Tana Toraja merupakan sebuah daerah yang terletak di Sulawesi Selatan. Rupa buminya yang diperindah dengan gunung-ganang menjadi permukiman bagi sebuah kumpulan masyarakat yang dikenali sebagai etnik Toraja.
Mereka pada asalnya mendiami desa-desa autonomi, di mana mereka bebas mengamalkan kepercayaan animisme. Berkurun-kurun lamanya etnik Toraja mengamalkan kepercayaan sedemikian, sebelum suasana kehidupan tersebut dicemari mubaligh-mubaligh Kristian dari Belanda sekitar awal kurun ke-20.
Populasi keseluruhan etnik Toraja dianggarkan seramai 650,000 orang, dengan 450,000 daripadanya masih menetap di daerah Tana Toraja. Kebanyakan mereka menganut agama Kristian, sambil sebahagian yang lain berpaut pada ajaran Islam. Namun, wujud juga minoriti yang masih mengekalkan kepercayaan tradisi yang dikenali sehingga hari ini sebagai Aluk Todolo (‘Jalan Leluhur’).
Kepercayaan tradisi ini paling jelas diamalkan dalam istiadat persemadian dan pesta kema-tian yang diperakui sebagai istiadat kema-tian yang paling rumit di dunia. Sememangnya, etnik Toraja banyak memusatkan kehidupan mereka pada hal-ehwal kema-tian dan persemadian. Kema-tian, menurut mereka, adalah sebuah keraian besar yang harus disambut oleh seluruh keluarga terdekat dan masyarakat setempat.
Mereka sanggup berhempas-pulas membanting tulang empat kerat dan bermandi keringat bagi mengumpulkan harta semata-mata untuk menyimpan wang bagi membiayai upacara persemadian yang mewah. Tidak seperti kita yang berbangga dengan majlis perkahwinan gilang-gemilang, etnik Toraja unik dengan majlis kema-tian dan persemadian yang diadakan secara besar-besaran.
Ia kebiasaannya diadakan berminggu-minggu, berbulan-bulan, atau bahkan ada juga bertahun-tahun sesudah berlalunya kema-tian. Panjangnya tempoh penangguhan ini bergantung kepada berapa lama masa yang diambil oleh keluarga si ma-ti untuk menyediakan perbelanjaan yang mencukupi.
Ramai juga yang tega berhutang dan ada juga yang rela menangguh atau membatalkan perkahwinan jika pihak lelaki mendapati keluarga pihak perempuan mempunyai anggota keluarga yang sudah terlalu lanjut usianya – bimbang kalau-kalau mereka pula yang terpaksa menanggung beban perbelanjaan bagi mengadakan upacara kema-tian dan persemadiannya.
Dalam tradisi leluhur etnik Toraja, setiap kema-tian akan disusuli oleh suatu istiadat yang disebut sebagai Rambu Solo. Istiadat ini memakan belanja yang sangat besar, justeru kebiasaannya memakan masa yang bukan sebentar. Sementelahan, selagimana istiadat ini tidak diselesaikan, selagi itu jugalah si ma-ti dianggap belum benar-benar mati. Sekadar sakit atau lena tertidur.
Dalam keadaan sedemikian, si mati dibiarkan tidak dikebumi dan hanya diawet dan diletakkan di suatu ruangan dalam rumah yang dihuni oleh ahli keluarganya. Mereka bahkan akan melayan si ma-ti seumpama manusia hidup – diberi makan dan pakaian, dijaga siang dan malam, dan dibawa berjalan-jalan mengelilingi perkampungan.
Istiadat Rambu Solo kebiasaannya dimulakan dengan acara mengor-bankan kerbau di lapangan terbuka, sambil dihadiri oleh seluruh warga kampung. Kor-ban ini bertujuan mempercepatkan perjalanan si ma-ti menuju negeri abadi (disebut sebagai puya), menenteramkan kehidupannya di sana, dan bahkan menjadi haiwan gembalaannya kelak.
Kononnya, semakin banyak haiwan yang dikor-bankan, semakin cepat, tenteram, dan mewahlah kehidupan si mati nanti. Bagaimanapun, sebelum dikorbankan, kerbau-kerbau ini dilagakan dalam satu upacara yang disebut sebagai tedong silaga.
Usai upacara kor-ban, daging-daging kerbau tersebut kemudiannya diagihkan kepada warga kampung dengan kadarnya bergantung pada darjat dan kedudukan masing-masing. Bagi menjamu tetamu-tetamu yang hadir, khinzir turut ditumbangkan dan dagingnya dihidangkan.
Hanya pada hari kesebelas setelah bermulanya istiadat Rambu Solo, barulah jasad akan disemadikan – bukan di dalam tanah, tetapi di sisi bukit atau gunung batu yang dilubangi (seakan gua). Sebelum itu, mereka akan menyediakan keranda kayu (disebut sebagai tau tau) yang diukir rapi mengikut bentuk tubuh si ma-ti. Tau tau ini kemudian diletakkan secara menegak.
Sementara itu di kampung Ke’te’ kesu’, kaedah persemadiannya sedikit berbeza. Jasad si ma-ti disemadikan di dalam keranda kayu yang dibiarkan tergantung di sisi bukit atau gunung batu. Seiring peredaran waktu, keranda kayu tersebut akan mereput sekali gus mendedahkan rangka mayat.
Paling aneh, adalah persemadian buat bayi. Tempat peristirehatan terakhir mereka bukanlah di dalam tanah, di sisi bukit, apalagi di dasar laut. Akan tetapi, di dalam batang pokok yang sedang tumbuh meninggi. Lubang-lubang yang terdapat pada batang pokok tersebut kemudian ditutupi oleh dedaunan kelapa. Mereka percaya bahawa roh bayi-bayi ini nantinya bersatu dengan pokok tersebut.
Apapun, pada setiap Ogos akan diadakan satu upacara yang disebut sebagai Ma’Nene (Upacara Memandikan Mayat). Dalam upacara ini, mayat si ma-ti akan dikeluarkan semula daripada keranda lalu dibersihkan, didandan, dan dipakaikan dengan pakaian baru. Keranda yang rosak pula diperbaiki atau diganti. Setelah semuanya selesai, mayat si ma-ti akan dibawa berjalan-jalan mengelilingi kampung lalu disemadikan semula seperti sebelumnya.
Sehingga hari ini, Tana Toraja dianggap sebagai destinasi pelancongan kedua paling masyhur di Indonesia, menyusuli Bali. Bagaimanapun, sektor pelancongan di Tana Toraja boleh diibaratkan seperti serampang dua mata. Kemasukan pengunjung-pengunjung asing sememangnya memacukan lagi ekonomi tempatan dan menggalakkan masyarakat setempat untuk terus menghidupkan tradisi lama.
Namun, pengaruh luar yang kian menekan saban tahun dijangka bakal menjejaskan budaya yang telah diwarisi sejak 700 tahun lampau itu. Tambahan, pihak pemaju seringkali mengeksploitasi masyarakat tempatan demi kepentingan peribadi. Banyak barangan berharga, seperti tau tau, dijual dan diseludup – saling tidak tumpah seperti yang lazim berlaku pada artifak-artifak di Mesir Purba.
Walaupun keadaannya masih belum pada tahap yang membimbangkan, sedikit-sebanyak ia menerbitkan kegusaran jua. Lebih-lebih lagi, tradisi Toraja ini diperakui sendiri oleh UNESCO sebagai suatu khazanah berharga yang tidak dapat ditemukan di mana-mana belahan dunia. Kata pujangga, “Gadai terdorong ke pajak, sehari sebulan juga.”
TERJEMAHAN
April Holloway. (24 Januari 2014). The Toraja people and the most complex funeral rituals in the world. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/toraja-people-and-most-complex-funeral-rituals-world-001268
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih