Kesenian dalam kesusasteraan wujud dalam semua tamadun dan agama di dunia sejak zaman berzaman-zaman termasuk dalam tamadun Melayu di Nusantara. Mohd. Haji Kassim menjelaskan perkataan sastera berasal daripada kata dalam bahasa Sanskrit, iaitu shastera yang bererti kitab suci, seni cerita atau cerita. Seterusnya, perkataan ‘su’ bererti indah, dan penambahan ‘ke’ dan ‘an’ mentakrifkan sastera berbentuk tulisan mahupun lisan. Maka, kesusasteraan ialah seni cerita indah sama ada sastera tulisan atau lisan (Mahayudin Hj, Yahaya, 2001: 490).
Prosa Melayu tradisional merupakan suatu bentuk kesusasteraan rakyat, iaitu folk literature yang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu sastera lisan dan sastera bertulis (Abd Rahman Ab. Rashid, et al, 2003: 3). Kepelbagaian karya sastera rakyat sememangnya akan mengetengahkan keistimewaan sastera rakyat sebagai cerminan budaya masyarakat Melayu zaman silam. Prosa merupakan sebuah karangan yang panjang, sama ada yang berbentuk cerita, iaitu naratif atau bukan cerita, iaitu bukan naratif. Prosa Melayu tradisional bermakna seluruh hasil karya termasuk lisan dan tulisan yang panjang menggunakan bahasa Melayu sebagai mediumnya; iaitu bahasa Melayu yang tidak dibatasi oleh wilayah fizikal, geografi. Bentuk prosa termasuk karya-karya yang menggunakan dialek Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Patani, Sri Lanka dan Kemboja (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 3). Prosa Melayu tradisional bermaksud semua bentuk karangan naratif yang disulami dengan pelbagai unsur gaya bahasa dan teknik penceritaan. Prosa Melayu tradisional merupakan suatu bentuk kesusasteraan rakyat iaitu folk literature yang terbahagi kepada sastera lisan dan sastera bertulis.
Kesusasteraan rakyat ialah terjemahan daripada istilah kesusasteraan Inggeris, iaitu folk literature. Menurut Richard M. Dorson (1973), folk literature dikenali sebagai oral literature (kesusasteraan lisan) atau verbal art (seni ujaran atau tuturan) atau expressive literature (kesusasteraan ekspresif), sama ada dalam bentuk cerita atau bukan cerita yang berlegar di sekitar masyarakat menerusi lisan, dan diwarisi oleh satu generasi daripada generasi terdahulu tanpa diketahui siapa penciptanya (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 6). Genre sastera rakyat dianggap kolektif oleh masyarakat penciptanya. Ketika kesusasteraan rakyat dicipta, masyarakat Melayu zaman silam masih berada di tahap pratulisan lagi dan masih buta huruf. Pencipta hasil kesusasteraan terdiri daripada golongan rakyat biasa, sesuai dengan tahap pemikiran mereka yang sederhana dalam menyesuaikan diri dengan alam sekelilingnya. Kesusasteraan rakyat dikenali sebagai kesusasteraan lisan berdasarkan wadah penyampaiannya secara lisan. Istilah ‘lisan’ berdasarkan penyampaian kepada khalayak. Dalam proses pewarisan, kesusasteraan lisan terdedah kepada unsur tokok tambah dan sukar mengelakkannya hingga mewujudkan pelbagai versi. Perkembangan teknologi media menjadikan bentuk seni ini statik kerana diabadikan dalam bentuk tulisan, karya tersebut masih mengekalkan sifat-sifat kelisanannya, khususnya aspek bahasa dan teknik penyampaiannya.
Fungsi kesusasteraan rakyat oleh Ruth Benedict, seorang ahli etnografi menggunakan data-data kesusasteraan rakyat yang wujud dalam sesuatu puak dalam sesebuah masyarakat sebenarnya satu cerminan etnografi budaya puak tersebut. Sesuatu pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang yang wujud dalam kesusasteraan rakyat merupakan sesuatu tindakan untuk meluahkan perasaan terhadap peraturan-peraturan budaya yang tidak dapat dilakukan dalam dunia realiti budaya tersebut. Kesusasteraan rakyat sebagai alat melepaskan sesuatu tegangan atau perasaan yang terbuku. William Bascom (1965) memberikan empat peranan penting kesusasteraan rakyat seperti berikut:
- Sebagai sistem projeksi masyarakatnya.
- Sebagai alat pengesahan sesuatu institusi atau lembaga di dalam masyarakat.
- Sebagai alat pendidikan
- Sebagai alat pemaksa dan pengawal norma masyarakatnya.
Selain pendapat Bascom, terdapat kajian sarjana budaya rakyat lain tentang fungsi kesusasteraan rakyat. Misalnya, Betty Wang (1965) mendapati kesusasteraan rakyat sebagai alat protes sosial dalam masyarakatnya. Kajian Wang jelas menunjukkan bahawa Maharaja China Kuno yang bijaksana seperti Maharaja Yui daripada Dinasti Hsia dan Maharaja Chow Wen Whang daripada Dinasti Chow mempunyai kakitangan khusus yang bertugas mengumpulkan nyanyian rakyat yang dinyanyikan oleh penyanyi lagu-lagu rakyat Cina di China. Koleksi mereka kemudiannya diklasifikasikan dan isinya dikaji. Berdasarkan isi nyanyian lagu rakyat itu, maharaja tersebut mengetahui pandangan rakyat terhadap pemerintahan mereka, dan maharaja tersebut mempelajari kesusasteraan rakyat untuk mengukur kekuatan dan kelemahan pemerintahan mereka di mata rakyat.
Kesusasteraan rakyat turut menyalurkan pendapat rakyat. Di Surabaya, Indonesia semasa zaman pendudukan Jepun, tentera Jepun telah menyebarkan propaganda mereka di tempat-tempat pertunjukan nyanyian lagu-lagu rakyat, dan cerita lagu-lagu rakyat dipentaskan seperti pementasan ludruk sehingga mengakibatkan seorang seniman dan pelawak ludruk, Cak Gondodurasim ditangkap dan meninggal dunia kerana diseksa oleh Jepun kerana dalam lawaknya, Cak Gondodurasim mengkritik kekejaman Jepun terhadap penduduk tempatan. Tegasnya, dalam Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama (1987) menyifatkan kesusasteraan rakyat berfungsi sebagai alat hiburan kerana sebagai sebuah hasil kreatif, kesusasteraan rakyat jelas memperlihatkan unsur-unsur estetik.
Kepelbagaian khazanah karya kesusasteraan rakyat sebagai folk literature dan cerminan budaya masyarakat Melayu zaman silam sememangnya memaparkan sastera Melayu lahir daripada lingkungan masyarakatnya sendiri. Keintiman dengan “alam sebagai guru yang terbentang, dan kedatangan Islam telah mengubah senario “keintelektualan”, pandangan dunia (world view), perspektif alam semesta (kosmologi) dan Weltanschauung orang Melayu. Kedatangan Islam membawa sinar kesusasteraan Melayu lahir yang mengubah anjakan paradigma pemikiran orang Melayu (Siti Hawa Haji Salleh, 1994: 25).
Sastera merupakan sesuatu yang lahir daripada masyarakat yang membicarakan kehidupan duniawi tentang alam, pengarang dan khalayak (Ali Ahmad, 1996: 108). Sastera Melayu menjadi warisan bangsa Melayu, bergerak maju seiring dengan kedatangan Islam (al-Attas, 1972: 20). Islam mencorakkan kehidupan manusia menjadi bijaksana melalui karakter penglipur lara Melayu, iaitu Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang dan Mat Jenin mengandungi banyak pengajaran dalam penceritaannya (Khairol Anuar Harith Fadzillah, 2012: 31).
Cerita mitos dalam kesusasteraan rakyat ialah sejenis sastera lisan yang paling tua. Mitos dianggap sebagai cerita-cerita yang pernah terjadi dan bersifat suci oleh masyarakat yang melahirkannya seperti yang diterangkan oleh Abd Rahman Abd Rashid, Rosli Saludin dan Zakaria Perngis (2003:7). Dalam Mutiara Sastera Melayu Tradisional (2003: 13), cerita mitos ialah cerita yang bersifat kekudusan yang dikaitkan dengan kepercayaan masyarakat pemiliknya bukan sekadar cerita dongengan semata-mata, tetapi sesuatu yang mempunyai makna dan pengertian tertentu kepada masyarakat pendukungnya. Mitos dianggap mulia kerana nilai dan ciri-ciri keagamaan yang menjadi pegangan dan diyakini oleh sesuatu bangsa yang mendukungnya sebagai kesedaran. Mitos dipelihara dan dianggap kudus.
Cerita mitos lahir dan tercipta ketika masyarakat berada di tahap primitif. Mitos dipercayai dan diyakini oleh masyarakat penciptanya dan timbul daripada sikap dan naluri ingin tahu manusia untuk menjawab segala keraguan tentang apa-apa yang dilihat dan dialami di sekeliling mereka (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 13). Mitos mengisahkan asal mulanya terjadi sesuatu tentang ketuhanan, iaitu “pencipta”, “makhluk yang maha berkuasa”, juga dewa dan dewa dewi; bagaimana terjadinya alam semesta, dunia, manusia pertama, asal usul kejadian makhluk-makhluk yang mendiami dunia termasuklah makhluk halus (ghaib); kejadian binatang dan tumbuhan; topografi dunia seperti tasik, gunung-ganang, dan pulau. Fenomena alam seperti ribut, kilat, siang, malam, dan gerhana; termasuk kisah percintaan dewa-dewi; hubungan kekerabatan, peperangan (kemenangan dan kekalahan) dan pengembaraan mereka seperti yang diceritakan dalam cerita “Asal Usul Kejadian Isi Dunia” dalam Mutiara Sastera Melayu Tradisional (2003: 15):
“Adapun tatkala langit akan terkembang dan bumi akan terhampar maka pada
masa itulah nenek kita Nabi Adam ditempa dari tanah. Isi dunia ialah anak cucu
Adam alaihissalam. Yang menjadi raja adalah anak Adam yang bongsu.”
(Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003;15)
Peristiwa ini berlaku suatu masa lampau dalam dunia berbeza daripada dunia kini. Masyarakat primitif menyifatkan cerita mitos ialah suatu kepercayaan, peraturan hidup masyarakat Melayu zaman silam mengaitkan cerita mitos dengan kepercayaan animisme, undang-undang, etika moral dan pantang larang (Malinowski, 1926). Kini, mitos dianggap sebagai dianggap sebagai dongengan semata-mata kerana faktor keagamaan, terutamanya Islam yang menentang segala bentuk kepercayaan syirik ekoran kemasukan pengaruh Islam ke alam Melayu lebih 600 tahun telah mengikis habis fahaman yang sedemikian rupa. Gambaran cerita mitos ini dilihat dalam bahan-bahan bertulis sahaja. Cerita mitos bercampur aduk antara pengaruh animisme, Hindu-Buddha dan Islam (Mohd Taib Osman, 1974). Terdapat cerita mitos asal usul, mitos budaya dan mitos politik. Mitos asal usul mengisahkan asal usul kejadian alam dan unsur-unsurnya seperti asal usul kejadian manusia. Mitos budaya ialah cerita asal bermulanya unsur-unsur budaya seperti asal usul adat Melayu dan asal usul perbomohan. Cerita mitos politik pula ialah cerita bermulanya sistem pentadbiran dan pemerintahan kerajaan-kerajaan Melayu .
Legenda ialah cerita yang mengisahkan sejarah seseorang tokoh atau sesebuah tempat ataupun sesuatu peristiwa. Cerita legenda iialah konsepsi sejarah masyarakat yang melahirkannya. Cerita legenda juga dapat dianggap sebagai sejarah kolektif, walaupun cerita berkenaan sudah mengalami tokok tambah oleh penceritanya. Cerita legenda dijadikan rujukan sejarah bangsa seandainya ciri-ciri tradisi lisannya itu dapat dikenal pasti dan diasingkan sebagai “roman sejarah rakyat’. Fokus cerita legenda melibatkan aspek cerita dan peristiwa tokoh-tokoh yang terdiri daripada orang-orang biasa tetapi mempunyai sifat-sifat luar biasa dan dibantu oleh kuasa-kuasa tertentu.Tokoh-tokoh berkenaan selalunya terdiri daripada orang-orang biasa sahaja. Cerita-cerita legenda dianggap benar-benar terjadi oleh masyarakat yang melahirkannya tetapi tidak dianggap suci. Buktinya, Harun Mat Piah, et al dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional Edisi Kedua menyatakan bahawa:
Legenda baru dapat dicipta apabila ada tokoh atau tempat atau kejadian yang
dianggap berharga oleh masyarakatnya untuk diabadikan menjadi legenda.
Di Nusantara, kebanyakan legenda merupakan cerita bersabit dengan wira-wira kebangsaan yang menjadi kebanggaan masyarakat dan apa-apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh berkenaan dianggap benar-benar terjadi. Jumlah tokoh legenda bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan penerimaan masyarakat terhadap seseorang tokoh. Antara tokoh legenda terkemuka termasuklah legenda Puteri Sa’dong di Kelantan yang terkenal dengan kesaktian darah putihnya, sikap pemurah terhadap penduduk tempatan, selain bergelar sebagai anak angkat Cik Siti Wan Kembang dan kesaktiannya menyeru nama Dewa Visnu dan Harimau Cula Sakti semasa membunuh suaminya Raja Abdullah. Legenda Mahsuri yang mati dibunuh akibat fitnah lantas mengalirkan darah putih dan meninggalkan sumpahan tujuh keturunan yang menjadikan Pulau Langkawi sebagai Padang Jarak Padang Terkukur. Selepas sumpahan tujuh keturunan, Pulau Langkawi maju sebagai sebuah aset pelancongan Asia, Malaysia dan aset pelancongan negeri Kedah Darul Aman yang terkemuka di mata dunia dan dikunjungi oleh pelancong dari serata dunia saban tahun. “Legenda yang Menjelajah” seperti Nakhoda Tenggang di Malaysia dan Malim Kundang dalam budaya Minangkabau yang pernah difilemkan sebagai filem Si Tanggang (1961) dibintangi oleh Dato Jins Shamsudin, Dato Sarimah Ahmad dan Allahyarham Normadiah. Legenda Malin Kundang dijadikan sebagai drama bersiri Indonesia, iaitu Malin Kundang terbitan MD Entertainment pada tahun 2005 telah ditayangkan di Malaysia pada tahun 2006 di saluran TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan TV9 mendapat sambutan hangat daripada penggemar siri drama terbaik dari Indonesia di Malaysia.
Legenda tokoh meliputi tokoh-tokoh pemimpin, tokoh pahlawan, dan tokoh pendosa. Legenda tokoh memfokuskan tokoh-tokoh tertentu sebagai pahlawan yang membanggakan masyarakat sesuatu bangsa seperti Puteri Sa’dong dan Mahsuri. Si Tenggang disifatkan sebagai tokoh pendosa. Legenda nama tempat mencerminkan kewujudan nama-nama tempat seperti nama Alor Gajah yang dikaitkan dengan kesan laluan gajah di tempat yang bencah. Legenda keagamaan tentang cerita-cerita nabi dan tokoh-tokoh agama dan alim ulama tentang konsep keramat bersabit dengan kubur tokoh-tokoh berkenaan. Cerita-cerita dalam legenda keagamaan ialah cerita Nabi Allah Sulaiman, Nabi Allah Khidir, Saidina Ali, Iskandar Zulkarnain dan kisah makam Habib Noh di Singapura (Abd Rahman Ab. Rashid, et al, 2003: 17).
Legenda memorat menyajikan kisah pengalaman seseorang berhubung dengan sesuatu kepercayaan tentang alam ghaib, hantu dan sebagainya. Oleh itu, Harun Piah, et al dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional Edisi Kedua mentakrifkan legenda masyarakat Melayu silam ialah legenda orang perseorangan meliputi tokoh kepimpinan/ pahlawan, tokoh agama/ legenda pendosa/ keramat dan tokoh urusan pencarian harta/ keduniaan. Legenda nama-nama tempat berunsur historiografik, berunsur tokoh istimewa, berunsur tanda-tanda alam; dan berunsur cerita orang tua-tua. Legenda alam ghaib, yakni legenda memorat merupakan pengalaman peribadi seseorang berhubung dengan sesuatu kepercayaan, khasnya tentang alam ghaib, hantu dan sebagainya.
Cerita binatang popular dalam budaya masyarakat Melayu zaman silam menggunakan binatang sebagai watak yang bercakap, berfikir, bertindak dan melakukan sesuatu seperti manusia biasa yang berperanan sebagai watak yang cerdik, bijak, sombong atau mudah tertipu. Kadangkala diselitkan watak manusia yang sebenarnya tetapi bukanlah berperanan sebagai watak utama dan hadir pada nama sahaja (Abd Rahman Ab. Rashid, et al, 2003: 17). Watak-watak binatang diberikan sifat-sifat boleh bercakap, berfikir dan bertindak seperti manusia biasa (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2000). Cerita binatang sarat dengan unsur moral dan kiasan kepada tingkah laku manusia. Kanak-kanak sebagai kumpulan sasaran utama cerita binatang yang kaya dengan nilai-nilai murni.
Dalam perbendaharaan warisan sastera rakyat Melayu, sang kancil atau merupakan watak binatang popular yang mengalahkan binatang besar seperti harimau gajah, ular, buaya dan sebagainya (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2000). Tiga peranan utama Sang Kancil dalam cerita binatang, iaitu sebagai binatang yang cerdik tetapi berupaya menewaskan binatang yang lebih besar dengan menggunakan akal. Kedua, ia bertindak sebagai hakim dalam sesuatu pertikaian, dan yang ketiga, sebagai binatang yang ditewaskan oleh binatang yang lebih kecil daripadanya. Sang Kancil merupakan cerita binatang terbesar dalam koleksi cerita binatang Melayu, namun ada cerita lain yang menggambarkan binatang seperti katak, tikus, belang, dan siput selaku watak utama, khususnya cerita “Katak Membunuh Gergasi” yang menampilkan katak sebagai protagonis yang melawan gergasi sebagai antagonis yang telah membunuh keluarga katak, termasuklah mencederakan semut api, ular sawa dan memutuskan ekor burung pikau, dan akhirnya dengan kerjasama katak betina bersama ular sawa, semut api, ular senduk, dan harimau, gergasi mati terjatuh dalam arus sungai yang begitu deras.
Cerita jenaka mengandungi unsur kelucuan yang menimbulkan gelak tawa dalam kalangan pendengarnya. Hampir keseluruhan cerita jenaka menggambarkan kebodohan watak utama menyebabkan watak jenaka itu melakukan aksi-aksi yang menimbulkan kelucuan. Selain watak bodoh, terdapat watak pintak dan watak yang selalu mengalami nasib malang. Terdapat lima watak jenaka Melayu terkenal, iaitu Pak Pandir, Pak Kaduk, Pak Belalang, Si Luncai dan Mat Jenin. Namun, terdapat ratusan lagi cerita jenaka dalam perbendaharaan sastera rakyat Melayu. Cerita jenaka sebagai kritikan sosial kepada masyarakat seperti sifat negatif seperti bodoh, tamak, mementingkan diri sendiri, menipu untuk melepaskan diri dan sebagainya dikritik menerusi cerita-cerita ini. Selain mengkritik keburukan tingkah laku, institusi tertentu seperti institusi keagamaan (lebai) dan pemerintah (raja, pembesar, hakim dan penghulu) menjadi kritikan atas penyelewengan yang dilakukan.
Pengelompokan cerita jenaka Melayu berdasarkan sifat watak utamanya, iaitu bodoh sial seperti cerita Pak Kaduk dan Lebai Malang. Seterusnya, sifat watak pintar bodoh seperti cerita Pak Pandir. Akhir sekali, sikap pintar menerusi watak Si Luncai dan Pak Belalang (Abd Rahman Ab. Rashid, et al, 2003: 17). Sifat bodoh sial dalam cerita “Pak Kaduk” dan “Lebai Malang” kerana kebodohan melakukan sesuatu tindakan sehingga merugikan diri mereka sendiri. Buktinya, dalam cerita “Lebai Malang”, Lebai Malang telah terlepas peluang untuk menikmati jamuan dalam beberapa majlis kenduri pada hari yang sama akibat kebodohan dan ketamakannya. Pak Kaduk dalam cerita “Pak Kaduk” pula telah kehilangan kampungtnya walaupun ayamnya menang dalam persabungan kerana kebodohan dan sikap gopoh dalam mengambil keputusan atau tindakan. Sifat pintar bodoh dalam cerita “Pak Pandir dipaparkan melalui kebodohan dan kelurusan Pak Pandir sebagai watak utama. Pak Pandir berjaya membunuh gergasi dan anak-anak gergasi melalui tipu helahnya.
Cerita-cerita “Si Luncai” dan “Pak Belalang” memperlihatkan kemampuan menyelesaikan sesuatu. Penyelesaian itu berlaku secara kebetulan, jawapan yang dikehendaki sememangnya belalang. Selain itu, Pak Belalang mendapat pertolongan daripada anaknya yang mencari keterangan-keterangan yang diperlukan lebih dahulu. Kerjasama antara mereka banyak membuahkan kejayaan. Manakala, Si Luncai telah terselamat daripada maut kerana kepintarannya memperdayakan pegawai-pegawai istana yang akan membunuhnya.
Cerita lipur lara ialah sejenis cerita rakyat Melayu yang disifatkan sebagai cerita naratif paling popular seperti yang dinyatakan oleh Hooykaas dalam Perintis Sastera (1977):
…dalam masa peralihan abad kesembilan belas ke abad dua puluh penyelidik
bahasa Inggeris di Malaya berjumpa dengan satu macam cerita yang bentuk
prosanya diganti-ganti dengan syair dan lukisan-lukisan tetap.Tukang cerita
demikian dan ceritanya itu bernama penglipur lara.
(Hoykaas, 1977: 91)
Cerita lipur lara mendapat perhatian pengkaji sastera. Kepopularan cerita lipur lara berdasarkan ceritanya, pencerita dan bagaimana cerita itu dipersembahkan kepada khalayak. Justeru, dalam masyarakat Melayu zaman silam, cerita lipur lara dianggap sebagai cerita yang menjadi unsur hiburan utama. Cerita lipur lara merupakan cerita-cerita roman yang lazimnya mengandungi unsur-unsur pengembaraan. Cerita lipur lara bertemakan percintaan dan pengembaraan putera puteri raja sama ada di bumi mahupun di kayangan. Selalunya, pengembaraan ini berlaku untuk mencari pasangan masing-masing. Oleh itu, cerita ini melibatkan unsur keajaiban, kesaktian, percintaan, peperangan, perdamaian, perkahwinan dan penyamaran. Putera raja sebagai wira sesuatu cerita selalunya digambarkan sebagai tokoh istimewa sejak lahir lagi. Kelahirannya diiringi dengan suasana alam yang amat dahsyat dan dibekalkan dengan objek ajaib tertentu seperti parang dan geliga. Puteri raja juga digambarkan sebagai tokoh yang istimewa sejak lahir lagi. Kelahirannya diiringi dengan suasana alam yang amat dahsyat dan dibekalkan objek ajaib tertentu seperti parang dan geliga. Puteri raja juga digambarkan sebagai seorang yang cantik jelita hingga menjadi rebutan putera-putera raja termasuk wira cerita itu (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 54).
Terdapat watak-watak pembantu dalam cerita lipur lara seperti Nenek Kebayan, Awang Selamat dan Si Kembang Cina. Terdapat watak-watak bukan manusia seperti dewa, mambang, pari-pari dan jin. Latar ceritanya melibatkan dunia dan kayangan. Hubungan antara kayangan dengan dunia (bumi) hampir tiada batasan. Kayangan digambarkan terletak di lapisan langit yang didiami oleh dewa – dewi, mambang dan pari-pari. Dalam cerita lipur lara, ada wira dan wirawati yang berketurunan dewa atau dewi yang berasal dari kayangan. Buktinya, manusia yang luar biasa dan hebat sahaja yang mampu pergi ke kayangan dengan peralatan tertentu atau dengan pertolongan makhluk seperti jin, gergasi, garuda dan sebagainya (Abd Rahman Ab. Rashid, et al, 2003: 17).
Persembahan cerita lipur lara disampaikan dengan iringan muzik tertentu seperti rebab, biola dan batil seperti yang dilakukan dalam warisan Awang Belanga di Perlis yang diceritakan oleh Pak Mahmud yang diwarisi daripada gurunya, Tok Mat Selembum daripada tukang cerita Awang Belanga terdahulu menjadikan cerita bertukar tangan, mengalami tokok tambah dengan pelbagai pengurangan. Persembahan Awang Belanga merupakan sumber rezeki Tok Mat (Mokhtar A. K, 2010: 10). Penyampai cerita lipur lara di Perlis digelar sebagai Awang Batil, biarpun di Perak dikenali sebagai “Penglipur Lara” di Kelantan sebagai “Tok Selampit” dan di Selangor digelar sebagai “Tukang Kaba”. Cerita-cerita lipur lara sering menggunakan kata “hikayat” pada bahagian awal ceritanya dalam cerita lipur lara popular termasuklah Hikayat Raja Donan, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Raja Mudiman dan sebagainya (Abd Rahman Ab. Rashid, et al, 2003: 33).
Cerita teladan mengisahkan golongan rakyat biasa dan berlatarkan alam nyata. Unsur kesaktian dan keajaiban amat berkurangan jika dibandingkan dengan cerita lipur lara. Unsur kebetulan memainkan peranan penting dalam cerita ini, khususnya titik perubahan watak utama. Cerita ini mengetengahkan gagasan bahawa watak yang baik akhirnya akan mendapat pembelaan, sebaliknya watak jahat akan menerima pembalasan setimpal dengan perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Cerita teladan penuh dengan unsur didaktik dan pendidikan moral yang diterapkan melalui nilai-nilai murni. Sasaran pendidikan yang disampaikan memfokuskan kanak-kanak, terutamanya dalam aspek peraturan sosial dalam ajaran agama. Watak utama dalam cerita teladan kerap menanggung penderitaan, kekejaman,nasib malang, dan penindasan di awal cerita sebelum berlaku perubahan nasib. Antara cerita teladan yang terkenal ialah Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup, dan Si Tanggang (Jamilah Haji Ahmad, 1993). Terdapat filem cerita teladan terkenal seperti Ikan Emas (1965), selain filem Bawang Merah Bawang Putih (1959) dan Si Tanggang (1961). Cerita teladan Bawang Merah Bawang Putih disisipkan dalam rangkaian cerita rakyat bercorak humor dalam filem Magika (2010). Cerita teladan Bawang Merah Bawang Putih turut difilemkan dengan kaedah filem animasi dalam filem Putih (2001) dan dijadikan sebagai drama bersiri Indonesia popular, iaitu Bawang Putih Bawang Merah yang ditayangkan di TV3 bermula dari bulan Julai 2006 hingga Januari 2007 mencapai rating tertinggi dalam penyiaran drama bersiri televisyen Malaysia, selain mendapat sambutan tertinggi daripada peminat di Malaysia dan di Indonesia. Rangkaian filem Bawang Merah Bawang Putih, Batu Belah Batu Bertangkup, Ikan Emas dan Si Tanggang menjadikan cerita teladan dalam masyarakat Melayu zaman silam tetap segar dalam ingatan masyarakat Melayu zaman kini.
Hiburan dalam cerita teladan masyarakat Melayu zaman silam bertujuan untuk mendidik dan menyelitkan unsur-unsur pengajaran kepada anak-anak. Keberkesanan cerita ini sebagai alat pendidikan begitu jelas kerana cerita ini dapat diulang-ulang hingga meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar. Dalam masyarakat Melayu zaman silam, usaha telah dibuat untuk membuktikan kesahihan cerita dengan mengaitkan tempat-tempat tertentu dengan cerita tersebut. Misalnya, Batu Caves dikaitkan dengan cerita “Si Tanggang”. Kononnya, Batu Caves itu adalah Si Tenggang dan isi bahteranya yang telah disumpah oleh ibunya sebagai akibat perbuatannya yang menderhakai ibunya.
Demikianlah secara keseluruhannya, keistimewaan dan kepelbagaian kesusasteraan rakyat mengandungi rangkaian cerita mitos, cerita legenda, cerita binatang, cerita jenaka, cerita lipur lara dan cerita teladan. Keistimewaan dalam kepelbagaian karya sastera rakyat merupakan cerminan masyarakat Melayu zaman silam di Nusantara. Kepelbagaian karya sastera rakyat dalam khazanah kesusasteraan Melayu tradisional sebagai cerminan budaya masyarakat Melayu zaman silam meliputi pelbagai kajian tentang kepelbagaian karya sastera rakyat dalam khazanah prosa Melayu tradisional yang bermula daripada rangkaian cerita mitos, cerita legenda, cerita binatang, cerita jenaka, cerita lipur lara dan cerita teladan sebelum kemunculan kesusasteraan hikayat dalam bentuk budaya tulisan membawa satu evolusi budaya masyarakat Melayu zaman silam hingga kini mengenali kesusasteraan hikayat, kesusasteraan epik, kesusasteraan panji, kesusasteraan sejarah (historiografi) atau sastera sejarah dan kesusasteraan agama. Tegasnya, kelahiran karya kesusasteraan undang-undang, kesusasteraan ketatanegaraan, kesusasteraan kitab, dan kepustakaan Melayu tradisional yang sebagai kepustakaan Melayu tradisional.
BIBLIOGRAFI
Ab. Alim Abdul Rahim dan Syed Idrus Syed Mat Zin, 2004. Tamadun Islam. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ab.Rahman Ab. Rashid, Mohd Rosli Saludin dan Zakaria Perngis, 2003. Siri Analisis Autentik Sastera STPM Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Petaling Jaya Pearson Malaysia Sdn Bhd.
Hooykaas, C., 1977. Perintis Sastera. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Jamilah Haji Ahmad (peny.), 1989. Kumpulan Esei Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jamilah Haji Ahmad (peny.), 1989. Kumpulan Esei Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan edisi keempat. 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khairol Anuar Harith Fadzillah. “Mencakna “Nur Ilahi” dalam Sastera Islam” dlm Tunas Cipta, Julai 2012
Mokhtar A. K, 2010. “Warisan Awang Belanga dan Cara Penyampaiannya“ (Bahagian II) dalam Warisan Indera Kayangan Jurnal Jawatankuasa Gerakan Membaca Perlis. Perbadanan Perpustakaan Negeri Awam Perlis, Kangar.
Mokhtar A.K, 2010. “Mahmud Wahid: Tokoh Penglipurlara Awang Batil/ Awang Belanga Perlis”. (Bahagian II) dalam Warisan Indera Kayangan Jurnal Jawatankuasa Gerakan Membaca Perlis. Perbadanan Perpustakaan Negeri Awam Perlis, Kangar.
Mutiara Sastera Melayu Tradisional (peny) Majlis Peperiksaan Malaysia 2003. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Richard M. Dorson (peny.), 1973. Folklore and Folklife. London: The University of Chicago Press.
Siti Hawa Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Vansina, J., 1972. Oral Tradition: A Study in Historical Methodology. London: Routledge & Kegan Paul Ltd.
Winstedt, R.O., 1969. A History of Classical Malay Literature. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Zainal Abidin Bakar (peny.) 1991. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (peny). 1993. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera (Diakses pada 26 Februari 2013)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih