Ketika menelusuri sejarah penciptaan kotak kadbod, tidak dapat tidak kita perlu mengimbau sejarahnya yang dirintis sejak abad pertama atau ke-2 Sebelum Masehi lagi. Pada waktu itu, Dinasti Han di Cina mula menghasilkan kertas dan pada masa-masa itu jugalah dipercayai bahan-berasaskan kayu buat pertama kalinya digunakan untuk tujuan pembungkusan di mana dalam keadaan ini, kulit-kulit kayu pokok mulberi adalah bahan utama yang digunakan untuk membungkus makanan.

Menerusi kewujudan laluan sutera dan hubungan perdagangan di antara kerajaan-kerajaan Eropah dan Cina, barangan seperti kertas, kadbod dan bahkan teknologi percetakan tersebar secara meluas. Walaupun kadbod dikatakan sampai di Eropah semenjak sebelum abad ke-17M, ia disebutkan buat kali pertama dalam sebuah manual bertajuk Mechanick Exercises karangan Theodore Low De Vinne dan Joseph Mixon.

Namun dalam catatan tersebut, kegunaan kadbod dirincikan lebih cenderung sebagai lembaran untuk ditulis, bukannya sebagai kotak penyimpanan. Antara penggunaan terawal yang memasyhurkan kotak kadbod adalah apabila ia digunakan sebagai bahan untuk memainkan sebuah permainan papan Jerman yang dikenali sebagai The Game of Besieging sekitar tahun 1817M.

Pada sekitar masa yang sama, atau lebih umum pada abad ke-19, bentuk awal yang mempelopori bentuk kotak kadbod yang kita kenali pada hari ini pun muncul. Pada abad itu, kotak kadbod mula digunakan oleh pelbagai syarikat untuk tujuan penyimpanan dan pembungkusan bagi memudahkan ianya dieksport. Misalnya pada sekitar 1840an, pengilang-pengilang sutera dari Jepun menghantar telur-telur rerama dengan membungkusnya menggunakan kadbod untuk dihantar ke Eropah.

Ketika menelusuri sumber-sumber yang memerihalkan sejarah penciptaan kotak kadbod, kebanyakannya memulakan dengan dua orang Inggeris yang merupakan penjual topi iaitu Edward C. Healey dan Edward E. Allen. Pada tahun 1856, mereka menjalankan bisnes menjual topi. Untuk mendapatkan kualiti topi yang tinggi, mereka memerlukan suatu bahan yang boleh bertindak sebagai bingkai yang berupaya mengekalkan bentuk topi dan dalam masa yang sama, memberikan keselesaan kepada pemakai.

Maka pada tahun yang sama, mereka pun mencipta kertas beralun (atau berlisu [corrugated paper]) yang mampu memenuhi keperluan tersebut dan penciptaan tersebut dipatenkan di England pada tahun sama. Di peringkat ini, penemuan kaedah penciptaan kertas berlisu itu masih digunapakai bagi tujuan penghasilan topi yang berkualiti.

Memasuki tahun 1871, Albert Jones dari New York mematenkan sebuah kaedah untuk menambah baik ciri kertas yang digunakan untuk tujuan pembungkusan.

Namun, individu yang dikreditkan secara global sebagai pencipta kotak kadbod yang kita kenali kini adalah Robert Gair yang merupakan pemilik sebuah syarikat kertas di Brooklyn. Segalanya bermula pada suatu hari di tahun 1879 apabila seorang pekerjanya melakukan kesilapan semasa memotong dan melipat kertas yang sedang diproses untuk menjadi beg yang memuatkan biji benih.

Melalui kejadian tersebut, Gair menyedari suatu perkara yang ringkas tetapi tidak pernah terlintas dalam fikiran mana-mana pengusaha kilang pemproses kertas sebelum ini. Dengan sedikit penyelarasan pada mesin pemotong dan pelipat, kertas yang diproses itu berupaya melakukan kedua-dua kefungsian tersebut dengan lebih pantas. Dicatatkan menerusi kaedah yang ditemukan oleh Gair ini, kilangnya mampu memotong dan melipat sekitar 750 kepingan kadbod dalam masa satu jam sekaligus merintis kepada kerancakan industri pembungkusan.

Pada peringkat awal, kotak-boleh-dilipat yang dikeluarkan oleh syarikat milik Gair ini digunakan untuk membungkus barangan kecil seperti teh, tembakau, ubat gigi dan barangan kosmetik. Antara klien terawal yang diterima oleh beliau adalah Great Atlantic & Pacific Tea Company, Colgate, Ponds dan pengilang tembakau P. Lorillard. Memasuki 1896, Gair meraih klien terbesarnya iaitu National Biscuit Company atau Nabisco yang menempah sebanyak 2 juta kotak kadbod daripada Gair. Pada dekad ini juga, pengeluar bijirin sarapan terkemuka Kellog’s memasyhurkan penggunaan kadbod sebagai bahan pembungkus yang efisien.

Iklan biskut keluarkan Nabisco dan potret Gair

Sejak itu, pelbagai barangan dapat dibungkus dan dieksport dengan lebih selamat dan mudah. Hal ini boleh dianggap sebagai pemicu kepada pertumbuhan perdagangan antarabangsa di mana ia masih berterusan digunapakai sehingga ke hari ini dan malah mungkin di masa-masa akan datang.

Baik sebagai kotak piza, pembungkus bijirin sarapan, penyimpan barang, bahan utama untuk kerja DIY, alas tidur, atau pelbagai lagi kegunaan lain, kotak kadbod sejak zaman-berzaman memberikan kemudahan kepada kelangsungan kehidupan harian manusia dan malah haiwan seperti kucing. Kefungsiannya yang pelbagai itu malah diabadikan sebagai simbol imaginasi oleh kartun animasi Spongebob Squarepants.

Ibarat apa yang digambarkan dalam episod ini, dengan kotak manusia dapat mengimaginasikan pelbagai fungsi yang mungkin langsung tak pernah terfikir orang lain

RUJUKAN

Jake Rossen. (5 Ogos 2019). Who Invented the Cardboard Box? Mental Floss.
http://mentalfloss.com/article/576853/who-invented-the-cardboard-box

Matt Blitz. (9 Februari 2015). The Invention of the Cardboard Box. Today I Found Out.
http://www.todayifoundout.com/index.php/2015/02/invention-cardboard-box/

Pack-Design. (19 Mac 2019). Who Knew? The Unique History of the Cardboard History.
https://www.pack-design.com/knew-unique-history-cardboard-box/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.