Ahad, 18 Oktober 202618 Okt 2026
Sejarah Perkembangan Islam Di Jepun
Mutiara Islam

Sejarah Perkembangan Islam Di Jepun

Tidak seperti di sesetengah negara Asia, Islam hanya tiba di Jepun menjelang abad ke-19. Walaupun cahaya tauhid datang lewat di bumi Matahari Terbit itu tetapi itu tidak menghalang ramai orang untuk belajar mengenali dan mengamalkan agama Islam.

Di sebalik semua ini, tidak ramai tahu pengaruh Islam di Jepun sebenarnya sudah mula dirasai lebih lama sebelum abad ke-19 lagi dan impaknya kepada negara itu untuk abad-abad seterusnya.

Sejarah awal

Walaupun ramai sejarawan berpandangan Islam hanya sampai di Jepun pada abad ke-19, hubungan antara Jepun dengan negara-negara Islam sudah lama wujud sejak era kerajaan Bani Abbasiyyah lagi. Ini berdasarkan kewujudan set koleksi objek yang berasal dari Parsi dan Timur Tengah kepunyaan Maharaja Shomu yang memerintah dari 724 hingga 749 Masihi.

Selain itu, wujud hujah yang memberi pandangan Islam turut memberi kesan kepada reformasi agama Buddha Jepun yang diamalkan semasa lewat era Heian (1185-1333) dan era Kamakura (1185-1333). Tempoh reformasi ini juga selari dengan kemuncak hubungan perdagangan yang muncul dari Laluan Sutera antara kerajaan Abbasiyyah dengan negara-negara Timur Jauh termasuk Jepun.

Dan pada abad ke-15, sudah wujud hubungan perdagangan dan diplomatik antara Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan Ryukyu. Terdapat pelbagai bukti yang memperlihatkan impak hubungan dua hala kedua-dua kerajaan itu seperti mesin tenun ikat yang dibawa ke Ryukyu semasa era Sultan Mansur Shah. Mesin tenun ini digunakan untuk menghasilkan kain Bingata, sejenis kain yang terkenal dengan kehalusan kualitinya sehinggakan industri tenun kain itu dibawa ke pulau-pulau besar Jepun sekitar abad ke-17 selepas Ryukyu didominasi oleh wakil Keshogunan Tokugawa, Shogun Satsuma.

Pada tahun 2003 pula, sebilah keris yang berukuran 22 cm dan mempunyai sembilan lok ditemui di Kuil Enkakuji berhampiran dengan Istana Shurijo bukan saja mengesahkan hubungan Melaka-Ryukyu tetapi juga mengesahkan kehadiran pelayar-pelayar Islam dari Nusantara di Jepun. Perkara ini pernah dinyatakan dalam satu artikel The Patriot tidak lama dahulu.

Meiji dan Uthmaniyyah

Semasa
era Keshogunan Tokugawa, tiada sebarang rekod berkenaan mana-mana agama
termasuk Islam dan Kristian berikutan dasar tutup pintu yang diamalkan
keshogunan itu selama dua abad iaitu abad ke-17 dan abad ke-18. Tetapi selepas
keruntuhan keshogunan pada tahun 1868 dan kembalinya institusi maharaja
menerusi zaman Pemulihan Meiji, Islam kembali ke Jepun melalui jalan diplomatik
yang dirintis antara Tokyo dengan Empayar Turki Uthmaniyyah. Kedua-dua kerajaan
berkongsi banyak persamaan termasuk masih merdeka dari penjajahan kuasa-kuasa
asing.

Kedua-dua kerajaan saling bertukar lawatan rasmi dengan Jepun menghantar Putera Komatsu Akihito ke Istanbul pada tahun 1887 sebagai permulaan hubungan diplomatik Tokyo-Istanbul. Kerajaan Uthmaniyyah kemudian menghantar kapal frigatnya Ertugrul ke Jepun pada tahun 1890 diketuai Laksamana Ali Osman Pasha.

Rombongan ini membawa hadiah-hadiah khas untuk Maharaja Meiji yang dikurniakan oleh Sultan Abdul Hamid II. Tetapi semasa dalam perjalanan pulang, kapal frigat itu karam selepas dilanda ribut dan berlanggar dengan batu karang pada tengah malam 18 September 1890 yang menyaksikan 533 anak kapal termasuk Laksamana Ali Osman terbunuh dengan 69 lagi terselamat selepas diselamatkan oleh kapal-kapal Jepun dan kapal penembak Jerman.

Tragedi ini merupakan batu asas kepada hubungan erat Tokyo-Istanbul dengan sebuah monumen dan perkuburan khas disediakan untuk 150 mangsa di Kushimoto, Wakayama pada tahun 1891. Selepas kejayaan mengalahkan Rusia pada Perang Rusia-Jepun (1904-1905) dan Revolusi Oktober yang menyaksikan kebangkitan golongan komunis, Jepun mengalu-alukan kehadiran komuniti Islam etnik Turki seperti Turkoman, Uzbek, Tajik, Kyrgz dan Kazakh yang melarikan diri dari kekejaman Bolshevik di Jepun.

Tujuan ini bukan sekadar menunjukkan rasa simpati terhadap kelompok Turki tetapi juga bertujuan mendapatkan sekutu baru berikutan berkongsi musuh yang sama iaitu Rusia. Kumpulan pelarian ini bukan sahaja membantu menambah bilangan populasi Muslim di Jepun tetapi juga bertanggungjawab menyebarkan syiar tauhid ke seluruh pelosok Jepun. Selain mereka, Jepun turut menyaksikan kehadiran pegawai-pegawai tentera Mesir yang menawarkan diri berkhidmat di bawah panji negara Matahari Terbit. Mereka menawarkan diri kerana kagum dengan kejayaan Tokyo mengatasi Rusia yang dianggap kuasa besar dunia ketika itu. Walaupun sesetengah daripada mereka kemudiannya pulang ke tanah air, ada yang memilih untuk kekal di Jepun dan berkahwin dengan penduduk tempatan.

Semasa
Perang Dunia Kedua (WWII) pula, kelompok nasionalis dan tentera Jepun melihat
Islam sebagai alat untuk menawan hati penduduk. Justeru, pelbagai pertubuhan
dan pusat kajian berkenaan Islam ditubuhkan dengan tujuan bukannya atas tujuan
dakwah tetapi memudahkan usaha penjajahan Jepun ke komuniti Muslim di China dan
Asia Tenggara. Pusat-pusat ini ditubuhkan atas sentimen anti-Barat dan bergiat
aktif di banyak tempat termasuk Timur Tengah dan semasa musim haji. Selain
pusat-pusat yang dibiayai pihak kerajaan, ada juga pertubuhan bukan kerajaan
yang aktif memperjuangkan nasib umat Islam di negara-negara yang dijajah
kuasa-kuasa Barat. Tetapi selepas Jepun kalah dalam WWII, kebanyakan organisasi
ini dibubarkan kerana dilihat sebagai alat propaganda kerajaan tentera ketika
itu. Selepas tamat pendudukan Amerika Syarikat di Jepun pada tahun 1952,
organisasi-organisasi Islam mula muncul dan kembali aktif dalam aktiviti
dakwah.

Pada
tahun 1970-an, wujud satu trend yang dikenali sebagai Islamic Boom di Jepun
selepas tercetusnya krisis minyak pada tahun 1973. Fenomena ini timbul
berikutan kepentingan negara-negara Arab sebagai negara pengeluar minyak
diambil kira oleh Tokyo dan ini membawa kepada publisiti yang banyak
membabitkan negara-negara Islam. Justeru, tidak hairanlah ramai warga Jepun
ketika itu memeluk Islam. Tetapi tidak ramai yang melakukannya kerana
benar-benar jatuh cinta dengan Islam. Sebaliknya, ada yang berbuat demikian kerana
atas dasar kagum atau sekadar mengikut trend. Justeru selepas krisis minyak
tamat, ada yang memilih kembali ke agama asal.

Pada
tahun 80-an pula, bilangan populasi umat Islam di Tokyo semakin bertambah
berikutan migrasi pekerja-pekerja Asia ke Jepun seperti Bangladesh, Iran,
Indonesia dan Malaysia. Migrasi ini berlaku bagi membantu Tokyo menangani
masalah kekurangan pekerja bagi memenuhi keperluan industri di situ. Pada
mulanya, mereka ini bekerja di industri atau perniagaan kecil pada tahun 90-an.
Tetapi mereka berjaya mendapat status penduduk tetap dengan berkahwin dengan
penduduk tempatan. Tahun 1990-an turut menyaksikan kemunculan ribuan pelajar
dari negara-negara Islam yang melanjutkan pelajaran di Jepun. Sesetengah
daripada mereka ini memilih terus menetap di Jepun dan bekerja dengan
firma-firma besar di sana.

Usaha
penyebaran Islam di Jepun tidak akan berhasil tanpa kehadiran ramai dai’e dan
ulama yang banyak menyumbang kepada populasi umat Islam Jepun hari ini.
Misalnya selepas Perang Rusia-Jepun, antara figura utama yang menyumbang kepada
perkembangan Islam di Jepun ialah Abdul Rasheed Ibrahim (Rusia) dan Muhammad
Barakatullah (India). Sementara tahun 30-an hingga 70-an pula menyaksikan
kemunculan dai’e seperti Abdul Hayy Qurban Ali, Alimullagh Siddiqi (India),
Sheikh Abdullah Togai (Mesir), Abdul Rasheed Arshad dan Sayed Jamel (Pakistan).
Mereka bukan saja berdakwah tetapi juga bertanggungjawab menerbitkan bahan
bacaan Islam termasuk majalah bagi menyampaikan mesej agama itu kepada
masyarakat di luar sana. Antara majalah yang diterbitkan ialah Islamic
Fraternity yang diterbitkan oleh Barakatullah dari 1910 hingga 1913 dan majalah
Yapan Makhbari dalam Bahasa Tatar oleh Abdul Hayy.

Selain menyumbang kepada perkembangan dakwah dan intelektual Islam, mereka juga bertanggungjawab menubuhkan masjid-masjid terawal di Jepun terima kasih kepada hubungan baik yang dijalin dengan kerajaan Jepun dan sumbangan derma dari dalam dan luar Jepun. Antara masjid-masjid terawal yang dibina ialah Masjid Nagoya (1931), Masjid Kobe (1935) dan Masjid Jamek Tokyo/Tokyo Camii (1938). Masjid yang paling terkenal sudah tentu Tokyo Camii kerana dana pembinaannya bukan saja disumbang oleh Tokyo tetapi juga oleh zaibatsu (firma-firma besar perniagaan) seperti Mitsubishi.

Semasa ia dibuka pada tahun 1938, ia dihadiri oleh ramai figura utama bukan saja dari Jepun tetapi dari dunia Islam itu sendiri. Tetapi pada tahun 1986, ia terpaksa dirobohkan berikutan masalah struktur yang serius pada masjid. Masjid itu dibina semula pada tahun 1998 dan siap dibina pada tahun 2000 dengan biaya dari kerajaan Turki berjumlah 1.5 bilion yen (RM 57.825 juta) dan reka bentuknya menyerupai reka bentuk Masjid Biru di Istanbul.

Selain
para dai’e dan ulama, usaha perkembangan Islam di Jepun turut disokong oleh
pertubuhan seperti Persatuan Muslim Jepun (JMA) dan Pusat Islam Jepun (ICJ). Aktiviti-aktiviti
yang digerakkan mereka seperti usaha terjemahan Al-Quran, penerbitan bahan
bacaan Islam, menganjurkan seminar dan program Islam untuk kelompok bukan
Islam, kelas pengajaran bagi anak-anak beragama Islam, penganjuran
kuliah-kuliah atau halaqah, penganjuran program latihan untuk pemimpin-pemimpin
komuniti Islam dan menghantar pelajar melanjutkan pelajaran ke negara-negara
Islam. Selain itu, mereka juga bertanggungjawab meraih sumbangan dana dari
negara-negara Islam khususnya agensi-agensi kerajaan untuk tujuan pembangunan
ummah.

Negara-negara
luar turut membantu kepada perkembangan Islam di Jepun. Bukanlah satu rahsia
negara-negara seperti Turki dan Arab Saudi menyalurkan dana, menerbitkan bahan
bacaan Islam, menghantar para dai’e dan menyediakan biasiswa bagi pelajar asing
melanjutkan pelajaran di negara-negara mereka. Pada tahun 1974, Arab Saudi
menghantar sekumpulan dai’e ke Jepun untuk tujuan dakwah.

Selain
negara-negara luar, usah dilupa peranan agama Islam itu sendiri terhadap
penduduk tempatan. Sesetengah warga Jepun memilih Islam sebagai agama selepas
mempunyai hubungan dengan pengamalnya. Menariknya di sini, majoriti yang
memeluk Islam ialah wanita yang berkahwin dengan ekspatriat negara-negara Islam
seperti Turki, Malaysia dan Indonesia. Walaupun ada yang meragui keikhlasan
sesetengah wanita ini, ada yang memang memeluk Islam kerana jatuh cinta dengan
kesyumulan agama itu.

Cabaran dakwah di Jepun

Namun,
usaha dakwah di negara di mana umat Islam merupakan minoriti bukanlah sesuatu yang
mudah. Ini kerana masih ramai warga Jepun yang masih jahil terhadap Islam atau
mempunyai pengetahuan yang sedikit. Keadaan ini bukan saja mengakibatkan salah
faham terhadap Islam bahkan secara tidak langsung, mengakibatkan Jepun
kehilangan peluang keemasan merebut kek ekonomi pelaburan di negara-negara
Islam. Keadaan ini tidak dibantu dengan maklumat-maklumat bersifat negatif
berkenaan Islam yang disampaikan media massa yang mempengaruhi mentaliti warga
Jepun sehingga hari ini.

Selain itu, tumpuan komuniti Islam di bandar-bandar besar seperti Tokyo, Nagoya dan Osaka menyukarkan usaha penyebaran dakwah ke bahagian lain negara Jepun. Di samping itu, saiz komuniti mereka yang kecil mendorong mereka bergaul dengan komuniti Islam dari luar. Walaupun pada dasarnya ia memudahkan pelbagai urusan termasuk soal ibadat dan akses kepada makanan halal, ia turut mewujudkan persepsi bahawa agama Islam merupakan agama asing dan ini mematikan sebarang hubungan yang dibuat dengan komuniti bukan Islam.

Komuniti Islam Jepun juga mempunyai masalah kekurangan dai’e tempatan dan terpaksa bergantung kepada dai’e luar sekaligus mewujudkan masalah komunikasi dengan penduduk tempatan. Ini kerana dai’e-dai’e luar ini bukan saja tidak fasih dalam Bahasa Jepun tetapi tidak memahami adat dan budaya masyarakat tempatan. Semua ini menyumbang kepada mengapa aktiviti dakwah kadangkala tidak berkesan.

Tambahan
pula, umat Islam sendiri turut berhadapan dengan sikap sinis dan curiga pihak
berkuasa lebih-lebih lagi selepas serangan 11 September. Pada tahun 2010, 114
fail pengawasan Muslim di seluruh negara Jepun dibocorkan yang menyaksikan
masjid, restoran halal dan pertubuhan Islam menjadi sasaran. Akibatnya, 17
Muslim Jepun berdarah Timur Tengah dan Afrika Utara menyaman pihak kerajaan kerana
melanggar hak-hak mereka yang dijamin perlembagaan. Menurut Muhamad Fujita
(bukan nama sebenar), “Mereka (kerajaan) menjadikan kami suspek pengganas, kami
tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.”

Pada tahun 2016, Mahkamah Agung memutuskan langkah pengawasan tersebut sebagai wajar selepas menolak rayuan kedua yang difailkan 17 plaintif itu. Namun, hakim tidak membuat sebarang penghakiman berkenaan taktik memprofil dan pengawasan yang dibuat pihak berkuasa. Kumpulan plaintif bagaimanapun diberi pampasan 90 juta yen (RM 3.46 juta) sebagai ganti rugi pencabulan privasi yang tercetus akibat kebocoran fail-fail itu.

Justeru bila ditanya tentang kes ini, pemberi maklumat merangkap bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara (NSA), Edward Snowden berkata, “Orang Islam lebih berkemungkinan menjadi sasaran walaupun tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah atau ada kaitan dengan individu sebegitu dalam latar belakang mereka, hanya disebabkan orang ramai merasa takut.”

RUJUKAN:

1.
Fathil, Fathiah dan Fathil, Fauziah. (2011). Islam in Minority Muslim
Countries: A Case Study on Japan and Korea. World Journal of Islamic History
and Civilization, 1 (2): 130-141, ISSN 2225-0883. IDOSI Publications. https://pdfs.semanticscholar.org/7a66/383283a9ce7cc3817dd66541065ba2d6e70f.pdf

2.
Payton, Matt. (2016). Japan’s top court has approved blanket surveillance of
the country’s Muslims. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/world/asia/muslims-japan-government-surveillance-top-court-green-lit-islamaphobia-a7109761.html

3.
Siddiqui, Samee. (2014). Japan’s rich Muslim past and present. Al-Jazeera. https://www.aljazeera.com/indepth/features/2014/11/japan-rich-muslim-past-present-2014112115633107534.html

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet