Bagi penganut agama Hindu, nama Ganesha pastinya dikenali dalam kalangan dewa-dewi Hindu berikutan imejnya berkepala gajah dan bertubuh manusia. Ganesha atau nama lainnya Ganapati, Vinayaka atau Binaya melambangkan permulaan baru dan kejayaan serta berupaya menyingkirkan apa-apa halangan. Tetapi pengaruh Ganesha bukan sekadar wujud dalam agama Hindu tetapi juga dalam agama lain seperti Jainisme dan Buddha.

Nama Ganesha itu merupakan kombinasi perkataan Sanskrit ‘gana’ (dewa/dewi yang lebih kecil) dan ‘isha’ (tuan). Dewa ini merupakan putera kepada Dewa Shiva dan Dewi Parvati serta abang kepada Dewa Kartikeya (dewa peperangan dalam agama Hindu). Terdapat beberapa versi bagaimana Ganesha dilahirkan.

Menurut satu versi, dewa ini dihasilkan daripada kotoran ibunya semasa sedang mandi. Dalam satu versi lain, Parvati membentuk tanah dalam bentuk tubuh seorang lelaki. Dalam sesetengah mitos versi kelahirannya, Ganesha dilahirkan dengan kepala gajah tetapi kebanyakan versi menyatakan dewa itu lahir sebagai manusia yang normal.

Rajah 1: Dewa Ganesha dimandikan oleh Dewi Parvati dan Dewa Shiva.

Seperti mana kisah kelahirannya, kisah bagaimana Ganesha mendapat kepala gajahnya juga mempunyai pelbagai versi. Dalam kebanyakan versi, dewa itu diarah ibunya untuk mengawal pintu masuk tempat mandinya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk semasa Parvati membersihkan diri. Tiba-tiba, Shiva pulang selepas beberapa lama keluar bermeditasi dan berkeinginan melihat isterinya yang tercinta. Namun, hasratnya itu dihalang oleh Ganesha dan dalam keadaan marah, Shiva memenggal kepala puteranya itu.

Apabila Parvati mendengar kekecohan yang berlaku di luar, dia segera berlari untuk melihat apa yang berlaku. Melihat Ganesha terbaring kaku selepas dibunuh oleh suaminya sendiri, Parvati menangis teresak-esak dan merintih kehilangan putera kesayangannya itu. Shiva kemudiannya berjaya memujuk isterinya dan berjanji akan memulihkan semula Ganesha. Malangnya tatkala kejadian itu berlaku, kepala Ganesha tercampak jauh sehingga sukar dikesan.

Dalam satu versi lain, Shiva menghantar tentera-tentera syaitan berlawan dengan Ganesha. Di sebalik cubaan mereka, dewa itu berjaya menahan asakan syaitan yang dihantar oleh bapanya. Ini menyebabkan Vishnu melakukan helah dengan menyamar sebagai seorang wanita bernama Maya. Apabila Ganesha terleka melihat kelibat Maya, salah satu daripada syaitan atau Shiva sendiri yang kemudiannya memenggal kepada Ganesha itu. Untuk penutup dua versi itu, Shiva dinasihatkan memilih kepala hidupan pertamanya yang ditemui tidur dengan kepalanya menghadap ke sebelah utara. Justeru bila Shiva melihat seekor gajah tidur dalam keadaan sedemikian, kepala gajah itu diambil sebagai pengganti kepala Ganesha.

Rajah 2: Lukisan Dancing Ganpati abad ke-15 dari utara Tibet.

Selain dikenali dengan kepala gajahnya, Ganesha turut dikenali dengan ciri-ciri lain. Haiwan tunggangannya ialah tikus di mana ia bukan sekadar melambangkan kebijaksanaan tetapi juga melambangkan ego dan keangkuhan. Justeru bila Ganesha menunggang tikus, ia sebagai perlambangan bahawa dewa itu menundukkan dua ciri negatif itu.

Penganut Hindu selalu menawarkan manisan kepada Ganesha sebagai bahan persembahan berikutan salah satu barang yang dipegangnya ialah semangkuk manisan. Selain manisan, Ganesha turut memegang sebuah gading gajah yang patah (dipercayai digunakan untuk menulis kitab Mahabharata), sebuah angkusa dan sebilah kapak.

Menariknya, Ganesha bukan saja disembah oleh penganut Hindu tetapi juga oleh penganut Jainisme dan Buddha. Contohnya di Jepun, Ganesha dikenali dengan nama lain iaitu Kangiten dan dipuja oleh Shingon Buddha, satu kelompok penganut Buddha di negara Matahari Terbit itu.

Rajah 3: Lukisan Dewa Ganesha atau Kangiten antara abad ke-18 hingga abad ke-19 oleh Shorokuan Ekicho.

RUJUKAN

DHWTY. (2017). Ganesha: How He Lost… And Gained His Head. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/ganesha-how-he-lost-and-gained-his-head-008931


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.