Baru-baru ini, awal bulan Julai 2020. Monumen bersejarah Turki iaitu Hagia Sophia telah ditukar status sebagai masjid setelah monumen tersebut menjadi muzium sejak pemerintahan Presiden Atartuk, Umat Islam Turki teramat gembira akan berita yang disampaikan oleh Presiden Edrogan sehingga menganggap ia adalah satu lagi kemerdekaan rakyat muslim untuk memekarkan lagi budaya Islam Turki.
Apakah yang penting sangat Hagia Sophia ini kepada para muslim Turki ini? Mari kita mendalami tentang sejarah pembinaan monumen bersejarah ini.
HAGIA DI ZAMAN EMPAYAR BYZANTINE
Pembinaan Hagia Sophia bermula dari zaman Empayar Byzantine, saat Empayar Rom Purba mengalami keruntuhan. Hagia Sophia yang kita lihat sekarang ini adalah tidak sama dengan Hagia Sophia yang dibina oleh empayar Byzantine dahulu.
Hagia Sophia pertama dibina pada zaman pemerintahan maharaja Constantius II. Ia dinamakan sebagai Magna Ecclesia yang bermaksud Great Church. Pembinaan gereja ini bermula pada tahun 346, menerapkan seni bina Rom Purba iaitu menggunakan konsep pembinaan bangunan basilica. Setelah siap dibina, Great Church dirasmikan oleh bishop bernama Eudoxius of Antioch pada 15 Februari 360.
Great Church dibina berdekatan dengan istana dan gereja ini teramat luas berbanding gereja-gereja lain di seluruh empayar. Ciri inilah sebab mengapa Hagia Sophia pertama digelar sebagai Great Church, kemudian menjadi monumen yang gah dalam dunia seni bina.
Setelah sekian lama Great Church menjadi ibu gereja Byzantine, archbishop Great Church bernama John Chrysostom bergaduh besar dengan isteri maharaja Arcadius bernama Aelia Eudoxia. Maharaja tersebut murka kemudian menghalau Chrysostom dari empayar pafa 20 Jun 404. Akibat pembuangan archbishop itu, pemberontakan dari pihak Great Church berlaku sebagai bantahan pembuangan tersebut.
Bagi menghentikan pemberontakan Great Church, gereja tersebut dibakar atas arahan maharaja sebagai peringatan agar tiada siapa mampu menentangnya. Sehingga kini tiada satu saki-baki tinggalan Great Church ini.
Masuk pemerintahan maharaja Theodosius II, baginda mengarahkan arkitek bernama Rufinus untuk membina Hagia Sophia kedua menggunakan pelan yang sama dengan Great Church namun beratapkan bumbung kayu. Gereja itu kemudian dirasmikan pada 10 Oktober 415. Namun begitu, Hagia Sophia kedua dibakar lagi saat Pemberontakan Nika berlaku pada 13 -14 Januari 532.
Akibat pemberontakan rakyat melawan maharaja, Hagia Sophia kedua hanya tinggal saki-bakinya yang masih terpelihara oleh kerajaan Turki kini. Antara tinggalan Hagia Sophia kedua adalah beberapa bongkah batu marmar yang mempunyai ukiran keagamaan. Salah satunya adalah bongkah batu marmar berukiran 12 ekor kambing biri-biri. Menurut budaya Kristian Byzantine, 12 ekor kambing itu melambangkan 12 orang nabi/pengutus.
Beberapa minggu kemudian iaitu 15 Februari 532, maharaja Byzantine ketika itu bernama Justinian I bercadang membina Hagia Sophia ketiga namun gereja yang bakal dibina ini baginda mahukan struktur pembinaan yang berbeza, amat besar, unik, dan lebih gah dari Hagia Sophia terdahulu.
Justinian I memilih seorang ahli geometri bernama Isidore of Miletus sebagai jurutera dan seorang lagi ahli matematik bernama Anthemius of Tralles sebagai arkitek Hagi Sophia. Bermula projek pembinaan, batu marmar dieksploitasi dengan banyak dari seluruh empayar dan seramai lebih 10,000 orang buruh dikerah. Ini menjadikan projek tersebut sebagai projek pembinaan terbesar dalam sejarah empayar Byzantine.
Selepas 5 tahun dan 10 bulan pembinaan, akhirnya Hagia Sophia ketiga siap dan dirasmikan oleh Justinian I dan wali gereja bernama Means pada 27 Disember 537. Hagia Sophina ini mempunyai kepelbagaian fungsi selain menjadi tempat ibadah dan tempat perlindungan bagi mangsa jenayah, antaranya adalah tempat duduk paderi Kristian Ortodoks tertinggi yang digelar sebagai Orthodox Patriarch of Constantinople. Gereja ini juga menjadikan tempat para kerabat diraja mengadakan majlis seperti majlis keputeraan.
Hagia Sophia sememangnya gah, sepadan dengan kedudukan Empayar Byzantine sebagai ‘Rom Kedua’ yang berperanan sebagai pusat penyebaran ajaran Kristian di seluruh Eropah. Namun, Hagia tidak dapat elak berhadapan dengan musuh tradisinya, iaitu gempa bumi. Sejak pemerintahan Justinian I hingga zaman keruntuhan, gempa bumi sentiasa menggegarkan Konstantinopel sehingga kubah Hagia diperbaiki kerosakannya demi memastikan Hagia terus berdiri kukuh.
Ada sesetengah maharaja Byzantine mengubahsuai Hagia di samping memperbaikinya. Seperti maharaja Basil II, setelah gempa bumi berlaku pada 25 Oktober 989, kubah bahagian barat Hagia telah runtuh. Maka, baginda mengarahkan arkitek katedral (gereja besar) bernama Trdat untuk membina kubah baru. Pembinaan ini memerlukan 6 tahun untuk disiapkan. Sambil kubah itu dibina, pengubahsuaian dilakukan seperti penambahan lukisan Jesus/Nabi Isa A.S di bahagian dalam kubah utama.
Tahun 1202, P3rang Salib Keempat berlaku dan Konstantinopel dit4kluk oleh para Tentera Salib. Ketika penubuhan kerajaan Tentera Salib di Semenanjung Yunani bernama Empayar Latin, kerajaan itu menguasai Konstantinopel dan menjadikan Hagia Sophia sebagai katedral Katolik Rom.
Dikatakan makam ketua penjarahan Konstantinopel bernama Enrico Dandolo terletak dalam Hagia namun makam itu telah musnah saat Byzantine mengalami zaman keruntuhan. Masuk tahun 1261, Byzantine berjaya merampas kembali Konstantinopel dari Tentera Salib. Ketika maharaja mengunjungi Hagia semula, keadaan gereja itu teramat teruk hingga hampir roboh. Usaha memulihara Hagia kembali aktif lagi bermula pemerintahan maharaja Andronicus pada 1317.
HAGIA PADA ZAMAN TURKI UTHMANIYAH
29 Mei 1453, Tarikh bersejarah bagi kedua-dua empayar di Eropah Timur. Bagi Byzantine, ini adalah tarikh keruntuhan empayar yang telah sekian lama menjadi ‘Rom Kedua’ dalam dunia Kristian. Bagi Turki Uthmaniyah yang baru menjadi kerajaan Islam keempat di Timur Tengah, tarikh ini adalah tarikh kemenangan mereka membebaskan Konstantinopel sekaligus menjadikan Asia Kecil (Turki) sebagai tanah stategik dalam pengembangan dunia Islam.
Saat kubu Konstantinopel runtuh, Sultan Mehmed II atau Muhammad Al-Fateh mengarahkan bala tentera Turki untuk menjarah segala harta dalam Konstantinopel selama 3 hari. Kemudian, sultan bersama bala tenteranya memasuki kota itu dan meraikan kejayaan mereka.
Al-Fateh tidak menggalakkan bala tenteranya menyerang penduduk Konstantinopel, seperti apa yang sultan kerajaan Islam terdahulu amalkan semasa kempen perluasan kerajaan. Sebaliknya, Al-Fateh mengarahkan penduduk pulang ke rumah masing-masing dengan selamat, tidak perlu risaukan keselamatan mereka yang berada dalam bahaya.
Al-Fateh kemudian memasuki Hagia Sophia. Ramai penduduk yang lemah seperti para wanita dan kanak-kanak serta para paderi berlindung dalam Hagia tersebut. Al-Fateh mengarahkan penduduk yang berlindung keluar dan duduk di rumah masing-masing, kemudian mengisytiharkan Hagia Sophia sebagai masjid. Ulama yang muncul bersama Al-Fateh terus melaungkan azan, sebagai tanda penukaran status Hagia dari gereja kepada masjid.
Ini merupakan sumber asal tentang bagaimana Al-Fateh menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid. Kajian terbaru menunjukkan Al-Fateh membeli Hagia Sophia dari para paderi Hagia menggunakan duit baginda sendiri. Jual beli gereja itu dimenterai dalam dokumen perjanjian mereka. Selepas pemberian barulah Al-Fateh bebas menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid. Namanya juga ditukar kepada Aya Sofia manakala Konstantinopel bertukar nama kepada Istanbul.
Namun kajian terbaru ini masih menimbulkan keraguan bagi segelintir ahli akademik kerana usia Al-Fateh yang begitu muda membeli Hagia Sophia tanpa bantuan kewangan dari siapa-siapa. Namun pembelian Hagia ini ada logiknya kerana Al-Fateh sendiri dari keturunan diraja yang layak memiliki harta ayahandanya. Kerana sumber ini masih baru dan tidak muktamad, perdebatan bagaimana Al-Fateh memiliki Hagia Sophia masih berlangsung.
Solat Jumaat Hagia Sophia pertama diadakan pada 1 Jun 1453, sekaligus menjadikannya sebagai masjid diraja Istanbul. Al-Fateh juga melakukan pengubahsuaian dalaman Hagia dengan penambahan mimbar, mihrab, dan menara azan. Lukisan bersimbolkan Kristian Byzantine ditutup bagi menghilangkan unsur Kristian dalam masjid diraja ini.
Masuk pemerintahan Sultan Selim II, keutuhan Hagia Sophia makin lemah dan baginda mengarahkan arkitek Turki bernama Mimar Sinan untuk menguatkan Hagia dengan menambahkan rangka bangunan. Sinan juga membina dua buah menara azan di bahagian barat Hagia. Pembinaan Türbe iaitu makam diraja dibina. Sepanjang pemerintahan Turki Uthmaniyah di Istanbul, penambahan demi penambahan berlaku dalam Hagia demi memuaskan cita rasa sultan yang mencantikkan Hagia Sophia dan pelbagaikan lagi fungsinya.
Masuk pemerintahan Sultan Abdülmecid, projek pemulihan Hagia Sophia bermula dari 1847 hingga 1849, dengan kerahan buruh seramai 800 orang yang diketuai oleh arkitek adik-beradik berbangsa Swiss-Itali bernama Gaspare dan Giuseppe Fossati. Kubah dan tiang kolum diperkuatkan dan penambahan terbaru dilakukan seperti menggantungkan piring bulat gergasi yang ditulis nama Allah, Nabi Muhammad S.A.W dan 4 orang khalifah iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali, serta nama cucu Ali iaitu Hassan dan Hussin. Tambahan lagi, rumah muwaqqit (ahli astronomi yang menetapkan waktu solat) dan madrasah dibina. Hagia Sophia dibuka semula pada 13 Julai 1849.
HAGIA PADA ZAMAN REPUBLIK TURKI
Tahun 1935, Presiden Turki pertama yang mengasaskan Republic of Turkey iaitu Mustafa Kemal Ataturk menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium. Tindakan Ataturk ini dilakukan bagi menjayakan proses sekularisme Turki tanpa sebarang pengaruh Islam.
Karpet dan dekorasi lantai marmar dialihkan dan tampalan yang menutup lukisan berunsur Kristian Byzantine dibuka. Namun, ekadaan Hagia merisaukan. Atap kuprum Hagia meretak, menyebabkan air menitis ke lantai mozek. Peningkatan air bawah tanag juga menjadi sebab keadaan lembap pada lantai tersebut, mewujudkan ketidakseimbangan bangunan tersebut. Maka, badan tidak berkerajaan seperti World Monuments Fund berusaha memastikan Hagia kekal terpelihara.
Sepanjang Hagia menjadi sebuah muzium, ia menjadi lokasi kedua wajid dilawat dalam Turki dengan menarik pelawat dalam dan luar negara seramai 3.3 juta orang setahun. Sebarang sembahan atau solat adalah haram dilakukan dalam Hagia. Masuk tahun 2006, kerajaan Turki mengadakan sebuah bilik kecil khas dalam muzium untuk para staf muslim dan Kristian melakukan ibadah. Panggilan masuk waktu ibadah pula telah dibenarkan 2 kali sehari sejak tahun 2013.
Banyak usaha ahli potilik Turki untuk mengubah kedudukan Hagia Sophia mnejadi masjid kembali seperti timbalan perdana menteri Bülent Arınç yang mengusulkan penukaran status Hagia pada November 2013. Pada November 2016, organisasi bukan kerajaan bernama Association for the Protection of Historic Monuments and the Environment mengemukakan tuntutan mengubah status Hgia sebagai masjid, tapi jawapan kerajaan tetap kekalkan Hagia sebaga muzium.
Masuk tahun 2018, barulah ada harapan rakyat untuk menjadikan Hagia sebagai masjid semula apabila Presiden Turki terbaru bernama Recep Tayyip Erdogan bersuara perkara yang sama, semata-mata mendapat sambutan rakyat Turki. Tambahan pula Erdogan ingin mengasaskan masyarakat Turki yang kembali berpaksi kepada Islam sepenuhnya, tidak melalui kepolitikan, malah melalui pengembalian rakyat kepada asal-usul mereka. Jadi, usaha kembalikan Hagia sebagai sebuah masjid semula adalah senjata halus Erdogan.
Usaha demi usaha, pada 10 Julai 2020, barulah Turkey State Council yang memerintah Turki membenarkan Hagia Sophia berfungsi semula sebagai masjid, walaupun peranannya sebagai muzium masih tidak hilang.
RUJUKAN:
Goriansky, Lev Vladimir (1933). Haghia Sophia: analysis of the architecture, art and spirit behind the shrine in Constantinople dedicated to Hagia Sophia. American School of Philosophy.
Mainstone, Rowland J. (1997). Hagia Sophia: Architecture, Structure, and Liturgy of Justinian’s Great Church (reprint edition). W.W. Norton & Co
Mark, R.; Çakmaktitle, AS. (1992). Hagia Sophia from the Age of Justinian to the Present. Princeton Architectural.
Runciman, Steven (1965). The Fall of Constantinople, 1453. Cambridge: Cambridge University Press. p. 145
Hantaran tentang sumber Al-Fateh membeli Hagia Sophia:
https://www.facebook.com/a.benzeghiba/posts/3637981269552285
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih