“Aku tak tahu apa itu taubat. Aku tak percaya tentang agama. Itu semua karut… karut. Aku mahu tengok betapa besar kuasa Tuhan! Hei, Tuhan! Tunjukkanlah kepada aku kuasa kau. Tunjukkanlah Tuhan! Tunjukkanlah…”
Itulah salah satu dialog yang dilafaskan oleh Salleh Kamil di dalam filem Isi Neraka arahan Jamil Sulong pada tahun 1960. Selapas melafaskan dialog itu Salleh Kamil dikatakan menggigil seluruh badan sehingga terpaksa ditenangkan oleh rakan-rakan pelakon dan juga krew. Seniman Haji Mahadi telah membaca doa dan membuat air penawar untuk diberikan kepada Salleh Kamil bagi memulihkan semula semangatnya.
Salleh Kamil beranggapan dialog itu itu bagaikan bencana kepada dirinya. Tetapi setelah dinasihatkan oleh Haji Mahadi sebagai seorang yang tinggi ilmu agamanya, Salleh Kamil kembali tenteram. Haji Mahadi mengatakan jika niat kita hanya untuk memberi pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat yang menonton ianya tidak menjadi kesalahan besar. Yang penting niatkanlah apa yang kita lakukan semua kerana Allah tidak kepada yang lain. Haji Mahadi adalah salah seorang yang dirujuk oleh Jamil Sulong dalam kelansungan pembikinan filem Isi Neraka ini.
Sebelum menerima watak Wira di dalam filem ini, Salleh Kamil telah beberapa kali telah menolak tawaran dari Jamil Sulong. Kata Salleh, “Takutlah sebab ini soal agama, soal Tuhan, aku tak berani.” Tetapi akhirnya Salleh Kamil mengalah apabila dipujuk oleh Jamil Sulong dan diyakinkan oleh Haji Mahadi.
Filem Isi Neraka turut menampilkan Ahmad Mahmood bergandingan dengan Sa’adiah sebagai pelakon utama. Boleh dikatakan hampir kesemua pelakon yang bekerja di MFP terlibat di dalam filem ini. Filem ini juga telah dikatakan mendapat sambutan baik apabila ditayangkan. Ianya sedikit sebanyak telah berjaya mengangkat reputasi Jamil Sulong sebagai pengarah. Isi Neraka merupakan filem keempat arahan Jamil Sulong dalam tempoh 2 tahun sejak dilantik menjadi pangarah pada penghujung tahun 1958 dengan mengarahkan filem pertamanya Batu Belah Batu Bertangkup.
Salleh Kamil atau nama sebenarnya Salleh bin Abdullah dilahirkan di Singapura pada 24 April 1924. Pada awal tahun 1950-an, di dalam beberapa filem Salleh Kamil kerap bergandingan dengan seniman Nordin Ahmad dan A.Rahim dalam membawa peranan antagonis atau crook. Tetapi apabila P.Ramlee memberikan watak jahat utama kepada beliau di dalam filem Penarek Becha (1955) Salleh Kamil telah berjaya mengangkat dirinya dikenali sebagai pemain watak jahat yang paling terhebat sekali dalam sejarah filem Melayu klasik di Shaw Brother sehinggakan beliau pernah mendapat anugerah Seniman Pembantu Terbaik melalui pertandingan yang dianjurkan oleh Utusan Filem & Sport, Singapura pada 1955. Sejak dari situ populariti Salleh Kamil semakin meningkat dan ramai pengarah mengambil beliau untuk memegang watak jahat.
Antara filem lain lakonan Salleh Kamil adalah seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Darah Muda, Dayang Senandong, Gerak Kilat, Hang Tuah, Masharakat Pinchang, Isi Neraka, Norlela, Mas Merah, Mata Hari, Panggilan Pulau, Pertarongan, Puteri Gunung Banang, Roh Membela, Ribut, Raja Laksamana Bintan, Raja Bersiong (Shaw), Sedarah, Semerah Padi, Sergeant Hassan, Sumpah Orang Minyak, Siapa Salah?, Sri Menanti, Sri Andalas, Si Tanggang, dan Taufan. Kebanyakkan dari filem-filem ini beliau memegang watak crook.
Tetapi filem lakonan beliau sebagai watak crook yang paling diingati melalui filem Isi Neraka. Lakonan yang beliau tampilkan sangat berkesan dan terkesan dihati penonton yang menonton filem ini. Walaupun begitu serasi dan ternama dengan watak penjahat, sesekali beliau tetap diberi kepercayaan memegang peranan baik seperti di dalam filem Lela Manja dan Jebak Maut. P.Ramlee juga pernah menguji Salleh Kamil untuk watak komedi di dalam filem Tiga Abdul. Salleh Kamil menghembuskan nafas terakhir pada 4 Julai 1998 pada usia 74 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Pusara Abadi, Singapura.
Sumber :
Kacha Permata – Jamil Sulong 1990
Dato’ Ahmad Fauzee
Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih