Pernah lihat bagaimana sesetengah masyarakat di dunia menghidangkan makanan tertentu sewaktu majlis pengebumian? Persoalannya, mengapakah mereka menghidangkan makanan tertentu untuk majlis pengebumian itu? Apakah simbolik dan maksud di sebaliknya? Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai hidangan serta sajian istimewa masyarakat di seluruh dunia khusus buat si mati.
Sejarah makanan majlis pengebumian
Sebenarnya, sejarah di sebalik kaitan antara makanan dan majlis berkabung ini bermula dengan memakan sendiri mayat atau orang yang telah mati, iaitu kanibalisme.
Seiiring dengan peredaran masa, ia semakin berubah dan menjadi suatu konsep untuk memberi makan buat si mati. Pada Zaman Pertengahan, konsep makanan di majlis pengebumian ini telah berubah dan lebih fokus untuk memberi makan kepada tetamu yang hadir atau mereka yang berkabung.
Kita akan melihat dulu kepada kanibalisme. Para saintis telah menemui kesan aktiviti kanibalisme pada tinggalan zaman Paleolitik di Eropah, begitu juga dengan tinggalan yang sengaja dicipta, iaitu kesan ritual pada tulang manusia. Sebahagian ahli paleontologi percaya bahawa pelbagai kebudayaan purba telah terlibat di dalam endo-cannibalism, iaitu aktiviti kanibalisme dalam kalangan ahli keluarga atau ahli dalam puak.
Kita mungkin biasa mendengar mengenai exo-cannibalisme, atau kanibalisme dendam, iaitu memakan daging musuh, yang biasanya berlaku setiap kali peperangan berakhir. Namun untuk endo-cannibalisme, ia adalah satu ritual yang dilakukan sewaktu majlis pengebumian orang tersayang atau ahli keluarga.
Ritual asal Paleolitik ini telah dijalankan dalam banyak kebudayaan purba di banyak bahagian di dunia sehingga menjelang abad ke-20, terutamanya di Papua New Guinea, di mana orang tersayang yang telah meninggal dunia dimakan bertujuan bagi menghantar roh itu kepada nenek moyang mereka.
Di kawasan Sungai Amazon, mayat tersebut akan dimakan oleh ahli keluarga bagi menunjukkan bahawa mayat itu sama seperti daging yang lain, dan menjadi suatu ritual biasa bagi mereka.
Makanan kemudiannya berubah kepada pengertian yang lebih simbolik, iaitu sebagai suatu hidangan buat si mati. Lebih 4,000 tahun lalu, pada zaman Mesir purba, makanan seperti roti dan bir telah ditinggalkan di dalam makam/kubur si mati sebagai makanan untuk roh mereka.
Kita dapat melihat perubahan sewaktu pengebumian Raja Midas, pada abad ke-8, di Anatolia, di mana suatu hidangan stew daging kambing serta minuman yang ditapai telah dipersembahkan di dalam makamnya, bertujuan memberi makan untuk rohnya.
Namun, hidangan ini kemudiannya telah dimakan oleh para pengunjung bagi majlis pengebumian tersebut, dan pinggan mangkuk, meja serta lebihan makanan telah disemadikan bersama di dalam makam bersama mayat Midas (ditemui pada tahun 1957 oleh ahli arkeologi dari Universiti Pennsylvania).
Fungsi makanan dalam majlis perkabungan ini telah berubah fokus untuk orang yang hidup sewaktu sistem feudal pada Zaman Pertengahan. Apabila seseorang bangsawan meninggal dunia, para bangsawan lain akan datang bagi meraikan kedatangan pewaris baru bagi menggantikannya.
Majlis besar-besaran akan diadakan, di mana tujuannya adalah bagi meraikan para tetamu yang datang dari jauh, dan kerana majlis yang besar dengan jamuan yang banyak akan menunjukkan betapa berkuasanya si mati tersebut.
Sejenis roti yang manis, dipanggil sebagai arval atau averil akan disajikan buat para tetamu yang hadir di majlis tersebut. Averil yang dihidangkan ini merupakan simbolik kepada memakan daging, seperti yang diwarisi daripada tradisi kanibalisme Paleolitik.
Amalan endo-cannibalisme ini masih wujud dalam kebudayaan sekular Eropah, dan di Amerika pada sekitar abad ke-18 dan ke-19. Kadangkala, ia wujud dalam bentuk yang agak literal, seperti dalam bentuk kek/roti mayat di Jerman, di mana adunana roti yang dibiarkan mengembang di atas bahagian dada orang yang mati. Simboliknya adalah roti tersebut akan menyerap semua aspek dan nilai positif yang terdapat pada si mati.
Roti tersebut kemudiannya dibakar dan dimakan, dan semua aspek dan personaliti si mati akan diwarisi oleh para pewarisnya. Terdapat juga ritual dipanggil sebagai sin-eating, yang melibatkan kawasan di Ireland pada akhir Zaman Pertengahan, di mana roti dimakan oleh pengunjung majlis pengebumian berbayar, yang akan memakan semua dosa si mati secara rohaniah (spiritually) melalui simbolik roti tersebut. Sebahagian ahli sejarah percaya bahawa amalan sin-eating masih wujud sehingga awal abad ke-20 di Appalachia, Amerika.
Menjelang abad ke-18 dan ke-19, simbolik roti ini telah menjadi lebih komersil. Pada waktu kematian berlaku, ia telah menjadi suatu kebiasaan untuk menyediakan kek atau biskut bagi majlis pengebumian, dengan nama yang berbeza meskipun makanannya adalah sama.
Di England, ia dipanggil ladyfingers; di Amerika pula, ia adalah shortbread berempah berdasarkan New Amsterdam Dutch doed koekjes. Kek dan roti ini boleh dipesan daripada pembuat roti, dihasilkan dengan pantas, dan dibungkus dalam pembalut dengan imej Bible atau petikan daripada Bible.
Kek dan roti ini boleh dimakan sewaktu majlis pengebumian, biasanya dihidangkan bersama wain, tetapi turut diambil kembali sebagai momento mori, iaitu suatu objek, yang menunjukkan kematian.
Hidangan makanan untuk si mati
Pan de muerto
Hidangan dari Mexico ini secara asasnya bukanlah makanan spesifik untuk majlis pengebumian, tetapi roti gulung manis ini biasanya disajikan pada Hari Kematian (Day of the Dead) atau disebut sebagai Dia de los Muertos dalam bahasa Mexico. Ia menjadi sebahagian daripada sajian dalam festival penuh warna warni di Mexico.
Pada hari tersebut, keluarga akan menziarahi kubur ahli keluarga mereka dan menjamah pan de muerto, serta berkongsinya sebagai satu ofendra, iaitu persembahan makanan untuk roh ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.
Yukgaejang dan tteok
Masyarakat Korea Selatan adalah antara masyarakat di dunia yang mempunyai makanan mereka yang tersendiri untuk dipersembahkan buat si mati. Bagi para tetamu yang menghadiri majlis pengebumian dan memberi hormat buat si mati, hidangan tradisional Korea akan dihidangkan.
Antara sajian di majlis pengebumian yang biasa dihidangkan ialah yukgaejang serta aneka kek beras (tteok). Yukgaejang ialah sup daging pedas yang diperbuat daripada taugeh, bawang putih, keledek, cili serta daun bawang. Yukgaejang ini biasanya akan dihidangkan bersama semangkuk nasi dan kimchi. Tteok atau kek beras ini pula merupakan antara hidangan yang bukan sahaja disajikan ketika majlis pengebumian, malah untuk acara lain.
Yukgaejang yang berwarna merah menjadi hidangan dalam majlis pengebumian sebagai suatu simbolik bagi menghalang roh jahat. Manakala tteok pula menjadi suatu medium bagi menghubungkan manusia dengan Tuhan. Selain daripada kedua-dua makanan ini, terdapat beberapa jenis lagi makanan lain yang biasa dipersembahkan untuk si mati, seperti jeon, pyeonyuk dan ikan stim kodari.
Irish wake cake
Dalam masyarakat Irish, terdapat suatu ritual, iaitu Irish wakes, di mana ahli keluarga akan menyaksikan proses pengebumian orang tersayang mereka, yang boleh berlanjutan sehingga berhari-hari lamanya. Ia merupakan waktu bagi untuk semua ahli keluarga berkumpul, melahirkan simpati serta berkongsi makanan dan minuman.
Hidangan yang biasa disajikan sewaktu acara ini ialah Irish wake cake, iaitu sejenis hidangan tradisional yang menggunakan krim keju dan buah-buahan kering bagi menghasilkan rasa yang lazat. Pada masa kini, hidangan tradisi ini semakin dilupakan di Ireland, namun ia masih menjadi pilihan sebagai suatu hidangan di rumah pada waktu-waktu mereka sedang berkabung.
Mormon funeral potatoes
Hidangan dari Amerika ini adalah merupakan hidangan casserole tradisional yang biasanya disajikan pada majlis makan malam selepas pengebumian untuk Latter Day Saints. Ia adalah hidangan yang terdiri daripada ubi kentang berbentuk kiub, keju, bawang, sos krim dan mentega dengan cornflake atau kepingan ubi kentang sebagai topping. Ia secara simboliknya menjadi comfort food, iaitu makanan ideal bagi menenangkan hati yang sedang berduka.
Kesimpulan
Makanan yang dihidangkan sewaktu majlis pengebumian ini sebenarnya menjadi suatu cara bagi orang yang masih hidup untuk mencari maksud sebenar di sebalik kematian dan kehilangan. Ia mungkin secara simboliknya dianggap sebagai suatu hidangan untuk menghantar roh si mati, atau untuk memberi makan buat si mati.
Namun, apa yang paling penting, makanan yang dihidangkan sewaktu majlis pengebumian ini adalah penting bagi menenangkan jiwa dan perasaan ahli keluarga yang menghadapi kematian dan kehilangan. Ia memberi semangat baru, dan harapan untuk mereka menerima kematian serta kembali meneruskan kehidupan setelah kehilangan orang tersayang.
RUJUKAN:
Anonymous. 2017. “Traditional Funeral Food around the World.” Retrieved 29th July 2019. https://www.funeralguide.com/blog/funeral-food%0AFood.
Kim, Hee Sup. 2017. “Funeral Foods and Its Role as Vehicle of Communication.” Gyunggido, Korea.
Lohman, S. 2018. “Eating Our Emotions: A Brief History of Funeral Food.” Retrieved 29th July 2019. https://winehistoryproject.org/eating-our-emotions-a-brief-history-of-funeral-food/.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih