FIANZ juga meletakkan aspirasi untuk membina persefahaman yang lebih baik antara komuniti Muslim dan komuniti pelbagai etnik dan agama di New Zealand selain membentuk komuniti Muslim yang boleh hidup secara harmoni dan bersatu padu demi kesejahteraan komuniti negara secara keseluruhan.”
Federasi ini juga bergiat aktif dalam persijilan Halal di samping mengembangkan lagi daging eksport dan cuba mewakili umat Islam di New Zealand pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pada tahun sama, atau bahkan sebelum tertubuhnya federasi tersebut, masjid jamek pertama di New Zealand didirikan di mana pembentangan tapak asas Masjid Ponsonby itu dijalankan pada 30 Mac 1979.
Semenjak memasuki dekad kelapan bagi abad tersebut, pertumbuhan Islam berjalan dengan begitu pesat. Selain bilangan penganutnya terus meningkat dengan kemasukan lebih ramai pendatang, pelarian dan pelajar Muslim dari Asia, Timur Tengah dan Afrika, tempoh tersebut juga menyaksikan sejumlah pertubuhan Muslim terutama di Auckland diasaskan. Misalnya, The Islamic Education and Dawah Trust ditubuhkan pada tahun 1990, di mana pertubuhan tersebut pada hari ini beroperasi di Al Madinah School dan Al Zayad Girls College yang terletak di Mangere, Auckland.
Peristiwa-peristiwa politik di peringkat global jua menjadi antara penyumbang kepada peningkatan drastik populasi umat Islam di New Zealand sejak 1980an. Sebagai contoh, rampasan kuasa yang berlaku di Fiji pada tahun 1987 mengakibatkan sebilangan besar warga Fiji-India melarikan diri ke New Zealand. Begitu juga dengan pendatang daripada Somalia, Iraq, Bosnia, Kosovo dan Afghan. Malahan, penduduk asli New Zealand juga tidak tinggal dari memeluk agama Islam dalam jumlah yang memberangsangkan.
Bancian tahun 2006 menyaksikan populasi Muslim di negara berkenaan mencecah sehingga 36 000 orang, dan mencapai 46 000 sekitar tujuh tahun kemudian (2013). Daripada angka bagi tahun 2013 itu, 75% daripadanya menetap di Auckland dan kira-kira 25% dilahirkan di New Zealand. Statistik kelahiran asal di New Zealand ini tidak jauh lari daripada statistik tahun 1986 iaitu 26%. Daripada bancian tahun 2013 itu juga, sekitar 21% daripadanya lahir di Kepulauan Pasifik dan 26.9% lahir di Asia sementara 23.3.% berasal dari Timur Tengah dan Afrika.
Pada hari ini, presiden International Muslim Association of New Zealand (IMANZ) iaitu Tahir Nawaz dengan bangganya mengumumkan bahawa populasi Muslim di New Zealand mencapai lebih 60 000 orang, atau sekitar 1.35% daripada populasi keseluruhan New Zealand (4.78 juta).
KEHARMONIAN ANTARA AGAMA – CIRI UNIK KOMUNITI MUSLIM DI NEW ZEALAND
Sejak kali pertama bertapak di New Zealand pada 165 tahun yang lalu, Islam dan Muslim di sana memperlihatkan ciri keharmonian antara agama yang cukup menonjol. Misalnya pada awal perkembangan Islam di sana, akhbar tempatan merekodkan tentang bagaimana seorang Muslim bernama Wuzeera melibatkan diri dalam membantu kerja-kerja pembinaan Gereja Christchurch, suatu hal yang menandakan hubungan baiknya dengan komuniti Kristian tempatan, dan juga bagaimana seluruh komuniti bandar itu berdukacita atas kematiannya.
165 tahun setelah itu, tepat di bandar yang sama, ketikamana 51 nyawa Muslim terkorb4n dalam ser4nan yang dilakukan oleh seorang pengg4nas pagan, hampir-hampir seluruh masyarakat New Zealand atau Kristian secara khusus menunjukkan solidariti tidak berbelah-bahagi kepada umat Islam di sana – berhimpun untuk menjaga keselamatan mereka yang sedang ketakutan, sebahagiannya malah mengenakan hijab sebagai tanda sokongan dan tidak kurang pula ada yang memeluk agama Islam.
Keharmonian antara agama sebegini menjadi ciri unik yang mewarnai keberadaan komuniti agama seperti Muslim di New Zealand, yang berkemungkinan sifat tersebut berakar dan berputik daripada kepelbagaian etnik Muslim di sana itu sendiri, yang mana kepelbagaian seperti ini sentiasa menuntut mereka untuk mengamalkan toleransi dan saling memahami demi memelihara perpaduan dalam kalangan komuniti Muslim secara khusus, dan masyarakat New Zealand secara umum.
Sebelum menamatkan pembacaan, mari kita hadiahkan bacaan Al-Fatehah kepada insan-insan yang terkorban dalam ser4ngan ke atas Masjid Christchurch
RUJUKAN
Faisal Mahmud. (23 Mac 2019). New Zealand mosque attack: Who were the victims? Al Jazeera.
https://www.aljazeera.com/news/2019/03/zealand-mosque-attacks-victims-190316183339297.html
Muslim Directory. (n.d.). History of Islam in NZ.
https://muslimdirectory.co.nz/history-islam-nz/
Sumayyah Meehan. (2 April 2019). The History of Muslims in New Zealand. Why Islam.
https://www.whyislam.org/islam-across-the-globe/newzealand/
Colleen Ward. (2011). Muslims in New Zealand. Victoria University of Wellington.
https://www.wgtn.ac.nz/cacr/research/identity/muslims-in-new-zealand
The history of NZ’ Muslim population. Victoria University of Wellington.
https://www.wgtn.ac.nz/news/2019/03/the-history-of-nzs-muslim-population
William Shepard. (Disember 2006). New Zealand’s Muslims and Their Organisations. New Zealand Journal of Asian Studies 8,2: 8-44.
http://www.nzasia.org.nz/downloads/NZJAS-Dec06/4Shepard2.pdf
Ahmad Hidayat Buang. (31 Disember 2002). Islam and Muslims in New Zealand. Jurnal Usuluddin: University of Malaya.
https://ejournal.um.edu.my/index.php/JUD/article/view/4064
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih