Pendapat Elon Musk sekarang bukan sama sekali omongan kosong persis fiksyen sains. Kenyataan dibuat beliau wajar dianggap sasaran utama bagi pihak SpaceX.
Selain daripada Presiden Amerika Syarikat dan Pentadbir NASA, kapasiti Musk dalam organisasi angkasanya sangat besar. Dan baru-baru ini, beliau menyatakan sasaran lima tahunnya iaitu mendarat di Marikh (Sauer, 2021).
Rancangan utama Musk adalah untuk mengurangkan kepekatan karbon dioksida dalam udara Marikh.
Untuk menjayakan rancangan ini, pihak SpaceX sudah memulakan program penyelidikan iaitu untuk menghasilkan bahan api roket menggunakan karbon dioksida Marikh (Bergan, 2021).
Nampaknya dunia sekarang sudah kembali ke zaman 1960-an… tanpa drama geopolitik antara Amerika Syarikat dan Rusia. Dan matlamat sekarang adalah Marikh, bukan lagi Bulan.
Cabaran Baru Pada Zaman Ini
Perjalanan ke Marikh tidak sama sekali boleh dibandingkan dengan program Apollo dulu. Jarak antara Bumi dan Bulan hanya 384,400 kilometer. Itu pun macam-macam benda kena buat, dengan teknologi komputer terhad.
Sekarang teknologi sudah jauh lebih maju. Lima kapal sudah mendarat di Bulan selepas Apollo 11. Banyak ilmu ditimba daripada program Apollo. Dan ilmu tersebut diguna pakai untuk memastikan kejayaan dan keselamatan perjalanan antara Bumi dan Marikh.
Satu saja masalah dengan Marikh – ia ada orbit sendiri. Jadi jaraknya berubah-ubah pada setiap masa. Paling dekat adalah 54.6 juta kilometer. Paling jauh pula adalah 401 juta kilometer.
Purata berada dalam lingkungan 225 juta kilometer. Sangat jauh. Dengan roket berkelajuan 40,000 kilometer sejam, perjalanan memakan masa 234 hari.
Maksudnya, saintis kena pastikan kapal tersebut ada makanan dan minuman cukup untuk angkasawan. Jarak paling dekat pun makan masa dua bulan. Satu-satunya cara untuk mempercepat perjalanan ini adalah dengan roket lebih laju.
Penemuan ExoMars 2021
Cabaran ke Marikh semestinya akan menambah baik kualiti hidup manusia di Bumi. Teknologi yang dihasilkan boleh mengubah nasib ramai orang, sepertimana usaha ke Bulan memangkinkan teknologi MRI.
Itulah keindahan sains. Apabila sains menang, limpahannya membantu orang ramai… termasuk golongan yang menafikan kebenaran di sebalik pendaratan Bulan. Kali ini mungkin susah untuk lihat manfaat saintifik daripada pendaratan Marikh. Ini adalah kerana, planet Marikh tidak menjadi destinasi perlumbaan negara.
Bermakna setiap negara mengambil masa untuk kaji betul-betul pasal Marikh. Pihak Agensi Angkasa Eropah (ESA) telah menghantar pengorbit ExoMars ke Marikh untuk cari bukti kehidupan dan siasat pasal air dan geokimia (Chang, 2016).
Kaji punya kaji, ExoMars menemui takungan air berjumlah besar di sebuah ngarai bernama Valles Marineris. Inilah ngarai paling besar di Sistem Suria, yang mengandungi air dalam bentuk ais lebih besar daripada negeri Pahang (Turner, 2021).
Penemuan ini bantu mencapai matlamat akhir ExoMars, iaitu untuk cari kehidupan di Marikh. Pertama sekali, kita sudah tahu mikroorganisme suka hidup dalam persekitaran air.
Dan sesetengah mikroorganisme akan berhibernasi kalau dalam keadaan terlalu sejuk, menghitung hari untuk hidup kembali jika ais cair. Jadi jika saintis berjaya cairkan ais ini, entah mikroorganisme jenis apa akan ditemui.
Tentu sekali ramai tertanya-tanya tentang potensi kehidupan di Marikh. Malah spesis apa yang ada di situ. Dan apa kaitan spesis tersebut dengan spesis-spesis sedia ada di Bumi (jika ada kaitan)? Banyak persoalan menanti jawapan yang mungkin muncul dalam masa terdekat.
RUJUKAN:
Bergan, B. (2021, Disember 16). Elon Musk Wants SpaceX to Reach Mars Using Carbon Capture. Here’s How It Could Work. Interesting Engineering.
Chang, K. (2016, September 12). Visions of Life on Mars in Earth’s depths. The New York Times.
Sauer, M. (2021, Disember 15). Elon Musk: ‘I’ll be surprised if we’re not landing on Mars within five years’. CNBC.
Turner, B. (2021, Disember 18). Giant reservoir of ‘hidden water’ discovered on Mars. Live Science.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih