Hari ini, duit kertas ialah sesuatu yang kita anggap biasa. Tersimpan di dompet, digunakan untuk membeli makanan, membayar bil atau sekadar diselitkan di celah buku sebagai penanda. Namun, jarang kita fikir bagaimana sehelai kertas boleh menjadi simbol nilai dan kekayaan.
Asal-usul duit kertas boleh dikesan seawal abad ke-7 di China, pada zaman Dinasti Tang, apabila para pedagang mula menggunakan resit kertas bagi menggantikan syiling logam yang berat. Tetapi, ia benar-benar berkembang pada era Dinasti Song (960–1279M).
Kerajaan Song memperkenalkan “jiaozi”, iaitu bentuk duit kertas rasmi pertama di dunia. Sebabnya mudah: China ialah empayar besar dengan perdagangan luas dan membawa syiling tembaga dalam jumlah banyak adalah beban. Duit kertas menjadikan transaksi lebih ringan, praktikal dan selamat.
Namun, duit kertas bukan sahaja tentang soal praktikal. Duit kertas juga melibatkan kepercayaan. Nilainya hanya wujud kerana kerajaan yang mengeluarkannya diyakini oleh rakyat. Jika keyakinan runtuh, helaian itu tidak lebih daripada kertas kosong. Inilah sebab mengapa pengeluaran duit kertas sentiasa dikawal ketat oleh kerajaan, dan pada zaman Song, ia hanya sah digunakan dalam wilayah tertentu untuk mengelakkan penyelewengan.
Kisah duit kertas kemudian menyebar ke dunia Islam melalui jalur perdagangan. Catatan pengembara terkenal, Marco Polo, menggambarkan betapa kagumnya beliau melihat bagaimana orang Mongol di bawah Dinasti Yuan menggunakan duit kertas berskala besar, diperbuat daripada kulit pokok murbei. Dari situlah idea ini akhirnya sampai ke Eropah berabad kemudian.
Di Barat, duit kertas mula berkembang pada abad ke-17, ketika bank-bank di Sweden dan England mengeluarkan ‘note janji bayar’ kepada pembawa. Sistem ini akhirnya menjadi asas kepada wang moden. Pada abad ke-20, duit kertas telah menjadi medium utama ekonomi dunia, menggantikan emas sebagai sandaran nilai mutlak.
Hari ini, ketika kita semakin beralih ke arah pembayaran tanpa tunai: kad, e-dompet, mata wang digital dan sebagainya, duit kertas masih bertahan sebagai simbol nilai dan kepercayaan. Bermula dengan wang Jiaozi Dinasti Song hingga ke wang Ringgit di tangan kita, sejarah duit kertas membuktikan bahawa sesuatu yang sekadar kertas boleh bernilai, asalkan manusia terus mempercayainya.




No comments yet