Tembok Besar China (juga dikenali sebagai ‘Wanli Changcheng’ atau ‘Tembok 10 000 Li’) merupakan salah sebuah struktur yang paling ikonik dalam tamadun China. Selain bergelar tembok yang paling panjang di dunia, ia juga meraih kedudukan sebagai salah sebuah projek pembinaan yang paling besar pernah dijalankan.

Berbeza dengan anggapan umum, Tembok Besar China bukanlah sebuah tembok tunggal. Sebaliknya, ia terbentuk daripada beberapa buah tembok yang digabungkan menjadi satu rangkaian pertahanan. Pembinaannya pula berlangsung secara bertahap selama ratusan atau malah ribuan tahun.

Di samping itu, bahagian tembok yang paling lazim dikunjungi dan dijadikan sebagai latar pengambilan gambar – yakni bahagian yang berhampiran Beijing – bukanlah mewakili ciri binaan seluruh tembok ini. Hal ini kerana terdapat pelbagai gaya binaan sesuai dengan kedudukan tembok berkenaan.

TEMBOK DIBINA DI ZAMAN DINASTI ZHOU BAGI MELINDUNGI SERANGAN DARI NEGARA JIRAN

Pada zaman Dinasti Zhou Timur (dari kurun ke-8 hingga kurun ke-3 Sebelum Masihi), China terbahagi kepada beberapa buah negara. Lantaran negara-negara ini saling berp3rang secara berterusan, maka tembok pertahanan dibina bagi melindungi sempadan masing-masing. Tembok ini dibina oleh negara Yan, Zhao dan Qin, tiga buah negara yang terletak paling utara. Kelak, tembok-tembok inilah yang membentuk Tembok Besar China di peringkat awalnya.

DINASTI QIN – TEMBOK-TEMBOK BESAR DIHUBUNGKAN DAN DILEBARKAN

Pada tahun 221SM, penyatuan China berjaya dilaksanakan oleh Qin Shi Huang, pengasas Dinasti Qin. Selain musuh dari dalam, Maharaja Pertama China ini juga menyedari kewujudan ancaman dari luar terutama sekali puak Xiongnu yang boleh menyerang pada bila-bila masa sahaja.

Justeru, maharaja memerintahkan tembok-tembok negara Yan, Zhao dan Qin dihubungkan dan dipanjangkan. Pembinaan Tembok Besar di zaman Qin Shi Huang dimulakan pada tahun 214SM dan mengambil masa selama sedekad, dengan melibatkan ratusan ribu orang tentera dan pekerja kerahan. Selepas kejatuhan Dinasti Qin, Tembok Besar ini ditinggalkan dan mengalami kerosakan.

Peta Tembok Besar China di zaman Dinasti Qin


Pada zaman Dinasti Han, khususnya era pemerintahan Han Wudi, Tembok Besar China dibaiki. Projek pembaikpulihan ini dijalankan demi melindungi China dari gempuran Xiongnu. Tembok Besar pada zaman ini juga dihubungkan dengan Laluan Sutera. Han Wudi melebarkan tembok berkenaan ke wilayah barah, justeru memberikan faktor keselamatan kepada para pedagang yang melalui laluan purba ini. Selain itu, tembok ini juga membolehkan Dinasti Han mengawal aliran perdagangan antara China dan Barat.

DINASTI HAN MEMBAIK-PULIH TEMBOK BESAR DAN MENGGALAKKAN PERDAGANGAN DI LALUAN SUTERA

Peta Tembok Besar China di zaman Dinasti Han


Dinasti-dinasti lain seperti Dinasti Sui dan Dinasti Liao pula memerlukan benteng pertahanan tambahan, dan makanya mereka membina beberapa buah tembok dan perkubuan yang baru. Namun secara keseluruhannya, kebanyakan bahagian tembok asal yang dibina semasa Dinasti Qin dan Dinasti Han tidak diselenggara dengan baik. Merentas masa, tembok-tembok yang dibina daripada batu hancur ini terhakis dek cuaca dan hanya sebahagian sahaja bertahan sehingga ke hari ini.

Tembok Besar mengalami nasib yang pasang surut pada tempoh di antara ketumbangan Dinasti Han (220M) dan penubuhan Dinasti Ming (1368M). Beberapa buah dinasti, seperti Tang dan Yuan, tidak melihat adanya keperluan untuk mempunyai tembok pertahanan yang besar justeru tidak melakukan sebarang penambahan signifikan pada Tembok Besar.

Tembok Besar Mutianyu, China. Gambar menunjukkan permukaan atas tembok di bahagian yang belum dibaikpulih.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming, projek pembinaan tembok berskala besar sejak Dinasti Han dilaksanakan. Para pemerintah Dinasti Mng menyelenggara, memperteguh dan memperbesarkan tembok-tembk sedia ada secara berterusan. Tembok Besar yang dikenali dunia pada hari ini boleh dianggap berasal-usul dari pembinaan pada era ini.

TEMBOK BESAR DALAM KEADAAN TERBAIKNYA DI ZAMAN DINASTI MING

Tembok yang melindungi ibu kota, Beijing, antara bahagian yang paling terkenal. Bermula dari Gerbang Juyong (terletak di barat laut Beijing), tembok besar Ming ini terbahagi kepada haluan – sebuah tembok luaran di utara dan sebuah tembok dalaman di selatan. Sejumlah laluan dan gerbang diletakkan di sepanjang kedua-dua tembok ini.

Tiga buah Gerbang Luar dikenali sebagai Gerbang Yanmen, Ningwu dan Piantou, manakala tiga buah Gerbang Dalam pula adalah Gerbang Juyong, Daoma dan Zijing. Gerbang-gerbang ini amat signifikan bagi tujuan perlindungan ibu kota justeru ianya dikawal dengan ketat.

Tembok Besar di zaman Dinasti Ming

Kempen ketenteraan Manchu telah pun dimulakan sejak awal kurun ke-17, namun hanya pada tahun 1644 barulah mereka berjaya melepasi Tembok Besar. Pada tahun tersebut, komander Ming yang mempertahankan Gerbang Shanhai, Wu Sangui, mengadakan rundingan dengan pihak Manchu dan bertindak membuka pintu gerbang sekaligus membenarkan Manchu menawan ibu kota.

Maharaja-maharaja memberikan perhatian yang cukup besar kepada Tembok Besar China lantaran khuatir kalau puak-puak gasar dari utara menyerang China. Walaupun Tembok Besar China berada dalam keadaannya yang paling ampuh di zaman Dinasti Ming, ia tetap gagal melindungi mereka dari serangan Manchu, yang menubuhkan Dinasti Qing.

Gerbang Shanhai di mana Tembok Besar China bertemu dengan Laut Bohai

TEMBOK BESAR SEKALI LAGI ROSAK DI TANGAN DINASTI QING

Tidak seperti dinasti pendahulunya, Dinasti Qing tidak merasakan adanya keperluan untuk membina atau menyelenggara Tembok Besar. Hanya di zaman moden, iaitu sekitar 1950an, barulah kerajaan China menjalankan usaha penyelenggaraan dan pembinaan semula tembok ini.

Namun pada waktu itu, Tembok Besar China bukan lagi befungsi sebagai benteng pertahanan. Sebaliknya, ia menjadi salah sebuah simbol kebangsaan China, di samping destinasi pelancongan yang terkenal. Pada tahun 1987, Tembok Besar China diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Bahagian-bahagian utama Tembok Besar China yang masih berdiri pada hari ini

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (11 Disember 2018). The Great Wall of China Construction Project that Spanned Generations, Centuries and Dynasties. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/great-wall-china-0011155


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.