Dari timur hinggalah ke barat, dari dataran rendah hinggalah ke bumbungan Asia di Tibet. Dari hutan belantara Indochina hinggalah ke Padang pasir di Baghdad dan Teluk Parsi. Mereka semua ada mencatat mengenai sebuah bangsa dan kerajaan yang sangat besar dan kaya. WAQWAQ, SRIBHOJA, SENRIJAWA, SHAMBALA, SABAG, ZABAJ, SHAVAKA, JAVAKA, CHEVAKA, SAYABIGA, itulah SRIVIJAYA.
Siapakah Bani Sayabiga?
Catatan Arab kurang jelas berkenaan asal usul perkataan Sayabiga ini kerana ia bukan berasal daripada bahasa Arab mahupun Parsi. Dalam catatan Arab dan Parsi mereka terkenal sebagai penanam padi dan penternak kerbau. Mereka tinggal di kawasan rawa atau kawasan penanaman padi di selatan Iraq dan Iran. Kawasan Basra pada suatu masa dahulu terutama pada zaman kerajaan Sassanid, Bani Ummayyah serta Abbasiah pernah menjadi pembekal beras kepada seluruh Empayar Islam. Namun dari mana asalnya padi atau kerbau ini? Terdapat sarjana yang berpendapat bahawa padi dan kerbau telah dibawa masuk ke Iraq atau Basra oleh Puak Sayabiga. Namun siapa sebenarnya mereka?
Menurut buku ‘The Encyclopedia of Islam’ mereka ini adalah orang-orang rumpun Melayu dari kerajaan Srivijaya. Hal ini dapat menjelaskan unsur persamaan diantara perkataan Srivijaya dan Sayabiga. Perkataan Sayabiga itu sendiri adalah berakar daripada perkataan Arab/Parsi yakni Zabag. Perkataan Zabag pula dipercayai berakar umbi daripada perkataan Sanskrit untuk sebuah kaum yang dinamakan sebagai ‘Djavaka’ atau ‘Shavaka’ dalam sebutan Dravidian. Apabila dikaji petitih kuno dari India dan Sri Lanka maka kita akan mengetahui bahawa perkataan Djavaka/Jawaka/Shavaka adalah merujuk kepada perkara yang sama iaitu Alam Melayu atau merujuk secara khusus kepada penduduk dari Pulau Sumatera, Semenanjung, dan Pulau Jawa. Pendek kata ia merujuk kepada wilayah kekuasaan Kedatuan Srivijaya.
Apa yang menarik lagi adalah puak Sayabiga ini disebut dalam catatan Arab sebagai Sea Gypsy atau pelaut yang sangat handal dan penguasa kapal-kapal. Hal ini memang bertepatan dengan aktiviti maritim yang memang menjadi kepakaran masyarakat rumpun Melayu. Mereka memang terkenal sebagai ‘Orang Laut’ yang handal. Kehandalan mereka inilah yang menyebabkan mereka digaji oleh kerajaan Parsi Sasanid dan kerajaan Umayyah serta Abbasiyyah untuk menjadi warden, pengawal, polis dan tentera laut.
Micheal Jan de Goeje adalah orang pertama yang membincangkan berkenaan puak Sayabiga dengan panjang dalam bukunya “Memoire sur les migrations des Tziganes a Travers I’Asie”. Menurut beliau kewujudan puak Sayabiga di Parsi bukanlah bermula pada zaman Islam tetapi telah wujud sejak zaman sebelum Islam lagi. Mereka telah membina penempatan di pesisir pantai selatan di Teluk Parsi. Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As Siddiq r.a pula didapati puak Sayabiga telah pun mempunyai penempatan di daerah Al Bahrain. Hal ini membuktikan bahawa orang rumpun Melayu telah lama menjejakkan kaki ke tanah para Anbiya. Beliau turut menyatakan:
“… These peoples must have been planted there, or induced to settle there, as guards and frontier auxiliaries, by the Sasanid emperors.
Pada zaman awal Islam, puak Sayabiga bersama pasukan tentera berkuda kerajaan Sasanid yang dipanggil Asawira telah memeluk agama Islam. Menurut Martijin Theodore Houtsma, pada zaman khalifah Umar Al Khattab r.a, orang-orang Sayabiga telah berbaiah untuk berkhidmat dengan kerajaan Islam. Namun mereka memberi beberapa syarat antaranya ialah upah yang dibayar kepada mereka mestilah setinggi upah yang dibayar kepada pasukan tentera yang terbaik. Mereka juga diberi syarat hanya akan berperang dengan musuh-musuh yang bukan berbangsa Arab. Mereka kemudiannya telah bersemenda dengan suku Arab Bani Tamim dan Abu Musa al-Ashaari telah menempatkan mereka di Basra.
Kepahlawanan dan keberanian mereka terbukti apabila mereka sering ditugaskan untuk menjadi warden, polis atau pengawal kepada harta dan perbendaharaan kerajaan di Basrah. Malah mereka juga sering terlibat dengan banyak aktiviti peperangan dan ketenteraan di sekitar Iraq dan Iran sepanjang zaman awal Islam. Antaranya ialah dalam peperangan untuk menghapuskan saki baki orang-orang Majusi penyokong kerajaan Sasanid di Khurasan yang diketuai oleh panglima Abdullah Bin Amir. Pada zaman al-Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafi menjadi gabenor di Iraq, orang-orang Sayabiga telah berpihak kepada Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn al-Ash’ath dan telah terlibat dalam peristiwa pemberontakan untuk menjatuhkan pemerintahan Al Hajjaj yang terkenal kejam.
Khalifah Muawwiyah juga pernah menghantar para pahlawan Sayabiga untuk pengawal sempadan di utara Syria dan Antioch. Pada zaman Khalifah al Mahdi, seramai 4000 orang tentera yang terdiri daripada orang-orang Sayabiga dan Asawira bersama dengan pasukan sukarela telah terlibat dalam satu kempen ketenteraan laut untuk menyerang sebuah Bandar di pantai barat India berdekatan Gujerat iaitu Narbada. Hal ini membuktikan bahawa memang kepakaran mereka dalam ilmu maritime dan ilmu perang di lautan lepas dipergunakan oleh kerajaan Islam pada zaman itu. Houtsma juga menyatakan:
“From all these sources which in perfect agreement, it is evident that the Sayabiga were naturally soldiers, disciplined, used to the sea, faithful servants which qualities rendered them most suitable to serve in army by land or sea, to act as guards and to act as soldiers, guards, police officers, gaolers and warders of the treasury.”
Terdapat juga sumber-sumber tertentu yang cuba mengaitkan orang-orang Sayabiga ini dengan satu puak yang terkenal di seluruh dunia sehingga kini, yakni puak Hashashiyyin. Tetapi bagi saya kaitannya adalah agak kabur dan masih lagi perlukan kajian lanjut, namun tidak mustahil jika mereka sememangnya mempunyai kaitan walaupun kita masih belum jumpa hujah yang konkrit.
Perkara yang lebih menarik bagi saya ialah terdapatnya catatan yang menyebut bahawa semasa Saidina Ali diserang dalam perang Siffin, orang-orang Kufah yang datang untuk membantu baginda adalah termasuk daripada puak Sayabiga. Sejak dari hari itu puak Sayabiga dikatakan telah menganut Mazhab Shiah. Dikatakan juga ketua pengawal yang pernah menjaga keselamatan Khalifah Ali ibn Abi Thalib Karamallahuwajhah bernama Ma’kal ibn Kifi Al-Zabaji, yang dinisbah keturunannya dari Zabag. Ada sedikit puzzle yang hendak saya kemuka disini. Saya pernah mendengar satu riwayat dari orang-orang tua dan para pengamal tarian kuda kepang bahawa tarian ini adalah berasal daripada pengalaman seorang Nusantarian yang melihat kuda tunggangan Saidina Ali naik berang dalam perang. Adakah peristiwa ini berdasarkan kisah yang sebenar? Wallah hu a’lam.
Paul Kenkai Manansala, seorang pengkaji sejarah dari Filipina menyatakan bahawa puak Sayabiga adalah orang-orang yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran Tantrik ke dunia sebelah barat sebelum mereka memeluk Islam. Beliau juga berpendapat bahawa ilmu Yoga Tantra yang dipunyai oleh orang-orang Sayabiga inilah yang telah mempengaruhi kelahiran ilmu-ilmu mistik Sufi dan aliran Syiah Ismaili yang memang banyak bermula di sekitar Basra dan dan kemudian utara Syria dimana tempat-tempat ini mempunyai populasi orang-orang Sayabiga. Menurut beliau lagi ilmu tersebut telah digarap oleh Dharmakirti Suwarnadipa yakni salah seorang ilmuan Buddha terkenal Srivijaya sendiri. Menurut beliau terdapat nama-nama para ahli sufi awal yang menunjukkan berkemungkinan mereka berketurunan dari Alam Melayu seperti Salim Al-Barusi dan Abu Yazid al-Waqwaqi. Namun ini hanya pendapat berdasarkan kajian beliau. Masih banyak lagi kekaburan yang perlu dijernihkan.
Jadi kesimpulannya adakah mustahil untuk dikatakan bahawa orang rumpun Melayu pernah menetap di bumi Babilon dan berkhidmat dengan kerajaan Khalifah? Sebenarnya tidak mustahil, kerana sejak turun temurun Parsi adalah salah satu rakan dagangan Alam Melayu yang sangat akrab. Kajian daripada Prof Asyaari Muhammad seorang ahli arkeologi UKM menunjukkan bahawa sememangnya hubungan diantara kerajaan Parsi telah berlaku dengan Alam Melayu sejak zaman kuno sebelum Islam lagi.
Beliau telah membuat perbandingan diantara tembikar berglaze biru yang dijumpai di beberapa tapak di negara ini dengan yang terdapat di Parsi zaman kuno dan hasilnya ternyata sama. Ini mungkin dapat menjelaskan mengapa terdapat banyak kata pinjaman dari bahasa Parsi dalam BM, antaranya ialah bandar, Shah, dewan, domba, kelasi, kenduri, medan, piala, nobat, pasar, nakhoda, saudagar, pahlawan, jam, serunai, kurma, kismis, Shahbandar dan gandum. Mungkin sewaktu 300 tentera Sparta sedang bertempur dengan tentera kerajaan Parsi, telah wujud hubungan diantara rumpun Melayu dan Parsi.
Jadi hubungan Parsi dan Arab dengan Rumpun Melayu telah lama berlaku dan tidak mustahil terdapatnya penempatan awal Melayu Srivijaya di teluk Parsi yang kemudiannya mewujudkan Bani Sayabiga. Perkara ini bukanlah sesuatu yang menghairankan bagi rumpun bangsa Melayu kerana bangsa kita ini bukan sahaja telah menjelajah sehingga ke Teluk Parsi tetapi juga Afrika dan pernah membuka koloni di Madagaskar yang beribu-ribu batu lebih jauh daripada Teluk Parsi. Adalah langsung tidak mustahil, kepakaran orang-orang Srivijaya didalam mengemudi jalan laut telah membawa mereka ke Tanah Para Anbiya’ melalui jalan laut timur. Sebagai penutup saya memetik kata-kata Gabriel Ferrand:
The early Islamic Sayabidja would thus be in origin Indonesians who had immigrated to western India and who then, in the late Sasanid period, found their way to the Persian Gulf shores in company with the Zutt. The famed seafaring expertise of the Malay-Indonesian peoples would have ensured their usefulness to the Middle Eastern powers in such matters as the policing of the Gulf and the protection of its trade against piracy.
Sekian Wallah hu a’lam.
~ASJ~
Sumber:
• C. E. Bosworth, E. Van Donzel, W. P. Heinrichs, G. Lecomte, The Encyclopaedia Of Islam, New Edition, The International Union Of Academies, Leiden Brill. 1997.
• Paul Wheatley, The Places Where Men Pray Together: Cities in Islamic Lands, Seventh Through The Tenth Centuries, University of Chicago Press. 2001.
• Mulla Sadra Shirazi, Divine Manifestations: Concerning the Secrets of the Perfecting Sciences, Icas Press.2010.
• Paul Kekai Manansala, Quests of the Dragon and Bird Clan. 2006.
• Donald Kenrick, Gypsies: From the Ganges to the Thames.2004.
• The Journal of the Anthropological Institute of Great Britain and Ireland, Volume 64.
• Susur Galor Blogspot.
~ASJ~
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
woww