Sebut saja Madinah, semua tahu ia merujuk kepada kota Madinah al-Munawarrah. Di kota inilah terdapatnya masjid kedua paling suci dalam agama Islam iaitu Masjid Nabawi dan makam Rasulullah s.a.w. Tetapi ada banyak maklumat tentang kota ini yang tidak diketahui orang ramai.

Kota ini terletak pada ketinggian 625 meter di atas paras laut dan berada di kawasan oasis yang subur. Di sebelah timurnya terletak kawasan lapangan lava yang terhasil akibat letusan gunung berapi yang berlaku pada 1207. Sementara pada baki tiga bahagian yang bersempadan dengan Madinah ialah kawasan bukit yang menjadi sebahagian daripada kawasan Pergunungan Hijaz.

Sejarah awal kota ini tidak banyak diketahui tetapi ramai percaya orang Yahudi sudah lama menghuni kota berkenaan. Bilangan mereka kemudiannya bertambah selepas orang Yahudi diusir dari Palestin atas arahan Maharaja Hadrian pada tahun 135 Masihi. Kabilah Arab seperti Aus dan Khazraj turut menghuni Madinah yang ketika itu dipanggil Yathrib tetapi ia didominasi oleh orang Yahudi.

Pada abad kelima Masihi, kota ini disinggahi oleh angkatan tentera Himyar diketuai Raja Tubba Abu Karib As’ad. Sebagai tanda ia terletak di bawah kekuasaan baginda, salah seorang puteranya dilantik sebagai gabenor. Bagaimanapun, penduduk Yathrib menolak kelibat figura Himyar itu dan membunuhnya.

Murka dengan tindakan mereka, Abu Karib mengarahkan kepungan dibuat ke atas kota Yathrib. Tetapi semasa pengepungan berlangsung, baginda jatuh gering dan dirawat di khemahnya. Dua orang pendeta Yahudi bernama Kaab dan Assad menghantar makanan ke khemah dan merawatnya sehingga sembuh. Malu dengan sikapnya itu, Abu Karib mengarahkan semua kepungan dihentikan dan meneruskan perjalanan ke Makkah.

Setibanya di Tanah Haram, baginda ingin memusnahkan Kaabah tetapi hasratnya ditentang dua pendeta itu. Mereka kemudian menceritakan ia merupakan binaan Nabi Ibrahim al-Khalil a.s dan menjadi simbol penting era nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Lantas, Abu Karib melakukan tawaf, mengurniakan kain kiswah untuk kegunaan Kaabah dan berangkat pulang ke Yaman. Kisah ini disebut dalam ayat 37, Surah al-Dukhan dan diulas panjang lebar dalam Tafsir Ibnu Katsir.

Sebelum ketibaan Islam, puak Aus dan Khazraj saling bertelagah antara satu sama lain selama 120 tahun. Situasi ini tidak dibantu oleh tindakan orang Yahudi saling melagakan mereka menerusi pakatan mereka. Yahudi Bani Qainuqa dan Bani Quraizah bersekutu dengan orang Aus sementara Yahudi Bani Nadhir berpakat dengan orang Khazraj.

Situasi pertelagahan yang tidak berkesudahan mendorong sekumpulan penduduk Yathrib bertandang ke Makkah untuk mencari Rasulullah s.a.w. Baginda kemudiannya diminta untuk menjadi orang tengah untuk menghentikan pertumpahan darah sesama mereka yang berlanjutan sejak sekian lama. Selepas Perjanjian Aqabah Pertama dimeterai, Rasulullah s.a.w kemudiannya mengutus seorang sahabat bernama Mus’ab bin Umair r.a ke Madinah sebagai guru dan pendakwah.

Dengan permusuhan kedua-dua pihak reda dan kedudukan Islam semakin kukuh di Yathrib, baginda dan 70 orang Muhajirin berhijrah ke sana dalam tempoh selang beberapa bulan. Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w mengubah lanskap agama dan politik Yathrib secara keseluruhannya. Sebagai tanda permusuhan telah dileraikan, kelompok Aus, Khazraj dan Yahudi Madinah yang memeluk Islam digelar orang Ansar.

Selain menukar nama Yathrib kepada Madinah dan diangkat sebagai pemimpin kota berkenaan, baginda turut bertanggungjawab menggubal Piagam Madinah. Menerusi piagam ini, ia menjamin hak semua penduduk Madinah termasuk melindungi kota itu daripada serangan pihak luar. Begitupun, pencabulan perjanjian oleh tiga puak Yahudi Madinah mengakibatkan ketiga-tiganya diusir dari Madinah dalam tempoh selang beberapa tahun.

Semasa era NIM pimpinan Rasulullah s.a.w, dua perang penting ialah Perang Uhud dan Perang Khandak. Dalam kedua-dua pertempuran ini, matlamat pihak musyrikin Quraisy Makkah ialah menakluk Madinah dan menamatkan pengaruh Islam di situ. Bagaimanapun, hasil kedua-dua pertempuran sama sekali berbeza.

Uhud menyaksikan pihak NIM mengekang mereka di Bukit Uhud. Pada awalnya, pihak NIM mencapai kekalahan tetapi sikap alpa tentera mereka menyumbang kepada kekalahan mereka. Sementara Khandak pula menyaksikan pakatan besar al-Ahzab seramai 10,000 orang menyerang Madinah tetapi terhalang akibat pengenalan taktik parit yang dicadang Salman al-Farisi r.a. Dan pada akhirnya, pakatan ini berpecah-belah dengan pihak Makkah terpaksa pulang dalam keadaan malu.

Semasa era Khulafa’ al-Rashidin, Madinah berperanan sebagai ibu negara empayar NIM yang sedang berkembang ketika itu. Selepas Muawiyah bin Abi Sufian r.a mengasaskan kerajaan Bani Umayyah, sahabat Nabi s.a.w itu tidak mengabaikan kota berkenaan. Sebaliknya, baginda melaksanakan projek mata air Ayn az-Zarqa’a bagi menjamin pengairan kota itu.

Kota tersebut kemudiannya mengalami kemelesetan ekonomi selama lapan tahun selepas memilih memihak kepada putera Zubair bin Awwam r.a, Abdullah bin Zubair r.a yang mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah pada 684. Selepas beliau meninggal dunia pada tahun Oktober/November 692, pihak Umayyah menjauhkan diri dari Madinah semasa era Abdul Malik bin Marwan.

Keadaan hanya kembali pulih apabila Walid dan Sulaiman bin Abdul Malik menaiki takhta sebagai khalifah. Tempoh ini seiring dengan perlantikan Umar bin Abdul Aziz sebagai Gabenor Madinah pada tahun 705 Masihi. Pada ketika itu, Madinah menikmati kemakmuran ekonomi dan pertambahan populasi terutama dari Iraq.

Madinah semasa era Abbasiyah menyaksikan tiga peringkat. Peringkat pertama (749-973 Masihi) menyaksikan keamanan dan ketidakstabilan politik membelenggu Bani Abbasiyyah. Pada satu ketika, Madinah turut menyatakan kesetiaan kepada kerajaan Fatimiyyah tetapi tidak diterjemah dalam bentuk formal. Dan akhir sekali dari tahun 1151, kesetiaan kota itu diberi kepada Dinasti Zengki dan Ayubiyyah sambil mengekalkan hubungan dengan pihak Abbasiyyah.

Selepas Mesir jatuh ke tangan kerajaan Uthmaniyyah pada 1517, tradisi bantuan kewangan dan hadiah diteruskan oleh mereka. Semasa era pemerintahan Sultan Suleiman al-Qanuni, kubu pertahanan dan istana dibina di Madinah dengan satu batalion tentera ditempatkan di situ sebagai penjaga keselamatan kota itu. Pada era ini juga, kebanyakan ciri moden Masjid Nabawi dibina walaupun kubahnya belum dicat dengan warna hijau.

Semasa era Sultan Abdul Hamid II, baginda bertanggungjawab membawa Madinah memasuki era moden. Antara projek yang digerakkan ketika itu ialah sistem komunikasi radio, talian telegraf antara Madinah dengan Istanbul, loji tenaga dan landasan keretapi Hijaz. Bagaimanapun, projek landasan keretapi Hijaz gagal disiapkan akibat Perang Dunia Pertama dan kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Apabila Madinah kemudiannya jatuh ke tangan pengasas Dinasti al-Saud, Abdulaziz al-Saud sekitar tahun 1924-1925, ia membuka jalan kepada penubuhan negara Arab Saudi moden hari ini. Sejak itu, usaha menambahbaik infrastruktur Madinah sentiasa berjalan dari semasa ke semasa. Ini termasuklah membuka rangkaian keretapi laju Haramain pada 2018 di mana ia boleh membawa 60 juta penumpang setiap tahun termasuk tiga hingga empat juta jemaah haji dan umrah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.