Negeri Selangor yang wujud pada pertengahan kedua abad ke-18 adalah dipercayai mengikut nama sungai di mana mula diasaskan kerajaan baru. Sejarah Selangor bermula dari tebing Sungai Kuala Selangor di mana letaknya sebuah pekan di pinggir Sungai Selangor yang mana akhirnya menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Selangor yang pertama.

Di sinilah bermulanya nama Selangor bersempena dengan nama sebatang sungai.Secara umumnya,Selangor (Kuala Selangor) telah wujud lebih awal iaitu kira-kira abad ke 16 kerana sebelum Melaka diserang Portugis dalam tahun 1511, Kuala Selangor berada dalam jajahan Melaka.

Di samping itu, gelaran ‘Darul Ehsan’ yang digunakan oleh kerajaan Selangor pada hari ini sebenarnya telah bermula pada zaman pemerintahan Sultan Salehuddin dan Sultan Ibrahim melalui hubungan surat menyurat dengan Kompeni Belanda dan Kompeni Inggeris.Bezanya ketika itu,Sultan Salehuddin dan Sultan Ibrahim tidak menggunakan gelaran ‘Darul Ehsan’ tetapi sebaliknya menggunakan gelaran ‘Darul Khusus’ bagi Negeri Selangor.

Pemerintah Awal

Sebelum berdirinya Kesultanan Selangor, sudah ada pemerintah yang mentadbir Selangor. Tun Perak, anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perpatih Sedang dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446 sebagai Penghulu Klang. Jeram sebagai jajahan takluk Melaka pernah ditadbir oleh Paduka Mamat, putera kepada Sultan Mansur Shah Melaka (1459-1477).

Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kesetiaan pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang mana Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di Kepulauan Bintan.

Di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Shah, sultan pertama Johor Lama, Kelang telah mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran Mandulika.

Kemudian Dato’ Engku Kelang, anak Puteri Mayang Selida bersama salah seorang ahli keluarga Bendahara Johor dihantar ke Selangor untuk mentadbir di sini.

Institusi Kesultanan Negeri Selangor

Kesultanan Selangor pada hari ini telah diasaskan oleh Raja Lumu,Putera Opu Daeng Chelak atau Daeng Pali,Yamtuan Muda Johor ke 2 pada kurun ke 18. Baginda datang ke Selangor sekitar tahun 1730 an.Raja Lumu diiktiraf  sebagai pemerintah Selangor pada tahun 1743. Kedudukan ini walau bagaimanapun tidak memberikan beliau kuasa mutlak terhadap kawasan yang kini dikenali sebagai Selangor, tetapi sekadar sebagai pemerintah di sekitar kawasan sungai Selangor. Malah, kerajaan Johor pada ketika itu masih menganggap Selangor masih di bawah jajahannya.

Pada 1756, sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mengunjungi Melaka bagi menunjukkan penghargaan kepada Belanda yang membantu Sultan Mahmud menewaskan Raja Alam di Siak. Beliau juga menandatangani perjanjian yang memberikan hak kepada Belanda ke atas bijih timah di Selangor (Kuala Selangor), Klang dan Linggi. Oleh sebab itu, Baginda cuba mendapatkan pengiktirafan daripada Perak. Akhirnya,pada tahun 1766, Raja Lumu mendapatkan pengikirafan daripada Sultan Mahmud (Raja Kimas) dan memakai gelaran Sultan Salehudin.

Setelah Sultan Salehudin mangkat pada tahun 1782, puteranya Sultan Ibrahim telah diangkat sebagai Sultan dan pemerintahan antara tahun 1782 hingga 1826. Oleh yang demikian, pemerintahan negeri Selangor adalah dari keturunan Sultan Salehuddin. Sultan yang ketiga ialah Sultan ialah Sultan Muhammad (1826-1857) iaitu putera kepada Sultan Ibrahim. Sultan keempat ialah Sultan Sir Abdul Samad (1857-1898). Manakala Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah (1898-1938).

Antara tahun 1938-1942, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah telah dilantik sebagai Sultan Selangor yang ke enam. Sewaktu pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945, Sultan Musa Ghiathudin Riayat Shah  telah ditabalkan sebagai Sultan Selangor dengan suatu istiadat yang diadakan di Istana Mahkota Puri,Klang pada tahun 1943. Setelah tamat pemerintahan Jepun,Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-Haj telah diangkat semula memerintah negeri Selangor oleh Kerajaan Tentera British. Baginda memerintah antara tahun 1945 hingga 1960.

Pada tahun 1960, putera Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-Haj,Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj telah memerintah Negeri Selangor sehinggalah Baginda mangkat pada tahun 2001.Antara tahun 2001 hingga sekarang,putera sulung Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah telah dimasyhurkan sebagai pemegang teraju pemerintahan Negeri Selangor.

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR
 

1. Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Yamtuan Muda  Daeng Chelak, 1766 -1782

2. Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin, 1782-1826

3. Almarhum Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, 1826-1857

4. Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah,1857-1898

5. Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, 1898-1938

6. Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, 1938-1942 dan 1945-1960

7. Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, 1942-1945

8. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj, 1960-2001

9. Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, 2001-kini

Rujukan

Adnan Haji Nawang &Mohd.Fadzil Othman. (1992). Selangor Sejarah dan Proses Pembangunannya.

Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Muzium Sultan Alam Shah Selangor D.E.United Selangor Press.

Muzium Sultan Alam Shah Selangor D.E.United Selangor Press.

https://www.selangor.gov.my/index.php/pages/view/1

Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.