Aku: Amir Timur tak pernah kalah perang di sepanjang hayatnya?
Dia: Betul lah tu, dia mana pernah kalah perang masa dia hidup. Tak ada sebut pun dalam sejarah yang dia pernah kalah.
Aku: Betul ke? Siapa yang kata?
Dia: Lahh, bacalah sejarah dia, kalau ada tulis kekalahan dia, bak sini tunjuk.
Sejarah yang kata? Baiklah, macam ada sedikit salah faham perlu diperbetulkan. Amir Timur tak dinafikan, memang dia seorang panglima tentera yang sangat hebat, kuat, kejam, dan ada banyak pertempuran dimenanginya. Mungkin kerana dia menang banyak pertempuran, maka kemenangan-kemenangan itu telah menutup/mengaburi kekalahannya yang lebih kecil sebelum itu. Amir Timur atau Timurlang (Tamerlane) ada reputasi sebagai salah seorang panglima tentera dan penakluk yang terhebat dalam sejarah. Dia dikenali dan dijulang sebagai seorang tokoh perang yang tidak terkalahkan dalam sejarah.
Sebenarnya Amir Timur banyak kali je pernah kalah dalam pertempuran semasa dia hidup. Walau bagaimanapun, semua itu adalah zaman sebelum dia bangkit berkuasa dalam Chagatai Ulus (Chagatai Khanate).
Kita tak pernah tahu tentang kekalahan Amir Timur ni atas beberapa sebab yang pada dasarnya memang normal, sebab-sebab ini juga sentiasa menjadi punca mengapa beberapa tokoh-tokoh sejarah yang lain amat jarang sekali didendangkan kisah kekalahan mereka.
Pertama sekali, ia kerana kekalahan Amir Timur hanya pernah berlaku pada zaman sebelum dia bangkit berkuasa, dan memang tak ada banyak sumber yang mencatatkan tentangnya pada zaman itu. Kedua, kerana ia bercanggah dengan dasar kepentingan pencatit sejarah Empayar Timuriyyah. Raja dari mana sekali pun tak akan rasa gembira kalau penyusun sejarah yang dilantiknya di istana turut mencatatkan kisah-kisah sejarah kekalahan raja tersebut dalam sejarah.
Begitu juga dengan Amir Timur, setiap kisah-kisah perjalanan sejarahnya dari sumber istana hanya akan merekodkan kejayaan dan kegemilangan untuk memuliakan imej Amir Timur pada waktu itu. Lebih-lebih lagi, setiap kekalahan dalam pertempuran yang dialami Amir Timur dahulu hanyalah pertempuran berskala kecil yang tak mendapat perhatian umum. Ia kurang penting berbanding dengan kejayaan besar Amir Timur di kemudian hari semasa mengambil alih kekuasaan.
Timur pernah tewas dalam beberapa pertempuran pada awal karier ketenteraannya. Ia berlaku setelah tentera Moghulistan (Kekhanan Chagatai Timur) di bawah Tughlugh Timur Khan menyerang Kekhanan Chagatai Barat pada tahun 1360. Timur cuba menggunakan peluang ini untuk merebut kedudukan amir dalam tampuk kepimpinan suku Barlas. Salah satu contoh awal kekalahan Timur adalah di tangan Hajji Beg, amir (ketua) suku Barlas yang terdahulu yang juga merupakan bapa saudara Timur sendiri.
Dah masuk bab-bab Mongol sekarang ni. Kami ingin menjemput korang beli buku KITAB TAMADUN MONGOL. Kita semua sedia maklum Mongol pernah membina sebuah empayar yang menggerunkan semua musuh. Maka dalam buku ini, kami abadikan segala selok-belok tentang Mongol yang mungkin korang tak tahu sebelum ni. Buku boleh dibeli melalui Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Kitab-Tamadun-Mongol-i.238336777.10674339366
Amir Timur mula membuat kemunculannya dalam lipatan sejarah pada usia 24 tahun. Tughlugh Timur Khan, (Khan Moghulistan) menyerang Transoxiana pada tahun 1360. Tujuannya adalah untuk menyatukan semula Kekhanan Chagatai yang telah berpecah belah. Kebanyakan ketua-ketua suku di Transoxiana tunduk kepada Tughlugh Timur Khan. Ada yang enggan dan terpaksa melarikan diri. Salah seorang dari mereka ini ialah amir dari suku Barlas, Hajji Beg. Timur menemaninya dalam pengunduran hingga ke Sungai Amu/Oxus. Kemudian Timur meminta izin untuk pulang ke tanah air bagi menjaga ketenteraman dan menghalang sebarang kemaraan dan serangan lanjut dari Moghulistan. Hajji Beg memberi kebenaran.
Apabila dia kembali ke wilayah Kesh, Timur melakukan sesuatu yang tidak dijangka. Dia mula menyedari bahawa menentang Tughlugh Timur Khan adalah perbuatan yang sia-sia. Timur tunduk kepada kekuasaan khan baharu dari Kekhanan Chagatai yang bersatu. Tughlugh Timur Khan memilih Timur untuk menggantikan Hajji Beg sebagai amir baru untuk suku Barlas. Pada usia 24 tahun Timur akhirnya menjadi ketua puaknya, dari sinilah dia mendapat gelaran “Amir Timur”. Akhirnya Amir Timur dan Hajji Beg bersemuka di medan perang. Namun, memandangkan Haji Beg masih memiliki pengaruh yang sangat besar dalam suku Barlas berbanding Timur, ketua-ketua suku Barlas akhirnya bertindak meninggalkan Timur dan kembali menyokong Hajji Beg.
Timur terpaksa menyerah kalah dan mengembalikan kuasa kepimpinan suku kepada Haji Beg, namun Timur masih diterima kembali ke dalam suku. Kekalahan paling teruk yang dihadapi oleh Timur mungkin semasa Pertempuran Tashkent pada tahun 1365. Amir Timur membentuk pakatan dengan Amir Husayn, ketua puak Qara’una (Mongol Neguderi) dan memberontak menentang kerajaan Moghulistan.
Amir Timur dan Amir Husayn mengetuai tentera menentang Ilyas Khoja, seorang khan Chagatai dari Moghulistan. Pertempuran amat sengit dan kekuatan kedua-dua belah pihak cukup seimbang. Amir Timur mencadangkan Amir Husayn supaya mengarahkan tenteranya melancarkan serangan untuk memberikan hentaman terakhir dan menghancurkan tentera Moghulistan. Walau bagaimanapun, Amir Husayn tidak mempedulikan cadangan Amir Timur dan menghentikan kemaraan tentera. Moghulistan mengambil kesempatan dari kecuaian ini dan berjaya menembusi barisan pertahanan musuh. Tentera Amir Timur terperangkap dan dikalahkan.
Amir Timur dipercayai kehilangan beribu-ribu tenteranya dalam pertempuran ini. Peristiwa ini dipercayai menjadi punca yang mengakibatkan kemerosotan hubungan antara kedua-dua pemimpin. Dalam sejarah, Amir Timur meninggal dunia sebelum dia sempat sampai ke sempadan China untuk menakluki Dinasti Ming. Walaupun sekiranya ditakdirkan usia dia masih panjang ketika itu, tak semestinya dia akan berjaya menakluki Ming, meskipun kekuatan tenteranya sangat tinggi.
Pangkalan kuasanya adalah di Transoxiana, dan sejarah membuktikan dia mengalami kesukaran untuk mengawal wilayah selain daripada Parsi. Dia melepaskan jajahan takluknya di Asia kecil, Levant dan India dalam masa yang singkat selepas ia ditakluki kerana Timur sedar yang dia tak mampu mengawalnya. Ini bermakna, jika Timur mahu menakluk seluruh China, dia perlu melepaskan pangkalan kuasanya dan memindahkan ibu kota ke China. Bahkan jika dia tetap akan meneruskan penaklukannya terhadap Dinasti Min sekali pun, perlu diingat yang Dinasti Ming pada tahun 1400-an adalah kuasa besar baharu dunia yang sedang meningkat ke kemuncaknya. Angkatan tentera Ming ketika itu baru saja melalui perang saudara yang besar di mana Zhu Di (Maharaja Yongle) merampas kuasa, jadi tenteranya pastilah dari kalangan tentera veteran yang sangat berpengalaman.
Dinasti Ming juga jauh lebih besar dari segi angka berbanding musuh-musuh lain yang pernah dihadapi Amir Timur. Maharaja Yongle tak sama seperti kebanyakan maharaja Ming yang lain, baginda merupakan seorang komander tentera yang cukup berkebolehan, berpengalaman luas dalam perang terutama dalam kempen menentang saki baki kuasa bekas penjajah Mongol (Dinasti Yuan) yang telah digulingkan oleh pengasas Dinasti Ming, Zhu Yuanzhang.
Jika operasi ketenteraan berskala besar berlaku di seluruh Dzungaria (Xinjiang moden), ia akan menjadi operasi yang amat mencabar dan jarang berlaku dalam sejarah (jumlah populasi Lembangan Tarim tidaklah lebih besar daripada tentera Timur, maka keperluan logistik akan menjadi satu masalah yang besar).
Bahkan semasa zaman kemuncak Empayar Mongol, Genghis Khan sendiri tak sempat hidup lama untuk menyaksikan cucunya menjadikan hasratnya mahu menakluki China sebagai satu realiti. Bahkan impian Genghis itu memerlukan sebanyak empat kali lagi takhta khan agung Mongol bertukar, dari Ogedei, Guyuk, Mongke, hinggalah apabila Kublai Khan mengambil alih mandat sebagai khan Empayar Mongol, barulah Mongol berjaya memusnahkan Dinasti Jin dan Dinasti Song Selatan, sekaligus menakluki keseluruhan China.
Ini bermakna Empayar Mongol sendiri terpaksa menghabiskan masa selama setengah abad untuk menakluki China, China yang sedang berpecah belah pula tu. Pendek kata, ada, terlalu banyak faktor yang bertentangan dengan kejayaan Amir Timur, dan hakikatnya, sebaik sahaja selepas kematian Amir Timur, Empayar Timuriyyah dengan segera dipecah belahkan oleh anak-anaknya sendiri, ini lagi teruk dari anak-anak Genghis Khan.
Sebenarnya, istilah “tak terkalahkan” atau “undefeated” dalam bahasa Inggeris ini sering saja digunakan terhadap banyak lagi tokoh-tokoh perang dalam sejarah. Tetapi ia tidaklah bermaksud mereka tidak pernah kalah dalam pertempuran, istilah ini biasanya menggambarkan rekod kejayaan pertempuran yang diketuai oleh seorang tokoh tertentu. Tetapi ia tidak merekod kekalahan yang dialami semasa tokoh tersebut hanyalah seorang tentera biasa seperti dalam kes Amir Timur.
Bahkan, tokoh-tokoh yang pernah kalah dalam perang semasa mereka sendiri yang mengetuai bala tentera pun masih dianggap sebagai tak terkalahkan, contohnya Napoleon pernah kalah semasa berperang dengan Rusia, Salahuddin al Ayubbi pernah kalah, Sultan Mehmed II pernah kalah, hatta Genghis Khan sendiri juga pernah kalah. Setakat dalam pengetahuan aku, hanya Khalid ibn al-Walid sahaja yang tidak pernah mencatatkan sebarang kekalahan dalam mana-mana pertempuran yang pernah diketuainya.
Namun Khalid ibn al-Walid pernah mengetuai satu pertempuran di mana ketika itu tentera Islam tewas di tangan Byzantine, walau bagaimanapun, ketika itu Khalid bukan memegang kuasa sepenuhnya ke atas tentera Islam. Pertempuran yang dimaksudkan adalah Pertempuran Mu’tah. Walaupun Khalid al-Walid bukanlah ketua komander yang sebenar ketika itu kerana dia diberi mandat secara mengejut akibat kematian pegawai atasannya, ia masih dikira sebagai kekalahan.
Tambahan pula terdapat juga kekalahan di mana ketika Khalid adalah seorang Quraisy yang masih lagi menentang dakwah Islam dibawa Nabi, dan Khalid tidak ada kuasa mengepalai tentera Quraisy. Kekalahan ini berlaku dalam Perang Khandaq. Namun walaupun Khalid tewas di tangan tentera Islam dalam Perang Khandaq, beliau hampir-hampir berjaya membunuh Nabi Muhammad S.A.W. namun dia gagal kerana dihalang oleh sahabat baginda.
Jadi, “tidak terkalahkan” tidaklah semestinya bermaksud seseorang panglima perang itu tak pernah kalah dalam pertempuran. Tetapi ia lebih sesuai untuk menggambarkan betapa sukarnya untuk menundukkan pasukan tentera tertentu jika tentera itu dikepalai oleh tokoh tertentu. Sebab itulah jika hendak menilai seorang tokoh bersejarah, jangan nilai dari pembacaan teks-teks sejarah yang bersifat satu hala semata-mata, tetapi seeloknya carilah mana-mana bahan bacaan yang menyediakan biografi peribadi tokoh tersebut.
Bahkan sebenarnya kisah kekalahan Amir Timur ini sendiri tak perlu merujuk pada biografi pun kerana sememangnya kisah tersebut adalah sebahagian daripada sejarah Amir Timur, namun ia ditenggelamkan oleh kisah-kisah kejayaannya yang lebih besar.
Dua buku best-seller The Patriots kini kami gandingkan sekali dalam versi bahasa Inggeris untuk kalian semua:
World Without Walls III: https://bit.ly/3PR2Ep9
The Human’s Complex: https://bit.ly/3J2GoGF
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih