Perlumbaan siapakah paling pertama menguasai angkasa lepas telah dimulakan selepas Perang Dunia Kedua (WWII), di mana bermulanya Perang Dingin (1947-1991) antara kedua-dua proksi dunia yang berbeza idealogi negara: Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet (USSR), berlumba untuk menunjukkan kuasa siapakah paling dominan di dunia.
Terdapat banyak pencapaian yang dimiliki kedua-dua kuasa besar pada waktu itu. Antaranya ialah angkasawan USSR bernama Yuri Gagarin menjadi manusia pertama tiba di orbit Bumi pada tahun 1961. Kemudian pada tahun 1969, kapal angkasa AS bernama Apollo 11 membawa angkasawan pertama mendarat di Bulan. Dari perlumbaan ini, kita ketahui bahawa kedua-dua negara ini adalah pencetus penerokaan angkasa lepas.
Tetapi tahukah anda bahawa sebelum Perang Dingin telah ada usaha para saintis untuk menjayakan misi ke Bulan? Ya, saintis dari England ini adalah yang pertama melaksanakan misi ke Bulan pada tahun 1640 dengan menerbangkan dirinya ke angkasa menggunakan kereta kuda terbang!
Kisah Saintis Bernama John Wilkins
Nama saintis yang melakukan misi gila pada waktu itu ialah John Wilkins, seorang ahli matematik, astronomi, dan pembantu paderi gereja. Beliau dilahirkan pada tahun 1614 dari pasangan penukang emas bernama Walter Wilkins dan wanita bangsawan bernama Jane Dod. John memulakan pengajian di Universiti Oxford dalam jurusan matematik. Beliau juga adalah ahli aktif dalam organisasi gereja England.
Boleh dikatakan John mempunyai kerjaya yang seimbang antara bidang matematik dengan aktiviti gereja. Pada tahun 1644, John ditugaskan sebagai paderi kepada putera raja Bohemian bernama Charles I Louis. Kemudian pada tahun 1648 beliau dilantik menjadi warden Kolej Wadham di Universiti Oxford. Beliau kemudian menubuhkan organisasi akademik bernama Royal Society of London for Improving Natural Knowledge pada tahun 1660.
John pernah kemukakan ideanya berkenaan angkasa lepas terutamanya Bulan dalam karyanya berjudul A Discovery of a New World…in the Moon pada tahun 1638. Menurut beliau, Bulan adalah entiti angkasa yang kandungannya berbeza dengan Bumi, malah undang-undang alam di sana bertentangan dengan undang-undang alam di Bumi.
Tambahan lagi, beliau berhujah bahawa Bulan adalah objek semula jadi yang diperbuat dari batu dan mempunyai atmosfera tersendiri seperti Bumi setelah meneropong satelit semula jadi itu melalui teleskop. Walaupun John Wilkins tidak berapa popular berbanding ahli astronomi lain seperti Galileo Galilei dan Nicolaus Copernicus, namun beliau adalah ahli akademik yang kuat mempertahankan idea Galileo tentang ‘Heliocentric’ iaitu Matahari sebagai pusat Sistem Suria dan juga mampu menerangkan lebih jelas kepada pembaca tentang objek-objek angkasa dalam karyanya.
Idea Dan Cabaran John Wilkins Menjayakan Misi Ke Bulan
John Wilkins mengemukakan beberapa perancangan bagi menjayakan misi pergi ke Bulan dan juga mencari penyelesaian terhadap beberapa halangan tertentu. Halangan pertama yang harus diharungi ialah daya yang menarik objek ke bumi, atau dengan kata lain, daya graviti. Menurut John, daya graviti ini serupa dengan daya magnet, begitu sukar untuk lepaskan daya yang kuat ini.
Dengan mengambil teori daya magnetik Bumi yang diutarakan oleh ahli fizik Inggeris bernama William Gilbert, John mengemukakan bahawa tarikan kedua-dua objek akan melemah apabila semakin jauh jarak tarikan tersebut. Maka, jalan keluarnya ialah objek itu haruslah beraqda di luar julat tarikan magnet Bumi agar pelancaran angkasa ke Bumi berjalan lancar.
John kemudian melakukan pengiraan geometri dan trigonomatri daya tarikan Bumi dan keputusannya menunjukkan daya tarikan melemah ketika objek berada di 32 kilometer dari paras laut. Walaupun berjaya mencari titik lemahnya daya tarikan tersebut, halangan kedua muncul iaitu udara semakin menipis dan suhu semakin sejuk ketika meninggalkan Bumi.
Cara John Wilkins selesaikan masalah kedua ini ialah melalui kepercayaan teologi sebab latar belakang beliau sendiri sebagai penganut ajaran Kristian. Maksudnya, memakai konsep kepercayaan Tuhan sebagai pengatur alam. John percaya bahawa sebab suhu semakin menurun semasa berada di puncak gunung ialah kehadiran awan. Menurut kepercayaan penganut ajaran Kristian, awan dicipta dahulu sebelum Matahari semasa Tuhan menciptakan Bumi.
Bagaimana dengan udara yang semakin menipis? John juga percaya bahawa bukan udara yang menipis. Sebenarnya kita yang meninggalkan dunia manusia yang penuh dosa. Kita akan merasa tercungap-cungap kekurangan udara di langit kerana inilah proses ‘penyucian’ dari udara yang ‘kotor’ dan ‘penuh dosa’ dari dunia manusia. Lama-kelamaan kita akan terbiasa dengan udara di luar Bumi.
Di sinilah John menganggap misinya ke Bulan hampir berjaya dengan selesaikan ketiga-tiga halangan ini: daya tarikan Bumi melemah pada 32 kilometer dari paras air, awan haruslah tiada di langit, dan percaya keadaan udara yang nipis hanya sementara saja. Nampak tidak masuk akal namun inilah penyelesaian saintifik John Wilkins pada ketika itu.
Penciptaan ‘Kapal Angkasa’ John Wilkins
Pada tahun 1648, John Wilkins menerbitkan karya seterusnya berjudul Mathematical Magick; or, The wonders that may be performed by Mechanical Geometry. Buku tentang reka bentuk ciptaan mesin yang John sendiri bayangkan. Salah satu reka bentuknya ialah ‘Kereta Kuda Terbang’, kapal angkasa yang kononnya mampu membawa manusia ke Bulan.
‘Kereta Kuda Terbang’ direka bentuk dengan pasangkan sayap di badan kereta kuda. Kereta kuda ini beroperasi menggunakan sistem spring dan roda serta jadikan bahan letupan sebagai sumber ‘minyak’ untuk hidupkan kereta kuda ini. John juga mencadangkan beberapa eksperimen bagi mencari bahan sebenar membina sayap kereta kuda ini. Dikatakan Robert Hooke iaitu ahli arkitek Inggeris juga melakukan eksperimen ciptaan kereta kuda milik John ini melalui karyanya berjudul Micrographia pada tahun 1665.
Tetapi sayangnya, misi pergi ke Bulan yang telah lama John usahakan dilupakan begitu saja. Bukan saja diabaikan namun penerangan beliau tentang ciptaan kapal angkasanya serta cabaran-cabaran yang beliau sendiri sangka mampu diselesaikan adalah mengarut semata-mata.
Sains semakin berkembang zaman berzaman. Teori John tentang udara telah dipatahkan dengan kehadiran ruang vakum di luar atmosfera Bumi. Manakala mesin mekanikal sebenarnya tidak mampu bertahan di ruang tersebut kerana keterbatasan pennggunaan serta ketidaktahanan mesin tersebut. Dengan perkembangan bidang sains ini, projek angkasa John Wilkins diabaikan begitu saja. Walaupun begitu, ideanya tentang penerokaan angkasa masih lagi menjadi inspirasi bagi saintis-saintis di masa hadapan.
Kami menulis ikut semangat untuk bantu orang ramai dapatkan ilmu secara percuma. Sebab itu kami enggan buat konsep langganan artikel (subscription). Tetapi kami mohon jasa baik kalian untuk beli buku kami. Dengan pembelian buku, kalian sedang membantu kami teruskan semangat ini sampai bila-bila. Link pembelian: https://shopee.com.my/thepatriotsasia
RUJUKAN:
Chapman, A. 1991. A World in the Moon – Wilkins and his Lunar Voyage of 1640. University of Havard.
Chapman, A. 2014. Fly Me to the Moon. Oxford Academic.
Johnston, M. 7 August 2022. Astronomer John Wilkins Planned a Moon Mission in 1640 AD with a Flying Chariot! Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih