Genghis Khan meninggal dunia pada September 1227, dipercayai akibat komplikasi setelah terjatuh dari kuda ditungganginya.
Khan Agung Mongol itu tidak mati tanpa perancangan awal tentang siapa yang akan menggantikan dirinya, di mana, anak ketiganya, Ogedei akan mengambil alih kuasa selepas kematian Genghis Khan.
Mungkin Genghis Khan mati dengan tenang kerana dia tahu tindakan itu sekurang-kurangnya telah menangguhkan krisis pewarisan takhta dan perαng saudara selama satu generasi kerana anak sulungnya yang mungkin bukan anak kandungnya iaitu Jochi, terlebih dahulu telah meninggal dunia.
Ini menyebabkan spekulasi muncul bahawa Jochi sebenarnya telah diracun hingga mati oleh Genghis sendiri, menjadikan ia satu kebarangkalian yang agak besar sehingga tidak membenarkan keraguan munasabah.
Dakwaan ini disokong oleh sejarawan Mongol, Frank McLynn. Namun, sama ada Jochi mati kerana sakit atau telah dibunuh oleh tangan-tangan misteri, itu semua berada di luar skop perbincangan ini.
Titik perbezaan sejarah yang menjadi isu ialah Jochi, anak sulung Genghis, yang hidup di sebalik tahun 1227 yang kritikal. Untuk membincangkan apa yang akan jadi pada Empayar Mongol jika Jochi tidak mati lebih awal, maka kita anggap saja lah memang Genghis telah membunuh Jochi.
Bayangkan apa yang akan berlaku jika Genghis Khan tersilap langkah. Jika Jochi terselamat dari menjadi sasaran bunuh ‘bapanya’ sendiri, kemungkinan besar Empayar Mongol dan sejarah dunia amnya, akan amat berbeza pada hari ini.
Punca ketegangan antara Jochi dengan abangnya Chaghatai adalah persoalan tentang darah keturunan Jochi yang penuh misteri hingga masih tiada sebarang jawapan yang sahih mengenainya hari ini.
Jochi dilahirkan pada tahun 1182 sejurus selepas Genghis Khan berjaya merampas semula isterinya Borte, yang sebelum itu telah diculik oleh suku Merkit, pesaing suku Mongol.
Jadi, persoalan tentang siapa sebenarnya bapa kandung Jochi telah menjadi isu yang hangat diperkatakan di kalangan adik-beradiknya. Salasilah nasab yang dipersoalkan ini malah turut melibatkan maksud nama “Jochi” sendiri.
Kebanyakan ahli linguistik Mongologi mentafsirkan nama Jochi sebagai istilah yang sama dengan perkataan ‘zochin’ dalam bahasa Mongolia moden, yang bermaksud ‘tetamu’.
Genghis Khan boleh diberi kredit di atas perancangan warisan takhtanya. Dia banyak kali memperingatkan anak-anak lelakinya yang lain, yang mengikut turutan pewarisan (turutan kelahiran: Chagatai yang panas baran, Ogedei yang peramah dan Tolui yang suka berperαng) agar melayan Jochi dengan baik.
Jika benar Jochi bukan anak Genghis sekali pun, dia masih anak yang lahir dari ibu yang sama walaupun dia mungkin adalah benih haram dari suku Merkit yang merupakan musuh suku Mongol.
Pun begitu, Jochi dan adik beradiknya tetap memainkan peranan penting dalam perluasan Empayar Mongol yang dimulakan Genghis Khan, walaupun Genghis terpaksa memeningkan kepala untuk memisahkan Jochi dan Chagatai, yang sering bergaduh walaupun sedang mengepung kota musuh.
Chagatai, anak kedua Genghis yang panas baran mengambil pendekatan peribadi yang serius, bahkan dia dianggap memiliki obsesi yang tinggi mahu menghapuskan Jochi.
Chagatai memandang Jochi sebagai tidak layak walau hanya dipertimbangkan sebagai calon akhir untuk mewarisi kedudukan Khan Agung Mongol, menyebabkan mereka saling bersengketa.
Chagatai tidak menganggap Jochi sebagai abangnya, malah dipandang sebagai anak haram suku Merkit. Setiap kali nama Jochi disebut, Chagatai akan membangkitkan persoalan keturunan Jochi hingga kadang kala mengganggu perbincangan lalu mengundang kemarahan Genghis.
Setiap sumber sejarah bersetuju bahawa Chagatai adalah seorang yang tidak peduli akan pandangan orang lain dan panas baran. Frank McLynn juga menggambarkan Chagatai dalam dua sikap, pertama, dia membenci agama Islam. Kedua, dia menganggap Jochi sebagai duri dalam daging keluarganya.
Jochi mungkin ada pandangan yang sama tentang Chagatai. Jadi, boleh dikatakan dua beradik ini tak pernah ada rasa kasih sayang persaudaraan.
Sesiapa sahaja boleh bersabar apabila digelar sebagai anak haram dan diserang berkali-kali sebelum serangan itu menyentuh isu peribadi. Di sebalik persengketaan dengan Chaghatai, Jochi merupakan calon pewaris yang paling berfikiran terbuka dan tak ada masalah jika dikecualikan sebagai pewaris takhta Empayar Mongol.
Pengecualian itu akan semakin menjauhkan dirinya daripada Genghis Khan, sekaligus membuka peluang keemasan kepada Chagatai untuk mengeksploitasi kebimbangan bapa mereka terhadap pengkhianatan semasa ketiadaan Jochi di sisi mereka.
Menjelang tahun 1222, Empayar Mongol telah menguasai Empayar Khwarezmiyah, membuka jalan perkembangan Mongol ke arah barat dengan mudah. Sama ada sebelum perkembangan terbaru empayar atau selepas peristiwa penjarahan Nishapur yang berdarah, (tempat di mana penyair agung Attar dan ramai lagi tokoh disembelih) ketika inilah Khan Agung memutuskan untuk memuktamadkan keputusan siapa akan mewarisi takhta.
Ada beberapa sumber-sumber berbeza yang mencadangkan bilakah keputusan ini ditentukan. Genghis sedar dia tak mungkin akan hidup selama-lamanya, jadi pelan tindakan segera perlu diputuskan. Maka, dia memanggil keempat-empat calon pewarisnya untuk berbincang.
Genghis sebenarnya bukan hanya ada empat orang anak lelaki, bahkan lebih ramai dari itu. Dia ada sejumlah besar anak-anak dari isteri yang berbeza. Belum dikira lagi anak-anak angkat dari tamadun yang ditakluki atau anak-anak tenteranya yang menjadi yatim piatu yang dibawa masuk ke dalam keluarga diraja.
Dalam pertemuan itu, segalanya tidak bermula dengan baik. Pada mulanya Jochi selaku anak sulung dikatakan sebagai calon pilihan Genghis. Namun ketika Genghis baru membuka mulut untuk meminta Jochi bercakap (semasa sedang berbincang), Chagatai segera mencelah:
“Ketika kamu menyebut, ‘cakaplah, Jochi’, adakah kamu bermaksud hendak mengisytiharkan dia menggantikan kamu? Adakah kita akan merelakan diri kita diperintah oleh anak haram Merkit ini?”
Ini mengakibatkan dua beradik itu bergaduh dengan tangan kosong sesama mereka. Genghis yang sedang buntu hanya mampu terdiam melihat putera-putera yang menjadi harapan Empayar Mongol masa hadapan sedang bergelut antara satu sama lain.
Apabila perbincangan mengenai pewarisan kuasa itu bertukar menjadi pergaduhan hanya dalam tempoh lima minit pertama, Genghis sedar apa yang dirancang dari awal tak mungkin akan berakhir dengan baik. Oleh itu dia memikir pelan B.
Pengawal-pengawal meleraikan Jochi dan Chagatai. Kedua-duanya masih dalam keadaan marah, tetapi akhirnya mereka bersetuju untuk menerima pilihan alternatif Genghis.
Oleh kerana sudah jelas tidak boleh dipilih sama ada Jochi atau Chagatai, Genghis Khan turut mengenepikan anak bongsunya Tolui, kerana terlalu suka berperαng, (walaupun itu memang mengikut standard Mongol), maka Genghis mencalonkan Ogedei, anak ketiganya.
Ogedei adalah seorang yang kurang agresif, bersopan (kecuali terhadap bangsa Han China) dan terkenal dengan sifat pemurahnya. Sebenarnya, ciri-ciri kepimpinan yang lebih mesra dan pemurah, bukanlah sesuatu yang asing dalam budaya Mongol walaupun mereka amat ganas semasa berperαng.
Orang nomad tidak melihat ciri-ciri kemurahan hati sebagai satu perkara yang pelik dan unik, malah ianya ciri penting untuk seorang pemerintah. Sikap pemurah juga adalah kualiti peribadi yang sangat berperanan membawa Genghis Khan menduduki kuasa mutlaknya. Maka dalam kes ini, Ogodei telah memenuhi kehendak yang bapanya harapkan.
Semua adik beradik mencapai persetujuan sebulat suara, Ogedei akan menjadi Khan Agung selepas kematian Genghis. Genghis Khan telah melakukan segala terdaya untuk mendamaikan dua anaknya pada tahap yang sekurang-kurangnya boleh bertolak ansur antara satu sama lain.
Namun demikianlah orang Mongol, tidak ada sebarang ancaman asing, pujukan, atau pembentukan pasukan kerahan paksa yang dapat menghentikan dua beradik itu daripada saling menyerang antara satu sama lain, bahkan persengketaan mereka melarat hingga membentuk dua pasukann tentera Mongol yang saling memusuhi antara satu sama lain.
Ini menyebabkan kempen ketenteraan Genghis terhadap saki baki kota-kota bekas Empayar Khwarezmiyah yang sedang dikepung tentera Mongol ketika itu bukan sahaja berlangsung selama berbulan dari tempoh yang dijangkakan, bahkan mengakibatkan angka korban tentera Mongol kian bertambah walaupun tidak diserang tentera musuh.
Ini kerana tentera Mongol di bawah perintah Chagatai dan Jochi terus bersengketa dan mensabotaj sesama mereka, hingga ke tahap berlaku pertempuran kecil, ini mengakibatkan pengepungan ke atas kota Ugrench berlangsung berbulan-bulan lebih lama daripada yang sepatutnya dan banyak nyawa tentera Mongol melayang sia-sia.
Pada tahun 1223, Jochi yang kecewa meninggalkan keluarganya dan menuju ke wilayah di antara Laut Kaspia dan Laut Aral. Ketika itu, ia merupakan kemaraan ke arah barat yang paling jauh pernah dicapai Empayar Mongol. Selepas ini Jochi tidak akan dapat melihat bapanya hidup lagi.
Hakikatnya, Genghis Khan sedar, bahawa empayar yang telah dibina dengan darah dan keringat ini tidak akan berada dalam bentuk yang boleh berkembang atau disatukan jika salah seorang di antara dua anaknya, iaitu Chagatai dan Jochi, masih hidup selepas dia meninggal dunia.
Ditambah pula dengan tindakan ‘derhaka’ Jochi yang enggan melayan perintah Genghis agar pulang menghadapnya, dengan alasan tidak sihat, mungkin menjadi sesuatu yang ditafsirkan oleh Genghis sebagai tindakan pembangkang, sama ada Jochi benar-benar sakit atau sekadar alasan semata-mata.
Ini membawa kepada perseteruan yang baharu antara dua beranak itu. Chagatai mungkin menggunakan peluang ini untuk memainkan peranan menghasut bapanya dengan pelbagai tafsiran negatif bagi menguatkan lagi imej antagonis dalam tindakan Jochi yang amat dia benci sejak azali itu.
Sama ada Genghis Khan bertanggungjawab menyebabkan Jochi diracun atau tidak, tiada sesiapa akan tahu cerita yang sebenar. Hakikatnya, Jochi yang sihat walafiat, ketika berusia 40 tahun meninggal dunia pada awal tahun 1227. Namun kematiannya diisytiharkan sebagai berpunca dari penyakit.
Selepas kematian Jochi, akhirnya Genghis Khan turut menyusul, Khan Agung itu meninggal dunia pada bulan Ogos di tahun yang sama Jochi meninggal dunia.
Dan selepas dua tahun Tolui memangku takhta bagi pihak Khan Agung, Ogedei kemudian boleh ditabalkan secara rasmi dan meluaskan sempadan Empayar Mongol yang bersatu di luar bayangkan bapanya.
Tetapi bagaimana jika Jochi tidak meninggal dunia sebelum Genghis?
Empayar yang ditinggalkan oleh Genghis Khan sebahagian besarnya tertumpu di padang rumput Asia tengah. Mongol, seperti empayar nomad pastoral pendahulu mereka, seperti Xiongnu dan Hun boleh bergerak merentasi ‘lebuh raya’ lebih pantas daripada tamadun lain berkat sistem stesen hentian mereka, baka kuda berkualiti dan organisasi yang mantap.
Walaupun begitu, kemungkinan besar orang-orang yang berada jauh di pinggir empayar Mongol seperti Jochi, akan menjadi orang terakhir yang mengetahui berita kematian Genghis Khan.
Garis masa utama sejarah menyebut, Tolui ditinggalkan dengan lebih 100,000 tentera di bawah perintahnya, lebih besar jika dibandingkan dengan divisyen-divisyen tentera ‘Mongol tulen’ adik-beradiknya yang berjumlah 4,000 tentera setiap seorang.
Sebagai calon pewaris yang paling muda, tradisi Mongol menetapkan Tolui menjaga tanah air Mongol di Asia Tengah. Masa selama dua tahun diperlukan untuk mengumpul orang-orang Mongol yang penting dari setiap sudut empayar dan menghimpunkan mereka di dalam kongres ‘kurultai’ bagi mengabsahkan pertabalan takhta Ogedei.
Perkembangan Mongol perlahan di China Utara dan Timur Tengah, kemudian sebahagian besarnya terhenti. Pada masa ini Tolui adalah pemangku khan di empayar yang bersatu, dan mempunyai tentera yang paling besar, menjadikan dia pemain utama dalam drama adik beradik ini.
Ini bermakna, sesiapa yang memihak kepada Tolui yang suka berperαng ini, akan berpotensi menjadi pemenang perαng saudara Mongol generasi pertama.
Chagatai, kemungkinan besar, akan mempergunakan berita kematian bapanya (dan mungkin dia ada kelebihan kerana telah mendengar berita itu terlebih dahulu) sehingga ke potensi paling maksimum.
Senario yang paling mungkin ialah Chagatai akan cuba melancarkan serangan mengejut ke atas abang yang dibencinya.
Pertaruhannya ialah, dia boleh membawa tenteranya ke kem Jochi di antara laut Aral dan Kaspia sebelum berita kematian tersebar, dan mengakibatkan kekalahan teruk Jochi sebelum Jochi sempat untuk memobilisasikan tentera.
Atau sebelum mana-mana adik beradiknya sempat untuk mengecam atau mengambil tindakan secara rasmi bagi mengelakkan tindakan tersebut. Lebih baik meminta keampunan daripada keizinan.
Sama ada serangan pertama ini berjaya atau tidak bukan isunya. Peperαngan padang rumput sudah lama menjadi tradisi yang berlarutan, berlangsung dari generasi ke generasi.
Malah, perselisihan dan pembalasan dendam adalah pemboleh imbang utama dalam budyaa suku padang rumput, dari segi sejarah, sifat ini dieksploitasi oleh tamadun yang tidak aktif, terutamanya China, dalam memastikan musuh mereka lemah dan berpecah belah.
Perαng Saudara Mongol Generasi Pertama
Kita cuba melihat perspektif yang paling teruk dari sudut pandangan Chagatai. Dia berjaya menyerang hendap Jochi, tetapi hasilnya tidak seperti yang diingini: Jochi melarikan diri dan mengumpulkan kekuatan yang ada.
Jochi berkemungkinan akan memohon kepada pemangku khan, Tolui, dan bakal pewaris yang sah, Ogedei, untuk mendapatkan bantuan dan menuntut keadilan di atas serangan tanpa provokasi ini.
Kini tinggal tanda tanya tentang apa yang berlaku selepas itu, dengan dua adik-beradik yang tinggal didesak untuk memihak.
Sekali lagi, jawapannya tak penting, kebenaran hakiki isu ini ialah ada perαng saudara Mongol berlaku pada generasi pertama, bukannya generasi ketiga (khususnya Perαng Saudara Toluid di antara anak-anak Tolui yang membantu mempercepatkan perpecahan empayar bersatu menjadi empat negeri berasingan).
Perαng saudara bermakna tempoh pengembangan (1229-1260) yang menandakan tempoh kekhaganan Ogedei, Guyuk dan Mongke berkemungkinan tidak berlaku. Empayar itu mungkin akan berpecah dan bergelut di dalam sempadan yang telah dibentuk semasa tahun 1227, atau selewat-lewatnya 1228.
Walaupun dengan resolusi yang pantas mampu mendatangkan hasil yang berbeza, ia masih tiada kepastian, sebagai contoh, Tolui akan membenarkan Ogedei memerintah empayar selepas perαng selesai, menikmati peranannya sebagai kingmaker dan mengubah peranan itu menjadi setara dengan kuasa Khagan.
Tatanan ketenteraman sosial yang getir telah disusun dengan susah payah oleh Genghis Khan seumur hidupnya akan dihancurkan bahkan oleh pertelingkahan dalaman tentera yang paling singkat, tanpa mengira kepentingan tradisi apa pun.
Walaupun Genghis Khan terpaksa berpandangan jauh untuk melantik pewaris sebelum kematiannya, dia tidak meninggalkan mekanisme untuk meletakkan pewaris selepas Ogedei bagi memastikan konflik dan pertengkaran masa depan tidak berlanjutan.
Empayar Mongol akan memakan dirinya sendiri hanya dalam satu generasi: paling baik pun ia hanya mampu distabilkan di bawah beberapa orang khan dan perlahan-lahan mula menyatu semula, paling teruk, ia akan berubah menjadi kerajaan-kerajaan kecil Asia tengah, tidak lagi berkembang sebagai empayar terbesar di dunia seperti sebelum itu.
Ini bermakna, beberapa hal tentang ketamadunan yang pernah didengari oleh orang Mongol hanyalah sekadar sekilas pandang sahaja pada peringkat ini.
Mari kita lihat secara ringkas apa yang berlaku, atau mungkin akan berlaku, jika Mongol terlibat dalam perαng saudara generasi pertama dan gagal untuk berkembang ke barat dengan cara yang lebih signifikan.
Jika mereka terlibat dalam perαng saudara generasi pertama, maka mereka hampir tidak ada peluang untuk menakluki Dinasti Song Selatan, Dinasti Jin atau empayar di Korea. Semua ini memerlukan Empayar Mongol yang bersatu untuk menakluki mereka, justeru itu, fokus perkembangan ke arah barat agak kurang.
Turki Seljuk Bertahan Lebih Lama
Kaum Turki Seljuk adalah satu lagi empayar steppe yang berjaya dan menguasai timur tengah sekitar dua abad sebelum kemunculan Mongol. Empayar mereka merentangi sebahagian Anatolia dan sering berkonflik dengan Empayar Rom Timur atau Byzantine.
Jika Mongol tidak mendorong ke Barat, Seljuk berkemungkinan akan meneruskan kelangsungan untuk beberapa dekad lagi dengan kekuatan yang lebih besar, menjadikan mereka bebas untuk menumpukan perhatian terhadap perαng salib Eropah daripada perlu berperαng di pelbagai pentas.
Dalam sejarah, mereka bertahan dalam bentuk yang lemah sehingga 1307, Kesultanan Rum menjadi kesinambungan Seljuk di Anatolia tetapi kuasa mereka semakin lemah apabila Mongol menyerang Timur Tengah dan padang rumput Pontic.
Kemaraan Mongol telah mencipta vakum kuasa yang membolehkan beylik kecil bernama Osmanli menjadi terkenal dan akhirnya bangkit sebagai Empayar Uthmaniyah untuk tempoh 600 tahun mendatang yang akan menggabungkan banyak bekas jajahan-jajahan Seljuk, Byzantine, dan Mamluk.
Dengan berlakunya Perαng Saudara Mongol, tidak mungkin kita dapat melihat Empayar Uthmaniyah lahir dengan sejarah dan kronologi yang sama.
Sebut tentang Empayar Byzantine, mereka ada sedikit masalah dengan Seljuk, dan sejumlah siri tikam belakang dan pengkhianatan dari ‘sekutu’ Eropah mereka berkaitan dengan siri Perαng Salib yang disengajakan terhadap Seljuk dan mereka sendiri.
Semasa empayar sedang bergelut, Byzantine berada pada titik di mana, jika tanpa sekatan kuasa besar (katakan pencerobohan Mongol) mereka berkemungkinan dapat mengekalkan tanah Yunani, Balkan dan Dalmatia, walaupun tidak semestinya seluruh Anatolia.
Tentera Salib adalah sekutu yang tidak menentu. Siapa yang boleh melupakan tahun 1204 di mana tentera Salib yang sepatutnya menyerang Palestin, tiba-tiba mensasarkan Konstantinople dan menjarahnya?
Bagaimanapun, perkara yang perlu dibincangkan di sini adalah Byzantine akan bertahan lebih lama tanpa perlu menghadapi Uthmaniyah yang akan datang. Mereka akan mengekalkan kedudukan mereka sebagai pintu masuk antara Eropah dan Asia, posisi yang didambakan dalam dunia perdagangan dan pengaruh geopolitik
‘Assassin’
Bercakap tentang Palestin, Mongol telah berjaya menempatkan beberapa gabenor wilayah di timur tengah, tetapi tidak dapat mengawal sepenuhnya wilayah-wilayah itu bermula pada tahun 1219. Ini tidak disukai orang tempatan, terutamanya pengikut Nizari Ismailiyah, sebuah kultus Syiah yang lebih dikenali sekarang sebagai Hashashin.
Mereka terkenal sebagai pembunuh upahan dan digeruni kerana mampu mencapai sesiapa sahaja orang penting dengan senjata mereka, dan menyumbang dalam memastikan timur tengah tidak stabil melalui pembunuhan politik yang disasarkan.
Bayangkan jika kultus ini terselamat melepasi tahun 1253 —tanpa Hulagu Khan memusnahkan kubu mereka ketika bergerak melalui timur tengah. Sudah tentu, pada waktu itu di wilayah mereka sendiri, Naziri Ismaili adalah pemain utama dan akan terus wujud selagi Mongol tidak menuju ke barat.
Kebangkitan Venetia Ditangguh
Kesan gelombang Mongol yang terhad di padang rumput adalah tidak terhad kepada empayar besar. Pedagang Venetia, telah menjual peta Eropah kepada panglima tentera Mongol, Subutai sebagai pertukaran agar Mongol menimbulkan ancaman terhadap kuasa perdagangan saingan mereka, Genoa.
Kemerosotan kuasa Byzantine di Dalmatia dan Yunani membuka pintu untuk kerajaan Venetia berkembang dan menjadi kuasa perdagangan utama dan penampan antara Uthmaniyah dalam garis masa sejarah, ini peluang yang dinafikan kepada mereka, sekurang-kurangnya dengan cara yang sama dalam kes ini di mana terdapat perαng saudara generasi pertama Mongol.
Ini adalah dunia tanpa hubungan Mongol-Venetia yang mendalam— jadi, Eropah tiada akses ke Laluan Sutera, dan, tiadalah pengembaraan Marco Polo. Dunia akan menjadi tempat yang jauh lebih bersegmen untuk jangka masa yang lebih lama.
Kievan Rus Terus Wujud
Kuasa utama terakhir yang akan berubah kerana kurangnya dorongan Mongol dalam perkembangan kuasa, adalah Kievan Rus, yang berpusat di Kyiv di Ukraine hari ini. Mereka adalah kuasa-kuasa serantau yang besar.
Dalam sejarah, Mongol telah mengalahkan Kievan Rus. Terutama sekali Mongol telah menewaskan gabungan kuasa tentera Slavik utama di padang rumput Pontic dalam pertempuran Sungai Kalkha di bawah pimpinan jeneral Subutai.
Walau bagaimanapun, pangkalan kuasa utama Kievan Rus masih belum disentuh pada ketika ini dan dalam garis masa ini, Mongol mungkin tidak akan mencapai dan menjarah Kiev yang bermaksud kemungkinan besar empayar Slavik ini kekal tidak terusik sepanjang abad ini.
Ini akan menghalang kemunculan kuasa yang timbul sebagai Ulus Jochi (Golden Horde) —yang memusnahkan dan mengasimilasikan suku kaum Kipchak di padang rumput Pontic dan memaksa negeri-negeri Rus menjadi pengikut.
Paling ketara, Moscow berkemungkinan tidak muncul sebagai salah satu watak atau sejarah lewatnya akan tertulis tanpa peranannya sebagai tukang pemungut cukai untuk Mongol, atau pernah meningkat melebihi status negara kota. Begitu juga kebangkitan Novgorod untuk menonjol akan lebih dipertikaikan.
Kesimpulan
Jochi mungkin enggan mati dengan mudah pada 1227, namun gagal kerana dia menimbulkan ancaman kesulitan yang besar terhadap impian ayahnya tentang empayar bersatu. Jika keengganan itu berjaya, Jochi secara tidak sengaja akan menyelamatkan berjuta-juta nyawa daripada penaklukan Mongol, walaupun itu bukan niatnya.
Perkembangan Mongol ke barat akan tersekat secara drastik walaupun tidak terhenti sepenuhnya. Dan kempen-kempen mereka terhadap negara-negara bertamadun di Asia (Dinasti Qara-khitai, Dinasti Song Selatan dan Goguryeo, dll) mungkin akan meninggalkan sedikit sahaja kesan sejarah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih