Ini adalah perkataan yang menggambarkan kehebatan sifat tawadu’ Imam negeri Hijrah, Imam Malik bin Anas Radiyallāhu’anhu.
Sikap kehati-hatian Imam Malik ini wajar dicontohi oleh kita apabila berhadapan dengan situasi yang kita tidak ada ilmu untuk berkomentar.
Daripada Imam ‘Abdur Rahman bin Mahdi, guru kepada Imam Ahmad bin Hanbal radiyallāhu’anhuma beliau menceritakan bahawa suatu ketika ada seseorang yang mengembara selama 6 bulan lamanya untuk bertemu Imam Malik dan meminta fatwa daripada beliau.
Setibanya di Madinah, dan ia selesai menanyakan kepada Imam Malik soalan-soalannya, Imam Malik hanya menjawab; “Saya tidak tahu”.
Orang itu kemudian bertanya kepada Imam Malik; “Saya ini berjalan jauh-jauh menanyakan permasalahan dari orang-orang di negeri saya, kepada tuan, maka itu sahaja jawapan tuan? Apa yang akan saya katakan kepada mereka nanti?”
Imam Malik menjawab; “Katakan kepada mereka bahawa Malik bin Anas tidak tahu jawapannya.”
Berkata Al Haitham bin Jamil; “Aku mendengar ketika Imam Malik ditanyakan dengan 48 soalan dan 32 daripadanya dijawab oleh beliau dengan :”Aku tidak tahu”.
Berkata Khalid bin Khidasy; “Aku bertanyakan kepada Imam Malik 40 soalan dan beliau tidak memberikan jawapan melainkan kepada 5 masalah sahaja”.
Justeru penting sikap ini bagi seorang penuntut ilmu mahupun orang yang ditanyakan sesuatu permasalahan bersikap jujur apabila sememangnya tidak mengetahui sesuatu hal tanpa memandai-mandai mengeluarkan pendapat tanpa landasan ilmu.
Kata Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz radiyallāhu’anhu; “Orang yang tidak segan mengatakan “Aku tidak tahu” sungguh telah beroleh sebahagian daripada ilmu”
Sekian sekadar catatan malam untuk diri sendiri dan rakan-rakan sekalian.
Semoga Allah berikan kita kefahaman ilmu.
RUJUKAN:
1. Al Bayan wa At-Tabyin
2. Siyaar A’lam An-Nubala’
3. Silsilah Masabih Al Huda.




No comments yet