Sarawak adalah satu negeri yang besar dan indah dengan limpahan alam yang meluas di serata negerinya yang besar. Pada hari ini, Sarawak adalah sebahagian daripada sebuah persekutuan yang kita kenali sebagai Malaysia ini.

Sarawak bersama-sama dengan bahagian persekutuan yang lain telah bersama-sama secara rasminya membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Ianya memperoleh hak pentadbiran sendiri daripada kerajaan British pada 22 Julai tahun yang sama, kurang dua bulan sebelum pembentukan rasmi Malaysia.

Sebelum daripada itu, mereka adalah tanah jajahan (Crown Colony) British, bermakna segala ehwal mereka itu diselia secara langsung daripada kerajaan British. Mereka bermula menjadi wilayah British pada 17 Mei 1946 apabila Rajah Putihnya, Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British.

Dan sebelum itu pula, Sarawak telah berada di bawah pemerintahan Rajah Putih bermula dengan James Brooke yang diberi kedaulatan oleh Sultan Brunei untuk memerintah Sarawak mulai 18 Ogos 1842 sebagai Rajah Putih.

Ini adalah sejarah ringkas Sarawak yang kita semua pelajari sewaktu di bangku persekolahan. Satu fakta yang pada ketika itu, memang kita fahami benar kerana ianya ditekankan dalam silibus subjek Sejarah.

Namun begitu, tahukah anda bahawa Sarawak ini pernah menjadi satu Kesultanan Melayu dalam sejarahnya?

Benar, anda tidak salah baca. Sarawak pada satu ketika pernah dikenali dengan nama Kesultanan Melayu Sarawak, dan diperintah oleh seorang pemerintah Melayu yang bergelar Sultan Sarawak.

Semuanya bermula apabila Sultan Brunei, Sultan Muhammad Hassan mangkat pada tahun 1598. Anakandanya yang sulung, Pengiran Muda Besar Abdul Jalilul Akbar telah diangkat menjadi Sultan Brunei yang seterusnya.

Kenaikannya itu telah ditentang oleh adindanya sendiri. Pengiran Raja Tengah Ibrahim Ali Omar Shah.

Disebabkan ketidakpuashatiannya terhadap kenaikan kakandanya ke atas takhta Brunei, baginda telah mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah kepada Sarawak dengan gelaran Sultan Tengah, menubuhkan satu kerajaan baharu yakni Kesultanan Sarawak pada tahun 1599.

Kawasan pemerintahannya tidaklah besar, iaitu di sekitar kawasan Kuching sahaja, bersempadankan Sambas dan Brunei itu sendiri. Maka, pengaruhnya itu tidaklah begitu luas dan hebat. Maka menurut sejarah, baginda telah berkahwin dengan puteri dari Kesultanan Sukadana.

Perkahwinannya ini menyaksikan baginda banyak menghabiskan masanya di negeri Sukadana itu berbanding negerinya sendiri. Hal ini menjurus kepada keakraban di antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Sukadana itu tadi.

Baginda juga dicatatkan sebagai seorang pengembara yang gemar berlayar ke sana ke mari, menguatkan lagi hujah keberadaannya yang lebih di negeri orang berbanding di negerinya sendiri.

Hal ini dikuatkan dengan perjalanannya ke kerajaan Sambas pula. Di sana, baginda telah berkahwin pula dengan seorang puteri raja kerajaan itu. Malangnya buat baginda, dirinya telah diserang di negeri itu pada tahun 1641.

Maka, baginda dengan delegasinya telah berundur dan bertindak untuk bersemayam sementara di daerah Santubong. Di sanalah baginda telah mangkat dek diserang oleh anggotanya keselamatannya sendiri sekaligus menoktahkan pemerintahan Kesultanan Sarawak.

Sarawak setelah itu tidak lagi mempunyai seorang pemerintah mahupun Sultan. Ianya telah diperintah satu sistem kedatuan, kembali di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei sebagai raja berdaulat ke atasnya sehinggalah kedaulatannya itu diserahkan pula kepada James Brooke pada tahun 1842.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.