MasyaAllah, nama Sanada Yukimura sentiasa dikenang dalam sejarah Jepun sebagai lambang keberanian dan kebijaksanaan. Gelarannya sebagai “Samurai Terhebat Jepun” bukanlah sekadar kisah dongeng, tetapi diakui melalui kehebatannya memimpin tentera dalam zaman penuh konflik iaitu era Sengoku. Di tengah kekacauan ini, Yukimura tampil dengan prinsip yang teguh, tidak tunduk kepada kezaliman, dan setia mempertahankan maruah hingga ke nafas terakhirnya.
Sanada Yukimura, atau nama asalnya Sanada Nobushige, dilahirkan pada tahun 1567 sebagai anak kedua kepada Sanada Masayuki, seorang daimyo kecil tetapi terkenal sebagai pakar strategi perang. Keluarga Sanada berasal dari wilayah Shinano, sering dianggap sebagai keluarga yang ‘underdog’ kerana wilayah mereka kecil dan kekurangan sumber. Walaupun begitu, kebijaksanaan Masayuki menjadikan mereka pihak yang tidak mudah ditewaskan. Yukimura, dinamakan sempena pahlawan hebat Takeda Nobushige, mewarisi dengan semangat juang dan kebijaksanaan ayahnya sejak kecil.
Pada awal kehidupannya, Yukimura berkhidmat dengan klan Takeda, salah satu puak terkuat pada zaman itu, di bawah pemerintahan Takeda Shingen. Setelah kejatuhan klan Takeda pada tahun 1582 akibat serangan gabungan Oda Nobunaga dan Tokugawa Ieyasu, klan Sanada menjadi ronin tanpa tuan. Yukimura kemudiannya dihantar oleh ayahnya untuk berkhidmat sementara dengan klan Uesugi di wilayah Echizen sebelum kembali ke klan Sanada dan berkahwin dengan anak perempuan Otani Yoshitsugu.
Kemasyhuran Yukimura mencapai kemuncaknya dalam dua pertempuran besar di Istana Osaka: Pertempuran Musim Dingin Osaka (1614) dan Pertempuran Musim Panas Osaka (1615). Kedua-dua pertempuran ini berlaku di akhir zaman Sengoku, ketika klan Toyotomi cuba mempertahankan kuasa mereka daripada Tokugawa Ieyasu, yang bercita-cita menguasai seluruh Jepun.
Dalam Pertempuran Musim Dingin, Yukimura mencipta sejarah apabila mengetuai hanya 7,000 askar di benteng kecil Sanada-maru. Dengan taktiknya yang bijak, Yukimura berjaya menggagalkan serangan besar-besaran oleh tentera Tokugawa yang berjumlah 150,000 orang. MasyaAllah, keberanian Yukimura di medan perang ini sangat mengagumkan, hingga namanya tersebar luas sebagai simbol ketabahan dan semangat juang. Bahkan Tokugawa Ieyasu sendiri tertekan melihat begitu ramai tenteranya tewas.
Namun, cabaran sebenar datang pada Pertempuran Musim Panas Osaka. Yukimura tidak lagi bertempur secara defensif tetapi melancarkan serangan besar-besaran ke kubu utama Tokugawa. Kehebatannya begitu menonjol sehingga beliau berjaya memasuki kubu utama Tokugawa beberapa kali, malah hampir membunuh Ieyasu. Namun, akibat bilangan tentera musuh yang jauh lebih ramai dan keadaan tubuhnya yang sudah keletihan, Yukimura akhirnya gugur di medan perang pada usia 48 tahun. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau dikatakan membuka helmetnya dan berkata, “Aku Sanada Yukimura, seorang musuh yang sepadan dengan kalian, namun aku sudah terlalu kepenatan untuk bertempur. Datanglah dan ambil kepalaku sebagai trofi kemenanganmu.”
Fakta menarik, Yukimura dikatakan dibantu oleh kumpulan ninja elit yang dikenali sebagai Sanada Juuyushi (10 Pendekar Sanada). Kumpulan ini memainkan peranan penting dalam strategi Yukimura, termasuk risikan, sabotaj, dan serangan hendap terhadap musuh. Dua daripada ahli kumpulan ini, Sarutobi Sasuke dan Kirigakure Saizo, merupakan nama legenda dalam dunia ninja dan sering dikaitkan dengan kehebatan Yukimura di medan perang.
Keberanian Yukimura terus dikenang, bukan sahaja kerana strateginya yang cemerlang tetapi juga kerana semangat juangnya yang tidak pernah pudar. Bahkan Tokugawa Ieyasu sendiri dikatakan terkesan dengan keberanian Yukimura. Namun, Ieyasu tidak meninggal dunia akibat trauma, seperti yang sering dispekulasikan, tetapi akibat masalah kesihatan seperti kanser perut setahun selepas pertempuran di Osaka.
MasyaAllah, nama Sanada Yukimura terus diabadikan dalam sejarah Jepun sebagai lambang kehebatan seorang pahlawan yang tidak gentar melawan kezaliman, walaupun peluang untuk menang begitu tipis. Semangatnya yang tidak pernah mengalah menjadi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.