Hari lahir, hari ulangtahun, hari jadi. Apapun sebutannya, sambutan hari lahir ini adalah suatu acara yang kadangkala menjadi suatu kewajipan dalam sesebuah masyarakat. Pernahkah anda terfikir, bilakah sambutan hari lahir ini bermula?

Dan, apakah pula tradisi khas masyarakat di dunia serta makanan istimewa yang dihidangkan sempena sambutan hari lahir ini? Artikel ini akan menjejaki semula sejarah permulaan sambutan hari lahir di seluruh dunia dan perkara-perkara khusus yang dilakukan oleh masyarakat dunia dalam menyambutnya.

Sejarah sambutan hari lahir

Secara asasnya, sambutan hari lahir ini sebenarnya diraikan seiring dengan penciptaan kalendar yang menunjukkan tarikh dan tahun. Pada zaman awal peradaban manusia, hari dan waktu ditentukan dengan melihat kepada perubahan bulan, matahari serta sumber alam yang lain.

Ahli sejarah yang mengkaji kitab Bible menyatakan bahawa tarikh hari lahir yang pertama telah disebut pada sekitar 3000 tahun Sebelum Masehi, yang mana ia merujuk kepada hari lahir Firaun. Namun, ia sebenarnya bukanlah menunjukkan hari kelahiran Firaun tersebut ke dunia, tetapi tarikh di mana Firaun lahir sebagai ‘tuhan’. Ini kerana, dalam masyarakat Mesir purba, apabila seseorang itu diangkat menjadi Firaun, maka dia telah berubah menjadi ‘tuhan’, dan tarikh ini adalah lebih penting berbanding hari kelahirannya itu sendiri.

Idea sambutan hari lahir ini dikatakan bermula daripada tradisi Pagan, yang mana berdasarkan tradisi ini, mereka percaya bahawa roh jahat akan muncul pada hari di mana berlakunya perubahan yang besar, seperti hari seseorang itu bertambah umurnya, iaitu hari lahirnya. Malah, masyarakat Greek purba turut mempercayai bahawa setiap individu mempunyai semangat (spirit) yang tersendiri, yang akan datang menziarahi individu pada hari lahirnya dan memerhatikannya. Dan, semangat ini dikatakan mempunyai kaitan secara mistik dengan Tuhan yang telah membawa kelahiran individu tersebut ke dunia.

Kerana itulah, mereka mengadakan suatu sambutan yang khas bagi meraikan hari lahir ini. Sambutan hari lahir ini diadakan sebagai suatu bentuk perlindungan daripada roh jahat bagi setiap individu. Lilin dinyalakan dan bunyi bising turut dilakukan bagi menghalau dan menakutkan sebarang roh jahat yang tidak diingini.

Dalam kepercayaan agama Kristian, setiap individu adalah lahir dengan ‘dosa’, dan disebabkan itulah, pada awal sambutan hari lahir yang dikaitkan dengan tradisi Pagan menjadikan masyarakat Kristian menganggap sambutan hari lahir ini sebagai suatu ‘sambutan roh jahat’. Hinggalah pada abad ke-4 Masehi, kepercayaan ini berubah dan sambutan hari lahir Jesus mula diraikan.

Masyarakat Roman purba pula merupakan masyarakat pertama yang mengadakan sambutan hari lahir untuk individu biasa yang tiada kaitan dengan kepercayaan agama. Individu biasa ini adalah kawan-kawan serta ahli keluarga. Namun, kerajaan pada waktu itu telah mencipta hari kelepasan khas bagi meraikan hari lahir rakyat yang agak terkenal dalam bidang masing-masing. Selepas berakhirnya Zaman Pertengahan, sambutan hari lahir ini mula diraikan bukan sahaja oleh golongan kaya, tetapi oleh masyarakat biasa.

Ritual di sebalik sambutan hari lahir

Setiap masyarakat di dunia, mempunyai ritual dan tradisi mereka yang tersendiri berkaitan dengan sambutan hari lahir ini. Berikut merupakan antara negara di dunia dengan ritual dan tradisi yang tersendiri dalam mengadakan sambutan hari lahir.

  • Amerika Syarikat

Sambutan hari lahir di Amerika Syarikat telah berubah menjadi suatu kelaziman selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua. Parti hari lahir dengan belon, dan kek adaah kemestian dalam sambutannya, dan mereka yang meraikan hari lahir akan diberikan hadiah daripada kawan-kawan dan ahli keluarga. Kek akan diletakkan dengan lilin kecil dan lagu hari lahir akan didendangkan. Individu yang menyambutnya akan melakukan hajat dan mereka percaya bahawa hajat itu harus dirahsiakan agar ia menjadi kenyataan.

  • Mexico

Satu tradisi penting di Mexico adalah Quinceanera, iaitu sambutan hari lahir gadis yang ke-15 tahun. Sambutan hari lahir yang ke-15 ini adalah sebagai simbolik bagi gadis tersebut untuk menjadi seorang wanita, dan ia dilengkapi dengan pemakaian gaun formal oleh si gadis, pesta tari menari dan kek bertingkat. Kemeriahan majlis ini boleh disamakan dengan majlis perkahwinan. Selain daripada Quinceanera, majlis hari lahir biasa di Mexico dipanggil sebagai fiesta, dan ia dimeriahkan dengan jamuan makanan tradisional seperti tacos dan pinata. Lagu hari lahir bagi masyarakat Mexico pula dipanggil sebagai Las Mañanitas dan ia adalah menyerupai dengan lagu hari lahir yang biasa.

  • Afrika

Di benua Afrika, yang terdiri daripada pelbagai puak yang berbeza, sambutan hari lahir yang dilakukan juga mempunyai ritual unik yang tersendiri. Di Ghana contohnya, masyarakatnya meraikan hari lahir seseorang kanak-kanak dengan mengejutkannya daripada tidur dengan menggunakan ‘oto’, iaitu sejenis patty yang diperbuat daripada ubi keledek dan digoreng. Bagi puak Masai di Kenya pula, salah satu ritual yang dilakukan bagi meraikan perubahan seorang budak lelaki memasuki alam dewasa (antara umur 14 hingga 16 tahun) adalah melengkapkan kehidupan secara sendirian di suatu perkampungan secara perkhemahan. Setelah menyelesaikan proses ini, mereka akan diraikan dengan melakukan ‘jumping dance’.

  • Ireland

Satu ritual yang unik bagi sambutan hari lahir mengikut tradisi Irish adalah ‘menghantukkan’ (bumping) kepala budak yang menyambut hari lahir. Ia dilakukan oleh orang dewasa, iaitu dengan memegang kaki anak tersebut ke atas, dan menghantukkan kepalanya dengan lembut ke lantai. Jumlah hantukan ini adalah bersamaan dengan umur budak tersebut. Bagi remaja yang telah memasuki usia 21 tahun pula, mereka akan diberikan ‘kunci rumah’ sebagai simbolik bahawa mereka telah dewasa dan boleh keluar masuk rumah sesuka hati mereka.

  • Jepun

Berbanding parti yang formal, kanak-kanak Jepun biasanya akan melalui sambutan 7-5-3 (7-5-3 celebration) yang diadakan pada 15 November dan dipanggil sebagai Shichi-go-san. Disebabkan pada zaman purba, kanak-kanak sering meninggal dunia, maka apabila seorang budak lelaki mencecah umur lima tahun, atau seorang budak perempuan mencecah umur tiga dan tujuh tahun, kanak-kanak ini akan diberikan pakaian yang paling cantik dan melawat kuil bagi menyatakan kesyukuran atas kesihatan yang diberi. Mereka juga dibenarkan untuk membeli sebungkus gula-gula.

  • Belanda

Uniknya di Belanda, budak lelaki dan perempuan akan merancang sendiri parti hari lahir mereka di rumah masing-masing. Tetamu akan mengucapkan selamat kepada orang yang menyambutnya dengan ucapan “Gefeliciteerd,” iaitu tahniah, dan diikuti dengan ciuman dari pipi ke pipi. Ciuman ini dimulakan pada pipi kanan, diikuti pipi kiri dan akhirnya pipi kanan semula.

  • Brazil

Parti hari lahir yang diadakan untuk kanak-kanak di Brazil adalah sangat besar dan meriah. Malah, mereka akan mengadakan tempat khas yang dipanggil buffet infantil yang bertujuan khusus untuk sambutan hari lahir kanak-kanak. Satu lagi tradisinya adalah, kepingan kek pertama yang dipotong dalam sambutan hari lahir tersebut diberikan kepada kanak-kanak itu, tetapi kanak-kanak itu harus memberikannya kepada orang terpenting dalam hidupnya seperti ibu bapanya.

  • Korea Selatan

Salah satu ritual lahir lahir di Korea Selatan ialah hwangap, iaitu meraikan hari lahir ke-61 (60 tahun mengikut kiraan biasa) seseorang individu mengikut kiraan masyarakatnya. Ritual ini menunjukkan kembalinya pusingan bagi tahun kelahiran, iaitu lima kali pusingan bagi 12 tahun kitaran kalendar lunar. Ia adalah petunjuk penting yang menunjukkan panjang umur, serta peralihan peranan seseorang individu yang aktif kepada peranan yang kurang aktif, seperti persaraan.

Selain daripada ritual dan tradisi yang tersendiri, terdapat juga makanan-makanan istimewa yang dihidangkan sewaktu sambutan hari lahir, iaitu:

  • Fødselsdagsboller

Di Denmark, mengikut tradisi Danish, sejenis roti bun yang dinamakan Fødselsdagsboller, dimakan pada waktu sarapan pagi pada hari lahir seseorang. Ia hanyalah roti biasa yang diperbuat daripada campuran tepung, gula dan mentega, tetapi rasanya cukup lazat kerana dimakan panas-panas selepas dibakar.

  • Sup rumpai laut (seaweed soup)

Masyarakat Korea Selatan meraikan sambutan hari lahir mereka bukan dengan kek atau makanan manis yang lain, tetapi dengan memasak sup rumpai laut (seaweed soup). Sup ini juga sebenarnya turut dimasak ketika meraikan seorang wanita yang baru melahirkan bagi memulihkan tenaga dan memberi khasiat untuk mereka.

  • Arroz con Leche

Di Mexico, makanan tradisi yang dihidangkan dalam sambutan hari lahir sejenis puding beras yang dipanggil sebagai Arroz con Leche. Puding ini boleh dihidangkan secara panas atau sejuk dan menjadi suatu hidangan kemestian bagi sesuatu majlis di Mexico.

  • Fairy Bread

Masyarakat Australia meraikan hari lahir dengan suatu hidangan wajib, iaitu fairy bread. Ia bukanlah suatu hidangan yang luar biasa, kerana fairy bread ini sebenarnya hanyalah hidangan ringkas dengan roti bermentega dengan taburan gula berwarna-warni di atasnya, yang pastinya memberi kegembiraan buat kanak-kanak.

  • Croquembouche

Hidangan dari Perancis ini merupakan antara hidangan istimewa bagi majlis-majlis di negara tersebut. Ia adalah sejenis bebola pastri yang disusun secara berlapis-lapis antara satu sama lain dan karamel akan dialirkan melaluinya. Hidangan ini bukan sahaja enak, malah visualnya sahaja sudah cukup mengujakan sesiapa yang melihatnya.

  • Payesh

Payesh adalah hidangan biasa di India yang disajikan pada hari keramaian atau majlis tertentu, dan dihidangkan pada akhir jamuan makan. Ia adalah pencuci mulut ringkas yang rasanya seperti puding beras, dan boleh diletakkan pelbagai jenis rasa dan rempah yang berbeza di atasnya.

  • Princess Cake

Hidangan Sweden ini merupakan sejenis kek cantik dengan bahagian atas yang diperbuat daripada marzipan. Di bahagian dalam kek yang cantik adalah kek span, dengan inti pelbagai jem buah-buahan, krim pastri dan krim putar yang banyak.

Kesimpulan

Sambutan hari lahir di setiap negara adalah berbeza mengikut tradisi masing-masing, dengan ritual dan makanan yang tersendiri. Pada hari ini, bukanlah suatu sambutan yang terpesong seperti di awal kewujudannya dahulu iaitu untuk menghalau roh jahat, tetapi lebih kepada suatu majlis yang diadakan bagi menggembirakan hati orang yang menyambutnya, terutamanya kanak-kanak. Apa yang paling utama, sambutan hari lahir haruslah diadakan secara sederhana dan tidak melampau batas. Selamat hari lahir!

RUJUKAN:

Anonymous. (2017). How Did The Tradition of Birthdays Begin ? Retrieved November 3, 2019, from https://www.pumpitupparty.com/blog/how-did-the-tradition-of-birthdays-begin/%0AHave

Argetsinger, K. (1992). Birthday Rituals : Friends and Patrons in Roman Poetry and Cult. JSTOR, 11(2), 175–193.

Bond, S. (2016). The History of the Birthday And The Roman Calendar. Retrieved November 5, 2019, from https://www.forbes.com/sites/drsarahbond/2016/10/01/the-history-of-the-birthday-and-the- roman-calendar/#243b66d87bdc

Chin, S. (1991). Korean birthday rituals. Journalof Cross-Cultural Gerontology, (January), 1–8. https://doi.org/10.1007/BF00056752

Diaz, A. (2019). Go Shorty : 20 Birthday Food Traditions From Around The World. Retrieved November 4, 2019, from https://www.therecipe.com/birthday-food-traditions-around-the-world/

Soard, L. (2016). Birthday Traditions Around the World. Retrieved November 5, 2019, from https://family.lovetoknow.com/cultural- heritage-symbols/birthday-traditions- around-world


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.