Peperangan hanya dimenangi oleh pihak yang mampu bertahan paling lama dengan kepelbagaian taktik dan teknik, dan ia tidak semestinya dimenangi oleh pihak yang lebih kuat. Kuat tidak semestinya tahan lama, namun tahan lama sudah pasti ia kuat menahan dan mengheret pihak lawan ke dimensi yang kritikal seterusnya memaksa lawan tersebut menyerah kalah atau dikalahkan. Di dalam sebuah peperangan, sudah pasti wujud pertempuran demi pertempuran. Boleh diandaikan pada masa kini pertempuran itu berlaku sama ada di alam maya mahupun secara realiti. Secara umumnya, kita mudah mengukur betapa memenangi pertempuran di alam maya ertinya sudah menang peperangan, namun harus diingat betapa pertempuran terakhir terletak kepada pertempuran bersemuka dan fizikal kerana kubu lazimnya terbentuk dalam dimensi fizikal dan bersifat “wujud”.

Tidak sukar memahami penulisan ini kerana ia hanya memfokuskan persoalan akan makna perperangan, keazaman politik dan keselamatan dalam konteks falsafah politik yang mudah. Politik adalah wadah untuk mendapatkan, meningkatkan dan mengekalkan kuasa. Oleh kerana itu, kata asas bagi politik adalah poli (kepelbagaian) dan tik (taktik) yakni kepelbagaian taktik bagi mendapatkan, meningkatkan dan mengekalkan kuasa. Dengan erti kata lain politik didasari oleh persoalan kuasa. Hans Morgenthau melihat kuasa sebagai perhubungan di antara dua aktor dalam mana aktor A mempunyai kemampuan untuk mengawal pemikiran dan tindakan-tindakan aktor B. Oleh itu menurut beliau, kuasa boleh menjadi apa saja yang akan membentuk dan mengekalkan kawalan manusia ke atas manusia lain, daripada keganasan berbentuk fizikal kepada hubungan – hubungan psikologikal melalui mana satu minda mengawal minda yang lain. Ringkasnya kuasa merujuk kepada kekuatan sedia ada, kapabiliti-kapabiliti relatif dan cara-cara sebuah .negara cuba untuk mengawal tingkahlaku sebuah negara yang lain. Kuasa juga adalah –multifaceted, sumber politik yang berterusan, berubah-ubah dan jumlah pelbagai elemen-elemen yang membolehkan kepentingan-kepentingan sebuah negara mengatasi kepentingan-kepentingan sebuah negara yang lain.

Homer meriwayatkan sebuah kisah yang amat klasik di dalam karya agungnya, Iliad dan juga Oddyssey sebelum bermulanya tahun masihi dahulu, Troy telah ditawan dengan mudah oleh tentera Yunani dengan menggunakan strategi yang menampakkan kekalahan, perpecahan dan ketirisan di dalam barisan tentera elit Yunani yang diketuai oleh Achilles. Taktik yang digunakan oleh Yunani adalah lari dan berundur dari medan pertempuran apabila pertempuran tersebut menemui jalan buntu dengan meninggalkan pelbagai senjata, barangan berharga dan juga sebuah kuda kayu yang digelar Kuda Trojan (Trojan Horse). Berdasarkan karya Homer, Yunani (Sparta) terkenal dengan barisan tenteranya yang amat mantap, tidak pernah tewas dan begitu terlatih dalam ilmu peperangan, masakan mereka mahu lari dari medan pertempuran dengan sebegitu mudah?  Namun inilah yang dicatatkan oleh sejarah.

Tentera Troy segera memeriksa medan pertempuran dengan teliti dan mendapati bahawa kesemua tentera elit Yunani telah melarikan diri dan berundur. Yang tinggal hanya mayat mayat tentera Yunani yang terbunuh bersama harta benda mereka yang dibawa bersama ketika pertempuran. Gegak gempita seluruh buana dengan sorak sorai tentera Troy tatkala mereka beranggapan bahawa mereka telah mencatat kejayaan gemilang di dalam pertempuran tersebut. Sekonyong-konyong segala harta, senjata-senjata dan tidak ketinggalan Kuda Trojan diarak memasuki kota gadang Troy dan dipertontonkan “kejayaan” menewaskan tentera Yunani kepada rakyat jelata yang berada di dalam Kota Troy tersebut. Maka bertemasyalah seluruh rakyat Troy dengan “kejayaan” tersebut, tidak kurang ada yang mendabik dada mengatakan bahawa Troy adalah sebuah kerajaan terhebat di pesisir laut Aegean dan tidak akan musnah kerana berjaya menewaskan seteru tradisi dan utamanya. Temasya itu diraikan dengan penuh gilang-gemilang seolah-olah tidak sesekali menjangkakan bahawa bahaya telah berada di dalam kota mereka yang sekian lama dipertahankan dari jatuh ke tangan musuh.

Ketika dinihari, setelah kota yang tadinya bersemarak dengan temasya meraikan kejayaan “menewaskan” tentera Yunani telah lengang, satu persatu kepingan kayu yang membentuk binaan Kuda Trojan tertanggal dengan tidak semena-mena. Rupanya berpuluh-puluh tentera elit Yunani bersembunyi di dalam binaan Kuda kayu tersebut sebagai satu taktik atau muslihat untuk memasuki kota Troy dan seterusnya merobek pertahanan kota Troy dari dalam. Beberapa orang tentera Yunani membuka pintu utama kota Troy bagi memberi laluan kepada tentera Yunani (yang pada awalnya dikatakan berundur) yang telah bersiap siaga di luar pintu kota untuk masuk menyerang kota Troy. Manakala Achilles, seorang panglima Yunani dalam pertempuran tersebut yang telah bersara kerana merajuk pada awalnya namun turun semula berperang membunuh beberapa pahlawan kanan Troy.

Akhirnya, jatuhlah Troy ke tangan tentera Yunani namun panglimanya Achilles terbunuh dalam pertempuran tersebut. Walaupun beliau terbunuh, Yunani telah memenangi peperangan tersebut setelah beberapa pertempuran awal berlangsung di antara kedua belah pihak. Hasil kemenangan Yunani adalah kerana strategi “Kuda Trojan” yang telah diarak sendiri oleh tentera Troy ke dalam kota mereka. Sebelum berlangsungnya pertempuran terakhir tersebut, Achilles ada mengatakan bahawa tiada apa yang beliau ingin buktikan setelah menewaskan panglima utama Troy, Hactor dalam pertempuran satu lawan satu, sekalipun dirinya dicemuh oleh sang kekasih mahupun mungkin terbunuh, yang penting baginya Yunani menang dan terus menang! Kekallah Yunani sebagai sebuah kuasa yang tidak tercabar sehingga sistem negara kota berubah kepada sistem empayar. Manakala rakyat Troy yang telah lari menyelamatkan diri terus terusan mengutuk kebebalan tentera dan panglimanya yang mengantikan Hactor. Ironinya, Hactor telah berjuang bermati-matian, namun keluarganya sendiri yang membiarkan Kuda Trojan diarak ke dalam kota gadang Troy!

Apa yang boleh diteladani melalui kisah ini bukan persoalan siapa benar dan siapa salah, namun siapa hebat dan siapa lemah dalam ilmu dan strategi peperangan. Yunani memperoleh kemenangan kerana mereka pintar dalam penggunaan taktik berperang, manakala Troy pula begitu gelojoh dengan keinginan mencapai kuasa dan kemenangan. Para kesatria Yunani pula memainkan peranan yang cukup baik dalam menjadikan “drama kekalahan” Yunani seakan begitu realistik sehingga menyebabkan tentera Troy yang gelojoh dalam meraikan kemenangan benar-benar terkepung di dalam taktik dan strategi hebat tentera Yunani.

Ribuan tahun kisah ini terakam abadi di dalam karya Iliad dan Odyssey dan akhirnya ia difilemkan oleh Hollywood. Sebagai pemerhati sejarah, terdapat perbandingan antara pihak Troy dan Yunani dalam konteks kepintaran strategi dan keselamatan. Tentera elit Yunani mempunyai tradisinya yang cemerlang, terlatih dalam perjuangan, telah diuji dan juga terbukti, hebat dalam melaksanakan visi dan misi serta tidak teragak-agak untuk berjuang demi menjaga kepentingan nasionalnya dari diganggu-gugat oleh musuh. Manakala bagi pihak yang bertahan seperti Troy, bukan suatu perkara yang mudah mempertahankan negara kota mereka dari diserang, apatah lagi pihak yang menyerang mereka itu dipimpin oleh Achilles! Benar, pertahanan yang paling ampuh adalah menyerang!

Kerana itu dapat kita fahami mengapa Amerika Syarikat membina ribuan pangkalan tenteranya di luar semata-mata sebagai penampan sekiranya mereka diserang. Ia tidak termasuk dengan negara-negara proksinya yang bertindak juga sebagai negara penampan. Oleh hal demikian, Amerika Syarikat masih kekal unggul sebagai kuasa ketenteraan utama dunia kerana mereka menggunakan taktik ini dalam mengukuhkan cengkaman dan pengaruhnya di dalam struktur antarabangsa. Strategi “Kuda Trojan” digunakan oleh Amerika Syarikat melalui pergantungan ekonomi negara-negara kecil terhadap mereka. Mereka menawarkan pelbagai pelan bantuan atau pinjaman seperti Marshall Plan atau Pakatan Amerika Syarikat-Jepun tanpa dipaksa, namun negara-negara tersebut sendiri telah terperangkap dengan janji bulan bintang Amerika Syarikat sehingga akhirnya segala rancangan Amerika Syarikat dalam menjadikan kebergantungan negara-negara terbabit kepada mereka menjadi kenyataan!

Oleh itu, menginsafi sejarah peperangan antara Troy dan Yunani dan peristiwa Kuda Trojannya, Malaysia harus berhati-hati dalam menjalankan dasar diplomatiknya dan jangan mudah terpedaya dengan taktik dan strategi kuasa lain yang mahu menguasai negara ini atas nama demokrasi dan kesejahteraan ekonomi. Dasar-dasar Malaysia di peringkat antarabangsa sewajibnya mengutamakan kepentingan nasionalnya yang berpaksikan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas merdeka. Cabaran Malaysia dalam mendepani dekad baharu tidak lagi berbentuk cabaran tradisional iaitu ketenteraan namun ia lebih kepada cabaran nilai luar yang hadir dalam pelbagai bentuk seperti hiburan, demokrasi, hak asasi manusia, sukan dan sebagainya yang sekiranya tidak ditapis, ia boleh menghakis keutuhan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai tersendiri. Inilah “Kuda Trojan” kuasa asing bagi meruntuhkan sesebuah negara dari dalam. Sebuah kisah klasik untuk masa depan, Secebis kisah buat renungan!

Artikel ini dikirimkan untuk The Patriots oleh Mohd Hisyamuddin Bin Hj Basabah.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.