Pada malam Jumaat lepas, ribuan warga Turki yang beragama Islam merebut kesempatan menunaikan solat sunat tarawih di Hagia Sophia. Ini merupakan solat tarawih pertama yang diadakan di masjid itu sejak 88 tahun yang lalu.
Bagi ketua Diyanet (badan awam Turki yang bertanggungjawab memantau rumah-rumah ibadat) Ali Erbas, ia merupakan satu detik yang tidak dapat dilupakan. Sepanjang Ramadan ini, solat tarawih akan diadakan di Hagia Sophia pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula minggu lepas. Selain itu, pelbagai acara istimewa sempena bulan Ramadan akan turut diadakan di situ.
Sebelum ini, umat Islam tidak berkesempatan menunaikan ibadat di Hagia Sophia sejak ia ditukar peranannya daripada muzium kepada masjid pada 2020. Ini berikutan penguatkuasaan peraturan pencegahan Covid-19 termasuk larangan solat berjemaah di situ.
Tetapi selepas melihat bilangan kes dan kematian Covid-19 menurun dan bilangan pesakit yang pulih meningkat, kerajaan Turki mengambil keputusan membuka semula Hagia Sophia bersempena kehadiran Ramadan 2022.
Turkiye’s Hagia Sophia Grand Mosque hold 1st tarawih prayer in 88 years
????: Erhan Sevenler
????: Ali Atmaca pic.twitter.com/jRjIuBWNke— Anadolu Images (@anadoluimages) April 1, 2022
Hagia Sophia pada asalnya merupakan sebuah gereja besar yang dibina atas titah Maharaja Rom Timur, Justinian I. Dibina di atas tapak gereja lama yang telah runtuh, ia siap dibina pada 537 Masihi dan menjadi gereja utama Kristian Ortodoks selama hampir 900 tahun.
Hagia Sophia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa seperti pertabalan maharaja baru, rampasan kuasa dan penjarahan oleh tentera Salib pada 1204. Disebabkan statusnya sebagai antara mercu tanda Constantinople dan Rom Timur, ia turut dihiasi mozek figura-figura seperti imej maharaja-maharaja Rom dan figura utama agama Kristian.
Selepas Mehmed II dan angkatan Turki Uthmaniyah menakluk Constantinople pada 1453, peranan Hagia Sophia ditukar daripada gereja kepada masjid. Ia kemudiannya menjadi kompleks masjid diraja dengan menara-menara masjid dan kubah-kubah ditambah pada bangunan tersebut. Sementara mozek-mozek figura yang dianggap bertentangan dengan prinsip syarak ditutup.
Peranan Hagia Sophia sekali lagi berubah selepas kemunculan Mustafa Kemal Ataturk sebagai pengasas Republik Turki moden pada 1923. Ataturk mengambil keputusan menukar peranan Hagia Sophia sebagai muzium pada 1934 atas alasan ia merupakan simbol sekularisme dan mewakili masa silam Turki yang kaya dengan budaya pelbagai tamadun.
51 tahun kemudian, Hagia Sophia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Dalam tempoh ia bergelar muzium, wujud perdebatan ramai pihak berkenaan status Hagia Sophia. Ramai warga Turki berharap peranan asalnya sebagai masjid semasa era Turki Uthmaniyah dapat dikembalikan. Bagaimanapun, hujah ini ditolak oleh kelompok sekular yang berkuasa di Turki ketika itu.
Hanya selepas Recep Tayyip Erdogan muncul di arena politik sebagai Perdana Menteri sebelum bergelar Presiden Turki, barulah idea ini mula direalisasikan. Akhirnya, pada Julai 2020, Hagia Sophia dikembalikan peranannya sebagai masjid. Susulan itu, semua mozek yang bertentangan dengan syarak ditutup oleh pihak berkuasa dengan simbol-simbol agama Islam.
Begitupun, ramai mengkritik usaha ini termasuk Paus Francis dari Vatican dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Bagaimanapun, Turki langsung tidak ambil pusing dengan kritikan pihak luar dan memberi jaminan bahawa semua warisan budaya Hagia Sophia akan terus dipelihara. Malah, walaupun ia sudah bertukar peranan sebagai masjid, ia masih dibuka untuk kunjungan pelancong baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam.
RUJUKAN
Agency. (2022, 2 April). Ramadan prayers return to Istanbul’s iconic Hagia Sophia mosque after 88 years. The Star.
First Post. (2022, 4 April). Explained: Why Turkey’s Hagia Sophia is holding Ramzan prayers after 88 years.
Sumber gambar: DHA Photo
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih