Tempohari semasa kami mengulas tentang menara firaun, ramai yang cuba kaitkannya dengan piramid. Siap ada yang kata “sains sampai hari ini pun tidak mampu buktikan cara ia dibina”. Ikutkan, bukannya tidak mampu. Cuma kalangan saintis ini amanah terhadap ilmu.
Justeru, mereka tidak gopoh menamakan pembuktian sebagai mutlak. Tetapi sekadar teori. Persis sepertimana mereka berteori tentang model penciptaan alam (teori Big Bang). Walaupun teori tersebut kukuh dan boleh diguna pakai, ia tetap digelar teori – yakni, teori yang terbukti.
Ini kerana sains sifatnya berkembang seiring penemuan akan datang. Sebab itu dalam beberapa keadaan, saintis tidak sibuk menegakkan kemuktamadan. Tetapi mengusulkan andaian yang disertakan pembuktian.
Misalnya dalam konteks cara membina piramid ini, ia disebut ‘andaian’ kerana firaun bukannya macam kita – ada privilege untuk merakam gambar atau video tutorial tentang segala benda. Sebaliknya, rakaman mereka agak terhad dan hanya menjurus kepada tiga perkara; iaitu lukisan dinding, tinggalan papirus, dan kesan runtuhan.
Maka untuk meneroka hal-hal silam, saintis perlu mencantum kepingan puzzle daripada ketiga-tiga sumber ini. Masalahnya, sumber-sumber ini bukan sekali cari terus jumpa semua. Perlu cari satu-satu, dengan setiap satu makan masa yang lama.
Tambahan pula, bahasa Mesir Purba baru difahami dalam satu-dua kurun kebelakangan. Sedangkan, jarak masa kefiraunan dengan kita adalah lebih kurang 3,000-5,000 tahun. Jadi semua boleh bayang, betapa sebenarnya dalam 200 tahun inilah pengetahuan kita tentang Mesir Purba dikemaskini – dari penafsiran Batu Rosetta hinggalah cara piramid dibina.
Kalau ikut teori dan simulasi yang dibuat, kaedah pembinaan piramid ini boleh dibahagikan kepada empat peringkat – (1) meninjau, memilih dan menyediakan asas binaan, (2) mengumpul dan menguruskan para pekerja, (3) menghasilkan bahan mentah dan akhir sekali (4) mengangkut bahan ke kawasan pembinaan.
Namun sebelum kita lanjut ke penerangan bagi keempat-empat peringkat tersebut, semua perlu maklum yang ilmu kejuruteraan dalam membina piramid ini bukan terbangun dalam satu-dua generasi. Sebaliknya para firaun cuba berkali-kali sampai jadi.
Bermula dari sekadar makam segi empat tepat (disebut mastaba), kemudian berinovasi jadi piramid bertingkat (era Djoser), kemudian jadi piramid bengkok (era Sneferu), kemudian barulah disempurnakan bentuknya pada era Khufu.
Kalau dihitung, perkembangan ini makan masa 200 tahun juga. Kira hampir sama tempohnya dengan perkembangan model kereta – dari kereta petak hinggalah kereta elektrik berbentuk-kompak. Justeru daripada sini saja kita dapat tahu yang piramid dibina oleh manusia – bukan makhluk asing apatahlagi jin (sihir) dan gergasi.
Hal ini dibuktikan lagi menerusi kajian arkeologi di sekitar Giza, di samping penemuan sejumlah papirus dari era Khufu di Wadi al-Jarf – di mana, papirus tersebut menyebut tentang Ankhef, adik tiri Khufu yang dilantik sebagai penyelia pembinaan piramid pada tahun ke-27 pemerintahan Khufu. Sebelum itu, kata saintis, tugas menyelia digalas oleh seorang pegawai lain bernama Hemiunu. Kiranya, mereka berdua inilah yang menguruskan kebajikan para pekerja – baik soal kediaman, makan-minum dan pakaian, hinggalah soal gaji dan keselamatan.
Kalau ikut catatan Herodotus, jumlah mereka adalah sekitar 100,000 orang hamba. Tetapi hasil kajian Mark Lehner dari Harvard mendapati jumlah sebenar hanya sekitar 30,000 orang sahaja. Itu pun bukan berkumpul sekali gus. Sebaliknya, mereka digilir dalam setahun. Kira pada satu-satu masa, hanya 2,000 orang sahaja yang bekerja.
Angka ini diberi berdasarkan kajian yang dibuat di runtuhan ‘bandar’ berhampiran piramid Menkaure – di mana, ia lengkap dengan kediaman para pegawai (jurutera) dan buruh binaan, pelabuhan, kuil, kuari, arkib catatan, dan kandang ternakan.
Turut dijumpai di situ adalah tulang-tulang haiwan – merangkumi lembu, biri-biri, dan kambing – yang menurut saintis, cukup untuk menghasilkan purata 4,000 paun daging setiap hari sebagai makanan buat para pekerja.
Ini sekali gus menuding betapa kebajikan para pekerja cukup terbela dan mereka tidaklah dilayan seperti hamba. Mereka ada kediaman. Mereka diberi makanan berkhasiat (lebih berkhasiat dari diet rakyat kebanyakan). Mereka juga diberi bayaran. Kira, lengkap serba-serbi. Sampai kalau ada majikan sekarang yang culas tiga perkara tadi, patut malu dengan firaun. Sebab firaun pun tahu jaga pekerja.
Habis cerita bab pekerja, kita pindah pula kepada bab bahan binaan. Ikutkan, binaan piramid ini menggunakan beberapa bahan. Antaranya batu granit, batu kapur, batu alabaster, batu basalt, batu gypsum, dan bata dari tanah liat yang dibakar. Kesemua batu ini didatangkan dari lokasi berbeza.
Misalnya, batu granit diangkut (ikut Sungai Nil) dari Aswan (berjarak 500 batu dari Giza). Batu alabaster pula diambil dari Luxor (berjarak 300 batu) manakala batu basalt dari Fayoum (berjarak 50 batu).
Untuk batu kapur dan tanah liat bakar, ia dihasilkan secara lokal – yakni di kuari yang terletak di seberang sungai. Ikutkan memang kebanyakan bahan dibuat berhampiran tapak pembinaan, sekali gus memudahkan kerja-kerja pengangkutan.
Cuma sebelum bercerita soal mengangkut, ada baiknya kita sentuh perihal bagaimana batu-batuan tersebut dipotong. Sebetulnya, memang satu keajaiban pun untuk mereka mampu memotong batu dengan tepat. Sedangkan masa itu mereka masih berada pada zaman tembaga. Yakni, belum ada peralatan besi yang lebih tajam. Jadi, teknik dan kemahiran betul-betul memainkan peranan.
Kalau ikut simulasi yang saintis lakukan, proses pemotongan ini banyak dibantu oleh tindak-balas air. Di mana, batu-batu ini pada mulanya diketuk pada bahagian atas menggunakan baji kayu. Persis macam kita ketuk paku pada dinding rumah. Atau kalau nak bayangan mudah, boleh rujuk gambar atas.
Kemudian selepas baji-baji ini tembus ke dalam, batu tersebut pun direndam ke dalam air. Ini supaya baji-baji tadi mengembang lalu membuatkan batu tersebut merekah. Rekahan inilah yang lantas dipukul dengan pahat, sekali gus batu pun terpotong. Cuma, bagaimana mereka potong ikut sudut yang betul? Kalau pasal itu, lebih disarankan tengok terus video 2 minit di bawah – supaya mudah faham.
Dalam video ini turut ditunjukkan satu teori lain tentang kaedah logistik yang lebih maju
Lantas selepas batu tersebut selesai dipotong, ia pun diangkut dari kuari ke kawasan pembinaan menggunakan tongkang. Di sini, terusan-terusan buatan amat memainkan peranan. Di mana, ia dihubungkan dari Sungai Nil terus ke kawasan yang lebih hampir dengan lokasi pembinaan.
Kemudian dari situ, batu-batu tersebut diluncurkan ke piramid menggunakan kaedah yang hampir mirip dengan cara Sultan Muhammad al-Fateh meluncurkan 70 buah kapal di atas bukit. Iaitu, dengan membasahkan pasir menggunakan air (supaya daya geseran berkurang), lalu meletakkan kayu-kayu penggolek supaya memudahkan gerabak peluncur yang memuatkan bongkah batu ditarik oleh sekumpulan pekerja (biasanya 8 orang, bergantung berat).
Untuk mengangkutnya naik ke atas pula, sistem tanjakan digunakan. Konsepnya lebih kurang saja macam laluan untuk kerusi roda golongan kelainan upaya. Di mana, pada bahagian sisi piramid dibina permukaan rata namun cerun secara melingkar (seperti tangga). Pada kedua-dua sisi permukaan ini kemudian dipasakkan tiang-tiang kayu. Dari tiang-tiang kayu inilah gerabak peluncur tadi digerakkan – menggunakan tali.
Proses begini diulang lagi dan lagi, sampailah piramid siap dibina hingga ke puncak – dengan puncaknya ditatahi emas sambil seluruh binaannya pula diselaputi batu kapur putih. Ini sekali gus membuatkan piramid berkilauan terang tiap kali disuluhi cahaya matahari – persis berkilaunya sesiapa yang berdahi licin atau berkepala botak.
Cuma itulah, sayangnya… selaputan putih ini habis dikokak dek gempa bumi dan penguasa-penguasa terkemudian yang menggunakan batu kapur tersebut sebagai bahan untuk membina bangunan-bangunan baru. Lantas, piramid pun togel sepertimana yang kita kenali hai ini.
RUJUKAN
Freudenrich, Craig. (nd). How Pyramids Work. How Stuff Works.
Jarus, Owen. (2016, 14 June). How Were the Egyptians Pyramids Built? Live Science.
Little, Becky. (2020, 29 January). How Did Egyptians Built the Pyramids? Ancient Ramp Find Deepens Mystery. History.
McKenzie, Eleanor. (2017, 24 April). How Was Granite Quarried in Ancient Egypt? Sciencing.
Smithfield, Brad. (2016, 6 September). The Great Pyramid of Giza was once covered in highly polished white limestone, before it was removed to build mosques and fortresses. The Vintage News.
Winkler, Andreas. (2018, 29 November). The economy of Ancient Egypt laid the groundwork for building the pyramids. Quartz Africa.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih