Semasa berada di puncak kegemilangannya, Tamadun Rom mempunyai jajahan takluk yang luas. Dari Mesir di selatan, Syam di sebelah timur, Semenanjung Iberia di sebelah barat dan Britain di sebelah utara, ia sememangnya satu pemandangan menakjubkan buat pemerintahnya. Tetapi untuk menakluk Britain bukan sesuatu yang mudah, hakikat yang diketahui oleh Julius Caesar dan Claudius.
Batu asas penaklukan diletakkan oleh Caesar pada musim panas 55 SM. Selepas berjaya menjadikan Gaul (Perancis moden) sebahagian daripada jajahan Rom, beliau mengalihkan perhatiannya kepada Britannia (Britain moden). Ini kerana Caesar tahu ketua-ketua puak Gaul yang terselamat daripada kempennya melarikan diri ke sana dan membentuk pakatan dengan ketua-ketua puak Britannia.
Brittania pada dasarnya dianggap mitos bagi orang Rom. Ini kerana pulau tersebut terletak di sempadan paling utara yang diketahui mereka. Lantas, ada saja mitos berkenaan tempat itu termasuk kejijikan mereka mengambil susu sebagai bahan minuman. Walaupun ada pedagang membawa berita dari wilayah berkenaan, ia tidak mencukupi bagi Caesar merencana operasi penaklukannya.
Lantas, apabila beliau tiba di situ pada musim panas 55 SM, ia bersifat peninjauan daripada penaklukan berskala besar. Bagaimanapun, niat mereka sudah dihidu oleh penduduk tempatan lebih-lebih lagi selepas mengetahui kekejaman pihak Rom terhadap orang Gaul. Dengan kereta kuda mereka sebagai senjata, ia merapatkan jurang antara pihak Britannia dengan pihak Rom.
Ini kerana menerusi kereta kuda, pihak Britannica boleh memecah-belahkan pihak musuh kepada unit yang lebih kecil sekaligus menjadi mangsa mudah. Satu-satunya cara mengakali teknik ini ialah tentera berkuda – teknik yang berkesan seperti di Gaul dan Sepanyol. Malangnya, unit kavalri Caesar lewat tiba sekaligus mengundang kesukaran kepada beliau semasa berada di Britannia.
Dengan pemberontakan kembali tercetus di Gaul, beliau memilih untuk berundur dan menguruskan situasi itu. Pada masa sama, Caesar berharap dapat kembali ke Britannica dan menjadikan ia sebahagian daripada jajahan takluk Rom.
Ini kerana orang Gaul dan Britannica berkongsi kemahiran pertarungan yang sama – satu kelebihan yang mahu dimanfaatkan Caesar bila muncul di situ. Dan itu direalisasikan pada 54 SM dengan kehadiran 10 buah kapal membawa legion beliau ke Britannia. Walaupun berjaya mara ke Thames, aktiviti penaklukan sekali lagi ditangguhkan selepas Caesar mendapat tahu kapal-kapal perangnya musnah dibadai ribut.
Puak-puak Britannica yang kecut perut dengan kekuatan Rom memilih untuk menggembleng kekuatan di bawah pimpinan Cassivellaunus. Pakatan yang dibentuk membunuh bukan sedikit orang Rom yang dipimpin Caesar. Tetapi pada akhir konflik, Cassivellaunus bersetuju untuk berdamai dengan pihak Rom. Sebagai pengiktirafan kedudukan mereka di Britannica, ufti dan tebusan akan dihantar ke Rom.
Selepas Caesar dibunuh pada 44 SM, kekacauan membelenggu Rom termasuk perang saudara antara anak saudaranya Octavian (kemudian bergelar Maharaja Augustus) dengan Mark Antony. Selepas Rom diisytiharkan sebagai empayar dengan monarki sebagai tunjang pemerintahannya, Britannia sekali lagi menjadi fokus. Bagaimanapun, pemberontakan di wilayah-wilayah lain mengakibatkan ia terpaksa dibatalkan.
Berbeza pula dengan Maharaja Caligula. angkatan perang baginda sebenarnya sudah sampai di Selat Inggeris. Tetapi ekspedisi ini berakhir dengan baginda mengarahkan tentera-tenteranya membaling lembing ke dalam laut sebelum pulang. Ini merupakan salah satu contoh kegilaan Caligula yang membawa kepada pembunuhan baginda pada Januari 41 SM.
Kegilaan ini juga menjadi asas kepada pembunuhan ahli-ahli kerabat diraja yang ada kaitan dengan baginda. Ironinya, satu-satunya individu yang terselamat daripada pembantaian ini ialah bakal maharaja Claudius. Baginda terselamat kerana baginda merupakan saudara kepada seorang jeneral Rom bernama Germanicus. Dengan sokongan Pengawal Praetorian dan rakyat, Claudius ditabalkan sebagai maharaja Rom terbaru.
Claudius tahu pengaruhnya sebagai maharaja perlu ditingkatkan bagi menjamin sokongan berterusan rakyat dan Senat. Dan cara paling mudah ialah menerusi penaklukan wilayah baru. Britannica dilihat sasaran terbaik untuk merealisasikan keinginan baginda itu.
Dari segi perdagangan, wilayah itu mengeksport banyak komoditi berharga seperti gandum, emas, perak dan besi kepada Rom. Hamba-hamba yang dibekalkan Britannia menjadi tenaga kerja penting untuk Rom. Tetapi satu fakta pahit yang perlu diterima ialah ia bukan jajahan takluk Rom. Dan Claudius mahu mengubahnya.
Pada 43 SM, seorang senator bernama Aulus Plautius diberi amanah untuk merealisasikan visi Claudius. Tidak seperti dua ekspedisi Britannia Caesar sebelum ini, beliau tidak berdepan masalah sebaik tiba di situ. Bagi mengelak mereka membentuk pakatan, Plautius turut menghantar tiga divisyen tentera sebagai cara untuk menakutkan populasi tempatan dan tunduk kepada penguasa baru mereka itu.
Puak-puak Britannia menggunakan taktik serangan hendap dengan harapan melemahkan kekuatan legion yang diketuainya. Mereka juga berharap pemberontakan di luar Britannia termasuk Gaul dapat mengalihkan perhatian Rom. Malangnya, jangkaan mereka meleset sama sekali. Plautius terus menggempur kedudukan mereka dan sedikit demi sedikit, wilayah Britannica jatuh ke tangan Rom.
Bagi menyokong kempen Plautius, Claudius sendiri turun padang dan mengetuai legion-legion Rom menyeberangi Sungai Thames. Legion yang turut mengandungi bakal maharaja Vespasian itu kemudiannya berjaya menewaskan pihak musuh di Camulodonum (Colchester moden). Walaupun hanya berada di Britannia selama 16 hari, itu sudah cukup meletakkan nama Claudius sebaris dengan Caesar dan Augustus.
Dari situ, usaha perluasan jajahan di Britannia diteruskan di sebalik tindakan baginda menggantikan Plautius dengan Publius Ostorius Scapula. Walaupun bengang dengan tindakan maharaja itu, Plautius memahami rasional baginda yang bimbang dengan keselamatannya setiap hari. Selain Plautius, Gnaeus Domitius Corbulo yang mengetuai legion Rom di Jerman turut disingkirkan oleh Claudius.
Bagi mengelak operasi penaklukan kehilangan momentum dan membuktikan pemilihannya sebagai pengganti Plautius tepat, Ostorius mara lebih jauh. Puak-puak Britannia memilih berpakat dengan Rom daripada menjadi mangsa amukan penyerang mereka. Dan itu menyebabkan sebahagian besar Britannia dalam kawalan kerajaan itu.
Dengan keadaan keselamatan berada pada tahap terkawal, petempatan-petempatan Rom mula dibuka. Antara petempatan yang dibuka ialah Camulodonum, Londinium (London moden) dan Verulamium (St Albans).
Tetapi itu tidak bermakna pemimpin-pemimpin Britannia berdiam diri. Antara raja Britannia yang terkenal ialah Caratacus yang menjadi duri dalam daging dalam kempen Plautius dan Ostorius. Bagaimanapun, baginda bernasib malang apabila permaisuri puak Brigante, Cartimandua mengarahkan baginda ditangkap dan diserahkan kepada Rom.
Caratacus merasakan Cartimandua mengkhianati dirinya. Tetapi dengan menyerahkan baginda kepada Rom, Cartimandua menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi kepada mereka dan mengukuhkan kedudukannya. Caratacus kemudian dibawa pulang oleh Ostorius ke Rom dan diarak sebagai simbol kejayaan Rom di Britannica.
Bagaimanapun, baginda tidak dihukum mati oleh Claudius. Ini selepas Caratacus berhujah bahawa dengan membenarkannya terus hidup, ia dapat memberi mesej kepada pemimpin-pemimpin Britannia lain bahawa mereka akan lebih aman di bawah pemerintahan Rom. Lantas, Claudius memberi pengampunan kepada baginda dan membenarkannya menetap di ibu kota kerajaan itu.
Tetapi pemberontakan terbesar yang dihadapi Rom sudah pastinya Boudica. Boudica merupakan permaisuri kepada raja puak Iceni, Prasutagus. Selepas mangkat sekitar 60/61 Masihi, baginda mewasiatkan sebahagian wilayah Iceni diserahkan kepada Rom dan sebahagian lagi terus ditadbir oleh mereka.
Bagaimanapun, Rom tiada niat untuk menghormati wasiat Prasutagus. Semua wilayah Iceni dirampas mereka dengan Boudica dipukul dan puteri-puterinya dirogol. Murka dengan tindakan kejam Rom itu, baginda mengumpul kekuatan ketenteraan dan melancarkan pemberontakan terhadap Rom di Britannia.
Amukan Boudica menyaksikan lebih 70,000 orang awam terbunuh dan petempatan-petempatan Rom dibakar termasuk Londinium. Tetapi ia berjaya disekat oleh Gabenor Britannica ketika itu, Gaius Suetonius Paulinius dengan angkatan perang baginda dimusnahkan. Boudica memilih untuk membunuh diri daripada menyerah diri kepada pihak Rom.
Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Gnaeus Julius Agricola mengetuai kempen Rom ke utara Britannia. Agricola yang juga bapa mertua Maharaja Tacitus mengembalikan disiplin dalam kalangan tentera di situ sebelum mara ke sempadan Caledonia (Scotland) dan utara Wales. Tempohnya sebagai Gabenor Britannia membantu wilayah tersebut kembali stabil dan makmur.
Menjelang era Maharaja Hadrian, keperluan membina tembok sempadan di Britannia dilihat penting. Atas sebab itu, sebuah tembok batu berukuran 118 km panjang dibina. Walaupun mengambil masa lama disiapkan dan dikawal oleh 15,000 orang tentera, ia lebih berperanan sebagai pusat pengawasan dan rondaan sempadan.
Menjelang abad-abad terakhir Empayar Rom, Britannia sentiasa berdepan dengan masalah pemberontakan. Menurut sejarawan Peter Heather dalam bukunya The Fall of the Roman Empire, ini berlaku kerana ramai orang Britannica merasakan diri mereka disisihkan. Dengan empayar berantakan, pemerintah-pemerintah Rom mula menarik tentera dari Britannia.
Menjelang 410 Masihi, semua petempatan Rom di wilayah berkenaan diberitahu urusan pemerintahan terletak di tangan mereka. Ini merupakan permulaan pembentukan kerajaan-kerajaan kecil terutama di England semasa Zaman Kegelapan. Hanya 700 tahun selepas itu, barulah kerajaan-kerajaan ini disatukan semula di bawah satu pemerintahan iaitu era Raja Alfred Agung (Alfred the Great).
Kalau anda berminat dengan sejarah Rom, kami nak cadangkan buku kami, KITAB TAAMDUN ROM yang sedang ada diskaun sekarang di Shopee. Boleh ke: t.ly/3P2g
RUJUKAN
L. Wasson, D. (2017, 30 Januari). Roman Britain. World History Encylopedia.
Delaney, J. (2015). HIM 1990-2015. University of Central Florida. The Roman Conquest of Britain.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih