Bahasa yang pernah menjadi tiang kepada peradaban di Nusantara ini sedang diperlekehkan oleh mereka yang sudah hilang erti jati diri daripada mereka. Kalau yang memperkatakannya adalah bangsa asing, saya masih lagi percaya. Tetapi yang menulis di atas, pada raut wajah dan namanya, saya percaya saudari Erna Mahyuni merupakan seorang Melayu. Kalau tidakpun, saya yakin anda sebagai rakyat Malaysia, kesetiaan untuk mengangkat Bahasa Melayu itu patut dijulang. Artikel Erna Mahyuni boleh dibaca di sini. (Klik perkataan ‘sini’)

Beberapa kali juga, kita melihat situasi di mana Bahasa Melayu diperlekehkan, direndahkan oleh mereka yang tidak kenal apa nilai sebuah Bahasa pada peradaban. Baru-baru ini, Erna Mahyuni merupakan orang seterusnya menempah namanya dalam “hall of fame” The Patriots apabila dengan lancangnya mempertikai kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri.

Impian buat Erna adalah untuk melihat sebarang gerakkan untuk mengangkat Bahasa Melayu sepatutnya mati dan usaha mulia seperti Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhiddin Yassin dilupakan begitu sahaja. Alasannya ialah betapa dia mengatakan bahawa “Bahasa Melayu” tidak mempunyai “nilai ekonomi”.

Bahkan, Erna bermain dengan falasi sejarah apabila cuba membezakan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dengan menyatakan bahawa Bahasa Indonesia adalah lebih baik daripada Bahasa Melayu kerana nilai pasaran yang lebih tinggi berdasarkan populasinya.

Izinkan saya cik Erna, yang lagaknya saya kira sudah menyerupai “social justice warrior” yang berkeliaran di internet berpencak hujah. Pertama, betapa sesungguhnya perbuatan memisahkan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia adalah perbuatan yang yang sangat menyedihkan. Kenapa? Sebab kedua-dua bahasa ini tidak ada perbezaan yang ketara yang memisahkan ia sebagai dua bahasa berbeza.

Perbezaan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia adalah boleh dianalogikan seperti mana perbezaan antara Bahasa Inggeris UK dan Bahasa Inggeris USA. Bahkan asas Bahasa Indonesia itu sendiri berdasarkan Bahasa Melayu Riau yang diangkat ketika Sumpah Pemuda Indonesia 1928. Sebab itu apabila para linguistik mengira bilangan para penutur Bahasa Melayu di dunia, penutur Bahasa Indonesia juga dimasukkan dalam perkiraan Bahasa Melayu itu sendiri. Jadi, percubaan saudari Erna untuk memisahkan dua bahasa ini tidak berasas dengan niat mahu mengecil-ngecilkan lagi populasi bahasa utama dunia ini padalah penuturnya berjumlah 300 juta ini yang mengatasi bahasa-bahasa utama dunia seperti Bahasa Perancis!

Sepatutnya diberikan cadangan untuk menaikkan bahasa yang pernah menjadi lingua franca dunia ini dan diangkat setaraf dengan bahasa ilmu dan dunia lain di dunia. Hayati kata-kata daripada seorang sarjana barat yang mengulas mengenai Bahasa Melayu pada abad ke-18 dahulu:

Bahasa  Melayu  ialah  bahasa  antarabangsa  dan  sesiapa  yang  tinggal di  antara  Parsi  di  sebelah  baratnya  dan  Filipina  di  sebelah  timurnya, tidak mengetahui bahasa Melayu maka orang itu akan dianggap tidak berpelajaran.” (Francois Valentjin)

Bagaimana Bahasa Melayu berjaya mencapai taraf seperti ini? Tentunya dengan membudayakan menulis ilmu dalam Bahasa Melayu itu sendiri. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dikatakan bermula sejak kurun ke-15 lagi iaitu dengan terhasilnya penulisan dan penterjemahan kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu. Ini mungkin berlaku kerana penyebaran Islam adalah di dalam Bahasa Melayu.

Ini dapat dilihat pada penghasilan sistem tulisan Jawi yang datang dari tulisan arab dan diubah suai oleh orang Melayu sendiri. Wujudnya perkataan yang mengungkapkan konsep seperti tauhid, syariah, undang-undang dan tassawuf, adalah bukti bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi sebagai bahasa ilmu melalui penyebaran ilmu. Manuskrip Melayu yang dikatakan berjumlah puluhan ribu itu juga menyumbang kepada menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sehinggakan ia tidak lagi. Betapa orang Melayu begitu gigih mencatat pada setiap ilmu yang mereka pelajar sehinggakan kitab mengenai ilmu memotong kuku pun dihasilkan setebal ibu jari.

Perlu diketahui bahawa kejatuhan Melaka tidak pernah membuatkan Bahasa Melayu tenggelam sebaliknya dicatatkan bahawa Pigafetta, seorang kelasi berbangsa Itali yang pernah bersama dengan Magellan pernah menyusun sebuah kamus Melayu-Itali ketika singgah di Pulau Tidore yang terletak di Kepulauan Maluku Utara. Dicatatkan juga bahawa penduduk di pelabuhan tersebut bertutur di dalam Bahasa Melayu membuatkan terhasilnya kamus Melayu-Itali ini.

Pada selepas zaman Melaka, obor Melayu menjadi Lingua Franca itu disambut oleh kerajaan Acheh. Banyak kitab-kitab bahasa Melayu dihasilkan pada zaman ini yang menulis mengenai ilmu-ilmu agama. Antaranya ialah kitab Al-Aqai’id al-Nasafiyyah yang ditulis oleh seorang alim ulama iaitu Umar Bin Muhammad Al-Nasafi pada kurun ke 14. Tokoh-tokoh ilmuwan yang menulis kitab-kitab mereka di dalam bahasa Melayu seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin Al-Raniri, Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari menunjukkan betapa ilmu telah sebati dengan Bahasa Melayu.

Apabila sebuah bahasa itu digunakan sebagai bahasa Ilmu, maka ia akan kekal penting dalam peradaban zaman. Ia juga akan membuatkan sebuah bangsa asing yang mahu mempelajarinya. Contoh lain dari peradaban selain Melayu yang membuktikannya adalah melihat bagaimana Bahasa Arab menjadi Lingua Franca ketika zaman Abbasiyah apabila proses pembinaan Baitul Hikmah yang menghimpunkan para sarjana dari segenap empayar dan proses penterjemahan besar-besaran manuskrip Yunani, India, Latin, Cina dan pelbagai tamadun lagi ke dalam Bahasa Arab itu sendiri. Bahkan bukan sahaja Bahasa Arab terkemudiannya menjadi lingua franca, bahkan ia melahirkan para-para sarjana dari segenap bidang dari agama sehinggalah sains dan seni.

Justeru, berbanding cadangan merapu mengabaikan gerakan peningkatan bahasa Melayu, saya di sini mencadangkan agar Bahasa Melayu dikekalkan menjadi bahasa pengantara ilmu, dalam masa yang sama naskah-naskah ilmu bermula dengan buku-buku teks universiti diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, sebelum ia bermula dengan bahan-bahan bacaan lain.

Kerana pentingnya Bahasa Melayu sebagai lingua franca, kamus lain seperti Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris pertama di dunia juga dihasilkan. A Dictionary, English and Malayo, Malayo and English oleh Thomas Bowrey yang diterbit di London pada 1701 merupakan kamus Bahasa Melayu-Inggeris pertama di dunia.

Sebab musabab yang menjadikan terbitnya kamus tersebut adalah kerana Bahasa Melayu merupakan Lingua Franca yang digunakan di pelabuhan-pelabuhan Melayu. Justeru, langkah kedua untuk mengangkat Bahasa Melayu ialah dengan mengangkat ekonomi orang Melayu.

“Lima kurun dahulu, Melaka dikunjungi 2,000 kapal sehari iaitu sesibuk pelabuhan Singapura moden kini, yang menjadikannya satu daripada tiga pelabuhan yang tersibuk di dunia… Di situ terdapat orang-orang Gujerat, Tamil,Bengali daripada India berniaga dengan orang Melayu, Cina dan Arab secara harmonis; bandar raya dengan 100,000 penghuni, bahasa dituturkan di pasar. Sultan yang memerintah, telah memastikan keselamatan Selat Melaka daripada lanun, dan barangan dapat disimpan dalam ratusan gudang dengan selamat. Jika ada sebarang pertelingkahan undang-undang yang berwibawa dilaksanakan ke atas orang tempatan dan asing seadilnya.”

Simon Elegant, Far Eastern Economic Review (IO Jun, 1999:45)

Anda boleh bayangkan apabila 84 bahasa dipertuturkan di Pelabuhan Melaka, namun dalam masa yang sama, Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi antara pertutur 84 bahasa ini. Dan sesiapa yang mahu berdagang di Melaka harus memahami Bahasa Melayu atau mereka pastinya tidak dapat bertutur dengan pedagang-pedagang lain di Kepulauan Melayu.

Lalu bayangkan pula setiap pemilik dan anak kapal 2000 buah kapal yang berdagang di Pelabuhan Melaka ini terpaksa mempelajari Bahasa Melayu, dan ia datang dari pelbagai bangsa, bukan sahaja yang di Nusantara, tetapi dari seluruh pelusuk dunia. Maka kata saya, tidak hairanlah apabila Bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan atau Lingua Franca.

Sebenarnya kehebatan Bahasa Melayu menjadi bahasa Lingua Franca telah bermula lebih awal daripada Melaka lagi. Sekurang-kurangnya ia dijulang ketika zaman Empayar Melayu Srivijaya. Penemuan-penemuan batu-batu bersurat dalam Bahasa Melayu Kuno yang sezaman dengan Empayar Melayu Srivijaya membuktikannya. Penemuan Prasasti Kedukan Bukit di Palembang bertarikh 683 Masihi, Talang Tuwo, Palembang (684 Masihi),Kota Kapur, Pulau Bangka (686 Masihi) dan batu bersurat di Karang Brahi, Meringin daerah hulu Jambi (686 Masihi) mempunyai penemuan signifikan dalam sejarah Bahasa Melayu itu sendiri. Ia dipercayai melambangkan Bahasa Melayu ketika itu merupakan bahasa pemerintahan, persuratan, perdagangan, bahasa undang-undang dan juga bahasa ilmu.

Sudah tentu, apa yang dicapai oleh Empayar Melayu Srivijaya adalah selain daripada perluasan empayarnya menakluk Nusantara, ia juga dipengaruhi oleh aktiviti perdagangan yang dikelolakan oleh Srivijaya menguasai seluruh Asia Tenggara. Perdagangan yang dikuasai Srivijaya ini jugalah yang mengangkat Srivijaya menjadi sebuah empayar yang kaya raya.

Srivijaya yang menjadi laluan utama perdagangan, iaitu perdagangan rempah dan perdagangan tempatan telah mengenakan cukai kepada kapal-kapal yang melalui kawasan perairan mereka. Sumber kekayaan empayar adalah melalui komiditi yang dimiliki seperti kayu gaharu, cengkih, emas dan timah, yang ketika itu menjadi hasil perdagangan yang dapat menarik perhatian pedagang asing untuk berurusan dengan mereka.

Lantas daripada kekayaan hasil perdagangan dan kedudukan serta kekuasaan Kerajaan Srivijaya ketika itu, penggunaan bahasa sangat mempengaruhi urusan perdagangan. Bahasa yang digunakan ketika itu sangat penting kerana berfungsi sebagai alat untuk memudahkan proses komunikasi ketika urusan perdagangan dilakukan.

Inilah yang mengangkat Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca melalui kuasa ekonomi. Bukannya kita harus menunggu bahawa bahasa ini kembali menjadi relevan barulah kita mahu berebut-rebut memeluknya, sebaliknya kita sendiri harus bangunkan ekonomi bangsa kita seperti nenek moyang kita, lantas Bahasa Melayu itu akan kembali menjadi prestij seperti waktu silam.

Selain perdagangan dan bahasa ilmu, apa yang mengangkat taraf dan nilai bahasa Melayu itu ialah tegarnya pemimpin-pemimpin Melayu kita dahulu berbahasa Melayu meskipun mempunyai peluang untuk berbahasa asing. Ini dapat dilihat pada surat-surat yang ditulis oleh mereka. Sebagai contoh, surat-menyurat yang berlaku antara kerajaan Melayu di Nusantara seperti Melaka dan Siam adalah berlaku dalam Bahasa Melayu.

Atau bagaimana Sultan Ternate, iaitu Sultan Abu Hayat kepada Raja telah menulis surat kepada Raja Portugal, John III bertarikh 1521 dan 1522. Kerajaan Acheh juga tidak ketinggalan menulis surat dalam Bahasa Melayu kepada Syarikat Hindia Timur British. Koleksi-koleksi lain adalah melibatkan kiriman Sir Thomas Stamford Raffles yang menjadi Leftenan Gabenor di Jawa (1881-1816) dan di Bengkulu (1818-1824).

Bahkan surat-surat yang dikirimkan oleh raja Melayu Melaka kepada Dinasti Ming juga dipercayai dalam Bahasa Melayu itu sendiri terutama pada Maharaja Cheng Zhu (1403-1425 Masihi) zaman pemerintahan baginda, usaha-usaha meluaskan dan mengeratkan hubungan dengan negeri-negeri sekitar serta negeri-negeri naungan sangat giat dilakukan dan ia bergantung pada penguasaan China dalam bahasa asing. Oleh kerana itu, Dinasti Ming telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bahasa.

Jabatan tersebut mempunyai pelbagai jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu. Diceritakan juga bahawa Maharaja Ming Cheng Zhu telah menubuhkan akademi bahasa yang dikenali sebagai Si Yi Guan (Balai-Bahasa Negeri-negeri Asing) di Nanjing dan salah satu daripadanya ialah Bahasa Melayu di mana proses pembelajaran bahasa berserta aksaranya (untuk Bahasa Melayu zaman Melaka ialah Jawi) berlangsung. Bahkan daripadanya, terbit sebuah kamus Bahasa Cina-Melayu yang pertama, bagi memudahkan perantaraan antara raja Melayu dan Maharaja China.

Tentang mansukrip berbentuk persuratan ini, betapa ia cukup dikagumi oleh sarjana barat yang mengkajinya seperti Gallop dan Arps (1991), menganggap surat-surat berbahasa Melayu  sebagai manuskrip Melayu yang paling halus dan paling indah. Surat-surat itu dipanggil sebagai surat emas kerana selain bahasa yang beradab dan bersopan santun, isi kandungannya pula sangat halus teliti dari semua segi. Contohnya dapat dilihat pada aturan kata, pemilihan kata, kepala surat dan puji-pujian pembuka surat sangat indah dan beradab.

Justeru, berdasarkan sumber-sumber di atas, maka pendapat peribadi saya mencadangkan agar selepas ini, kerajaan kita memperbanyakkan lagi serta mengetatkan pengunaan Bahasa Melayu dalam urusan kerajaan. Disamping menilai tahap penguasaan Bahasa Inggeris, ia juga harus dipanjang kepada Bahasa Melayu.

Untuk lebih mengulangi resepi kejayaan nenek moyang kita misalnya, saya mencadangkan kalau terdapat persidangan antarabangsa berlangsung di Malaysia, atau kita menyertai persidangan antarabangsa, maka wakil dan pemimpin kita akan bercakap dalam Bahasa Melayu. Kalau mereka mahu memahaminya, kita menyediakan penterjemah di sisi mereka.

Ini yang dilakukan oleh pemimpin besar dunia seperti dari Perancis, Rusia, Jerman, Korea dan Jepun. Bukanlah bermaksud pemimpin mereka tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, bahkan kepetahan mereka terbukti fasih, tetapi oleh kerana semangat kebangsaan yang tinggi, bahasa sendiri dijulang mengatasi bahasa asing.

Atas sifat kebangsaan yang tinggi oleh raja-raja Melayu silam, Bahasa Melayu mampu mencapai zaman Lingua Franca bermula dari abad ke-7 Masihi bermula dengan Srivijaya sehingga akhirnya ia berakhir pada abad ke-20 sekurang-kurangnya. Akhir kata daripada saya, bahasa itu budaya dan jiwa bangsa. Matinya sebuah bahasa, maka matilah bangsa.

Bacaan Lanjut:

Hanis Izrin Mohd Hassan, Siti Mahani Angterian dan Mohd Sharifudin Yusop (2017) Kegemilangan Bahasa Melayu Sebagai Lingua Franca. Jurnal Kesidang. Volume 2: 18- 28. Universiti Putra Malaysia.

Haron, Isahak (2017) Jadi Bahasa Lingua Pedagang. Utusan Online. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jadi-bahasa-lingua-franca-pedagang-1.463271

Utusan Online. (2015) ‘Penangan’ 300 Juta Penutur Bahasa Melayu. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-penangan-8217-300-juta-penutur-bahasa-melayu-1.96287 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.