Baru-baru ini tular sebuah video seorang menteri daripada DAP mengatakan Melayu itu pendatang di dalam sebuah ceramahnya di Nilai. Saya terpanggil untuk berkongsi bagaimana sejarah bangsanya mula bertapak di Tanah Melayu.
Kaum India merupakan kaum ketiga terbesar di Malaysia. Pada tahun 2018 sahaja, daripada 32.4 juta penduduk Malaysia, kira-kira 6.9 juta daripadanya merupakan bangsa India. Kewujudan bangsa India di negara ini dapat dikesan sebelum zaman kegemilangan tamadun Melayu Melaka lagi.
Rata-rata mereka merupakan pedagang dan duta dari negara India. Sebilangan kecil mereka berkahwin dan berasimilasi dengan rakyat tempatan sehingga terbentuknya sesebuah penempatan seperti Kampung Keling di Melaka. Kewujudan mereka mula samar-samar pada abad ke 15 apabila kuasa kolonial mula menjajah Tanah Melayu hinggalah kedatangan British ke Tanah Melayu pada 1786.
Apabila Francis Light bertapak di Pulau Pinang pada 1786, Light turut membawa sejumlah orang India daripada suku Sipahi untuk mempertahankan pulau tersebut. Selain mereka, kumpulan bangsa India dari Madras dan Banggali juga turut dibawa oleh Light. Rata-ratanya mereka terdiri daripada golongan buruh, pedagang dan segelintir golongan professional.
Jumlah kedatangan imigran India ini kian meningkat pada akhir abad ke 18 terutama sekali di Negeri-Negeri Selat (NNS). Contohnya, di Pulau Pinang sahaja terdapat 1000 pendatang dari India pada 1810. Pada 1822, kerajaan British di India telah menjadikan NNS ini sebagai tempat pemindahan banduan-banduan India di India. Pada 1830 an sahaja, sejumlah 900 banduan dibawa masuk ke Malaya setiap tahun. Menjelang 1870, populasi imigran di Negeri-Negeri Selat sahaja mencecah 33 ribu orang.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya migrasi bangsa India ke Malaya. Pertama, apabila Revolusi Industri mula memuncak pada abad ke 18, British ingin menjadikan Malaya sebagai pengeluar hasil pertanian. Contohnya, rempah mula ditanam pada 1830, tebu pada 1840 dan kopi pada 1870. Mereka memerlukan bangsa India ini untuk menguruskan hal ehwal pertanian kerana bangsa Melayu dan Cina yang sudah ada pada ketika itu sudah selesa dengan cara ekonomi bangsa mereka sendiri.
Selain itu, sejumlah besar imigran berbangsa India ini datangnya daripada kasta yang rendah. Di Selatan India, mereka tidak ubah dilayan seperti seekor binatang. Justeru, mereka ke Malaya untuk mengubah nasib hidup mereka. British juga mempunyai sebab lain untuk membawa bangsa India ini ke Malaya. Ini adalah untuk mengimbangkan populasi kaum yang terdapat di Malaya dan untuk membuatkan penguasaan British akan terus bertahan. Hal ini kerana, orang Melayu enggan membantu British kerana British telah menjajah tanah asal mereka manakala orang Cina pula lebih selesa bekerja di bawah golongan sebangsa mereka.
Terdapat tiga golongan buruh India yang terdapat di Malaya. Pada peringkat permulaan, golongan buruh India ini dibawa melalui sistem kontrak. Tuan-tuan tanah atau ketua Jabatan akan mendapatkan buruh-buruh ini melalui agen mereka yang kebanyakannya berada di sekitar Madras dan Nagapatnam. Kebiasaanya kontrak ini akan berjalan selama 5 tahun. Gaji mereka pula tidak berubah dan berterusan sehinggalah kontrak mereka tamat.
Pada 1910, sistem ini terpaksa dihapuskan kerana timbulnya banyak masalah. Para buruh rata-rata tidak mendapat layanan yang sewajarnya. Kapal-kapal laut yang membawa mereka ke Malaya juga membawa mereka dalam keadaan lebihan muatan dan faktor geografi Malaya membuatkan ramai buruh menghidap penyakit Malaria. Penyakit ini juga menjadi punca kem4t1an terbesar di dalam kalangan buruh-buruh kontrak.
Pada 1860 an, Sistem Kangany mula diperkenalkan. Buruh-buruh Kangany ini diambil oleh Kangany atau penyelia yang dibayar untuk mengambil sejumlah buruh yang dapat dicari. Kangany akan ke kampung-kampung untuk mencari mereka yang ingin mengubah nasib hidup mereka. Kangany juga akan mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bekerja di Malaya sambil memberi gambaran yang indah mengenai Malaya kepada mereka. Namun, sistem Kangany ini dihentikan pada 1938 akibat penyalahgunaan kuasa.
Selain daripada buruh Kangany dan Kontrak, kerajaan British juga telah membawa buruh bebas untuk bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan jabatan pengangkutan. British lebih gemar membawa masuk buruh bebas kerana kosnya murah dan gaji mereka pula diterima secara bulanan. Contohnya Syarikat Messrs Kennedy and Co telah dipertanggungjawabkan untuk membawa buruh-buruh bebas yang mendarat di Pulau Pinang.
Bagi sesiapa yang mendarat di Pelabuhan Kelang pula, mereka akan diserahkan kepada Agen Imigresen India. Pada 1900, Thambosamy Pilaii, tokoh India di Kuala Lumpur dilantik sebagai ahli jawatankuasa Agen Imigresen India. Menjelang 1930 an, jumlah buruh bebas mengatasi buruh Kangani dan buruh kontrak.
Menjelang Perang Dunia Kedua, jumlah golongan India di Malaya berkurangan. Hal ini kerana, ketika perang, ramai orang India dibawa ke Jepun sebagai buruh paksa Landasan Keretapi Maut. Ada juga diantara mereka yang balik ke India lebih awal dan menetap di sana. Walaubagaimanapun jumlah orang India selepas perang dianggarkan seramai 600 000 di seluruh Malaya.
Pada 1953, British telah menghentikan penghijrahan orang luar ke tanah Melayu. Orang India kemudiannya diberikan taraf warganegara Malaya apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan jumlah orang India selepas Malaya merdeka pula mencecah 820 000 orang. Buat menteri yang mengatakan bahawa Melayu itu pendatang, berhati-hatilah ketika bicara. Jangan kamu lupa asal usulmu.
RUJUKAN:
- Ahmad, Z. (2013). Hubungan etnik di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.
- Ahmad, Z. A., & Zulkifly, M. (2006). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: Pearson/Prentice Hall
- Dali, A. M. (2012). Sejarah masyarakat India di Malaysia =A history of the Indian community in Malaysia and its role in shaping Malaysian society. Kuala Lumpur: University of Malaysia Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih