Tidak sah pada satu ketika dalam kehidupan kita, ada saja berita histeria beramai-ramai. Histeria beramai-ramai secara ringkasnya ialah keadaan di mana ramai individu mengalami simptom fizikal atau psikologi dan tersebar secara meluas dalam kalangan komuniti – kadang-kadang sehingga peringkat wilayah dan negara.
Semasa histeria berlaku, pesakit akan mengalami simptom seperti ketawa yang tidak boleh dikawal, pening, pengsan, lemah otot atau apa saja simptom yang tidak dicetuskan oleh sebab fizikal. Menariknya, kes histeria sebenarnya sudah direkodkan dalam lipatan sejarah. Sesetengah kes histeria yang direkodkan terutama pada Zaman Pertengahan masih tidak mempunyai penjelasan sehingga hari ini.
Satu contoh histeria yang gagal dikenali ialah wabak menari atau Tarian St John/St Vitus. Histeria ini mencengkam tanah besar Eropah dari abad ke-13 hingga abad ke-17 dengan lokasi histeria yang terkenal ialah Aachen, Jerman pada 24 Jun 1374.
Apabila wabak menari ini berlaku, pelakunya akan menari tanpa henti di jalanan selama berjam-jam. Ada juga kes di mana pelaku-pelaku menari tanpa henti selama berhari-hari atau berminggu-minggu sebelum mati akibat keletihan, sakit jantung atau strok.
Ramai orang pada ketika itu percaya histeria itu dicetuskan oleh sumpahan santo terhadap penduduk Eropah ketika itu. Lantas, ini menjelaskan mengapa histeria itu dikenali juga sebagai Tarian St John/St Vitus. Bagi mengubati mereka, penduduk mengunjungi mana-mana gereja yang didedikasikan kepada santo-santo ini dan berdoa agar pelakunya diberi kesembuhan. Selepas mereka berbuat demikian, barulah wabak tarian itu berakhir.
Tetapi ini tidak sepelik fenomena biarawati menggigit sesama mereka. Histeria ini dilaporkan berlaku di Jerman sekitar abad ke-15 sebelum dikatakan tersebar sejauh Belanda dan Rome. Ia dikatakan bermula di sebuah biara di mana seorang biarawati menggigit biarawati lain.
Pada awalnya, pihak gereja menyangka histeria ini tercetus akibat rasukan syaitan. Jadi, normal bagi mereka mengadakan upacara mengusir entiti itu dengan harapan dapat menghentikan histeria tersebut. Tetapi usaha tersebut tidak berhasil.
Buntu, pihak gereja mengancam akan merotan atau merendam mana-mana biarawati dalam air sekiranya hal ini berterusan. Selepas beberapa orang biarawati dikenakan hukuman sebegitu selepas dikesan menggigit biarawati lain, barulah histeria itu terhenti.
Perkara serupa berlaku pada abad ke-19 menerusi satu cerita yang disebut dalam buku Epidemics of the Middle Ages oleh J.F.C Hecker. Ceritanya, seorang biarawati di sebuah biara di Perancis mula mengiau seperti kucing sebelum diikuti oleh biarawati-biarawati lain. Ia tersebar luas ke seluruh biara sehingga mencetuskan kebimbangan pihak gereja.
Bimbang hal ini akan berlanjutan, pihak tentera dipanggil untuk mengawal keadaan. Beberapa orang biarawati dipukul dan disebat oleh pihak tentera hanya kerana mengiau. Bagi mengelak hukuman itu berlanjutan, mereka berjanji ia tidak akan berulang.
Pada ketika itu, orang Perancis percaya kebanyakan kes rasukan ini berpunca daripada syaitan. Dan kucing pada ketika itu dianggap proksi untuk syaitan.
Ada juga kes histeria yang menjadi pencetus perbicaraan kes pengamal sihir paling kontroversi seperti kes perbicaraan bomoh Salem. Pada 1692, di Salem, Massachusetts dan sekitarnya, puluhan wanita muda mengalami histeria di mana mereka menjerit-jerit dengan badan liang-liuk (contortion).
Akibatnya, ini mendorong penghuni koloni melaksanakan gerakan memburu dan mendakwa pengamal sihir. Gerakan ini menjadi asas kepada perbicaraan bomoh Salem dengan 25 orang penduduk dihukum mati atas kesalahan mengamalkan sihir.
Pada abad ke-20, epidemik ketawa Tanganyika tercetus di sebuah sekolah berasrama mubaligh di Kashasha, Tanzania pada Januari 1962. Pada mulanya, ia hanya membabitkan tiga orang pelajar perempuan. Bagaimanapun, ia tersebar ke seluruh sekolah – kadang-kadang berlanjutan selama berjam-jam, hari atau minggu.
Akibatnya, kerajaan Tanzania mengarahkan sekolah itu ditutup pada 18 Mac 1962. Tetapi ia tidak berakhir di situ. Epidemik ketawa Tanganyika tersebar ke sekolah-sekolah dan kampung-kampung lain sehingga mengakibatkan 14 buah sekolah ditutup. Pada akhirnya, histeria itu berakhir 18 bulan selepas ia bermula.
Jadi, mengapa histeria beramai-ramai ini berlaku? Ia disumbang oleh pelbagai faktor seperti kebimbangan sosial, tekanan budaya, khabar angin, kepercayaan agama atau tekanan stres yang melampau.
RUJUKAN
Gillan, J. (2022, 12 Mac). Bizarre and Horrifying Cases of Mass Hysteria Through History. Ancient-Origins.
Sumber gambar: Photographee.eu/Adobe Stock
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih