Dari abad kelapan hingga abad ke-13 Masihi, tempoh ini dikenali sebagai Zaman Keemasan Islam. Semasa tempoh ini, pelbagai cabang ilmu ditambahbaik dan disebarluaskan terima kasih kepada kerja-kerja penterjemahan karya-karya ilmu asing dan kajian para cendekiawan Islam ketika itu. Antara cabang ilmu yang mendapat impak daripada zaman ini ialah pembedahan saraf/neurosurgeri (neurosurgery).
Menariknya, prinsip asas di sebalik ilmu ini masih tidak berubah sejak lebih sealaf yang lalu. Bagi menjadi seorang pakar bedah neurologi yang baik, hanya satu pendekatan patut dipatuhi iaitu latihan amali di makmal, mengkaji anatomi manusia dan membedah mayat. Prinsip sama digunakan oleh para cendekiawan Islam dan Arab dalam mengkaji dan membuat penemuan baru dalam dunia perubatan.
Bagi Abu al-Qasim Khalaf bin Abbas al-Zahrawi atau Abulcasis di dunia barat, seorang pakar bedah yang baik mesti mempunyai pengetahuan mendalam berkenaan anatomi manusia. Sentimen sama turut dinyatakan Ibnu Rushd menerusi kenyataan ini, “Orang yang mempelajari sains anatomi meningkatkan lagi keimanannya kepada Allah s.w.t.”
Sains anatomi yang kita kenali hari ini tidak akan wujud tanpa Zaman Keemasan Islam. Ini kerana perkembangan cabang ilmu ini didorong oleh beberapa faktor seperti kestabilan politik, galakan para pemerintah terhadap perkembangan ilmu, aktiviti penterjemahan pelbagai karya ilmu, diskusi berkenaan teori perubatan dan sikap toleransi terhadap kebudayaan asing.
Untuk fasa pertama ilmu neurosurgeri, tidak manis jika tidak menyebut terlebih dahulu fasa penterjemahan. Antara abad ketujuh hingga abad kelapan Masihi, fasa ini memberi penumpuan kepada penterjemahan karya-karya asing seperti Yunani, Rom, India dan Parsi sebelum dibukukan sebagai tatapan untuk generasi cendekiawan seterusnya.
Menjelang abad kesembilan Masihi, aktiviti penterjemahan semakin dipergiatkan menerusi Baitul Hikmah di kota Baghdad. Kerja-kerja penterjemahan turut mendapat sokongan para pemerintah Bani Abbasiyah termasuk Harun al-Rashid dan al-Ma’mun. Misalnya, setiap penterjemah dibayar dengan emas mengikut berat karya terjemahan yang dilakukannya. Tempoh ini juga menyaksikan sumbangan baru para cendekiawan kepada disiplin ilmu mereka seperti perubatan dan pembedahan.
Pihak Abbasiyah juga turut menguatkuasakan polisi menapis dan memilih pakar perubatan bertauliah. Bagi mencapai matlamat itu, ketua doktor istana Thabit bin Sinan diarah menyaring lebih 860 pakar perubatan di Baghdad ketika itu. Ini bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak saja mendapat lesen kedoktoran.
Berikut beberapa pakar perubatan Islam yang memberi sumbangan kepada neurosurgeri:
- Abu Bakr al-Razi (al-Razi/Rhazes)
Walaupun mempunyai pandangan keagamaan yang bersifat kontroversi, tiada siapa yang dapat menafikan sumbangan al-Razi kepada dunia perubatan. Ini dibuktikan menerusi dua mahakaryanya iaitu Kitab al-Hawi fi al-Tibb (Ensiklopedia Perubatan) dan Kitab al-Mansuri fi al-Tibb (Kitab Perubatan Mansur (didedikasikan kepada penaungnya Mansur bin Ishak)).
Dalam keterangannya, al-Razi menggambarkan saraf mempunyai dua fungsi iaitu penderia dan motor, diliputi oleh lapisan-lapisan membran dan muncul dari dua tempat iaitu otak dan saraf tunjang. Beliau juga orang pertama yang menerangkan konkusi dan mengingatkan kepentingan mengelak saraf-saraf kecil semasa menjahit kulit yang terkoyak/luka.
Ini amat ditekankan al-Razi menerusi kenyataan ini, “Seorang pakar bedah perlu tahu anatomi saraf-saraf, vena-vena dan arteri-arteri. Ini bagi memastikan mereka tidak memotong bahagian-bahagian ini secara tidak sengaja.”
Beliau juga turut menolak kesimpulan cendekiawan Yunani, Galen berkenaan otak, sistem ventrikel dan saraf tunjang. Galen menganggap semua ini merupakan struktur tunggal tetapi al-Razi menyifatkan ia sebagai struktur berpasangan.
Beliau juga turut membahagikan saraf periferal kepada lapan pasangan servik, 12 pasangan toraks, lapan pasangan pada tulang belakang lumbar dan tiga pada tulang belakang sakrum. Pembahagian ini dibuat bagi mengesan kedudukan lesion pada saraf. Teknik ini menjadi asas kepada pemeriksaan klinikal saraf di mana fungsi motor dan penderia saraf diuji bagi mengetahui keadaan sebenar saraf tertentu pesakit.
Ini dibuktikan menerusi seorang pesakit yang dirawat oleh al-Razi. Selepas mengadu mengalami kebas pada jari kecilnya, beliau percaya serviks vertebra terakhir si polan bermasalah. Ini berdasarkan pengetahuan anatominya bahawa saraf dari jari kecil datang dari tempat tersebut.
- Abu al-Qasim Khalaf bin Abbas al-Zahrawi (al-Zahrawi/Abulcasis)
Sebelum Zaman Keemasan Islam, ilmu pembedahan dianggap tidak bermanfaat dengan para pengamalnya sentiasa dipinggirkan. Tetapi kemunculan al-Zahrawi menerusi Kitab al-Tasrif mengubah segala-galanya.
Beliau orang pertama mencipta span anestetik dan menggunakannya dalam pembedahan. Sebelum ini, bagi memastikan pesakit tidak sedar semasa pembedahan, cecair anestetik diberi sebanyak beberapa dos kepada pesakit. Al-Zahrawi juga orang pertama yang menggunakan kapas pembedahan bagi menghentikan pendarahan semasa pembedahan dijalankan.
Span ini telah direndam dalam bahan-bahan aromatik dan mudah mengantuk sebelum dikeringkan. Apabila ia digunakan dalam pembedahan, barulah ia dilembapkan sebelum diletakkan pada hidung dan mulut pesakit. Rendaman bahan yang digunakan untuk span ini ialah opium, hyoscine dan hasyis.
Al-Zahrawi turut menyumbang kepada penerangan awal pelbagai kecederaan berkaitan saraf seperti kecederaan kepala, keretakan pada tengkorak, kecederaan tulang belakang dan hidrosefalus.
Misalnya, untuk hidrosefalus, beliau menerangkan ia sebagai lambakan cecair serebrospina yang banyak dalam ventrikel otak dan tengkorak serta terjadi akibat sekatan pada saluran cecair serebrospina. Al-Zahrawi juga turut menerangkan hidrosefalus yang dialami oleh bayi dan kanak-kanak – kajian pertama seumpamanya pada ketika itu.
Lantas, tidak hairanlah mengapa Kitab al-Tasrif terus menjadi rujukan pakar-pakar perubatan Eropah selama beberapa abad termasuk era Renaissance. Disebabkan jasanya yang besar kepada dunia perubatan, al-Zahrawi diiktiraf sebagai bapa pembedahan moden.
- Abu Ali al-Husayn bin Abdullah bin al-Hasan bin Ali bin Sina al-Balkhi al-Bukhari (Ibnu Sina/Avicenna)
Dalam kalangan pengamal perubatan moden, nama Ibnu Sina selayaknya diangkat sebagai bapa perubatan moden. Menerusi mahakaryanya al-Qanun fi al-Tibb (Kanun Perubatan), beliau bukan sekadar berbicara panjang lebar tentang perubatan tetapi turut menyentuh aspek pembedahan dan farmakologi.
Antara keterangan menarik Ibnu Sina berkenaan saraf ialah saraf tunjang. Catatannya berbunyi, “Saraf pada bahagian tangan dan kaki selalunya akan bergerak jauh dan lebih terdedah kepada kecederaan. Justeru, Allah menciptakan saraf tunjang di bawah otak. Saraf tunjang boleh diibaratkan saluran yang keluar dari pancuran air seperti mana saraf muncul dari kedua-duanya dan turun ke bawah. Lantas, ia meletakkan organ-organ lebih hampir dengan otak.”
Ibnu Sina turut menggambarkan meningitis yang dianggap sebagai radang atau bengkak pada bahagian yang melindungi otak. Selain itu, disebabkan kefahamannya berkenaan anatomi tulang belakang, ini turut membantunya menyediakan pelbagai kaedah rawatan bagi menstabilkan semula tulang belakang pesakit.
Di sebalik semua sumbangan para cendekiawan ini, masih ada pihak yang cuba menafikan impak mereka. Alasannya ialah mereka hanya sekadar menterjemah karya-karya silam dan tidak menyumbang langsung kepada dunia perubatan moden khususnya dalam neurosurgeri.
Hakikatnya, dakwaan dangkal ini dijawab menerusi penerbitan manuskrip perubatan Cerrahiyyetü”l Haniyye (Pembedahan Diraja). Kitab ini dikarang oleh doktor diraja Turki Uthmaniyah, Serefeddin Sabuncuoglu dan diterbitkan pada 1465. Kitab ini secara jelas menyebut pelbagai aspek pembedahan dan pemulihan saraf dan tulang belakang termasuk keretakan kranium, migrain, epilepsi dan hidrosefalus.
Walaupun kitab ini diterbitkan beberapa abad selepas Zaman Keemasan Islam berakhir, ilmu yang dibawa para cendekiawan Islam ini tetap diteruskan oleh generasi-generasi ilmuan selepasnya. Ini termasuk pelbagai disiplin ilmu termasuk neurosurgeri.
RUJUKAN
Annajjar, M. J. dan Ebrahim, R. (2022, 4 Mac). The History of Neurosurgery in the Islamic Era in Middle Ages. Muslim Heritage.
Sumber gambar: Muslim Heritage
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih