One Punch Man merupakan salah satu animasi (anime) Jepun yang tidak asing dalam kalangan peminat anime. Kemasyhurannya tidak sepertimana sebahagian animasi yang lain misalnya Naruto, One Piece dan Dragon Ball.
Saitama merupakan salah seorang wira (hero) dalam cerita One Punch Man ini. Menjadi seorang adiwira merupakan impiannya sejak kecil lagi. Sebelum dia menceburkan diri dalam industri adiwira ini, dia merupakan seorang pekerja yang makan gaji. Pertempuran awalnya adalah dengan Crablante (monster berupa ketam), ketikamana waktu itu, dia sedang dalam usaha mencari-cari kerja.
Pada peringkat awal, pertempurannya dengan para monster atau pihak lawan menyebabkan kecederaan yang banyak pada dirinya seperti luka seumpamanya. Tetapi, selepas beberapa siri pertempuran dan latihan hariannya (100 push-ups, 100 sit-ups, 100 squats dan larian 10 km), dia kemudiannya menjadi botak keguguran rambut. Bukan itu sahaja, kekuatannya juga menjadi sangat dahsyat sehinggakan para raksasa tewas hancur hanya dengan satu tumbukan (melainkan beberapa monster tertentu), sinonim dengan gelarannya One Punch Man.
Disebabkan kekuatan fizikalnya yang terlampau kuat, kekosangan dan kebosanan timbul di dalam dirinya. Dia melaksanakan kerja adiwiranya dengan jaya sekali, juga dengan mudah sekali. Meskipun begitu, disebabkan mudah yang keterlampauan itu, kerja-kerja adiwira yang suatu masa dahulu merupakan impiannya, berubah kepada hanya sekadar suatu hobi. Kekuatannya yang terlampau tinggi itu kadang-kala membuatkan dirinya termenung dan berfikir, “Bolehkah aku menjadi lebih kuat?
Bolehkah aku naik pada kedudukan yang lebih tinggi?” dan lain-lain. Di sebalik kejayaannya dalam kerja-kerja adiwira, ‘kekosongan’ (emptiness) yang berupa kebosanan (boredness), kesepian (lonely) dan ketiadaan keseronokan (loss of excitement) menyelubungi dirinya. Ketimbulan perasaan ini, pada hemat penulis, adalah kerana ketiadaan atau kekaburan dalam memahami ‘tujuan sebenar’ (true purpose) kehidupan kita di dunia itu.
Dalam Islam, kehidupan ini adalah suatu rahmat daripada Tuhan. Ianya merupakan anugerah yang perlu kita syukuri dan nikmati. Apabila berbicara soal kehidupan, pelbagai persoalan yang timbul antaranya ialah “apakah erti hidup ini?”, “apakah tujuan hidup ini?” dan “apakah makna hidup ini?”. Bagi menjawab persoalan-persoalan sebegini, tidaklah memadai dengan semata-mata berfikir dan merenung, malahan perlu juga dengan bantuan bertanya kepada Yang Menghidupkan kita ini yakni Allah SWT.
Bagaimana hendak bertanya? Meskipun Allah SWT itu ada (wujud), Dia tidak tiba-tiba ada di hadapan kita untuk bertanya sama sepertimana kita bertanya kepada manusia. Oleh itu, bagaimanakah? Rujuklah kepada al-Quran yang merupakan kata-kata (kalam) Allah SWT, padanya terkandung jawapan-jawapan kepada segala persoalan dasar yang sering menjadi tanda tanya bagi insan yang berfikir. Tidak dinafikan perlu juga kita merujuk Hadith Nabi SAW serta para ulama’ (sarjana) yang muktabar dalam mengenal pasti jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Dalam usaha mencari tujuan kehidupan, al-Quran telah menyatakan:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ …
(al-Baqarah, 2:30)
Terjemahan: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”…
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦
(al-Dhariyat, 51:56)
Terjemahan: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepadaKu.
Kesimpulannya, misi dan tujuan kita di dunia ini semestinya perlu berdasarkan atas dua asas ini, iaitu sebagai seorang hamba kepada Allah SWT dan khalifah di muka bumi. Dengan memahami dua asas ini, mudah-mudahan usaha kita dalam mencari makna kehidupan itu tercapai. Wa Allahu’alam.
Ibn Zahari, 23 Mac 2021 (Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih