Jawapan kepada mengapa Februari hanya ada 28 hari sahaja, admin ingin membawa pembaca menyelusuri sejarah pembentukan kalendar yang kita gunakan pada hari ini.
Penetapan kalendar masihi (Romulus Calendar) ini dimulakan pada
zaman Empayar Rom lagi, iaitu sekitar Abad ke-8 SM. Pada dasarnya, sistem kalendar Masihi mengandungi 10 bulan sahaja, yang digelar sebagai Sistem Kalendar Romulus. Sistem kalendar ini bermula daripada Ekuinoks Musim Bunga (Spring Equinox), iaitu bermula daripada bulan Martius (Mac) dan berakhir pada Equinoks Musim Luruh (Autumn Equinox). Januari dan Februari tidak wujud pada masa itu. Berikut merupakan bulan-bulan dan jumlah hari dalam Sistem Kalendar Romulus;
Martius: 31 hari
Aprilius: 30 hari
Maius: 31 hari
Junius: 30 hari
Quintilis: 31 hari
Sextilis: 30 hari
September: 30 hari
October: 31 hari
November: 30 hari.
December: 30 hari.
Jika dihitung kesemua jumlah hari, maka sistem Kalendar Romulus hanya ada 301 hari sahaja setahun. Masalah ini wujud apabila Musim dingin (winter) tidak diberi nama, kerana tiada tempoh bulan dan tidak berguna kepada petani-petani. Petani-petani menggunakan sistem kalendar ini sebagai jadual untuk bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman. Jadi, mereka tidak mengira musim dingin kerana ia tiada guna kepada petani-petani. Jadi, apabila ditanyakan kepada warga Rom berkenaan 61 hari lagi, apakah bulan pada hari tersebut? Mereka akan menjawab, “tiada.”
Raja Numa Pompilius merasakan bahawa sistem ‘tiada bulan’ itu adalah sesuatu yang mengarut. Mengapa ada kalendar, tetapi ‘tiada’ 61 hari setahun? Oleh yang demikian, Raja Numa Pompilius menggariskan 12 kitaran bulan setahun pada tahun 713 SM. Hasil daripada penyelarasan beliau, maka setahun 355 hari dapat diterbitkan, dengan pengenalan kepada bulan-bulan musim dingin, iaitu Januari dan Februari di hujung Kalendar Romulus sedia ada, menjadikan Februari sebagai bulan terakhir dalam Kalendar Romulus.
Walaubagaimanapun, unsur-unsur mistik diterapkan oleh Numa Pompiulus, menyatakan bahawa nombor genap (30) membawa nasib yang malang. Oleh itu, beliau cuba menukarkan setiap bulan kepada hari yang ganjil. Daripada perkiraan Numa Pompiulus, February hanya ada 28 hari (nombor genap) bagi menggenapkan 355 hari setahun, mengikut perkiraan ahli astronomi Rom. Jadi, jika terpaksa menerima nasib malang, biarlah ia yang paling pendek. Itulah antara pendapat pengkaji Kalendar Romulus ini. Bulan-bulan dan hari-hari adalah seperti berikut:
Martius: 31 hari
Aprilius: 29 hari
Maius: 31 hari
Junius: 29 hari
Quintilis: 31 hari
Sextilis: 29 hari
September: 29 hari
October: 31 hari
November: 29 hari.
December: 29 hari.
Ianuarius: 29 hari
Februarius: 28 hari.
Raja Numa Pompilius pula menetapkan 1 Ianuarius sebagai permulaan tahun bagi setiap tahun, walaupun kitaran tahunan pertanian bermula daripada Martius. Namun, tahun demi tahun, dan fenomena empat musim (dingin, bunga, panas dan luruh) seperti mempunyai suatu corak yang seragam mengikut peredaran bumi mengelilingi matahari. Oleh yang demikian, sistem kalendar 355 hari terasa tidak relevan dalam setahun. Oleh itu, untuk memudahkan penambahan hari setahun, Pemerintah Rome meletakkan satu lagi bulan dengan jumlah hari 27 hari, yang dipanggil Mercedonius sebagai bulan lompat selepas Februari. Seterusnya, mereka membuang beberapa hari dalam bulan Februari, menjadikan jumlah hari dalam bulan Februari hanya 24 hari sahaja pada tahun yang ada bulan lompat tersebut.
Sistem kalendar ini seterusnya ditetapkan oleh Pendeta Agung (The High Priest), yang menyebabkan berlaku kekeliruan di mana-mana sahaja berkenaan dengan hari dan bulan. Masakan tidak, Pendeta Agung yang bertukar menjadi orang politik ini sesuka hati sahaja menukar-nukarkan jumlah hari dan bulan, bergantung kepada musim yang tidak seragam (berlaku anjakan ekuinoks) dan juga disebabkan oleh politik.
Pada zaman Julius Caesar, orang Rome tidak tahu hari tersebut hari apa, bulan apa dan tahun apa. Bagi mengurangkan kecelaruan dalam kalendar, Caesar meneruskan jumlah bulan dan membentuk kembali kalendar. Perkara ini berlaku sejurus selepas Empayar Rom menakluki Mesir. Untuk memastikan Orang Rome mendapatkan semula kalendar yang seragam, beliau telah memanjangkan hari dalam setahun, menjadikan tahun 46 SM adalah tahun yang terpanjang dalam sejarah Rome. Masakan tidak, tahun tersebut ada 445 hari!!!!
Caesar menyusun kembali kalendar dengan pemerhatian matahari oleh ahli-ahli astronomi Rome dan menambahkan jumlah hari dalam bulan-bulan tertentu sehinggalah terbit 365¼ hari setahun, itupun selepas Julius Caesar mencontohi Jumlah Hari dalam sistem Kalendar Mesir Purba (walaupun Kalendar Mesir ialah Lunaris, tetapi ia tetap 365¼ hari) yang dikenali sebagai Kalendar Julian. Februari, walaubagaimanapun masih berada di hujung kalendar, mengekalkan jumlah 28 harinya, manakala bulan lompat Mercedonius dibuang terus selama-lamanya. Berikut adalah sistem hari dalam Kalendar Julian.
Ianuarius: 31 hari.
Februarius: 28 hari (29 hari pada tahun lompat)
Martius: 31 hari
Aprilius: 30 hari
Maius: 31 hari
Junius: 30 hari
Quintilis: 31 hari (dinamakan Julius kerana bulan kelahiran Julius Caesar)
Sextilis: 31 hari (dinamakan Augustus kerana bulan kelahiran Augustus Caesar)
September: 30 hari
October: 31 hari
November: 30 hari.
December: 31 hari.
Pada tahun 1582, Berlakulah Pengkajian Sistem Kalendar ini oleh Tamadun Barat Moden, diperkenalkan oleh Pope Gregory XIII. Sistem kalendar ini yang akhirnya digunakan secara seragam (kalendar sivil) di seluruh dunia pada zaman moden ini, ataupun dikenali sebagai Kalendar Gregory, sempena mengambil nama Pope Gregory XIII tersebut.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih