Pada 10 tahun yang lepas, (18 Julai 2018), dunia telah diperkenalkan dengan sebuah filem agung yang dianggap sebagai filem yang merubah corak filem adaptasi komik sebelumnya, iaitu daripada watak-watak komik yang lebih kepada kebudak-budakan/ keanak-anakan (cartoonish) membawa kepada genre watak yang lebih berat dan hitam (darker and heavier genre). Filem ini mendapat penilaian 9 daripada 10 bintang dalam IMDb, satu laman sesawang dalam talian di mana filem ini turut mendapat pujian melambung daripada peminat dengan kebanyakan peminat memuji filem ini dari pelbagai sudut.

Gambar 1: Poster filem The Dark Knight.

Filem yang penulis maksudkan adalah filem The Dark Knight (2008) arahan Christopher Nolan yang merupakan sequel kepada filem Batman Begins (2005), hasil karya pengarah yang sama. Trilogi filem ini kemudiannya diangkat sebagai antara trilogi filem paling mantap oleh pengguna IMDB, di mana mereka meletakkan trilogi Dark Knight sebagai contoh trilogi The Godfather untuk zaman ini (This generations’ “The Godfather Trilogy”).

Permulaan Yang Kacau (A Chaotic Start)

Tidak perlu menunggu lama sebenarnya untuk melihat kehebatan filem ini. Pada babak awal filem ini sendiri muncul elemen kejutan yang pastinya membuat penonton berasa seperti “Apakah?” ataupun “Biar betul?”. Babak awal filem ini dimulakan dengan babak rompakan oleh sekumpulan perompak yang terpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Ada perompak yang pergi ke atas bangunan untuk menutup penggera kecemasan, ada yang berada di dalam bank sebagai persediaan untuk merompak, dan ada yang berada di dalam bas, sebagai persediaan melarikan diri. Agak menarik apabila sekumpulan perompak akhirnya menjadi seorang perompak, dan dari sini, kita mampu melihat keganasan dan kebijaksanaan sisi Joker, ejen kekacauan mutlak di dalam filem ini.

Gambar 2: Babak bas sekolah menerobos masuk ke dalam Bank Nasional Gotham.

Bertitik tolak daripada Batman Begins, penonton telah didedahkan dengan korupsi serta kekacauan yang sememangnya berlaku di bandar Gotham. Menjadi seorang “penjaga” bandar Gotham, Batman diberikan satu tanda apabila bandar Gotham memerlukan bantuannya, yang dikenali sebagai bat-signal. Di akhir filem ini juga, bat-signal menjadi satu simbolik apabila James Gordon terpaksa memecahkan signal tersebut sebagai petanda bahawa Batman tidak lagi diterima di bandar Gotham.

Babak adiwira Batman kemudiannya diteruskan, dengan Batman kemudiannya mematahkan perniagaan dadah sintetik Scarecrow (yang merupakan salah seorang penjahat di dalam Batman Universe). Kebanyakan aksi-aksi pertarungan adalah aksi yang lebih kurang sama jika dibandingkan dengan aksi pertarungan dari filem sebelumnya, dengan sedikit kejutan seperti gigitan anjing mampu menembusi sut Batman.
Wira Memerlukan Teman (Hero Need Friends)

Di dalam filem Batman Begins, penonton diperkenalkan dengan watak James Gordon sebagai seorang polis biasa berpangkat Sarjan yang merupakan antara watak ‘suci’ di dalam filem ini. Hasil daripada bantuan Batman, Gordon kemudiannya dinaikkan pangkat ke jawatan Leftenan dan terus berusaha untuk memberkas penjenayah. Meskipun begitu, kebanyakan penjahat yang ditangkap tidak mampu dibawa ke muka pengadilan secara saksama, selagi mana tiada pihak yang mahu mendakwa penyangak-penyangak ini di mahkamah.

Dari situ muncul satu lagi watak, Harvey Dent, yang merupakan seorang peguam (district attorney) yang berani untuk mendakwa Salvatore Maroni, salah seorang ketua keluarga penjenayah bagi keluarga Falcone di mahkamah. Situasi di mahkamah juga menunjukkan betapa rosaknya sistem perundangan Gotham, dengan cubaan untuk menembak Dent ketika sidang sedang berlangsung dan Maroni sendiri bebas tidak ditangkap.

Mengambil tema Dark Knight, Harvey Dent di dalam filem ini dianggap sebagai White Knight oleh Gordon. Dikala Batman mampu menangkap penjahat, sistem yang sedia ada perlu dibersihkan supaya penjahat-penjahat tersebut mampu diadili dengan saksama, dan disitulah tugas Harvey Dent berlangsung, sebagai adiwira putih yang mampu membicarakan pesalah mengikut prosedur keadilan yang sewjarnya. Dari sini kita dapat lihat dinamik kepada watak perundangan yang ingin dibawa oleh Nolan, yang terdiri daripada orang yang bertarung dengan penjenayah (Batman/ Bruce Wayne), orang yang memberkas penjenayah (Lt. Gordon) serta orang yang bertindak menghukum penjenayah (Harvey Dent).

Walaupun Dent boleh diangkat sebagai wira, namun berlaku konflik antara wira-wira kita tadi. Konflik yang dimaksudkan adalah konflik percintaan, di mana Harvey Dent merupakan kekasih kepada Rachel Dawes, yang juga merupakan bekas kekasih Batman. Bruce Wayne yang asalnya cemburu kepada Harvey Dent dan kurang yakin terhadap kejujuran Dent, mengubah fikirannya pada satu makan malam bersama apabila Dent menyatakan sokongan penuh beliau terhadap Batman.

Aura Keganasan Joker (The Joker’s Teror)

Tak perlu rasanya penulis ulas dengan panjang keberhasilan watak Joker lakonan Heath Ledger dalam filem ini. Sebelum Ledger, watak Joker telah terlebih dulu dibawa oleh pelakon lagenda Jack Nicholson pada tahun 1989 di dalam filem Batman versi Tim Burton. Sebelum membawa watak Joker, Ledger dianggap sebagai calon yang tidak mempunyai kelayakan kerana kebanyakan filem yang Ledger lakonkan adalah berunsurkan drama dan cinta seperti Casanova (2005) dan 10 Things I Hate About You (1999). Aktor yang membawa watak Alfred, Sir Michael Caine sendiri apabila diberitahu oleh Nolan bahawa watak penjahat dalam filem terbaru ini adalah Joker, berseloroh dengan mengatakan “Oh, Jack Nicholson, who’s going to top that?”. Ternyata setelah The Dark Knight, penanda aras kepada watak Joker telah dinaikkan sendiri oleh Ledger.

Gambar 3: Watak yang sememangnya memberi aura kejahatan, lakonan Heath Ledger dipuji oleh ramai pengkritik filem sehingga beliau dinobatkansebagai Pelakon Pembantu Terbaik bagi Academy Award.

Dalam percubaan beliau untuk membawa watak Joker, Heath Ledger dilaporkan telah diberi kebebasan oleh Christopher Nolan untuk mencari rujukan beliau sendiri. Seketika mereka berjumpa semula dalam mesyuarat, Ledger membawakan rujukan daripada watak Alex dari cerita A Clockwork Orange (1971), yang membuatkan Nolan terperanjat kerana mereka mempunyai idea yang serupa terhadap ciri perwatakan Joker tersebut.

Menurut Nolan dalam satu temuramah bersama Empire Online, “Kami banyak berbincang tentang Alex dari filem A Clockwork Orange, orang yang mempunyai perwatakan seperti itu. Saya melihat ke dalam matanya, dan kelihatan… Dia boleh buat sesuatu di sini. Dia inginkan sesuatu dan dia akan melakukan sesuatu. Dan itu adalah tanpa skrip! … tetapi saya amat percaya bahawa dia akan meletakkan sepenuhnya untuk persembahannya (sebagai Joker) dan melakukan sesuatu yang amat menakjubkan.

Meneruskan perjalanan cerita The Dark Knight, penonton mula didedahkan dengan permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan perompak dan penyangak di Bandar Gotham. Kemunculan Batman, beserta kebangkitan pasukan keadilan yang diketuai oleh Gordon dan Harvey Dent menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain untuk menyembunyikan wang-wang haram yang mereka curi. Dari situ kemudian plot berkembang ke Hong Kong, di mana wang mereka disembunyikan atas dasar bidang kuasa Harvey yang tidak sampai ke sana.

Joker sebenarnya memberikan satu alternatif lain kepada kumpulan tersebut. Babak sewaktu Joker masuk ketika kepala perompak semua sedang bersidang, pastinya terngiang-ngiang dalam minda penonton, disebabkan oleh elemen suspens yang dibawa oleh Joker itu sendiri.

How about a magic trick? I am going to make this pencil disappear.

(Seorang konco menghampiri Joker, dan Joker menghentak kepala konco tersebut tembus ke dalam pensil.)

Tadaaa. It’s gone.

What’s your proposal?

It’s simple. We, uh… kill, the Batman.

If it’s so simple, why haven’t you done it already?

If you’re good at something, never do it for free.

Filem tersebut kemudiannya terus berkembang dengan dinamik permusuhan Joker dan Batman menjadi semakin menarik. Joker kemudian mengugut seluruh Gotham bahawa Batman perlu mendedahkan identitinya, jika tidak setiap hari akan berlaku pembunuhan orang awam yang tak bersalah. Harvey Dent kemudian mengambil tempat Batman dengan mengisytiharkam bahawa dia adalah Batman, dan plot filem ini menjadi semakin kompleks apabila Dent yang hendak dibawa untuk ditahan kemudiannya diculik oleh kumpulan Joker. Namun pastinya ultimatum paling tinggi dalam filem ini terjadi apabila Harvey Dent, watak sang wira “White Knight”, kemudiannya berubah menjadi watak antagonist ‘Two-Face’ setelah kematian Rachel.

Gambar 4: Harvey Dent berubah dari perwira kepada penjahat, sesuai dengan namanya – ‘Two Face’.

Dengan azam untuk membalas dendam, Harvey ‘Two-Face’ Dent kemudiannya bersekongkol dengan Joker, membunuh orang yang dia rasa terlibat dengan kematian Rachel, bergantung kepada balingan duit syilingnya dan nasib. Pada penghujung filem ini, Joker tewas menentang Batman, namun persoalan kepada keperluan Gordon untuk menjaga nama baik Harvey menjadi persoalan yang kemudiannya dikupas oleh Nolan di dalam sekuel filem seterusnya, Dark Knight Rises (2012).

Kematian Heath Ledger

Sebagai persiapan untuk wataknya, Heath Ledger telahpun bersembunyi di dalam bilik hotelnya selama enam minggu. Sewaktu berada dalam proses persiapan, Ledger menyelidik serta mendalami psikologi watak yang akan dia bawa dengan membangunkan suara dan ketawa sadis (sadistic-sound laugh). Nolan sendiri memberi kebebasan kepada Ledger untuk membuat pengambaran babak sewaktu wartawan Mike Engel membaca kenyataan Joker. Menurut Sir Michael Caine sendiri, dia belum pernah berjumpa dengan watak Joker yang dibawa oleh Ledger sebelum filem tersebut, dan sewaktu penggambaran berlangsung, ketibaan Ledger membuatkan Caine berasa amat takut dan terlupa skrip beliau sendiri.

Kematian mengejut Ledger akibat keracunan ubatan pada Januari 2008 menyebabkan timbul spekulasi seperti kematian Ledger akibat daripada bebanan membawa watak Joker yang amat berat. Sejurus setelah kematian Ledger disahkan, Warner Brother mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa filem The Dark Knight adalah filem terakhir yang dilakonkan oleh Ledger. Keluarga Ledger bertegas bahawa sebab kematian Ledger bukanlah disebabkan oleh depresi, sebaliknya Ledger diketahui oleh keluarganya sebagai penghidap insomnia dan menggunakan ubat tidur sepanjang hidupnya. Dia juga sering mencampur adukkan ubat tidurnya dengan ubatan yang lain, yang ternyata membawa kebinasaan pada malam kematiannya.

Sebagai penutup, penulis percaya bahawa The Dark Knight membawa dimensi baharu terhadap adaptasi adiwira yang selama ini dikaitkan dengan genre kekeluargaan serta keanak-anakan. Legasi trilogi The Dark Knight pastinya akan kekal menjadi legasi terakhir Heath Ledger, yang akan terus diingati oleh peminat beliau. “Because he’s the hero Gotham deserves, but not the one it needs right now.”

Rujukan dan sumber-

Filem asal – The Dark Knight, Christopher Nolan, (2008). Warner Brothers.

IMDb (The Dark Knight) – https://www.imdb.com/title/tt0468569/trivia?ref_=tt_trv_trv

The Making of Heath Ledger’s Joker – https://www.empireonline.com/movies/features/heath-ledger-joker/

Empire Top 100 Greatest Movies – https://www.empireonline.com/movies/features/best-movies/

The Dark Knight Review – https://www.empireonline.com/movies/dark-knight/review/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.