Siapa pernah guna dompet Alien Workshop? Tentunya dia sudah tua kini. Memori menggamit kenangan pada zaman 90-an dulu. Betapa bersusah-payahnya kita berusaha hendak mendapatkan barang yang tular pada zaman itu supaya nampak hebat dengan kawan-kawan.

Bayangkan dunia tanpa dompet. Bagaimana agaknya masyarakat membawa duit merata-rata? Mesti bersepah-sepah, tambah pula dengan pelbagai jenis kad selain kad pengenalan atau lesen memandu.

Dikenali dengan bahasa Perancis sebagai “le porte-monnaie” dan kepada penutur bahasa Sepanyol sebagai “la cartera” atau “wallet” dalam Bahasa Inggeris, dompet adalah bekas kecil yang sering digunakan untuk menyimpan wang tunai, dan benda kecil lain seperti kad kredit, kad bank, lesen memandu, kad pengenalan dan barangan berharga lain. Biasanya ia diperbuat daripada kain seperti kulit, atau plastik tiruan.

Biasanya, dompet dikaitkan dengan lelaki, kerana kebanyakan wanita membawa objek serupa yang dikenali sebagai purse. Walau bagaimanapun, dalam masyarakat moden, ramai wanita kini juga membawa dompet kerana ia lebih kecil dan lebih mudah dibawa. Kebanyakan wanita membawa beg tangan dengan dompet yang terselit di dalamnya.

Sejak wujudnya wang kertas sekitar abad ke-15 dan 16, dompet juga tercipta seiring dengan popularnya penggunaan wang kertas bagi urusan perniagaan. Walaupun sebelum itu, wang syiling mendominasi dunia perdagangan, sudah ada kantung atau bekas seumpama dompet tetapi ia lebih kepada penyimpanan duit syiling yang berat jika banyak kuantitinya.

Walaupun sebelum permulaan wang kertas, manusia sering memerlukan cara untuk membawa segala-galanya daripada makanan hinggalah kepada duit syiling. Sebelum dompet moden dan mata wang moden muncul, dompet duit syiling dan bekas kecil untuk membawa barangan berharga adalah benda yang sering dibawa ke mana-mana.

Figure 1″Dompet” Otzi The Iceman

Dalam salah satu contoh yang tertua di dunia, kembali ke tahun 3300 SM, Otzi the Iceman ditemukan dengan dompet syiling yang dilekatkan di pinggulnya. Beg duit syiling ini termasuk pisau, batu permata dan sebilangan kecil makanan. Tidak hairanlah jika manusia pada zaman itu mencari jalan untuk membawa keperluan penting dengan cara begini. Otzi juga sebenarnya agak ‘hipster’ dalam berfesyen pada ketika itu.

Melangkah ke depan beberapa ribu tahun, warga Greek dan Rom sering membawa dompet yang dilekatkan di pinggul atau tersembunyi di lipatan jubah atau togas (pakaian orang Rom) mereka. Menjaga permata mereka berhampiran dengan … “permata” mereka. Mereka akan membawa semuanya, dari nota-nota kecil kepada duit syiling kecil biasa yang digunakan sebagai mata wang.

Figure 2 Hermes dan “dompet”nya

Dewa-dewa Yunani kuno, seperti Hermes, membawa pesan-pesan dengan dompet dan satchelnya. Malah di Pompeii, ahli arkeologi mendapati bukti pelbagai jenis dompet duit syiling banyak dimiliki oleh masyarakat di sana. Walaupun banyak dompet jenis ini hilang di telan zaman sejak dua ribu tahun nan silam, tinggalan dompet purba ini kekal, mempamerkan kepentingan penggunaannya dalam masyarakat ketika itu.

Baik, dompet yang dikatakan ‘dompet’ itu direka seawal 1300-an, digambarkan sebagai beg yang membawa barang-barang berharga. Menjelang 1600-an, dengan peningkatan penggunaan mata wang kertas, dompet jenis rata menjadi perkara popular untuk dipakai dengan penuh bergaya.

Dalam tempoh zaman Renaissance, dompet dari yang sangat biasa hingga yang sangat indah, dengan jahitan unik sering dipamerkan. Pada masa ini, dompet masih melekat pada pinggul dan orang membawa semuanya dari duit kertas hingga kepada cebisan makanan. Namun, ia menjadi kebimbangan utama masyarakat kerana ia mudah dipotong oleh pencuri disebabkan sering terdedah menjadikan barang berharga mereka lebih mudah dicuri.

Menjelang 1834, mata wang kertas dan kehidupan di bandar telah menjadi sebahagian daripada norma masyarakat. Dompet jenis ‘flat case’ dilahirkan pada tempoh masa ini. Ia sering dianggap tidak sesuai untuk membawa dompet seseorang di dalam saku mereka, jadi sebaliknya dompet akan dipasang pada tali pinggang dan ditunjukkan secara luaran.

Lebih gemuk dompet, semakin penting lelaki itu, umpama gadis yang memandang lelaki bawa kereta ‘H’. Secara paradoks, golongan kaya kurang membawa dompet berbanding golongan kelas menengah Amerika. Walau bagaimanapun, ia tetap meraih populariti dan digunakan sepanjang tahun-tahun 1800-an secara eksklusif oleh lelaki.

Kita menganjak ke 100 tahun seterusnya, syarikat Hermes mula mencipta barang-barang kulit untuk kehidupan seharian termasuk beberapa dompet “moden” yang pertama. Dalam tahun-tahun 20-an, di tengah-tengah lonjakan ekonomi dan revolusi industri, dompet mula menjadi satu fesyen yang harus dimiliki.

Hermes melihat peluang ini untuk mencipta seni yang unik dan menghasilkan barang-barang gaya hidup diinspirasi daripada kulit pelana kuda. Ketahanan kulit yang ketat dan warna yang unik tidak lama kemudian menarik minat orang ramai, dan Hermes mula menonjolkan dirinya sebagai jenama barang mewah terkemuka seperti dompet, dan aksesori gaya hidup.

Selepas perang, kebangkitan gaya fesyen dan ledakan perdagangan kewangan membawa kepada perubahan peranan dompet yang lebih besar. Kad kredit, wang tunai, dan buku nota kecil semuanya dimasukkan ke dalam dompet. Dompet bergaya ala-Paris menjadi antara pilihan fesyen. Selain itu, dengan kulit dan warna eksotik untuk dipadankan dengan setiap pakaian, dompet menjadi bahagian penting dalam penggayaan lelaki dan wanita.

Figure 3 Salah satu iklan dompet tahun 50-an

Walaupun tahun 1950-an menyaksikan zaman kegemilangan dompet fesyen yang melonjak, era 70-an hingga 80-an menyaksikan evolusi dompet yang lebih mudah dan ringkas. Perubahan kepada warna gelap, berantai, jenis nilon, dan tekstil moden yang lain menjadikan dompet lebih banyak pilihan dan mudah dibeli oleh semua orang. Manakala, dompet velcro menjadi antara fesyen popular sepanjang 90-an (termasuk jenama Alien Workshop itu!)

Figure 4 Dompet jenis velcro

Memasuki abad ke-21 ini, peranan dompet mungkin tidak sehebat ketika mata wang fizikal berserta kad-kad fizikal perlu dibawa ke mana-mana. Teknologi telah banyak merubah kehidupan manusia, juga termasuk sekali dompet. Penggunaan e-wallet semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana tidak memerlukan wang fizikal dan boleh dikatakan selamat daripada dicuri.

Walau bagaimanapun ia masih juga terdapat kelemahan yang mana ia juga boleh ‘dicuri’ melalui kepakaran penjenayah yang tahu selok belok penggodaman. Tidak mustahil satu ketika nanti, kita hanya perlu bawa telefon pintar sahaja untuk menunjukkan kad pengenalan, lesen, kad kredit, kad nikah, ataupun kad keahlian tanpa perlu membawa dompet fizikal lagi.

RUJUKAN:

  1. Wallet Origins and the History of the Everyday Essential. https://www.padandquill.com/blog/2017/03/09/wallet-origins-and-history/
  1. THE HISTORY OF THE WALLET: FROM COINS TO PAPER TO PLASTIC. https://www.bigskinny.net/the-history-of-the-wallet.html
  1. Brief Overview and History of The Wallet. https://www.streetdirectory.com/travel_guide/34774/modelling/brief_overview_and_history_of_the_wallet.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.