Sesiapa sahaja yang membesar pada era 90-an pastinya akan mengenali figura yang satu ini. Melihatnya dalam pelbagai filem Hong Kong popular seperti Needing You, Infernal Affairs dan Summer Holiday pastinya mengimbau kenangan tentang seorang pelakon serta penyanyi terkenal, Sammi Cheng.
Nama sebenarnya ialah Cheng Sau Man, dan beliau diberi gelaran Ratu Pop Kantonis (Cantopop) gara-gara jualan albumnya yang pernah mencecah jutaan buah di seluruh Asia. Berada dalam industri selama lebih tiga dekad, Sammi Cheng yang dilahirkan pada 19 Ogos 1972, telah memulakan kerjaya seninya seawal usia 16 tahun melalui satu pertandingan bakat pada tahun 1988. Meskipun hanya mendapat tempat ketiga, namun syarikat rakaman yang melihat potensinya telah menawarkan kontrak rakaman buatnya.
Bertitik tolak daripada itulah, perjalanan seninya mula berkembang. Album pertamanya dirakamkan ketika dia masih bersekolah dan sepanjang tempoh itu beliau terpaksa membahagikan masa antara persekolahan dan bidang muzik. Karier lakonannya pula bermula dengan drama TV pada 90-an, namun namanya benar-benar melonjak melalui filem komedi romantis bersama Andy Lau, iaitu Needing You.
Sammi telah memenangi anugerah artis wanita Hong Kong paling popular dalam Jade Sold Gold Best Ten Music Awards sebanyak tiga kali dan Anugerah MTV Asia untuk artis Hong Kong paling digemari dari tahun 2002 hingga 2004.
Namun, selepas tahun 2004, Sammi Cheng telah mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia seni selama lebih dua tahun. Dalam satu temu bual eksklusif, Sammi Cheng ada mendedahkan bahawa selama tempoh itu dia telah mengalami depresi yang teruk dan berjuang untuk mengatasinya. Keadaannya menyebabkan dia mengurung diri di rumah, tidak mahu melihat cermin selama berbulan lamanya dan enggan bertemu sesiapa.
Namun, hasil sokongan ahli terapi serta rakan-rakannya, Sammi tidak berputus asa dan kembali ke dunia seni. Sammi tidak pernah menganggap dirinya sebagai ‘telah menang’ daripada depresi, tetapi dia kini lebih memahami keadaan mental dirinya sendiri dan tahu sokongan emosi yang diperlukannya.
Tahun 2023, Sammi Cheng telah memenangi Anugerah Aktres Terbaik pada Anugerah Filem Hong Kong ke-41. Kejayaannya ini adalah yang keenam bagi dirinya dan beliau membuktikan bahawa masalah depresi yang dihadapinya itu adalah batu loncatan untuk menjadikan dirinya lebih baik daripada sebelumnya.
Oleh: Farahi Kamaruddin




No comments yet