British menguasai pentadbiran orang Melayu sejak abad ke-18. Pelbagai cara untuk orang Melayu meneruskan survival mereka pada saat itu. Rencana kali ini, saya bahagikan orang Melayu kepada 2 kelompok yang berasaskan latar belakang pengajian iaitu Sekolah Agama dan Sekolah Inggeris. Sekolah Agama lebih dhaif dan hanya diperuntukkan pada peringkat rendah. Sekolah Inggeris pula dipromosi oleh British dan diperuntukkan pada peringkat menengah.
Untuk menjadikan seseorang anak Melayu itu menjawat jawatan penting dalam kerajaan, mereka perlulah memiliki pengajian yang tinggi. Secara tersiratnya, kena ikut sistem Sekolah Inggeris di mana sekolah itu ada mengajarkan selok belok pentadbiran. Sekolah Agama menekankan aspek pengajian Fardhu Ain secara tradisional di luar bandar. Begitulah cara British memecahkan sistem sosial Melayu pada ketika itu. Perbezaan latar belakang pendidikan mempengaruhi pemikiran seseorang.
Apabila British kembali ke Tanah Melayu setelah habis pendudukan Jepun seusai tamatnya Perang Dunia II, British melalui BMA (British Military Administration) mencadang penubuhan Malayan Union dimana seluruh Tanah Melayu yakni gabungan Negeri- Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat (kecuali Singapura) disatukan di bawah satu payung pentadbiran langsung sebagai Koloni British. Hal ini mendapat tentangan keras dari seluruh umat Melayu.
Orang Melayu dari pelbagai latar belakang bersatu menolak cadangan pembentukan Malayan Union ini. 41 buah persatuan Melayu dari pelbagai latar belakang perjuangan mengadakan satu perhimpunan besar yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya Pertama di Kelab Sultan Sulaiman. Dato Onn Jaafar menjadi Pengerusi Kongres yang diadakan pada tahun 1946 itu. Dato Onn Jaafar merupakan bangsawan Melayu dari Johor yang dihormati oleh orang Melayu dan pegawai British. Dato Onn Jaafar merupakan simbol diplomatik kerajaan Melayu dan Turki Uthmaniyyah kerana beliau merupakan kacukan Turki.
British tetap menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946 lalu menimbulkan tentangan padu umat Melayu. Pada Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga diadakan di Istana Johor pada 11 Mei 1946, UMNO ditubuhkan dan dipimpin oleh Dato Onn bagi melawan Malayan Union. UMNO pada ketika ini merupakan pertubuhan bersifat semi-politik.
Pada tahun 1948, Malayan Union dikuburkan dan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk secara semi-autonomi. Ketika ini barulah UMNO mula beralih peranan kepada politik dan pentadbiran. UMNO dianggotai oleh orang Melayu Sekolah Agama dan Sekolah Inggeris. UMNO memiliki Bahagian Agama Islam dalam partinya.
Perhimpunan Alim-Ulama kali kedua yang didanai UMNO diadakan pada tahun 1951 di Kelab Sultan Sulaiman bagi menentukan hala tuju Agama Islam dalam pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu. Mereka mencadangkan penubuhan Badan Tertinggi Agama Islam peringkat kebangsaan dan Persatuan Ulama Se-Malaya yang bergerak secara bebas. Persatuan alim-ulama ini kemudiannya telah membentuk sebuah jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh Haji Ahmad Fuad Hassan.
Golongan agamawan UMNO menjadi pengimbang kepada pucuk pimpinan UMNO yang berlatar belakangkan pendidikan Inggeris daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar batas Islam seperti penganjuran loteri, mengadakan ‘fun fair’ dan sebagainya. Kemudian, tujuan asal penubuhan persatuan alim-ulama telah berubah menjadi sebuah parti politik oleh sebahagian besar agamawan UMNO semasa Perhimpunan Alim Ulama Ketiga pada 1951 di Pulau Pinang. Maka tertubuhlah Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Ketika ini, seseorang itu boleh memiliki dua keahlian sebagai Ahli UMNO dan Ahli PAS pada waktu yang sama.
Seterusnya, berlaku krisis kepimpinan UMNO dari kem pro tradisi kemelayuan iaitu Dato Onn Jaafar dan kem pro barat iaitu Tunku Abdul Rahman. Dato Onn Jaafar bertindak meninggalkan UMNO bagi menubuhkan parti IMP. Haji Ahmad Fuad Hassan yang merupakan antara penyokong Dato Onn Jaafar sebelum ini bertindak mencabar pemilihan kerusi Presiden UMNO melawan Tunku Abdul Rahman. Ramai menentang tindakan golongan agamawan yang sepatutnya bersikap neutral terjun ke medan politik. Tunku Abdul Rahman memenangi kerusi Presiden UMNO.
Dalam menghadapi Pilihanraya Perbandaran 1952, UMNO telah bergabung dengan MCA untuk memenangi pilihanraya tersebut melawan IMP. Pada tahun 1953, Ahmad Fuad Hassan selaku presiden PAS dijemput hadir ke Persidangan Kebangsaan tajaan Dato Onn Jaafar dan Persidangan Kebangsaan tajaan Tunku Abdul Rahman. Kemudian, PAS mengadakan persidangan khas bagi menentu hala tuju politik mereka. Ahli PAS menolak gagasan Dato Onn Jaafar dan menyokong gagasan Tunku Abdul Rahman. Akur dengan suara akar umbi PAS, Ahmad Fuad Hassan meninggalkan PAS untuk terus bersama rakannya Dato Onn Jaafar dalam IMP. Hal ini menamatkan sistem dua ahli bertindih antara ahli UMNO & PAS.
Gabungan UMNO-MCA kemudiannya diformalkan sebagai Parti Perikatan pada tahun 1954. Pada tahun 1954 ini, Pilihanraya Negeri diadakan dan Parti Perikatan menang besar. Majlis Perundangan Persekutuan diwujudkan pada tahun 1954 ini bagi mengadakan pilihanraya pada tahun hadapan. Oleh itu, PAS didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada tahun 1955 sehari sebelum pilihanraya.
Tahun 1955 ini berlakunya Pilihanraya Persekutuan dimana Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan PAS memenangi 1 kerusi. MIC bertindak menyertai Parti Perikatan. Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama. Setelah itu, PAS telah mengangkat seorang presiden baru bagu memimpin parti tersebut. Burhanudin al-Helmi seorang nasionalis tegar yang selama ini berjuang dalam pelbagai persatuan aliran kiri dipilih menjadi presiden PAS. Ketika era ini, ramai musuh-musuh UMNO dari pelbagai latar belakang seperti PKMM dan Hizbul Muslimin menyertai PAS.
Pada tahun 1956, rombongan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman berangkat ke London. Hasilnya, Persekutuan Tanah Melayu berjaya memperoleh kemerdekaan penuh pada tahun 1957. Walaubagaimanapun, kemerdekaan ini disifatkan sebagai “separuh masak” oleh Dato Onn Jaafar.
Pilihanraya 1959 menunjukkan kebangkitan PAS apabila mereka berjaya merampas negeri Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 1963, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan penubuhan Persekutuan Malaysia dengan membawa masuk Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah). Brunei tarik diri pada saat akhir apabila mendapat tentangan rakyatnya. Penubuhan Malaysia dikritik oleh Filipina dan Indonesia kononnya ia adalah bentuk penjajahan baharu (neocolonialism). Indonesia melancarkan konfrontasi Ganyang Malaysia.
Burhanudin al-Helmi yang pro kepada konsep Indonesia Raya bertindak mengkritik kerajaan UMNO-Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman apabila kerajaan meminta bantuan barat menghapuskan konfrontasi Indonesia tersebut. Sejak ini, idea Burhanudin al-Helmi menjadi kurang popular dan keputusan pilihanraya 1964 mencatatkan kekalahan besar PAS.
Pilihanraya 1964 ini juga menjadi titik panas hubungan Malaysia-Singapura dimana mengakibatkan rusuhan dan pertumpahan darah akibat ketidak-stabilan yang wujud antara Parti Perikatan dan Parti PAP Lee Kuan Yew di Singapura. Oleh itu, pada tahun 1965, berpisahlah Malaysia dan Singapura. UMNO Singapura bertukar menjadi Singapore Malays National Organisation dan cabang PAP di Malaysia bertukar menjadi DAP. Pergeseran ini berlarutan sehingga ke Pilihanraya 1969 dimana keputusan selanjutnya mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969 di Malaysia.
Oleh kerana kedudukan Melayu Islam tergugat, PAS dibawah pimpinan Presiden baru iaitu Asri Muda bergabung dengan Parti Perikatan bagi membentuk Barisan Nasional pada tahun 1972. Walaubagaimanapun, apabila berlaku pertikaian kuasa, Asdi Muda bertindak menarik PAS keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1977. Pilihanraya 1978 menunjukkan kejatuhan PAS yang amat teruk.
1979 berlakunya Revolusi Iran. Fenomena ini telah menaikkan semangat PAS untuk memperjuangkan ideologi Negara Islam nya. Sejak ini, PAS dikenali sebagai Parti Bersama Kepimpinan Ulama. Jurang perpecahan antara UMNO dan PAS semakin jauh. Politik Melayu zaman 80-an antara yang paling bodoh dalam sejarah. UMNO ketika itu dipimpin oleh Mahathir Mohamed seorang tokoh nasionalis tegar. Manakala PAS amat menolak ideologi nasionalis. Oleh itu, wujudlah budaya takfiri, iaitu kafir mengkafir. Solat jemaah itu tak sah, sembelihan orang ini tak halal.
Mahathir Mohamed membuli PAS pada ketika ini. Sentimen keislaman dikawal ketat oleh beliau. Mahathir Mohamed mengangkat tokoh muda bernama Anwar Ibrahim seorang pemimpin ABIM bagi menyaingi pengaruh Islamisasi PAS. Pada 1988, krisis kepimpinan UMNO berlaku dalam perseteruan Mahathir-Tengku Razaleigh. Oleh itu, wujud UMNO BARU pimpinan Mahathir dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh. Sketsa sepak terajang politik UMNO terus berlaku sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri.
PAS bergabung dengan Semangat 46 pada pilihanraya 1990 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada pilihanraya 1999, PAS bergabung dengan Parti Keadilan, Parti Rakyat Malaysia dan DAP. Ini pilihanraya setelah Mahathir singkirkan Bekas Timbalan Perdana Menterinya, Anwar Ibrahim. PAS kembali bangun pada pilihan raya 2008 sebagai Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR setelah Mahathir tidak lagi menjadi PM.
Nasharudin Mat Isa timbalan presiden PAS menyeru kerjasama UMNO-PAS pada tahun 2009 namun idea ini ditentang oleh Mat Sabu seorang pemimpin progresif yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Nasharudin kehilangan jawatannya kepada Mat Sabu. Golongan progresif yang semakin menguasai parti PAS akhirnya ditolak secara besar-besaran oleh akar umbi yang pro kepimpinan ulama pada pemilihan parti 2015. Oleh itu mereka keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara.
Pakatan Rakyat dibubarkan kerana masing-masing tidak memiliki tujuan yang sama. PAS bergerak dengan cara tersendiri. PKR, DAP dan AMANAH membentuk Pakatan Harapan. Pakatan Harapan menjadi popular apabila dianggotai oleh parti komponen yang baru ditubuhkan iaitu PPBM pimpinan Mahathir. Pakatan Harapan yang dahulunya saling membenci antara satu sama lain telah bersatu demi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak. Akhirnya, Pakatan Harapan berjaya menang dalam pilihanraya 2018.
Kini, UMNO dan PAS sama-sama menjadi pembangkang. Mungkin telah tiba masanya untuk dua parti terbesar Melayu Islam ini kembali bersatu. Ini kerana individu-individu yang menjadi musuh politik mereka seperti DAP, Mahathir dan Mat Sabu telah bersatu dalam satu pakatan yang membentuk kerajaan. Jika dulu PAS boleh bersatu dengan DAP, kenapa sekarang tidak mahu bersatu dengan UMNO. Ini bukan UMNO Mahathir dahulu. Citra perjuangan UMNO-PAS kini amat mirip iaitu perjuangan menjaga hak ketuanan melayu seperti isu bahasa, dan kedudukan Islam.
Jika tidak bersatu pun UMNO-PAS tetap akan dicemuh. Lebih baik lah bersatu agar dapat menjadi pembangkang yang menggerunkan. Mungkin agak radikal penyatuan berbentuk pembubaran parti UMNO dan PAS untuk membentuk parti baru. Tetapi, bentuk penggabungan lain masih ada. UMNO-PAS boleh bergabung sebagai Parti Komponen yang bertanding dengan satu logo pada PRU 15 nanti atau bergabung sebagai sekutu dengan memakai logo masing-masing. Fenomena The Malays Populism ini tentunya akan ditunggang oleh dua parti ini.
Jika benar UMNO-PAS parti Melayu Islam, fahamilah ayat Quran ini, “Dan berpeganglah kalian semuanya kepada tali Allah dan janganlah kalian bercerai–berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu bermusuh-musuhan. Maka Allah mempersatukan hati kalian, lalu jadilah kalian, kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara. Dan kalian telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kalian, agar kalian memperoleh petunjuk.” (Ali Imran : 103)
* Jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih