Suka makan
pizza? Pizza apa pilihan anda? Pernah terfikir bagaimana pizza ini terhasil?
Atau, bilakah kali pertama pizza dihasilkan? Bagi menjawab persoalan-persoalan
ini, artikel ini akan membawa kita kembali ke ratusan tahun yang lalu bagi
menyingkap sejarah dan rahsia di sebalik sekeping pizza. Mahu makan pizza? Baca
dahulu artikel ini sehingga ke akhirnya.
Sejarah
dan asal usul pizza
Ramai orang mampu untuk menghabiskan sekeping pizza dalam sekelip mata, namun, sejarah di sebalik sekeping pizza ini adalah panjang. Kita akan lihat dahulu kepada asal usul perkataan pizza itu sendiri. Perkataan pizza merupakan perkataan berasal dari Itali (pittsa) yang bermaksud pai (pie), dan orang-orang Inggeris telah meminjam dan mempopularkannya pada sekitar tahun 1930-an.
Istilah pizza yang pertama telah direkodkan pada sekitar abad ke-10, di dalam manuskrip Latin dari kawasan Selatan Itali, iaitu di Bandar Gaeto di Lazio, bersempadan dengan Campania. Manuskrip ini telah menyatakan bahawa para penduduk yang mendiami kawasan tertentu harus memberikan duodecim pizze (12 pizza) kepada paderi di Gaeta pada setiap hari Krismas, dan 12 lagi pizza apabila menjelangnya hari Ahad Easter.
Sejarah menunjukkan bahawa kewujudan roti seumpama pizza ini telah mula dikesan sejak zaman Neolitik lagi. Bentuk pertama makanan yang menyerupai pizza ditemui di Aeneid, apabila Celaeno, iaitu permaisuri Harpies, membuat ramalan bahawa askar-askar Trojan tidak akan menemui keamanan atau kedamaian sehinggalah mereka mengalami keadaan kelaparan sehingga terpaksa untuk memakan ‘meja’ mereka (Buku III).
Di dalam Buku VII pula, Aeneas dan pengikutnya telah dihidangkan dengan satu juadah yang terdiri daripada kek bulat (seperti roti pita) dan dihiasi dengan sayur-sayuran. Dan, apabila mereka menjamah hidangan roti tersebut, barulah mereka menyedari bahawa itu adalah makanan seumpama ‘meja’ seperti yang diramalkan oleh Celaeno.
Berdasarkan
sejarah juga, flat bread dengan
pelbagai jenis hiasan/inti (topping)
telah mula dihasilkan dan dimakan oleh masyarakat Mesir, Roman dan Greek purba.
Pada waktu, versi flat bread yang
dimakan oleh mereka adalah bersama dengan herba dan minyak, menyamai focaccia
pada hari ini, iaitu sejenis roti klasik (flat
bread) Itali yang mempunyai tekstur yang sama seperti doh pizza. Foccacia
ini juga dianggap sebagai pelopor kepada pizza, yang mana dalam kalangan
masyarakat Roman ia turut dikenali sebagai panis
focacius, iaitu flat bread yang mempunyai
pelbagai topping di atasnya.
Rupa bentuk
pizza moden sebenarnya telah berevolusi daripada flat bread di Naples, Itali pada sekitar abad ke-18 atau awal abad
ke-19 Masehi. Sebelum itu, flat bread
biasa yang dihasilkan sering dihiasi dengan topping
daripada bahan-bahan seperti bawang putih, garam, lemak khinzir, keju dan
basil. Namun, ia masih menjadi
perdebatan hingga kini dan tidak dapat dipastikan bilakah tomato mula-mula
dijadikan bahan asas dalam pizza seperti mana pizza yang kita lihat pada hari
ini. Sehingga tahun 1830, pizza telah dijual di gerai-gerai terbuka dan di luar
daripada kedai-kedai roti yang biasa di Itali.
Pizza telah
dibawa ke Amerika Syarikat oleh para pendatang Itali pada akhir abad ke-19, dan
muncul pertama kalinya di kawasan-kawasan yang didiami oleh para pendatang
Itali. Pizzeria (kedai pizza) pertama di Amerika, Lombardi’s telah dibuka pada
tahun 1905. Selepas Perang Dunia Kedua, para veteran yang kembali daripada
Italian Campaign, yang telah diperkenalkan kepada hidangan asli Itali telah
membuktikan bahawa wujudnya potensi besar bagi pasaran pizza di negara
tersebut.
Kisah
di sebalik Pizza Margherita
Kisah
lagenda yang paling popular dalam sejarah pembuatan pizza ini adalah pada tahun
1889, di mana Royal Palace of Capodimonte telah mengarahkan seorang pizzaiolo (pembuat pizza) yang
bernama Raffaele Esposito untuk
menghasilkan sekeping pizza bagi menghargai kedatangan Permaisuri Margherita. Dalam
salah satu daripada tiga jenis pizza yang dihasilkannya, Permaisuri telah
memilih pizza yang dihiasi dengan tiga warna utama bendera Itali, iaitu merah
(dicirikan oleh tomato), hijau (daun basil) dan putih (keju mozzarella).
Pizza ini
akhirnya telah dinamakan bersempena dengan nama Permaisuri berkenaan, dan
dikenali hingga kini sebagai Pizza Margherita. Meskipun kajian seterusnya tidak
begitu yakin dengan kisah lagenda di sebalik penghasilan pizza margherita ini,
namun ia tetap diterima ramai sebagai satu simbolik dalam pembuatan pizza.
Malah, sepucuk surat penghargaan rasmi daripada ‘ketua pegawai’ bagi permaisuri
dipamerkan di ruang dalam kedai Esposito, yang kini dikenali sebagai Pizzeria
Brandi.
Jenis-Jenis
Pizza
Di negara
asal di mana lahirnya pizza ini, iaitu Itali, pizza yang paling terkenal sudah
pastilah pizza Neapolitan asli (pizza napoletana) yang dihasilkan daripada
tomato San Marzano, yang tumbuh di kawasan gunung berapi di bahagian selatan
Gunung Vesuvius, dan keju mozzarella yang dihasilkan daripada susu lembu yang
diternak di kawasan Campania dan Lazio. Malah, keju mozzarella ini telah dilindungi
oleh cap asal usul Eropahnya yang tersendiri.
Satu lagi
pizza tradisional Itali yang terkenal ialah pizza alla marinara, yang dihiasi
di atasnya dengan sos marinara. Pizza capricciosa pula adalah antara pizza asli
yang dihiasi dengan tomato, dan disediakan dengan bahan-bahan lain seperti keju
mozzarella, ham yang dibakar, cendawan, tomato dan artichoke.
Di Amerika Syarikat pula, selepas orang-orang Itali membawa masuk pizza ke dalam negara ini, hidangan pizza telah mula mengalami evolusi dan berubah mengikut citarasa tempatan. Bagi pizza di Amerika, topping yang biasa digunakan adalah terdiri daripada daging cincang, cendawan, bawang, pepperoni, bawang putih, zaitun, lobak merah, tomato, bayam, ikan bilis, ayam, bacon, ham dan sosej.
Malah, jenis-jenis pizza yang tersendiri juga telah mula dicipta menjelang abad ke-20, di bandar-bandar seperti California, Detroit, New Haven, New York, Chicago dan St. Louis. Bandar-bandar di Amerika ini telah mencipta gaya dan stail pizza mereka yang tersendiri, termasuklah deep-dish, pockets, turnover, rolled dan pizza-on-stick, dengan variasi topping daripada pelbagai jenis bahan.
Di Argentina
pula, terutamanya di kawasan Buenos Aires, para pendatang Itali telah memasuki
negara ini secara beramai-ramai pada sekitar abad ke-19. Kesannya, para
pendatang Itali yang berasal dari kawasan Naples dan Genoa telah membuka bar-bar
pizza yang pertama di situ. Meskipun, sejajar dengan peredaran waktu,
orang-orang Spanish akhirnya telah memiliki dan menguasai majoriti daripada
perniagaan pizza di negara tersebut.
Pizza Argentina mempunyai ciri yang agak berbeza berbanding pizza asli Itali, dengan bahagian kerak (crust) yang agak tebal, dipanggil sebagai ‘media masa’ (doh separa) dan mempunyai keju yang lebih banyak. Dalam tradisi Argentina, mereka akan menghidangkan pizza dengan fainá, iaitu doh chick pea-flour Genovese dan wain moscato.
Dua jenis pizza Argentina yang popular adalah pizza bersama bawang, iaitu fugazza dengan keju dan fugazetta. Fugazza adalah pizza biasa yang mempunyai topping keju bersama bawang, manakala fugazetta mempunyai keju antara dua bahagian kerak pizza dengan hiasan bawang pada bahagian atasnya.
Rekod
pizza di dunia
Pada
Disember 2012, bertempat di Rom, pizza terbesar di dunia telah disediakan
dengan ukuran sebesar 1,261 meter persegi. Pizza ini yang dinamakan ‘Ottavia’
bagi memperingati Maharaja Roman yang pertama, iaitu Octavian Augustus, telah
dihasilkan menggunakan asas doh yang bebas gluten. Pada tahun 2017 pula, pizza
yang terpanjang di dunia telah dihasilkan di Fontana, California, dengan ukuran
sepanjang 1,930.39 meter.
Bulan Pizza
Kebangsaan adalah acara tahunan yang berlangsung pada bulan Oktober di Amerika
Syarikat serta beberapa kawasan di Kanada. Acara ini sebenarnya telah bermula
pada Oktober 1984, dan telah dicetuskan oleh Gerry Durnell, penerbit bagi
majalah Pizza Today. Melalui sambutan bulan pizza ini, orang ramai akan
menikmati pelbagai jenis pizza dan mengunjungi pelbagai pizzeria yang berada di
seluruh negara.
Rangkaian
kedai pizza
Dengan
populariti pizza yang semakin melonjak, pelbagai rangkaian kedai pizza mula
wujud. Antara yang terawal ialah Shakey’s Pizza, yang diwujudkan di Sacramento,
California, Pizza Hut yang terhasil pada tahun 1958 di Wichita, Kansas dan
Josey’s Pizza yang terhasil di Newnan, Georgia pada tahun 1943.
Rangkaian-rangkaian restoran pizza yang wujud selepas itu, dengan konsep
dine-in ialah Bertucci’s, Happy Joe’s, California Pizza Kitchen, Round Table
Pizza, Domino’s dan Papa John’s Pizza.
Kesimpulan
Pizza adalah
hidangan asli yang berasal dari Itali, namun seiiring dengan peredaran zaman,
pizza juga turut berubah dan berevolusi sesuai dengan citarasa tempatan di mana
ia dihasilkan. Seperti mana yang berlaku hari ini, hidangan pizza yang
dihasilkan di setiap negara mempunyai ciri tempatan bagi menyesuaikannya dengan
selera masyarakat di negara berkenaan. Namun, masih ramai juga yang menggemari
rasa asli pizza Itali, dengan doh asas yang lembut, kerak yang tidak terlalu
tebal, sos tomato, taburan keju, basil dan minyak zaitun. Apa pilihan pizza
anda hari ini?
RUJUKAN:
Nowak, Zachary. 2014.
“Folklore, Fakelore, History: Invented Tradition and The Origins of The Pizza
Margherita.” Food, Culture & Society. 17 (1): 103–24.
Ovadia, David. 2008. A
History of Pizza. Bubbles in Food 2: Novelty, Health and Luxury.
USA: AACC International, Inc.
Turim, G. 2012. “Who Invented Pizza?” A&E Television Networks. 2012. https://www.history.com/news/a-slice-of-history-pizza-through-the-ages.




No comments yet